Opinion

Kenapa MIC sokong Najib?

MIC perlukan sokongan Umno untuk terus hidup. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 April, 2015.MIC perlukan sokongan Umno untuk terus hidup. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 April, 2015.Walaupun MIC sedang dilanda krisis kepimpinan yang paling teruk dalam sejarah parti politik itu, ia tetap tidak ketinggalan mahu tampil mempertahankan pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang kedudukannya juga semakin goyah.

Pada pandangan bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, Najib  melakukan banyak perkara baik dan perlu dikekalkan sebagai perdana menteri.

Pandangan ini muncul berikutan serangan bertubi-tubi daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa Najib melepaskan jawatan demi “menyelamatkan” Umno dan BN.

Pada tahun lalu, saya menyebut menerusi catatan di Facebook, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal menjatuhkan BN yang selama ini kelihatan sukar digugat.

Selepas Dr Mahathir mengungkit isu sama, semakin ramai pihak mula berani bersuara. Orang ramai semakin sedar bagaimana mereka  tertipu dengan janji-janji manis; semanis slogan muluk 1Malaysia dan “Janji Ditepati” yang tidak ditepati.

Dalam pada itu, “roh” Altantuya Shaariibuu juga muncul kembali untuk menghantui Najib yang sudah sedia hampir pitam dilanda pelbagai tsunami tanpa henti.

Apapun yang berlaku, MIC ternyata tetap utuh di belakang Najib. Hal ini membuatkan orang ramai tertanya-tanya mengapa hal ini berlaku. Masakan MIC begitu berminat tanpa ada sebarang niat dan agenda.

Apatah lagi, Samy Vellu sendiri mengakui, orang ramai – khususnya kaum India – sudah tidak ambil kisah mengenai MIC. Pada pandangannya, Datuk Seri G Palanivel sudah menghancurkan parti politik berkenaan.

Sekiranya sejarah diimbas, bermula Mei 1971, Samy Vellu terlibat dalam perancangan licik bagi memastikan kerusi presiden MIC yang dipegang oleh Tun V T Sambanthan sejak 1955 berjaya diambil alih oleh Tan Sri Manickavasagam.

Krisis kepimpinan MIC semakin meruncing menjelang 1972 sehingga akhirnya PM waktu itu, Tun Abdul Razak, terpaksa campur tangan.

Seperti yang dihuraikan menerusi makalah bertajuk “Siapa Saguni dalam Krisis MIC?” (The Malaysian Insider, 24 Februari 2015), pada 15 Mac 1973, Razak mengemukakan surat yang khabarnya disediakan oleh Sambanthan.

Menerusi surat itu, Sambanthan menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan presiden pada 30 Jun 1973. Maka, Samy Vellu berjaya dalam percaturan politiknya.

Ada udang di sebalik batu

Dengan belajar daripada sejarah, kita boleh mengandaikan  ada motif tertentu mengapa MIC bermati-matian mahu menyokong Najib secara berlebih-lebihan. Tanpa Najib yang relatif lemah, motif itu tidak akan tercapai.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam sudah menyatakan kesediaan bertanding merebut jawatan presiden parti pada pemilihan semula yang dijadualkan pada Mei 2015.

Pada pandangan Subramaniam, Najib wajar terus memimpin negara berikutan kejayaannya “melakukan pelbagai transformasi dalam pembangunan ekonomi dan pendidikan masyarakat India” (Bernama, 13 April 2015).

MIC mahu masyarakat India menyokong Najib kerana tanpa Najib, usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju akan gagal.

Pada fikiran Subramaniam, Najib adalah satu-satunya perdana menteri yang memberikan keutamaan kepada isu kebajikan kaum India di negara ini.

Tentulah kenyataan seperti ini amat melucukan bagi khalayak yang berfikiran waras, tetapi itulah realiti yang sedang berlaku di depan mata. Orang ramai tahu  sokongan itu tentu ada niat demi kepentingan peribadi.

Subramaniam yang mahu merampas jawatan presiden daripada Palanivel sudah mendapat sokongan daripada Samy Vellu. Jika berjaya mendapat sokongan daripada PM – seperti kejadian 1972 – maka mudahlah untuk mencapai impian.

Sementara Palanivel terus menggigil menanti masa untuk diketepikan dan dikuburkan, pihak yang menyokong dan bersekutu dengan Subramaniam kelihatan begitu rajin, tekun dan teruja menyokong serta mengampu Najib.

Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh yang aktif mengeluarkan kenyataan media berhubung hampir semua isu dalam negara, tidak ketinggalan membuat kenyataan dalam isu kepimpinan Najib.

Pemuda MIC menyokong penuh serta mengendors Najib sebagai PM terbaik. Khabarnya, sejak mengambil alih pucuk pimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) pada 2009, Najib memberikan “harapan dan keyakinan” kepada MIC.

Mengapa Najib, bukan Muhyiddin?

MIC ternyata sudah tergoda dan mabuk dengan slogan “Nambikei” yang dimanipulasikan oleh think tank Najib ke arah memastikan MIC dan pengundi kaum India terus kekal sebagai deposit tetap pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Bagaikan membaca teks ucapan yang sudah disediakan oleh orang lain, Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy turut mengagung-agungkan slogan “Nambikei” yang diperkatakan oleh Najib.

Wanita MIC turut memperlekeh sumbangan Pak Lah dengan menuduh beliau mewariskan “kerajaan yang lemah” kepada Najib. Seolah-olah Pak Lah adalah perdana  menteri yang paling lemah.

Agak menarik – dan melucukan – apabila semua sayap MIC membuat kenyataan kononnya kesemua penduduk dan pengundi kaum India di Malaysia menyokong penuh slogan “Nambikei” dan kepimpinan Najib.

Saya percaya Najib dan isterinya, wanita anggun Datin Seri Rosmah Mansor, tidak mudah tertipu dan terpedaya dengan kata-kata mengampu yang keterlaluan daripada MIC.

Masakan Najib dan Rosmah tidak sedar, ramai penduduk kaum India tidak sedikit pun menghormati MIC; apatah lagi mengiktiraf parti politik itu sebagai “mewakili” suara mereka.

Alasan dan contoh yang dicipta oleh MIC untuk mengagung-agungkan Najib kedengaran amat hebat, bombastik dan penuh khayalan. Orang ramai yang mengikuti siri kenyataan wakil MIC menerusi media pelbagai bahasa pasti menyedari hakikat ini.

Misalnya, gagasan 1Malaysia dikatakan sudah mengembalikan keyakinan dan kepercayaan kaum India kepada BN. Memang pelik, tetapi demikianlah khayalan MIC.

Apakah MIC masih belum sedar daripada mimpi panjang? Slogan muluk 1Malaysia sudah lama luput dan lupus. Apa yang ada kini hanyalah saki-baki “tulang” yang cuba digonggong oleh juak-juak politik sambil terus menyalak slogan 1Malaysia.

Tambahan pula, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat sebagai penerus legasi kepimpinan dalam Umno dan BN jelas tidak meletakkan sebarang kepercayaan pada gagasan “tarik undi” itu.

Muhyiddin yang memperjuangkan prinsip “Malay first” pasti tidak mengendors – apatah lagi meneruskan – gagasan 1Malaysia sebaik Mahathir berjaya menumbangkan Najib dan mengangkat Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Semuanya demi kepentingan peribadi

MIC seolah-olah hidup dalam sebuah dunia imaginasi di mana segala masalah berkaitan kehidupan, pendidikan (sekolah Tamil, tentunya!) dan isu kewarganegaraan dalam kalangan kaum India sudah berjaya diatasi oleh Najib.

Mungkin MIC akan berkata, berilah peluang kerana Najib “akan” melakukan semua itu. Maka, timbul pula persoalan: Apa pula yang  dilakukan oleh Najib sejak 2009?

MIC boleh sahaja cuba mengabui mata orang ramai dengan mengatakan betapa wakil kaum India (baca: wakil MIC) mendapat dua tempat sebagai menteri dalam Kabinet BN pimpinan Najib.

Akan tetapi, tentulah kualiti lebih penting daripada kuantiti. Kalau ada sepuluh menteri kaum India sekalipun, kalau mereka sekadar menjadi pak turut, juak-juak atau tukang angguk, tetap tidak ada sebarang manfaat kepada masyarakat.

MIC juga tentu menggunakan sentimen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk mengaburi mata masyarakat. Bagaimanapun, sekiranya diperhatikan, perkara yang diperkatakan oleh MIC adalah mengenai “habuan” yang diterima oleh kontraktor tertentu sejak Najib menjadi perdana menteri.

Orang ramai masih tertanya-tanya ke mana hilangnya segala dana khas yang kononnya diperuntukkan oleh kerajaan BN pimpinan Najib bagi pembangunan SJKT. Masing-masing hanya menyanyikan lagu “Bangau Oh Bangau” apabila pertanyaan itu dikemukakan.

Tidak mustahil jika ada pihak berpendapat sebab dan alasan sebenar MIC menyokong Najib adalah demi menentukan survival politik mereka sendiri. Sebaik Muhyiddin “merampas” tampuk pemerintahan Umno, segala habuan yang sedang dinikmati politikus dalam MIC akan terputus.

Najib yang sudah dikalungkan pelbagai puji-pujian dan puja-pujaan sejak beberapa minggu lalu pula dianggap tidak akan sanggup “mencantas” tangan yang mengalungkan malai ke leher.

Maka, dalam pemilihan semula MIC pada Mei 2015, calon-calon yang diendors oleh Najib selaku pengerusi BN, presiden Umno dan perdana menteri dikatakan mempunyai peluang cerah untuk menumpaskan pasukan pimpinan Palanivel. – 21 April, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments