Opinion

Memahami realiti sastera Tamil

Genre buku kanak-kanak dan remaja masih asing dalam sastera Tamil di Malaysia.Genre buku kanak-kanak dan remaja masih asing dalam sastera Tamil di Malaysia.Walaupun masyarakat pelbagai kaum di Malaysia hidup bersama, masih wujud jurang yang amat luas dalam soal interaksi antara hasil sastera dan karya penulisan.

Saya berpeluang melihat sendiri perkara ini, khususnya dalam kalangan penulis dan pembaca karya Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1990-an.

Pelbagai maklumat berkaitan perkembangan penulisan Bahasa Tamil sempat saya kongsi menerusi makalah “Dilema Sastera Tamil” yang disiarkan di The Malaysian Insider pada 7 April 2015.

Pada 10 Mei 2015, saya berpeluang pula menghadiri majlis pelancaran dua novelet karya K. Balamurugan di Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.

Dalam budaya penerbitan buku Tamil di Malaysia, khalayak yang hadir hanya berpeluang membeli dan membaca buku apabila majlis pelancaran selesai.

Realiti ini turut digambarkan oleh V. Rajeswary menerusi cerpen berjudul “Raja Kehilangan Tampuk” yang diterjemahkan oleh mendiang M. Balachandran dan termuat dalam antologi Seruling di Persimpangan (1999).

Maka, pada majlis pelancaran novelet “Ahpe Kadaiyil Nadantha 236-Aahwathu Mehsai Uraiyaadal” dan “Mohini Malayin Ragasiyamum Paaladaintha Maaligaiyum”, khalayak hanya mendengar tentang buku yang belum dibenarkan dibeli sebelum majlis selesai.

Pengasas Yayasan Tamil, K. Arumugam dalam ucapannya menyebut bagaimana sasterawan luar negara biasanya mengkritik golongan pemerintah, politikus dan kuasawan.

Bagaimanapun, katanya, kelompok penulis Tamil di Malaysia ketara mengangkat, memuji dan memuja golongan kuasawan dan politikus yang menindas mereka.

Menerusi cerpen “Datuk Datang Ke Kampung Kami” (Dewan Sastera, Februari 1997), dihuraikan bagaimana masyarakat dan penulis Tamil bergantung hidup pada ihsan politikus.

Ternyata gambaran itu (yang saya tulis berikutan pemerhatian selama tiga tahun) masih mewakili realiti dalam kalangan penulis dan pembaca karya Tamil pada masa kini.

Realiti masyarakat masa kini dalam karya

Suatu lagi amalan dalam kalangan penulis Tamil di Malaysia adalah sikap terlalu “berkiblatkan” karya dan penulis dari Tamil Nadu, India. Masalah ini yang saya timbulkan menerusi rencana “What Tamil Writers?” (New Straits Times, 11 Februari 2004) pernah menimbulkan kemarahan kelompok penulis Tamil.

Dr Shammuga Siva yang turut berucap pada majlis pelancaran novelet Balamurugan menjentik pemikiran hadirin dengan menyatakan betapa kisah yang ditulis oleh Akilan dalam novel “Paalmara Kaatinilea” sebenarnya merupakan kisah-kisah yang boleh diceritakan secara lebih berjaya oleh warga emas dari ladang getah seluruh Malaysia.

“Bezanya, Akilan melihat sekilas lalu kehidupan penoreh getah kaum India di Malaya dan menulis sebuah buku yang tidak menggambarkan realiti sebenar perjuangan pekerja ladang di Malaya pada masa lalu,” kata doktor bertauliah itu yang banyak menulis buku-buku berkaitan psikologi kanak-kanak dan remaja.

Perkara yang ditimbulkan oleh Shanmuga Siva wajar diberikan perhatian kerana penulis dan pembaca karya Tamil di Malaysia perlu mula menyedari kehebatan karya-karya tempatan berbanding karya dari India.

Wartawan dan penulis, Yogi Sandru mengulas novelet kanak-kanak yang berlatarbelakangkan misteri Gunung Jerai di Kedah.

Agak menarik kerana kisah mengenai “sejarah yang cuba disembunyikan” yang hampir senada diceritakan kepada saya oleh ramai penduduk, penulis dan pengkaji sejarah tempatan sewaktu saya melawat Lembah Bujang pada Januari 2014.

Ramai orang Tamil percaya terdapat pelbagai bahan bukti mengenai Empayar Chola yang tersembunyi di dalam gua di gunung berkenaan. Kononnya ada usaha bagi memastikan bahan-bahan itu tidak diketahui umum.

Memang menarik apabila Balamurugan berjaya mengadunkan sedikit kisah daripada kontroversi itu secara penuh kreatif bagi menghasilkan sebuah novelet yang sesuai bagi bacaan kanak-kanak.

Mengulas sebuah lagi novelet, N. Patchaibalan menyatakan kekaguman atas kemampuan penulis bercerita mengenai realiti belia kaum India yang terlibat dalam pelbagai masalah sosial dan jenayah sejak terpaksa berhijrah ke bandar selepas ladang yang menjadi tempat tinggal turun-temurun dibersihkan bagi pembangunan.

Isu-isu berkaitan kehidupan di estet bukan sesuatu yang baru dalam penulisan cerpen dan novel Tamil sejak tahun 1930-an. Bezanya di sini, Balamurugan memperkatakan mengenai realiti sosial pada masa kini tanpa sekadar bernostalgia tentang kehidupan masa lampau.

Pengarah MySkills Foundation, S. Pasupathi turut berkongsi cerita mengenai realiti masalah keciciran pelajar, masalah sosial dan gengsterisme kaum India yang terungkap dalam karya Balamurugan.

Tanggungjawab penulis generasi muda

Sekiranya orang ramai mahu memahami sejarah dan wajah sebenar kaum India di Malaysia sejak tahun 1900-an, cerpen dan novel Tamil merupakan bahan rujukan terbaik.

Walaupun ada kelompok Sasterawan Kavyan yang menghasilkan cerpen dan novel secara asli dalam Bahasa Malaysia, ruang lingkup dan isu yang lebih mendalam mengenai kehidupan di estet dan ladang getah hanya dapat dihayati menerusi cerpen dan novel Tamil.

Atas sebab itulah juga Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sentiasa mengalu-alukan usaha menterjemah cerpen dan novel Tamil bermutu ke Bahasa Malaysia agar boleh dibaca oleh khalayak pelbagai kaum.

Dalam pada itu, usaha menggalakkan kelahiran lebih ramai penulis Tamil yang mampu menghasilkan karya bermutu tidak boleh diabaikan. Tambahan pula terdapat lebih 500 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Malaysia.

Perkara ini disentuh oleh pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kajang, P. M. Murthy yang pernah terlibat secara langsung dalam usaha menggalakkan pembelajaran subjek Sastera Tamil pada peringkat UPSR dan PMR/PT3 di seluruh negara.

Beliau menceritakan perihal cabaran dalam mempertahankan dan memasyarakatkan sastera Tamil dalam kalangan generasi muda. Menurutnya, hanya sekitar 3,000 calon Sijil pelajaran Malaysia (SPM) mengambil subjek Sastera Tamil.

Isu yang ditimbulkan wajar diberikan perhatian kerana selain daripada memastikan wujud penulis karya sastera bermutu, perlu ada juga khalayak pembaca yang mampu menghayati karya sastera bermutu itu.

Murthy menyebut, berbanding sastera Bahasa Malaysia, tidak wujud genre sastera kanak-kanak dan sastera remaja dalam sastera Tamil di Malaysia. Akibatnya, tidak ramai penulis Tamil yang menghasilkan karya khusus bagi pembaca kanak-kanak dan remaja.

Dalam keadaan seperti ini, kejayaan Balamurugan menghasilkan novelet kanak-kanak wajar dipuji. Buku yang dilancarkan baru-baru adalah siri kedua daripada sepuluh novelet kanak-kanak yang beliau rancang.

Menurut Balamurugan dalam ucapannya, buku pertama berjudul “Marma Kugaiyum Oonai Manithargal” mendapat sambutan di luar jangkaan daripada kanak-kanak SJKT, guru dan ibu bapa.

Maka, saya percaya lebih ramai penulis Tamil akan mula menghasilkan buku kanak-kanak dan remaja.

Sesungguhnya tugas, tanggungjawab dan peranan mengangkat mutu dan martabat sastera Tamil di Malaysia terletak pada pundak kelompok penulis generasi muda terpelajar seperti Balamurugan dan rakan-rakannya. – 12 Mei, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments