Opinion

Kehilangan di Kampung Chetti

Kannama (paling kanan) dan Tegarajah (berkerusi roda) meninggal dunia tahun ini. – Gambar ihsan Uthaya Sankar SB, 24 November, 2014. Kannama (paling kanan) dan Tegarajah (berkerusi roda) meninggal dunia tahun ini. – Gambar ihsan Uthaya Sankar SB, 24 November, 2014. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pepatah Melayu ini bersifat universal dan malar kerana masih boleh digunakan pada zaman sekarang.

Dalam konteks masyarakat Chetti di Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka, nampaknya bekas pemegang amanah Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi, G Tegarajah pergi dalam keadaan sedih melihat kampung asalnya itu musnah sedikit demi sedikit di depan mata.

Pada 29 Disember 2013, semasa sesi ceramah dan bengkel penulisan anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di dewan serba guna kampung berkenaan, saya menyeru golongan belia dan remaja menemu ramah warga emas berumur 88 tahun itu untuk menulis makalah.

Saya menyebut betapa khazanah ilmu, pengetahuan dan pengalaman beliau sebagai generasi tertua kaum Chetti yang masih hidup wajar didokumentasikan untuk rujukan generasi akan datang.

Pada sesi taklimat dan bengkel itu, Tegarajah tetap hadir berpakaian tradisional Chetti walaupun kelihatan uzur dan terpaksa berkerusi roda. Saya sempat membuat rakaman wawancara pendek untuk dimuatkan di Facebook.

Begitu juga semasa sambutan ponggal di Kuil Sivan pada 14 Januari 2014. Selain daripada kesedihan akibat pemergian Kannama pada 2 Januari 2014, Tegarajah ternyata sedih mengenangkan masa depan Kampung Chetti yang diwartakan sebagai perkampungan warisan pada tahun 2002, tetapi kini sedang berdepan kemusnahan.

Apabila tidak ada mana-mana penduduk Kampung Chetti yang menunjukkan minat untuk mewawancara dan menulis makalah mengenai warga emas itu, saya dan rakan-rakan dari Kavyan bercadang untuk pergi ke kampung itu pada 19 April 2014 untuk mewawancara Tegarajah dan beberapa warga emas lain mengenai budaya kaum Chetti.

Malangnya, memandangkan penduduk Kampung Chetti sibuk dengan pelbagai acara dan upacara, rancangan itu terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dibatalkan.

Apabila saya bersama-sama Kughan Nadarajah dan Preevinn Singh pergi ke kampung warisan budaya itu pada 16 November 2014, kami tidak berpeluang bertemu dan mewawancara Tegarajah.

Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti, K Supramania Pillay memaklumkan warga emas itu tidak sihat dan kami memutuskan untuk tidak mengganggu.

Mendiang pergi menangung kesedihan

Maka pada kunjungan itu, kami meninjau projek pembangunan mega di Lot 93 yang sedikit demi sedikit membaham keunikan Kampung Chetti sebagai sebuah perkampung warisan.

Pada sebelah malam 22 November 2014, berlangsung majlis perkahwinan T Sithambaram Pillay dan Chong You Wen @ Priyanka di Kuil Sri Muthu Mariamman (Datuk Chachar). Tegarajah tidak sempat menghadirinya kerana uzur dan tidak dapat bangun dari katil.

Dalam suatu makalah baru-baru ini, saya menyebut kemungkinan majlis perkahwinan itu adalah majlis penuh tradisi yang terakhir di Kampung Chetti sebelum kampung berkenaan musnah akibat sikap tidak bertanggungjawab kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Pada awal pagi 23 November 2014, bekas pemegang amanah dan penduduk kaum Chetti tertua di kampung warisan itu meninggal dunia akibat sakit tua. Tentu juga kesedihan melihat kampung tradisi musnah di depan mata turut menyumbang kepada penderitaan yang ditanggungnya.

Maka hilangnya peluang bagi sesiapa – termasuk remaja dan belia di Kampung Chetti serta wakil Kavyan dan mahasiswa institusi pengajian tinggi – mewawancara mendiang untuk mendapatkan pelbagai maklumat. Tegarajah sudah pergi meninggalkan nama.

Sebenarnya, selain daripada meninggalkan “nama”, mendiang juga pergi sambil menanggung kesedihan dan penderitaan melihat kemusnahan kampung halamannya yang hancur sedikit demi sedikit selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (Mei 2013).

Seperti yang dipaparkan di www.kampungchetti.blogspot.com, projek pembinaan pangsapuri 22 tingkat dan hotel 12 tingkat di atas tanah Lot 93 yang berkongsi tiga sempadan dengan Kampung Chetti secara nyata menghancurkan kampung warisan berkenaan.

Semasa kunjungan pada 16 November 2014, saya melihat sendiri projek pembinaan diteruskan tanpa sebarang sekatan walaupun Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pernah berjanji kononnya mahu mencari dalang yang meluluskan projek itu (The Star, 1 Januari 2014 dan Malaysia Nanban, 2 Januari 2014).

Begitu juga dengan Pengerusi MIC Melaka MS Mahadevan yang hanya pandai mengeluarkan kenyataan kepada media. Menurut Bernama (8 Januari 2014), akhbar Kosmo! (9 Januari 2014) dan The Star (10 Januari 2014), politikus itu memberikan jaminan kononnya MIC akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara sebagai warisan sejarah negara.

Walaupun Kampung Chetti yang diisytiharkan sebagai tapak warisan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) itu dilihat sebagai “antara agenda utama Idris untuk mengembalikan semula kepercayaan masyarakat India terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) di negeri tersebut” (Malaysia Gazette, 2 Januari 2014), terbukti semuanya hanyalah wayang dan Janji Dicapati; bukan Janji Ditepati.

Janganlah kerajaan kecewakan kaum Chetti

Tidak keterlaluan untuk mengatakan pihak berwajib – kerajaan pusat dan kerajaan negeri di bawah BN – sengaja membiarkan segala kezaliman, ketidakadilan, pencabulan, kemusnahan dan kepupusan berlaku ke atas Kampung Chetti dan penduduk kaum Chetti.

Dalam segala kedukaan itulah juga Tegarajah menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi 23 November 2014. Seolah-olah mengulangi penderitaan sama yang ditanggung oleh Kannama yang meninggal dunia pada 2 Januari 2014.

Pemergian Kannama membawa bersama-samanya nyanyian dondang sayang yang masih terngiang-ngiang di telinga berikutan rakaman video yang dibuat oleh Perzeus James semasa ‘Solidariti Kampung Chetti’ anjuran Kavyan pada 29 Disember 2013.

Kini, pemergian Tegarajah membawa bersama-samanya khazanah, kisah dan ilmu mengenai sejarah Kampung Chetti dan budaya kaum Chetti yang amat unik.

Tiada lagi peluang bagi wakil Kavyan, penduduk Kampung Chetti dan siswa-siswi mewawancaranya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Mujurlah pengkaji dan penulis dari Singapura, Samuel S Dhoraisingam yang menulis buku ‘Peranakan Indians of Singapore and Melaka’ (2006) berjaya mewawancara mendiang semasa menulis buku berkenaan.

“Saya berharap kampung ini dapat diselamatkan. Saya mahu kampung ini kekal selama-lamanya sebagai Kampung Chetti dan kampung warisan budaya kaum Chetti. Janganlah kerajaan kecewakan saya dan kaum Chetti.”

Demikian antara luahan perasaan dan harapan Tegarajah semasa saya membuat rakaman wawancara beliau pada 29 Disember 2013.

Tidak mustahil suara rayuan itu tidak akan didengar oleh kerajaan dan pihak berkuasa. Pemergian Kannama dan Tegarajah dengan penuh kekecewaan mengenangkan nasib Kampung Chetti hanyalah permulaan kepada pelbagai nasib malang yang menanti.

Mungkin apabila semakin ramai warga emas dan penduduk Kampung Chetti meninggal dunia, semakin mudahlah untuk kerajaan menghapuskan terus kampung warisan itu daripada peta negara; supaya Lot 93 akan benar-benar menonjol sebagai mercu tanda Melaka. – 25 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kerajaan tutup mata pada liputan media pelbagai bahasa mengenai kemusnahan Kampung Chetti. – Gambar ihsan Uthaya Sankar SB, 24 November, 2014. Kerajaan tutup mata pada liputan media pelbagai bahasa mengenai kemusnahan Kampung Chetti. – Gambar ihsan Uthaya Sankar SB, 24 November, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments