Opinion

Impian menjelang PRU14

Rakyat tidak pernah ‘tersalah pilih’ semasa mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK). Politikus yang biasanya berubah dan menderhaka kepada pengundi.

Demikianlah pandangan dan pendirian saya selaku seorang pengamal media dan pemerhati politik tanah air.

Ada politikus yang pandai berlakon di depan kamera dan media. Rakyat harus beringat orang yang diperlukan adalah "pekerja" bukan "pelakon".

Ada calon pandai menangis semasa berucap meraih undi. Biarkan mereka kalah dan terus menangis. Asalkan jangan sampai rakyat menangis selepas politikus menang menerusi linangan air mata buaya.

Suka juga saya menasihatkan para pengundi supaya tidak bergantung kepada Wikipedia dan akaun Twitter/Facebook calon yang bertanding dalam PRU14. Ia sama seperti menonton berita RTM dan TV3 untuk menilai kelayakan calon.

Usah menjadi penyokong fanatik mana-mana parti atau politikus. Mereka yang sepatutnya menjadi penyokong anda (rakyat). Mereka memerlukan anda untuk hidup; bukan sebaliknya. Jangan biarkan "orang gaji" lebih berkuasa daripada "majikan".

Orang ramai tidak harus membiarkan sekampit beras, sebungkus biskut, sekilogram gula dan sehelai kain pelikat "membeli" undi, maruah dan masa depan.

Tetapi nampaknya taktik ini sentiasa berjaya menjelang PRU dan PRK. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata "Melayu mudah lupa" tetapi nampaknya kaum lain juga hampir sama.

Sebagai bangsa Malaysia, kita perlu meraikan kepelbagaian yang menjadi sebahagian daripada keunikan di negara bertuah ini. Kita wajar meraikan semangat perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, etnik, agama dan kepercayaan.

Sebelum politikus kentut kekenyangan dan keluar berkempen bagi "membasuh" otak anda menjelang PRU14, sila kuatkan semangat dan keimanan untuk menolak politik perkauman.

Kita perlu mampu menolak calon rasis daripada mana-mana parti politik. Kita wajar menolak calon yang hanya mahu memperjuangkan nasib kaumnya.

Politikus umpama badut sarkas

Ayuh kita bersatu menolak dan memulaukan calon PRU dan PRK yang menghina mana-mana kaum, etnik atau agama.

Ingat: Satu undi bagi calon yang menghina mana-mana agama bermakna kita memberikan satu undi bagi "menyokong" kemusnahan masa depan negara tercinta.

Pada Ogos 2010, pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, kerajaan (BN) tidak akan bertolak-ansur dengan kenyataan berbaur perkauman oleh mana-mana pihak. Dia berjanji, kononnya kerajaan akan mengambil tindakan terhadap orang seperti itu.

Lihat sahaja bagaimana puak rasis, ultra kiasu, pelampau, etnosentrik, fanatik dan pentaksub seperti Ridhuan Tee Abdullah, Perkasa, Isma dan sekutu mereka terus bermaharajalela.

Janji Najib seolah-olah menepati kriteria "janji dicapati" manakala "nambikei" yang dilaung-laungkannya bagaikan pecah seperti tembikai yang dihempas ke batu.

Politikus memang sangat pandai. Maklumlah, tidak perlu ada sebarang kelayakan minimum untuk masuk politik. Maka, mereka hanya perlu pandai berlakon dan menjadi badut bertopeng.

Ada pula politikus yang kerjanya tidak lain dan tidak bukan hanya menyalahkan proses pilihan raya. Rakyat turut diheret masuk menjadi "pelakon" dalam pertunjukan silap mata si politikus yang mahu meraih simpati masyarakat antarabangsa.

Saya selalu menggunakan frasa "Badut Paul Lathic". Pada penelitian saya, satu-satunya fakta menarik mengenai politik di Malaysia adalah rakyat tidak perlu pergi ke sarkas untuk menyaksikan persembahan badut.

Tetapi, awas! Kebanyakan badut ini hanya bertopeng untuk menipu penonton dan terus kekal berkuasa. Senyuman mereka adalah palsu; penuh kepura-puraan dan sandiwara.

Di sebalik segala aksi lawak bodoh yang disajikan di dewan dan menerusi media, Badut Paul Lathic menabur benih perkauman dan kebencian untuk memastikan persembahan mereka dapat diteruskan.

Usah lupa para badut sarkas juga saling bersaing untuk menjadi ketua. Khabarnya (berita angin semata-mata), Najib tidak akan kekal sebagai pengerusi BN menjelang PRU14. Tentulah Najib menafikan berita palsu ini.

Khabarnya juga, menurut berita angin yang tersebar menerusi Facebook, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melepaskan jawatan timbalan pengerusi BN dalam masa terdekat. Muhyiddin sudah tampil menafikan berita palsu itu.

Perkauman jadi santapan politik

Kata seorang kenalan, untuk meneka siapa pemimpin yang bakal menggantikan Najib, perhatikan sahaja siapa politikus paling rasis dalam parti serta paling rajin mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Kiru Muniandi dari Pulau Pinang memberikan reaksi kalau begitu, hampir semua politikus yang berada dalam Kabinet mempunyai kelayakan.

Komen beliau bukan khusus kepada pemimpin dalam Umno walaupun perdana menteri secara lazim (konvensi) adalah juga presiden Umno dan pengerusi BN.

Kathrina Tati dari Sabah pula mengemukakan nama Ridhuan Tee sebagai calon pengganti walaupun lelaki Cina-Muslim itu disifatkannya sebagai "kacang lupakan kulit".

Kalau dilihat daripada sudut pencetus perkauman dan kebencian, Ridhuan Tee seolah-olah sudah terlebih layak tetapi dia bukan "pemimpin" dalam parti politik. Dia bukan "Melayu" walaupun itulah gambaran yang selalu diberikannya.

Fairuz Azhar dari Perak tertanya-tanya apakah politikus yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur perkauman tidak akan layak menggantikan Najib. Katanya, mereka mungkin mengunci (menyimpan) sikap rasis dalam hati tanpa diluahkan secara terbuka.

Pada penelitian saya, perkauman adalah umpama "ubat kuat" kepada politikus. Kalau disimpan dalam hati, dia tidak akan diangkat mengepalai parti. Sekali gus, hilang peluang untuk melayakkan isterinya muncul sebagai "wanita pertama".

Politikus mungkin belum memulakan kempen PRU14 tetapi perhatikan ramai yang sudah memulakan kempen perkauman. Pergeseran kaum dan agama dicetuskan dengan bantuan juak-juak dan puak pengangkut tahi mereka.

Perhatikan segala hasutan perkauman dan konflik agama yang semakin menjadi-jadi menerusi media arus perdana. Itulah sebenarnya kempen licik politikus menuju pilihan raya!

Pelbagai imbasan PRU13 serta analisis ringkas yang dilakukan mungkin boleh membantu kita (rakyat) untuk lebih berwaspada dan menolak sepenuhnya politik perkauman demi kemakmuran negara tercinta.

Seperti satu dialog filem Malayalam berjudul "Thank You" (2013), setiap berita yang kita baca bukan untuk dilupakan tetapi perlu sentiasa diingati, sebagai peringatan suara yang dilaungkan menentang ketidakadilan perlu disertai ratusan suara sokongan.  – 23 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments