Opinion

Memahami masalah Melayu

Buku ini memaparkan pelbagai isu yang mungkin dianggap terlalu sensitif.Buku ini memaparkan pelbagai isu yang mungkin dianggap terlalu sensitif.Penulis buku "Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem" (2013), AB Sulaiman ternyata sangat berani mengutarakan pelbagai pandangan, kritikan dan hujah pedas berkaitan orang Melayu.

Misalnya, Sulaiman menekankan musuh Islam di Malaysia adalah orang Melayu sendiri. Beliau memetik pandangan Raja Petra Kamarudin (Malaysia Today, 16 Januari 2008) untuk menegaskan hujah tersebut.

Saya masih dalam proses membaca buku ini sejak 1 April 2014 kerana saya mempunyai tabiat membaca beberapa buku sekali gus. Sepanjang membaca buku setebal lebih 380 halaman ini, saya dapat merasakan khalayak orang Melayu pasti kurang selesa dengan pelbagai idea, pemikiran dan pengalaman yang diceritakan.

Di sisi yang lain, apabila maklumat mengenai buku ini saya paparkan menerusi Facebook, kebanyakan rakan saya - termasuk orang Melayu - mengatakan mereka tidak tahu mengenai kewujudan buku ini serta belum berpeluang membacanya.

Saya ada ramai rakan Melayu yang membaca buku Bahasa Inggeris. Pada waktu yang sama, ramai juga yang kurang membaca buku selain karya bahasa ibunda. Saya sedikit pun tidak bermaksud mahu mempersoalkan pendirian mereka.

Sebaliknya, saya merasakan agak "sayang" kerana kandungan buku tulisan Sulaiman "kurang" sampai kepada khalayak sasaran. Saya tidak fikir buku ini akan diterjemahkan ke bahasa Melayu. Maka saya memutuskan untuk memetik dan menyatakan sebahagian pandangan Sulaiman di sini.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membolehkan orang ramai - khususnya khalayak pembaca bahasa Melayu - mengetahui antara pandangan, hujah dan kritikan penulis, ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun ini berhubung akal (Arab) dan budi (Sanskrit) orang Melayu.

Saya faham, sedar dan akur saya akan menjadi sasaran serangan, cacian dan cemuhan puak tertentu berikutan penyiaran makalah ini. Hal ini mungkin kerana puak berkenaan tidak ada penguasaan bahasa Inggeris, tidak mampu membaca buku Sulaiman, lantas menganggap petikan (terjemahan) kata-kata Sulaiman yang saya nyatakan di sini sebagai pandangan saya sendiri.

Segala reaksi seperti itu saya terima dengan gembira dan dengan senyuman kerana tindakan puak berkenaan membuktikan hasrat saya tercapai; iaitu mahu mereka membaca kritikan, hujah dan pandangan Sulaiman mengenai orang Melayu yang jarang boleh dibaca dalam buku bahasa Melayu.

Islam versi Melayu di Malaysia

Sulaiman berusaha menyenaraikan ciri-ciri "Islam versi Melayu" iaitu bagaimana orang Melayu memahami dan mendefinisikan agama berkenaan. Dalam konteks di Malaysia, orang Melayu-Islam mestilah penganut Sunni.

Mereka juga perlu merupakan pengikut ajaran Imam Shafie; bukan pengikut ajaran Imam Hanafi, Hambali dan Maliki. Orang Melayu-Islam di negara ini juga - menurut Sulaiman - condong ke arah versi Wahabi ortodoks seperti yang terdapat di Arab Saudi.

Satu lagi ciri tambahan yang dinyatakan dalam buku ini adalah orang Melayu-Islam juga patuh kepada Islam madhani serta pernah mengamalkan Islam hadhari semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Pada penelitian Sulaiman - dan saya hanya menghuraikan menerusi makalah ini - "Islam" yang diamalkan orang Melayu di Malaysia berbeza dengan "Islam" di Indonesia, Mesir, Singapura dan sebagainya. Maknanya, Islam versi Melayu hanya eksklusif bagi negara ini.

Pelbagai isu dan polemik semasa juga dijadikan bahan oleh Sulaiman untuk membicarakan serta menganalisis akal dan budi orang Melayu. Misalnya, insiden Nurul Izzah Anwar yang kononnya menggunakan petikan Al-Quran ("Tiada paksaan dalam Islam") untuk mengatakan orang Melayu juga ada hak menentukan agama yang mahu dianuti.

Insiden "Nurul Izzah-gate" (istilah Sulaiman) pada November 2012 segera mendapat reaksi daripada pelbagai pihak. Petikan pandangan berkenaan - khususnya daripada politikus - juga dijadikan bahan oleh penulis buku separa ilmiah ini untuk menganalisis corak pemikiran orang Melayu. (Sulaiman menolak "kaum Melayu" yang dikatakannya "tidak wujud" tetapi itu cerita lain.)

Pada penelitian Sulaiman, orang Melayu memiliki pemikiran sombong ("Saya betul, awak salah"), monopoli ("Memandangkan saya betul, maka awak ternyata salah"), tidak rasional ("Awak tidak menyokong saya, maknanya awak menentang saya") dan menghukum ("Awak tidak layak bercakap soal agama").

Pada awal makalah ini, saya memetik kata-kata Sulaiman dan Raja Petra musuh Islam di Malaysia adalah orang Melayu sendiri. Kedua-dua mereka membidas pandangan dan "kepercayaan" orang Melayu iaitu orang bukan Islam bersatu untuk sama-sama "membunuh" Islam di Malaysia.

Sayang jika ditolak, diabaikan

Kritikan itu tadi diikuti hujah lebih pedas menggunakan istilah "bodoh" di mana kelompok tertentu yang bimbang tanpa asas yang kukuh dikatakan tidak menyedari situasi kebodohan yang sedang mereka alami. Frasa "bodoh sombong" pula digunakan untuk menggambarkan orang yang terlalu bodoh untuk menyedari dirinya bodoh, dan sebaliknya beranggapan dirinya terlalu pandai.

Sepanjang buku ini - sekurang-kurangnya setakat yang sempat saya baca sebelum menulis makalah ini - Sulaiman beberapa kali menegaskan orang Melayu memiliki corak pemikiran konvensional yang tidak begitu mementingkan aspek peraturan dan undang-undang.

Sebaliknya pemikiran orang Melayu dikatakan dipengaruhi nilai-nilai tradisi, keengganan menerima perubahan, berpusatkan kelompok sendiri, penuh dengan kekeliruan,  serta wujud pertentangan idea dan keangkuhan.

Situasi berada dalam "zon selesa" - khususnya dengan pelbagai peluang dan keistimewaan yang disediakan pemerintah - membuatkan ramai menjadi "malas" untuk berfikir. Akibatnya ia membawa kepada keadaan "minda tertutup" yang sebenarnya akan membinasakan diri pada masa hadapan.

Jika benarlah apa yang dikatakan oleh Sulaiman (malah, kalau tidak benar sekali pun), buku ini yang merupakan terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) sesuai dan wajar dibaca untuk mencabar akal dan budi (pemikiran) kita.

Seterusnya, tentulah saya amat mengharapkan reaksi dan maklum balas daripada khalayak mengenai kandungan buku ini ke arah mewujudkan dialog sihat dan terbuka dalam kalangan masyarakat untuk membincangkan pelbagai topik yang dianggap terlalu sensitif selama ini. – 21 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments