Perselisihan pendapat antara sekelompok penganut Islam dan Kristian di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu. Sekiranya diperhatikan, seolah-olah “perang salib” masih berlarutan secara langsung atau tidak langsung.
Misalnya, seminar "Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara" di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014, mendapat bantahan pelbagai pihak, seperti disiarkan di kebanyakan portal berita dalam talian.
Sehingga kini, walaupun laporan polis sudah dibuat, kes itu seolah-olah disenyapkan dan hasil siasatan tidak diketahui.
Anehnya, penganut Kristian sendiri memilih berdiam diri dalam isu seminar anti-Kristian itu. Mungkin kerana mereka menyerahkan tugas dan tanggungjawab “membela” agama kepada pihak gereja semata-mata.
Begitu juga dalam isu penggunaan kalimah “Allah” oleh Herald, terbitan gereja Katolik (Kristian) yang masih menjadi bualan ramai walaupun kes sudah selesai di mahkamah.
Reaksi, pandangan, kritikan dan hujah berhubung kalimah Allah bukan sahaja dikemukakan orang Islam dan Kristian, tetapi juga oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Menerusi bukunya "Islam Menjawab 20 Hujah Mubaligh Kristian" (2014), Abu Sofeya berkata, mubaligh Kristian begitu gigih dan terlatih, serta mempunyai dana yang banyak untuk menyebarkan ajaran Kristian kepada umat Islam.
Sejak kecil, satu lagi pertelingkahan dan perselisihan pendapat yang saya perhatikan antara orang Islam dan Kristian adalah mengenai kewafatan Nabi Isa, atau Jesus Christ.
Perdebatan antara orang Islam dan Kristian mengenai topik ini bukanlah sesuatu yang baharu. Contoh paling jelas boleh dirujuk pada Surah Ali Imran, ayat 59 dan 61.
Saya sering tertanya-tanya mengapa ada dua “versi” berbeza bagi individu yang sama, iaitu seorang yang benar-benar wujud dalam sejarah dunia.
Bukannya seperti Rama dalam epik Ramayana, atau Hang Tuah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang masih boleh dipertikai kewujudannya.
Jesus diangkat naik ke langit sebelum disalib
Pada pengalaman saya, pelajaran di Sunday School di gereja di Aulong, Taiping sejak usia kanak-kanak memaklumkan Jesus wafat disalib.
Malah, itulah insiden paling penting dalam ajaran Kristian. Jesus membenarkan dirinya disalib bagi menghapuskan dosa para pengikut/penganut.
Dalam kalangan orang Islam, salah satu daripada Rukun Iman adalah percaya pada nabi. Tentu sahaja Nabi Isa termasuk dalam senarai itu.
Namun, untuk rekod, Al-Quran tidak menggunakan nama Jesus yang merupakan nama dalam bahasa Yunani. Dalam bahasa Ibrani, namanya ialah Yusa atau Yoshua.
Dinyatakan pula dalam buku "Jesus Adalah Muslim?" (2013) tulisan Jaafar Siddiq, “Orang yang dimaksudkan dalam Bible sebagai Jesus adalah sama dengan Isa Al-Masih yang disebut dalam Al-Quran”, serta “Dalam Al-Quran, terdapat lebih daripada 25 tempat yang menyebut nama Nabi Isa”.
Menerusi makalah bertajuk “TITAS dan Dialog Kemangkatan Jesus” (Projek Dialog, 13 Ogos 2013), saya menghuraikan kisah kewafatan Jesus mengikut perspektif Kristian berpandukan Bible.
Dokumentari dan filem seperti "Bible" (2013), "Jesus" (1999), "Jesus of Nazareth" (1977), "The Day Christ Died" (1980) dan "Passion of the Christ" (2004), misalnya, mengangkat serta menyajikan fakta kehidupan dan kewafatan Jesus mengikut catatan dalam The New Testament dan Bible.
Menerusi makalah ini pula, saya bercadang memperkatakan mengenai Jesus (Nabi Isa) dari perspektif Islam berpandukan Al-Quran dan pandangan umum dalam kalangan penganut Islam.
Tujuannya bukan untuk “memenangkan” mana-mana pihak. Sebaliknya membantu membuka minda masyarakat ke arah dialog interfaith dan perbahasan intelektual.
Orang Islam percaya Jesus yang sudah diangkat naik ke langit akan muncul semula menjelang hari kiamat.
Namun begitu, kedatangan semula Jesus bukan untuk menyebarkan ajaran Kristian, tetapi mengesahkan kebenaran ajaran Islam serta memerintah di dunia selama 40 tahun berpandukan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad.
Siapa yang diseksa, disalib dan dibunuh?
Penganut Kristian daripada mana-mana mazhab percaya sepenuh jiwa pada fakta dalam Bible iaitu Jesus wafat disalib demi menghapuskan dosa para pengikut.
Penganut Islam pula berpegang pada firman Allah dalam Al-Quran (Surah An-Nisa, ayat 157-158) yang menegaskan Jesus (Nabi Isa) tidak wafat disalib, sebaliknya diangkat naik ke langit oleh Allah.
Lalu, kalau Jesus tidak wafat semasa disalib, apa yang berlaku sebenarnya? Demikianlah juga saya tertanya-tanya sejak usia kanak-kanak berikutan minat membaca buku-buku berkaitan pelbagai agama.
Sekiranya rekod dalam Bible diperhatikan, terdapat fakta Jesus meraung “Eloi-Eloi lama Sabakhtani?” setelah disalib kerana tertanya-tanya mengapa Tuhan membiarkan semua itu berlaku kepada baginda.
Apa yang direkodkan dalam Mark (15:34) dan Matthew (27:46) digunakan sebagai hujah oleh penganut Islam untuk membuktikan pendirian bukannya Jesus yang disalib dalam kejadian tersebut.
Alasan yang diberikan: Bukanlah sifat seorang nabi menangis dengan suara yang kuat serta penuh keluhan, sesal dan kecewa atas ketentuan Tuhan.
Hal ini boleh dibandingkan dengan nabi-nabi lain yang turut berdepan pelbagai cabaran, dugaan dan rintangan besar sepanjang hidup mereka.
Persoalan yang masih belum terjawab: Kalau bukan Jesus, siapa pula yang disalib dalam peristiwa penting dalam sejarah Kristian?
Orang Islam berpegang pada pendirian yang menegaskan, orang yang disalib itu bukan Jesus. Sebaliknya adalah orang lain yang diubah wajahnya oleh Allah menyerupai Jesus.
Maknanya, sebaik sahaja menyedari komplot pembunuhan Jesus oleh pemerintah Rom, baginda diangkat naik ke langit oleh Allah. Orang yang diseksa, disalib dan dibunuh itu bukanlah Jesus.
Hal ini juga bermakna kisah yang dipaparkan menerusi filem dan dokumentari yang saya senaraikan tadi sudah tidak betul!
Kesudahan kisah Judas, si pengkhianat
Hakikat yang tidak boleh dinafikan atau dipertikaikan adalah penganut Kristian yakin dan percaya, Jesus wafat disalib demi menebus dosa para pengikut. Malah, itu adalah aspek terpenting dalam kepercayaan orang Kristian.
Peristiwa Jesus disalib di Bukit Golgota direkodkan dalam Gospel of Matthew, Gospel of Mark, Gospel of Luke dan Gospel of John.
Namun, orang Islam pula percaya individu yang dipaksa memikul kayu salib dan seterusnya disalib itu bukan Jesus seperti disangka pemerintah Rom dan para pengikut Jesus sendiri.
Sebaliknya itu adalah orang lain yang sudah ditukar wajahnya oleh Allah menyerupai Jesus. Sementara itu, Jesus pula sudah diangkat naik ke langit.
Allah dalam firman-Nya (Surah An-Nisa, Ayat 157) menjelaskan hakikat individu yang disalib itu adalah orang yang ditukar wajahnya menyerupai Jesus.
Mukjizat Jesus dalam mengubah wajah Baginda sehingga tidak dikenali oleh dua murid baginda sendiri terdapat juga dalam Luke (24: 13-18).
Ada orang Islam yang berpandangan, sementara Jesus diangkat naik ke langit, wajah Judas, si pengkhianat, ditukar menyerupai Jesus.
Maka, individu yang ditangkap tentera Rom, disalib, meraung-raung kepada Allah dan akhirnya meninggal dunia itu adalah Judas, bukan Jesus.
Demikianlah secara ringkas dua versi yang berbeza dalam dua agama yang “bersaudara” (ahli kitab) mengenai nabi yang sama.
Seperti yang sudah dinyatakan, versi ini berpandukan ajaran Islam. Jesus tidak wafat kerana sudah diangkat oleh Allah naik ke langit sebelum peristiwa salib. Baginda hanya akan wafat menjelang hari kiamat.
Sengaja saya paparkan versi ini dengan niat membuka ruang dan peluang untuk perkongsian maklumat dan ilmu secara lebih mendalam dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan kepercayaan dengan semangat meraikan kepelbagaian. – 10 Februari, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments