Komsas atau Komponen Sastera dalam mata pelajaran bahasa Malaysia diperkenalkan dalam sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah menengah seluruh negara mulai 2000.
Secara teori, Komsas mempunyai niat murni memperkenalkan sastera kebangsaan kepada pelajar pelbagai kaum, serta memupuk minat membaca karya sastera bermutu tanpa mengira aliran pengajian.
Dari segi jangka panjang, Komsas juga diharap dapat membantu generasi muda mengenali sasterawan tanah air serta mencungkil minat pelajar terbabit menghasilkan karya sastera bermutu seperti sajak, cerpen dan novel.
Bagaimanapun, pada pemerhatian dan pandangan saya, Komsas gagal dalam usaha mencapai objektif ia diperkenalkan. Sebaliknya, Komsas hanya menjadi suatu komponen wajib yang membosankan dan terpaksa diambil oleh pelajar untuk mendapatkan markah dalam peperiksaan.
Komsas bukan sahaja gagal memupuk minat membaca dan penghayatan sastera dalam kalangan pelajar (remaja), malah sebaliknya membuatkan kelompok sasaran melihat karya sastera sebagai sesuatu yang amat membosankan dan langsung tidak menarik perhatian.
Tentulah pandangan serta hujah saya akan serta-merta menerima kritikan pedas daripada kelompok penulis, persatuan penulis, agensi dan badan yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Komsas. Apatah lagi penerbit yang mengaut untung sejak Komsas diperkenalkan.
Hasil perbualan dan pemerhatian saya, kebanyakan pelajar memilih untuk tidak membaca teks Komsas yang diwajibkan di sekolah. Sebaliknya, mereka bijak membeli dan menghafaz daripada puluhan buku ulasan teks Komsas yang mengajar mereka teknik menjawab soalan dan mendapatkan markah tinggi dalam peperiksaan.
Saya percaya saya tidak sendirian dalam menyedari hakikat kegagalan ini. Baru-baru ini, saya mengemukakan pandangan secara ringkas menerusi Facebook dan meminta rakan memberikan komen dan pandangan.
Mohd Ashrafi Harumin (Rafi Harumin), penulis kumpulan cerpen Barisan Hadapan (2015) dan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu berkongsi pandangan tentang kemungkinan bahan (teks) yang dipilih Kementerian Pendidikan (KPM) kurang menarik.
Pelajar rasa bosan, benci, menyampah
Pandangan ini memang benar kerana itulah reaksi umum yang selalu saya terima daripada rata-rata pelajar pelbagai kaum di seluruh negara.
Saya berpeluang meminta pandangan mereka semasa beberapa program bahasa dan sastera anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 15 tahun lalu.
Komsas yang diperkenalkan pada 2000 sebenarnya sudah memasuki fasa ke-3. Fasa pertama adalah dari 2000 hingga 2009; fasa ke-2 dari 2010 hingga 2014; manakala fasa ke-3 dari 2015 hingga 2019.
Malangnya, walaupun teks ditukar, tahap kebosanan dan rasa benci serta rasa menyampah yang dialami kebanyakan pelajar masih berlarutan sekali gus ini bermakna rancangan pengajaran dan pembelajaran Komsas gagal mencapai objektif.
Pelajar perlu meneliti puisi tradisional, prosa tradisional, puisi moden (sajak), cerpen dan drama dalam antologi yang ditetapkan. Novel yang digunakan pula berbeza mengikut zon.
Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak adalah zon 1; manakala Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk zon 2. Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan merupakan zon 3; sementara Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan adalah zon 4.
Navanitha, seorang juruteknologi makmal perubatan di sebuah hospital menceritakan menerusi komen di Facebook yang beliau adalah kumpulan pertama pelajar yang diwajibkan mengambil Komsas.
"Ramai kawan saya tidak berminat membaca buku itu (teks Komsas). Kawan baik saya sendiri meminta saya menceritakan balik apa yang saya baca. Dia menulis jawapan dalam peperiksaan hanya berdasarkan apa yang saya ceritakan itu," katanya.
Menurut Rayner Yeo yang berasal dari Sabah, beliau melangkah ke Tingkatan 1 pada 1999, sekali gus "berjaya mengelakkan diri daripada cengkaman Komsas."
Bagaimanapun pemuda itu menambah: "Saya terpaksa juga belajar Komsas semasa berada di Tingkatan 4 dan 5."
Bagi Mohd Syafiq Marzuki, seorang jurutera di sebuah kilang automotif di Melaka, sajak dan cerpen yang terkandung dalam antologi Sehijau Warna Daun dan Kerusi menarik minatnya.
Orientasi peperiksaan jadi hambatan
"Tetapi saya sedikit berat untuk menghabiskan novel Julia. Entahlah, mungkin saya kurang gemar membaca bahan bacaan yang panjang," kata Syafiq menerusi komen di Facebook.
Menceritakan pengalamannya, Sugenthira Rao yang kini bekerja sebagai juruteknik mengaku, "bahan" yang digunakan dalam Komsas memang agak kurang menarik perhatian pelajar dan remaja.
"Malah, teks yang kurang menarik itu boleh mewujudkan rasa bosan dalam diri mereka (pelajar) untuk menghayati sastera," katanya secara penuh ikhlas.
Dalam perkembangan terkini, aspek kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) turut diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Malaysia; termasuk Komsas.
Sepertimana dijelaskan dalam majalah Pelita Bahasa edisi Mac 2015, KPM mentakrifkan KBAT sebagai "keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran, dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi, dan berupaya mencipta sesuatu."
Malangnya, sistem pendidikan negara yang masih berorientasikan peperiksaan tidak memungkinkan segala impian murni itu tercapai. Sekolah, guru dan pelajar terpaksa memikirkan markah dan keputusan peperiksaan pada setiap saat.
Atas sebab itulah juga puluhan buku ulasan dan panduan menjawab soalan Komsas laku seperti pisang goreng dalam pasaran. Sebelum teks Komsas fasa ke-2 (2010) dan fasa ke-3 (2015) diperkenalkan kepada pelajar, buku panduan komprehensif sudah memasuki pasaran.
Ramai guru dan pelajar yang terperangkap dalam sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan – serta terpaksa belajar Komsas kerana tiada pilihan lain - bertindak bijak menutup buku teks Komsas dan hanya bergantung kepada buku panduan yang menjamin markah dalam peperiksaan.
Pergilah ke mana-mana kedai buku dan lihatlah sendiri lambakan buku ulasan dan panduan menjawab Komsas yang terdapat dalam pasaran. Kalau satu buku tidak cukup, pelajar boleh membeli beberapa versi untuk mendapat markah tinggi dalam peperiksaan.
Kepincangan, kelemahan perlu ditangani
Suatu lagi kelemahan yang amat nyata dalam usaha memperkenalkan sastera kebangsaan menerusi Komsas adalah apabila sastera Melayu masih terperangkap dalam lingkaran syaitan (vicious circle) "oleh penulis Melayu" dan "tentang budaya Melayu".
Seolah-olah penulis daripada kaum dan etnik lain tidak wujud. Akibatnya, pelajar pelbagai kaum, etnik dan agama disogokkan dengan majoriti karya (khususnya cerpen dan novel) yang tidak menggambarkan realiti masyarakat Malaysia.
Seolah-olah sastera kebangsaan hanya sah apabila mengangkat dan membicarakan hal remeh-temeh yang amat membosankan mengenai orang Melayu-Islam.
Demikianlah maklum balas yang saya sendiri terima daripada rata-rata pelajar Bukan Melayu yang sempat saya temui di seluruh negara sejak 2000. Keluhan dan rungutan mereka amat logik, rasional dan berasas.
Kumpulan sasaran (pelajar pelbagai kaum) sendiri sudah mengaku betapa teks Komsas amat membosankan, dan pengenalan Komsas tidak sedikit pun membantu menanam minat membaca karya sastera kebangsaan dalam diri mereka.
Dalam hal ini, kriteria pemilihan teks Komsas sendiri amat meragukan. Saya berani katakan demikian hasil penglibatan secara langsung dalam isu penipuan royalti teks Komsas sejak 2011.
Tentulah KPM akan menafikan apa-apa yang saya dedahkan di blog sejak beberapa tahun lalu. Namun, masakan bangkai gajah boleh ditutup dengan daun pisang. Bau busuk tetap akan sampai ke hidung.
Sementara itu, kita terus hidup dalam penafian, penipuan, rasuah, pendidikan berorientasikan peperiksaan, teks Komsas yang membosankan, sajian kisah yang membuatkan pelajar mengantuk, serta pelbagai kepincangan yang tetap mahu disembunyikan dengan apa cara sekali pun.
Maka, janganlah kita berangan-angan mahu melahirkan generasi muda pelbagai kaum yang mencintai dan mahu membaca karya sastera kebangsaan.
Apatah lagi impian mahu melahirkan sasterawan berkualiti daripada kalangan pelajar pelbagai kaum yang disogokkan teks Komsas sedia ada. Kecuali Komsas sebenarnya untuk meneruskan tradisi "oleh Melayu", "tentang Melayu", "untuk Melayu". – 30 Jun, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments