Dorian Wilde (gambar) seorang pemuda yang sentiasa tersenyum dan kelihatan ceria. Tetapi, siapa sangka individu berumur 26 tahun ini mempunyai sejarah yang agak suram.
Sewaktu kali pertama berpeluang mendengar perkongsian kisah pemuda ini pada acara "Together Life Gets Better" (21 September 2013), saya benar-benar terkejut dan tidak percaya bahawa jantina individu yang berada di depan saya dicatatkan sebagai "perempuan" pada sijil kelahiran dan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Makalah "Bahuchara dan transgender" (The Malaysian Insider, 25 November 2013) memberikan sedikit maklumat berguna mengenai golongan transgender; khususnya transwomen atau "mak nyah" iaitu individu yang dilahirkan dengan "identiti seks" (alat kelamin) lelaki tetapi memiliki "identiti gender" (minda) wanita.
Individu seperti Dorian pula memiliki "identiti seks" (alat kelamin) perempuan tetapi memiliki "identiti gender" lelaki sejak dalam kandungan. Istilah yang digunakan adalah "pak nyah".
Saya berpeluang bertemu Dorian dan teman wanitanya di Bandar Puteri, Puchong pada 30 November 2013. Pemuda itu tidak keberatan bercerita secara terbuka bagi menjawab pelbagai pertanyaan yang saya kemukakan.
Berikut adalah sebahagian daripada isi perbualan kami yang berlangsung dalam suasana santai dan terbuka sambil makan dan minum di sebuah restoran agak padat dengan pelanggan.
Uthaya: Melihat pada penampilan saudara, masih sukar untuk saya mempercayai bahawa rekod JPN menunjukkan saudara sebenarnya seorang wanita. Boleh ceritakan sedikit mengenai kisah saudara pada zaman kanak-kanak?
Dorian: Sejak kanak-kanak, saya sedar bahawa saya berbeza berbanding kanak-kanak lain. Jika ditanya bilakah saya sedar akan identiti transperson (transmale; transgender lelaki) yang saya miliki, kenangan yang masih segar dalam ingatan adalah sewaktu nenek sebelah ibu sering menasihatkan saya supaya kencing duduk seperti kanak-kanak perempuan.
Apabila saya memasuki zaman persekolahan dan bertemu lebih ramai rakan, saya mula benar-benar yakin bahawa saya adalah seorang transperson iaitu individu dengan "identiti gender" lelaki walaupun "identiti seks" (alat kelamin) yang dicatatkan dalam sijil kelahiran saya adalah perempuan.
Pada waktu kanak-kanak, saya memang keliru mengapa saya tidak memiliki alat kelamin lelaki (zakar). Saya beranggapan bahawa zakar saya akan tumbuh kemudian. Tentulah saya tidak berani bertanya soalan itu kepada sesiapa.
Ciri-ciri "identiti gender" lelaki yang saya miliki semakin ketara apabila saya meningkat remaja. Bagaimanapun, saya berdiam diri dan tidak mendedahkan kepada sesiapa tentang identiti gender saya; iaitu bahawa saya sedar saya sebenarnya seorang lelaki walaupun saya dilahirkan dengan fizikal perempuan.
Apabila saya pergi ke gereja pula, saya diberitahu bahawa golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak akan mencium pintu syurga.
Pada waktu itu, saya sudah pun sedar sepenuhnya bahawa saya seorang individu transperson; maka saya benar-benar takut memikirkan bahawa saya pasti akan masuk neraka. Bayangkan! Saya berumur sekitar 13 tahun pada waktu itu.
Kalau berumur 13 tahun, maknanya saudara sudah berada di sekolah menengah dan meningkat remaja. Bagaimana pula pengalaman pada waktu itu?
Pada waktu yang hampir sama saya mendengar amaran di gereja, saya memasuki sekolah menengah iaitu sebuah sekolah pelajar perempuan. Rambut saya ketika itu memang dipotong pendek kerana emak saya bimbang saya akan dapat kutu.
Saya pula mula menyimpan rambut panjang kerana saya mahu memaksa diri saya menjadi seorang perempuan. Khususnya kerana saya tidak mahu dimurkai Tuhan lalu dicampakkan ke neraka.
Tetapi, saya gagal berpura-pura dan berlakon menjadi seorang perempuan memandangkan "identiti gender" lelaki sudah tertanam dalam minda saya sejak dalam kandungan ibu.
Emosi dan psikologi saya terganggu. Saya mula memencilkan diri serta tidak mahu bergaul dengan sesiapa. Saya mula menutup diri saya bagaikan lapisan demi lapisan kulit bawang; sehingga sukar unuk sesiapa memahami saya.
Pada sangkaan saya, sayalah satu-satunya individu dengan krisis identiti seperti itu. Saya tidak tahu bahawa sebenarnya ada ramai transperson dalam masyarakat. Pada sangkaan saya, sayalah satu-satunya individu seumpama itu; sekurang-kurangnya di Malaysia.
Pada zaman sekolah menengah juga saya mula tertarik dan jatuh cinta pada seorang pelajar perempuan. Tetapi saya tidak berani meluahkan perasaan cinta itu kerana saya mungkin disangka seorang lesbian. Orang tidak tahu bahawa naluri, perasaan dan pemikiran saya adalah seorang lelaki.
Kita perlu membezakan antara transperson atau transmale dengan lesbian, pengkid, tomboy dan seumpamanya. Orang tidak mahu faham dan tidak mengambil tahu bahawa individu transperson seperti saya bukan lesbian dan bukan juga tomboy.
Semasa berumur sekitar 18 tahun, saya bertemu seorang sahabat di ruang siber. Gadis itu kemudian menjadi teman wanita saya. Sedikit demi sedikit saya mula sedar bahawa saya tidak boleh terus-menerus menipu diri sendiri dengan menyembunyikan "identiti gender" lelaki yang saya miliki. Saya semakin yakin bahawa saya bukan lesbian.
Uthaya: Adakah saudara memberanikan diri untuk membuat pendedahan kepada ibu bapa?
Dorian: Tidak juga kerana belum sempat saya mencari peluang terbaik untuk memberitahu ibu bapa, mereka pula sudah mendapat tahu tentang hubungan saya dengan gadis itu.
Dipendekkan cerita, bapa menyuruh saya keluar daripada rumah kerana tidak dapat menerima saya. Dia memberikan saya pilihan sama ada tinggal di rumah itu sebagai seorang wanita atau keluar daripada rumah dan jangan pulang sampai bila-bila.
Saya pergi ke Singapura berbekalkan pasport yang baru dibuat dan 50 dolar Singapura. Sampai di sana, saya tidak mendapat pekerjaan selama tiga bulan. Saya tinggal bersama teman wanita yang saya kenali menerusi internet itu.
Keluarganya beranggapan bahawa kami berdua hanyalah sahabat karib, lalu membenarkan saya tinggal di rumah mereka. Namun, sedikit demi sedikit, mereka mula mengesyaki sesuatu apabila menyedari hubungan kami berdua agak intim; walaupun bukan secara seksual.
Akhirnya saya diminta keluar daripada rumah mereka. Saya merempat tanpa tempat tinggal dan pekerjaan. Saya tetap tidak mahu menyerah kalah. Saya mula mencari kerja sementara untuk mendapatkan rezeki.
Kegigihan dan semangat tidak berputus asa membuahkan hasil. Saya mendapat pekerjaan tetap. Selepas dua tahun tinggal di Singapura, saya pulang ke rumah ibu bapa untuk melawat mereka. Saya tahu bahawa hidup saya tidak akan tenang selagi mereka belum menerima saya seadanya.
Uthaya: Selepas dua tahun, mungkin sudah ada perubahan pada pendirian keluarga saudara. Malah, saudara-mara juga tentu tertanya-tanya ke mana saudara menghilang.
Dorian: Semasa kunjungan itu, saudara-mara mula datang dan bertanya apa sebenarnya yang berlaku. Rupa-rupanya ibu bapa saya tidak mendedahkan perkara sebenar kepada saudara-mara apabila saya tiba-tiba hilang dua tahun sebelumnya.
Saya menceritakan perkara sebenar. Saudara-mara sebelah ibu memahami dilema dan krisis yang sedang saya alami. Mereka sesungguhnya tidak tahu apa-apa secara mendalam mengenai LGBT.
Maklum sahajalah segala berita yang disiarkan di media arus perdana tentang LGBT adalah negatif dan rekaan semata-mata. Bagaimanapun, saya sangat kagum kerana saudara-mara sebelah ibu bersikap agak terbuka apabila mendengar pendedahan saya.
Sejak kecil, saya dibesarkan oleh nenek. Nenek yang pada suatu masa dahulu pernah menasihatkan saya supaya kencing duduk seperti kanak-kanak perempuan juga dapat menerima saya. Katanya, sama ada lelaki atau perempuan, saya tetap cucunya dan kasih sayangnya terhadap saya tidak akan berubah.
Saya amat gembira kerana nenek, ibu saudara dan bapa saudara sebelah ibu yang mengenali saya sejak lahir memberikan sokongan moral yang amat saya perlukan. Saya benar-benar terharu dengan sokongan dan kasih sayang yang mereka berikan.
Mereka faham bahawa saya bukan lesbian atau biseksual, mahupun pengkid atau tomboy. Mereka juga memahami bahawa saya tidak boleh dipaksa menjadi seorang perempuan semata-mata kerana saya dilahirkan dengan alat kelamin perempuan.
Walaupun mereka tidak ada pengetahuan mendalam mengenai LGBT, mereka memahami bahawa "identiti gender" saya sejak dalam kandungan adalah lelaki. Mereka tidak memaksa saya menjadi seorang wanita kerana mereka mula faham bahawa saya bukan seorang wanita mengikut acuan biasa.
Penerimaan itu serta kasih-sayang yang dicurahkan tanpa berbelah-bagi oleh saudara-mara sebelah ibu memberikan saya semangat dan keyakinan untuk meneruskan hidup.
Saya berharap pengalaman saya mampu membuka mata masyarakat serta memberikan suntikan semangat dan sokongan moral kepada golongan transgender; sama ada mak nyah (transwomen) atau pak nyah (transmen) yang masih berada dalam dilema. – 9 Disember, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments