Kehebatan madu lebah dalam perubatan diakui dalam kesemua tamadun besar dunia sejak dahulu. Penduduk Mesir, India dan China misalnya memanfaatkan sepenuhnya khasiat madu lebah bagi pelbagai kegunaan.
Pada 5 Disember 2014, saya menyatakan menerusi catatan di Facebook bagaimana kita sering mengaitkan kumbang dengan perbuatan menghisap madu daripada bunga.
Saya menjelaskan: “Sebenarnya, lebah (bukan kumbang) menghisap glukosa (bukan madu) daripada bunga. Glukosa itu diproses di dalam perut lebah dan kemudian barulah dimuntahkan (menerusi mulut) sebagai madu (honey).”
Menerusi catatan itu juga saya menyebut buku kajian sains dan surah an-Nahl dalam Quran sebagai rujukan. Malah surah itu juga dikenali sebagai “surah lebah” berikutan firman Allah SWT: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah.” (ayat 68).
Terjemahan ayat 69 seperti berikut: “Kemudian makanlah daripada segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan, serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkan-Nya kepadamu.
“Akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya yang mengandungi penawar bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda (kemurahan Allah) bagi orang yang mahu berfikir.”
Apa yang menarik, paparan kecil itu disukai (like) lebih 145 orang serta dikongsikan oleh lebih 45 orang dalam masa yang singkat. Perkongsian status itu pula turut disukai dan dikongsi pengguna lain di Facebook.
Misalnya, apabila Ustaz Wan Ji Wan Hussin berkongsi status itu berserta sedikit komen (“Pernah anda fikirkan tentang al-Quran seperti kawan baik saya yang tak beragama Islam ini fikirkan?”), ia disukai lebih 410 orang!
Pada masa sama, ada juga individu yang mengirimkan mesej peribadi menerusi Facebook dan “menyelar” tindakan saya membuat rujukan pada Quran. Katanya, kumbang juga menghisap manisan daripada bunga dan “hujah awak boleh mengelirukan orang Islam.”
Untuk rekod, saya tidak sesekali mengatakan kumbang tidak menghisap manisan daripada bunga. Saya sekadar mengetengahkan fakta mengenai lebah yang menghisap manisan dan menghasilkan madu daripadanya. Memandangkan ada fakta sahih dalam Quran, maka saya jadikan rujukan.
Sepertimana saya nyatakan awal tadi, kesemua tamadun besar dunia mengakui, mengetahui serta memanfaatkan kehebatan madu lebah dalam perubatan. Malah juga digunakan bagi tujuan kesihatan, kecantikan dan pelbagai kegunaan lain yang kini diperakui secara saintifik.
Perubatan tradisional manfaatkan madu
Perubatan ayurveda dari India, perubatan tradisional dari China dan perubatan Melayu di Nusantara turut menjadi bukti kehebatan madu yang ada pelbagai kegunaan.
Madu lebah digunakan bagi tujuan kecantikan, mengelakkan kulit muka berkedut, melembutkan kulit serta mengekalkan kesegaran kulit dan menjadikan kulit berseri-seri. Bagi tujuan itu, madu digabungkan dengan putih telur, susu dan hirisan timun.
Sejak turun-temurun, madu juga dijadikan ramuan utama dalam usaha menjadikan rambut kekal lembap dan berkilauan, serta mengatasi masalah keguguran rambut.
Bagi tujuan itu, orang tua-tua mencampurkan limau nipis, sebuk kayu manis dan minyak zaitun. Sekiranya diperhatikan, minyak dan syampu moden juga memanfaatkan ramuan ini.
Kajian saintifik membuktikan pelbagai manfaat madu lebah berdasarkan kandungannya. Selain daripada asid organik, terdapat juga enzim, asid amino, kalori, vitamin dan glukosa yang penting bagi meningkatkan daya ketahanan badan terhadap pelbagai penyakit.
Semasa bercuti di Taiping dan Kamunting, Perak pada 15-18 Disember 2014, saya sempat mengumpulkan sedikit bahan berkaitan madu lebah. Maklumat ini mungkin sahaja sudah sedia diketahui umum tetapi ada antaranya amat baru bagi saya.
Sebagaimana dinyatakan dalam Quran serta tercatat dalam kitab-kitab veda dan teks kuno daripada kesemua tamadun besar dunia, madu lebah mempunyai pelbagai manfaat yang menjadikannya pilihan ramai.
Madu (atau “madhu” dalam Sanskrit) yang dihasilkan oleh lebah terbukti berkesan dalam menyembuhkan batuk, selesema dan ulser, serta membantu mengatasi bau mulut dan menghilangkan kesan luka terbakar pada kulit.
Sejak zaman-berzaman, madu turut digunakan untuk menyembuhkan sel tubuh yang rosak, mengatasi keletihan badan, mengekalkan kecergasan, mengubati sakit perut, meningkatkan metabolisme, meredakan asma dan mengatasi insomnia.
Pakar perubatan tradisional ayurveda tahu ramuan yang sesuai untuk dicampurkan dengan madu bagi setiap tujuan perubatan yang dinyatakan di atas. Orang tua-tua juga mengetahuinya secara turun-temurun.
Malangnya generasi muda semakin kurang ilmu mengenai manfaat madu lebah. Mungkin kerana lebih bergantung kepada madu yang sudah diproses dan dijual sebagai ubat di kedai dan farmasi.
Generasi muda perlu tahu
Berdasarkan petua orang tua-tua, madu lebah dicampurkan dengan lobak merah yang sudah dihiris dan direbus untuk mendapatkan air, lalu diminum bagi menjaga kesihatan mata.
Madu dicampurkan dengan bawang putih yang sudah dihancurkan dan diminum tiga kali sehari oleh orang yang menghidap selesema atau batuk. Ramuan mudah dari kitab veda ini terbukti berkesan sejak zaman-berzaman.
Kemujaraban madu juga terbukti dalam mengubati masalah perut kembung dan cirit-birit. Mengikut petua tradisional Melayu, madu lebah dicampurkan dengan serbuk jintan hitam dan halia untuk mengatasi masalah perut kembung, manakala dicampurkan kunyit, daun meniran dan pucuk jambu untuk mengatasi masalah cirit-birit.
Tentu ada banyak buku yang ditulis untuk mendokumentasikan segala ramuan perubatan ini. Saya pernah berpeluang membaca beberapa buku; khususnya yang menceritakan petua turun-temurun dalam budaya Mesir, India, China dan Nusantara.
Pasti ada banyak buku dari negara barat yang menceritakan, menghuraikan dan menjelaskan kehebatan madu lebah secara saintifik. Dalam pada kagum dengan segala kajian saintifik itu, usah kita lupa akan apa yang sudah terkandung dalam Quran, veda serta catatan kuno Mesir dan China.
Dalam perubatan tradisional, pelbagai herba dicampurkan ke dalam madu untuk menghasilkan kesan lebih baik. Antaranya halia, jintan hitam, kayu manis, sirih, cengkih, bawang putih dan lada hitam.
Kunyit, daun teh, ginseng, limau nipis, daun pegaga, lengkuas, buah pala, pudina, bunga melati, timun, telur, susu dan minyak zaitun turut menjadi ramuan yang digunakan mengikut keperluan.
Sekiranya diperhatikan, madu lebah memainkan peranan yang sangat menakjubkan dalam soal kesihatan, kecergasan dan perubatan. Peluang meneliti beberapa buku perubatan tradisional dalam budaya masyarakat pelbagai kaum mendedahkan hal ini.
Sama ada mahu menghilangkan jerawat, kekal awet muda, meningkatkan daya ketahanan badan, membaiki selera makan, meningkatkan tenaga lelaki atau membendung masalah berat badan, semuanya boleh dicapai dengan madu lebah.
Harapan saya adalah agar paparan kecil di Facebook pada 5 Disember 2014 bukan setakat menimbulkan kekaguman orang ramai kerana seorang individu bukan Islam seperti saya membuat rujukan pada Quran.
Sebaliknya menimbulkan minat orang ramai untuk merujuk surah al-Nahl, veda serta catatan lama dalam tamadun India, China dan Nusantara untuk belajar tentang kehebatan dan kemujaraban madu lebah yang semakin dilupakan. – 22 Disember, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments