Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sebenarnya mempunyai potensi besar untuk menjadi pengkarya seni dan sastera.
Hal ini saya perhatikan sendiri sejak dulu. Antara aktiviti awal Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) apabila diasaskan pada Ogos 1999 adalah acara khas melibatkan golongan OKU.
Program yang dinamakan "For Your Ears Only" diadakan pada 2 dan 23 November, 1999 di Kompleks MAB, Brickfields. Peserta terdiri daripada golongan OKU cacat penglihatan.
Semasa acara Baca Cerpen Kavyan berlangsung pada 2003 dan mencatat nama dalam The Malaysia Book Of Records, beberapa peserta OKU turut mengambil bahagian.
Pada 28 Ogos, 2015 saya bertemu Mohammad Faizal Che Yusof dan Mohd Rosli Ibrahim di Brickfields, Kuala Lumpur. Kedua-duanya OKU cacat penglihatan.
Faizal graduan Universiti Malaya dan seorang peguam yang disegani. Beliau juga pengerusi Majlis Permuafakatan NGO OKU Kelantan. Aktivis hak OKU ini aktif menulis selain terlibat dalam ceramah advokasi.
Rosli juga seorang aktivis dan penulis. Beliau menghasilkan buku OKU Bangkit (2014) dan Gelap Mata (2015) yang membicarakan isu berkaitan golongan OKU, khususnya kumpulan cacatan penglihatan.
Hasil perbincangan dengan mereka berdua, ternyata memang ramai golongan OKU mempunyai bakat dan minat dalam bidang penulisan. Malangnya, pelbagai hambatan, rintangan dan kekangan membatasi peluang mereka untuk muncul sebagai penulis yang berjaya.
Saya pernah mengungkapkan perasaan, cita-cita dan impian seorang individu OKU cacat penglihatan menerusi cerpen "Dengarlah, Sayang" (Pelita Bahasa, Disember 2005) yang kemudian dimuatkan dalam buku Kathakali (2009).
Cerpen "Perbualan Kecil" (Dewan Siswa, Februari 2006) pula mengetengahkan seorang watak bisu serta keinginannya untuk turut terlibat dalam bidang sastera dan penulisan.
Bakat terpendam perlu dicungkil
Tentu saja idea bagi cerpen itu berasaskan pergaulan saya dengan sejumlah rakan-rakan OKU pelbagai kaum dan agama sejak dulu. Saya cuba "menyuarakan" impian golongan OKU menerusi karya.
Pada pendirian saya, golongan minoriti perlu berani bangkit memperjuangkan hak supaya "suara" mereka tidak tenggelam begitu saja di tengah-tengah hiruk-pikuk dan kokokan golongan politikus yang selalu terlepas pandangan isu sebenar dalam kalangan rakyat.
"Walaupun kami dikatakan minoriti, kami lebih ramai daripada Orang Asal dan jauh lebih ramai daripada peneroka Felda. Dianggarkan 15% penduduk adalah OKU," Faizal menghuraikan dalam perbualan kami selepas Persidangan OKU Darul Naim Peringkat Kebangsaan di Kota Bharu pada 13 Mac 2012.
Semasa saya, Faizal dan Rosli berbincang baru-baru ini, ternyata kami sependapat dalam isu perlunya golongan OKU diberikan bimbingan berkaitan dunia penulisan.
Menurut Rosli, OKU cacat penglihatan khususnya mempunyai bakat terpendam tetapi terbiar begitu saja dan hasil tulisan mereka tercicir tanpa pernah diterbitkan.
"Segala potensi ini perlu diketengahkan kepada khalayak awam secara meluas. Segala kurniaan ini tidak sepatutnya diabaikan," katanya menerusi catatan di Facebook seusai pertemuan kami.
Kami bertiga bersetuju golongan OKU yang diberikan ruang dan peluang untuk menulis dan menerbitkan karya akan memiliki keyakinan diri yang lebih tinggi.
"Menulis juga pendekatan yang berkesan bagi mendidik masyarakat dalam memahami isu OKU. Golongan OKU tidak harus lagi memendamkan segala pengalaman dan perasaan dalam hati.
"Mereka perlu meluahkannya dengan cara terhormat, seperti menulis. OKU harus keluar dari bawah tempurung dan seterusnya menyumbangkan idea mengenai isu OKU kepada masyarakat," kata Rosli.
Sebenarnya, memang ada penulis daripada kalangan OKU. Misalnya, JM Aziz (1934-2002) antara penyair cacat penglihatan yang terkenal kerana kemampuan menghasilkan sajak bermutu.
Bengkel penulisan untuk golongan OKU
Soalnya, masih ramaikah penulis OKU seperti Faizal dan Rosli? Memang tidak adil untuk menuding jari menyalahkan sesiapa jika tidak ramai penulis daripada kalangan OKU.
Dalam perbincangan bersama 2 aktivis berkenaan, saya mendapat gambaran jelas iaitu ramai OKU yang berminat untuk mendalami bidang penulisan puisi, cerpen, novel dan esei.
Ramai yang sebenarnya menghasilkan karya tetapi hanya untuk simpanan sendiri. Mereka tidak tahu siapa yang boleh dijadikan tempat rujukan. Mereka juga tidak berapa tahu bagaimana mahu menghantar karya kepada penerbitan.
Dari semasa ke semasa, Kavyan mengendalikan bengkel penulisan puisi, cerpen dan makalah/esei. Karya-karya yang dihasilkan peserta akan dinilai, disunting dan dikirim ke majalah sesuai; khususnya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Golongan OKU yang berkarya juga khabarnya menjadi mangsa penipuan kerana mereka kurang arif tentang isu berkaitan honorarium, royalti, hak cipta, hak penerbitan dan harta intelek.
Sebenarnya, isu berkenaan turut menghantui kelompok penulis bukan OKU. Kejahilan golongan penulis - normal atau OKU - menjadi senjata yang digunakan sebaik-baiknya oleh penerbit tertentu untuk mengaut keuntungan; sekali gus mengabaikan hak penulis.
Menyedari segala situasi yang wujud, Kavyan memutuskan untuk menganjurkan acara khas yang dinamakan Bengkel Penulisan OKU pada 31 Oktober, 2015 di Pusat Kebudayaan India (ICC), Brickfields.
ICC yang terletak di bawah Kedutaan India dipilih kerana pengarah pusat berkenaan memang mengundang Kavyan menganjurkan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di tempat berkenaan.
Brickfields menjadi tempat tumpuan golongan OKU, khususnya cacat penglihatan. Kedudukan ICC juga berdekatan Kompleks MAB dan Stesen Monorel Tun Sambanthan. Maka, lebih mudah untuk peserta OKU menghadiri bengkel yang diadakan.
Bengkel penulisan yang dirancang ini terbuka kepada semua kategori OKU. Malah, golongan bukan OKU (normal) juga boleh hadir sebagai sukarelawan untuk sama-sama membantu peserta OKU sambil menimba ilmu penulisan.
Usaha kecil ini diharap mampu memperkasa golongan OKU untuk bangkit bersuara bagi diri sendiri dan kumpulan yang diwakili. Seperti diakui Faizal dan Rosli, penulisan juga mampu menjadi semacam terapi yang mujarab kepada golongan OKU. – 1 September, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments