Ridhuan Tee Abdullah, tokoh yang dikatakan bakal menjadi legenda. Dia juga memenuhi hampir semua “corak pemikiran Melayu” yang dihuraikan oleh AB Sulaiman menerusi buku “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013)”.
Bagaimanapun, tokoh ultra kiasu ini seolah-olah berperang dalam diri, menghadapi dilema identiti diri serta gangguan psikologi yang agak ketara.
Hal ini tidak pula bermakna dia “gila”, tetapi analisis terhadap tulisannya seolah-olah menunjukkan elemen-elemen gangguan mental yang mungkin tidak disedari sesiapa.
Bagaikan wujud personaliti berbelah (split personality) berikutan jati diri dan identiti diri yang bercelaru.
Semua itu terpancar menerusi minda bawah sedar dalam tulisannya, khususnya yang disiarkan secara penuh akur dan setia oleh akhbar Sinar Harian terbitan Kumpulan Media Karangkraf.
Perkara yang diketahui umum adalah bahawa selain daripada gelaran Tokoh Ultra Kiasu, lelaki mualaf itu juga dikenali sebagai individu yang amat fanatik, rasis, pentaksub, malah pelampau. Kita hanya perlu melayari ruang siber untuk mengetahui perkara ini.
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa walaupun dia keturunan Cina, Ridhuan Tee lebih ketara menonjolkan dirinya (menerusi tulisan dan pakaian) sebagai juara etnosentrik bagi “kita orang Melayu”.
Nama asalnya ialah Tee Chuan Seng dan dia mengaku “pernah menjadi Kristian” (Sinar Harian, 31 Oktober 2011) sebelum “murtad” (meninggalkan agama asal).
Mungkin juga peruntukan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 160 membuatkan dia layak mengisytiharkan dirinya Melayu.
Sedangkan Tun Mahathir, seorang keturunan India-Malayali, boleh menjadi Melayu, mengapa tidak saya? Mungkin demikian fikirnya.
Syukurlah saya tidak mengenali Ridhuan Tee secara peribadi dan dengan izin Tuhan, saya juga tidak berminat untuk mengenalinya.
Sebaliknya, analisis psikologi secara amat asas dan objektif ini adalah berdasarkan beberapa tulisannya di akhbar Sinar Harian atas permintaan beberapa kenalan.
Dia masuk Islam atau masuk Melayu?
Watak Raja dalam cerpen “Kita Sudah Gagal, Raja” (Rudra Avatara, 2008) menampilkan watak split personality yang langsung tidak menyedari penyakit mental yang dialaminya.
Faksyen itu berdasarkan kisah seorang penulis kaum India yang benar-benar wujud.
Dalam cerpen “Persubahatan Encik Limau” (Kisah dari Siru Kambam, 2013), ada watak Encik Limau yang juga digelar “Musang Berbulu Ayam” dan “Tokoh Lidah Bercabang” kerana demikianlah sikap dan peribadinya. Faksyen ini juga berdasarkan individu yang hidup.
Apabila saya berpeluang membaca dan meneliti sejumlah tulisan Ridhuan Tee di akhbar Sinar Harian, saya terpaksa mengakui bahawa dia juga sudah cukup syarat untuk diberikan kedua-dua gelaran di atas.
Ini bukanlah tuduhan atau fitnah tetapi “label” berdasarkan analisis karya/tulisan.
“Dia sebenarnya memeluk agama Islam dan menjadi orang Islam, atau sudah menjadi orang Melayu?”
Demikian tanya seorang rakan (guru) menerusi komen di Facebook. Beliau ternyata menyampah dengan sikap Ridhuan Tee yang menganggap dirinya “Melayu” apabila memeluk agama Islam.
Saya pernah menulis beberapa makalah yang secara khusus menyentuh Perkara 153 (Kedudukan Istimewa Orang Melayu) dan Perkara 160 (definisi “orang Melayu”) dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beberapa makalah pada 2013 turut menyentuh mengenai Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957, di mana wasiat itu turut menggariskan perkara berkaitan status agama Islam, tanah simpanan Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu.
Makalah “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013) dan “Kami Tidak Masuk Melayu” (The Malaysian Insider, 4 Mac 2013) misalnya membantu menjelaskan bahawa apabila seseorang memeluk agama Islam (atau mana-mana agama), kaum dan keturunannya tetap tidak berubah.
Sinar Harian terpaksa memohon maaf
Ridhuan Tee pula seolah-olah diberikan hak istimewa oleh kuasawan dan politikus.
Dia bagaikan sudah menjadi lebih Melayu daripada orang Melayu, serta sudah diberikan watikah lantikan rasmi untuk menghina kaum dan agama lain tanpa dikenakan apa-apa tindakan.
“Pernahkah kita bersungut ketika perayaan Thaipusam? Seminggu sebelum perayaan, seluruh kawasan sekitar Batu Caves sesak. Kenderaan diparkir sesuka hati. Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah tidak ada warna lain lagi di negara ini.
“Saya cadangkan agar PRU13 (Pilihan Raya Umum Ke-13), jika kita mahukan sangat orang India bertanding di kawasan majoriti Melayu, carilah kalangan India Muslim seperti Kimma dan MIM, tetapi bukan mereka yang bukan Islam.”
Demikian pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang berdepan tuduhan memplagiat tesis “menyalak” di Sinar Harian pada 18 Februari 2013 sehingga menyebabkan ramai orang Hindu membuat laporan polis terhadapnya.
“Saya mengakui saya melakukan kesilapan dan saya mohon maaf… Bagi pihak seluruh karyawan Sinar Harian saya mohon maaf atas keterlanjuran ini,” kata penasihat editorial akhbar itu, Datuk Abdul Jalil Ali di hadapan sekumpulan penunjuk perasaan yang berhimpun di pintu masuk Kumpulan Media Karangkraf pada 22 Februari 2013.
Amat menarik untuk diperhatikan bahawa Ridhuan Tee yang cukup kebal itu sebenarnya sedar orang India yang memeluk Islam masih kaum India. Tetapi, sebagai individu yang seolah-olah mengalami masalah psikologi, dia dikatakan menganggap dirinya menjadi Melayu apabila memeluk Islam.
Pandangan Ridhuan Tee ternyata berciri anti-dakwah dan memberikan gambaran amat negatif mengenai agama Islam yang suci dan umat Islam di Malaysia secara keseluruhan.
Seolah-olah dalam keghairahan mengangkat dirinya sebagai pejuang Agenda Melayu, Ketuanan Melayu dan Agenda Islam, dia terlupa akan ajaran sebenar Islam.
Mahu sehebat “penceramah palsu” dari Indonesia
Seperti yang saya nyatakan dalam kenyataan media bertarikh 24 Februari 2013, harapan saya adalah agar Ridhuan Tee berhenti daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kononnya mewakili “kita orang Melayu”.
Apatah lagi apabila kata-kata yang keluar daripada mulut dan mata penanya berbaur anasir ultra kiasu, rasis, fanatik dan berciri anti-dakwah.
Entah kenapa, tokoh ultra kiasu itu juga nyata membawa agenda anti-Kristian. Sikap buruknya semakin jelas selepas masyarakat pelbagai kaum, agama, keturunan, kepercayaan, etnik dan mazhab mula bersuara menyelar “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014.
Ridhuan Tee mungkin sedikit kecewa kerana seolah-olah tidak cukup kelayakan sebagai “pencetus kebencian” untuk diundang sebagai penceramah ke seminar anti-Kristian itu.
Sebaliknya “bekas paderi” palsu dan “bekas biarawati” palsu dari Indonesia dibawa oleh UiTM dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk menghina, memperlekeh dan memfitnah ajaran Kristian dan penganut Kristian.
Dalam satu tulisan di Sinar Harian (24 Februari 2014), Ridhuan Tee menceritakan kisah seorang pastor India dari Singapura yang dijemput menyampaikan syarahan di sebuah gereja di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
“Peliknya bagaimana pastor tersebut boleh memberi syarahan sedemikian rupa di sini, sedangkan beliau adalah warga Singapura?” soal lelaki ultra kiasu itu yang memilih untuk berdiam diri pula dalam soal “penceramah palsu” yang diundang ke UiTM dari Indonesia.
Sesungguhnya psikologi kebencian Ridhuan Tee terhadap segala yang berciri bukan Islam dan bukan Melayu seolah-olah amat jelas menerusi tulisannya di Utusan Malaysia dan Sinar Harian.
Malah, kemudian dibukukan pula supaya “agenda kebencian” itu boleh disebarkan secara lebih meluas, seolah-olah demi menjayakan “agenda politik” pihak tertentu.
“Memang menjadi perancangan Kristian untuk bina gereja terbesar di Asia.” Demikian katanya dalam tulisan di Sinar Harian pada 17 Oktober 2011. “Bagaimana populasi penduduk yang hanya 10% boleh membina sebuah gereja terbesar di Asia dalam sebuah negara Islam? Tidak cukupkah dengan pembinaan patung tertinggi di dunia di Batu Caves?”
Hubungan “benci tapi rindu” dengan Kristian
Dalam tulisan lain, katanya, tidak salah jika orang Islam menerima bantuan dan pertolongan daripada gereja dan orang Kristian.
Tetapi, tegasnya dengan penuh prejudis, perkara pokok adalah apakah agenda tersembunyi yang tersurat dan tersirat di sebalik bantuan tersebut.
“Kristian tahu jika sekadar berdakyah kepada yang bukan Kristian (bukan Melayu), impaknya tidak seberapa. Justeru, mahu tidak mahu mereka mesti berdakyah kepada orang Melayu yakni Peribumi, walaupun dilindungi Perlembagaan. Sokongan Melayu amat penting untuk mendapatkan Melayu yang lain,” katanya pada 31 Oktober 2011.
Nah! Ternyata seorang individu dengan minda yang bercelaru dan jiwa penuh kebencian seperti ini sesuai diundang menyampaikan ceramah anti-Kristian di UiTM.
Ridhuan Tee juga sering masuk campur “mewakili” orang Melayu dalam isu kalimah Allah semata-mata untuk menghina orang Bukan Islam.
“Saya amat hairan, kenapa Kristian di Semenanjung ini, yang rata-rata baru masuk Kristian, termasuk perempuan yang berada dalam parti ultra kiasu, begitu obses menggunakan kalimah Allah ini.
“Panggil semua bukan Islam yang begitu obses dengan kalimah Allah, suruh sebut Allah dengan betul. Saya yakin yang keluar adalah allaaa,” selar tokoh ultra kiasu itu dalam tulisan bertarikh 28 Oktober 2013 sambil mengakui: “Semakin ramai Melayu liberal hari ini.”
Pada 2 Mac 2014, Ridhuan Tee – tidak pasti split personality yang mana satu – mengatakan bahawa “tidak salah masuk gereja” sedangkan seminggu sebelum itu, dia mengutuk tindakan tersebut.
“Dahulu orang Melayu usahkan hendak masuk gereja atau kuil, lalu sahaja di luar pun kalau boleh, cuba elakkan… Kini, tidak lagi. Melayu tanpa segan silu masuk ke rumah ibadat orang bukan Islam demi kepentingan politik.
“Tidak mustahil satu hari nanti, mereka akan bersama-sama menimbang khinzir,” katanya menerusi Sinar Harian (24 Februari 2014) dan ditujukannya khas kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.
Ridhuan Tee perlu didakwah
Minda yang bercelaru, ketiadaan jati diri serta masalah psikologi dapat diperhatikan jika kita meluangkan masa meneliti kata-kata yang dirakamkan menerusi tulisannya setiap minggu di Sinar Harian.
Akhbar itu mengaku “menyunting artikel supaya lebih jelas dan ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca” selain menegaskan bahawa “semua pandangan yang dikemukakan adalah pendapat peribadi penulis.”
“Rumah ibadat di negara ini sudah tidak nampak macam negara Islam, tetapi sudah jadi negara bukan Islam, dengan lambakan kuil, tokong dan gereja yang melebihi berbanding surau dan masjid.” Demikian rungutan Ridhuan Tee pada 5 Mei 2014.
Kemudian, pada 19 Mei 2014, selepas UiTM sudah dibuktikan menganjurkan seminar anti-Kristian, lelaki tidak bermaruah itu berkata: “Sayangnya umat Islam tidak pergi ke gereja… Saya harap ada umat Islam yang boleh menyamar masuk ke gereja dan dengar apa yang dibincangkan.”
Demikian realiti pemikiran bercelaru Tokoh Ultra Kiasu yang dikatakan bakal menjadi legenda dalam kalangan orang Melayu di Semenanjung Malaysia; mengatasi ketokohan para pemimpin dalam Isma, Umno dan Perkasa. Pendirian saya masih sama: Ridhuan Tee perlu didakwah (Tamil Nesan, 25 Februari 2013).
Untuk rekod, apa-apa yang dicatatkan di sini tidak bermaksud untuk menuduh, melabel atau memfitnah Ridhuan Tee sebagai gila, menghidap penyakit mental dan seumpamanya.
Bukan juga untuk mengatakan minda bawah sedar tokoh pembodek ini masih “benci tetapi rindu” pada agama asal.
Sebaliknya sekadar membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami, simpati dan empati terhadap kecelaruan minda yang mungkin dialaminya berikutan kekurangan pelukan dan kasih-sayang daripada orang tersayang sejak meninggalkan ajaran Kristian. – 26 Mei, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments