Opinion

Mengenal Islam sebenar

Dalam konteks penduduk majmuk di Malaysia, pasti wujud interaksi antara masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, budaya dan latar belakang.

Memandangkan majoriti rakyat negara bertuah ini beragama Islam, maka secara rasional, rakyat bukan Islam dan bukan Melayu (kerana di Malaysia, Melayu adalah Islam, dan Islam adalah Melayu) berpeluang untuk mengambil tahu serta mempelajari pelbagai aspek berkaitan ajaran Islam.

Sistem pendidikan di negara kita juga memasukkan – malah “menyumbat” – pelbagai aspek berkaitan Islam dalam mata pelajaran sejak tadika.

Hukum berkhatan adalah wajib dalam mazhab Syafi’i. – Gambar The Malaysian Insider,  3 November, 2014.Hukum berkhatan adalah wajib dalam mazhab Syafi’i. – Gambar The Malaysian Insider, 3 November, 2014.Maka, sama ada mahu atau tidak mahu, rela atau tidak rela, tidak ada sesiapa yang “terlepas” peluang belajar tentang Islam.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya sendiri sejak kanak-kanak, timbul situasi di mana pelbagai persoalan, pertanyaan dan rasa ingin tahu yang dikemukakan kepada individu Islam kurang mendapat jawapan atau penjelasan yang sewajarnya dan memuaskan.

Sesungguhnya menjadi tanggungjawab setiap umat Islam (sebagaimana para ahli kitab) untuk berdakwah; menyampaikan nur Islam kepada semua orang.

Sama ada ajaran Islam diterima atau tidak oleh orang lain (ahli zimmah) bukan persoalan, kerana hidayah itu urusan Allah.

Namun, apabila maklumat asas berkaitan Islam gagal – atau kurang berjaya – disampaikan kepada orang bukan Islam yang bertanya, maka interaksi antara agama serta peluang dakwah menjadi sia-sia.

Lihat sahaja ruangan soal-jawab agama di kebanyakan akhbar dan majalah arus perdana serta ceramah agama. Rata-rata soalan adalah berkaitan hal remeh-temeh serta kisah di dalam kelambu.

Sekadar contoh: “Apa hukum jika isteri terminum air mani suami?” “Saya terlanjur dengan kekasih dan mahu bertaubat. Bolehkah?” “Apakah cara mengajar anak bersolat?”

Mujurlah masih ada beberapa pihak yang boleh dijadikan tempat rujukan bagi mendapatkan maklumat sebenar mengenai Islam, tanpa agenda politik perkauman dan manipulasi fakta, atau kisah di dalam kelambu semata-mata.

Cabaran untuk mengenali Islam yang sebenar menjadi lebih berat apabila kita terpaksa mendepani “usaha” puak seperti Ridhuan Tee Abdullah, Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menimbulkan prasangka antara kaum dan agama, serta manipulasi licik pihak tertentu mengapi-apikan unsur perkauman atas nama “Melayu” dan “Islam”.

Dalam keadaan seperti inilah juga saya sebagai seorang pengamal “multifaith” biasanya beralih kepada bahan bacaan – khususnya majalah dan buku – terbitan beberapa penerbit berwibawa yang saya yakini sepenuhnya tidak terbabas daripada nas Al-Quran dan Hadis.

Hal ini penting kerana jika kita tersilap langkah, apa yang disajikan dan dipaksakan kepada kita oleh pihak tertentu adalah “Islam versi Melayu” yang mungkin terbabas sedikit-sebanyak daripada Islam sebenar dan firman Allah.

Antara persoalan asas mengenai Islam yang menarik perhatian masyarakat bukan Islam, serta masih menjadi tanda tanya dalam kalangan orang bukan Islam (dan mungkin sekelompok orang Islam juga) adalah topik berkaitan haram, halal, makruh, sunat, harus, wajib, najis, arak, anjing, samak, mazhab, babi dan salam.

Kekeliruan konsep sunat, khatan di Malaysia

Salah sebuah buku yang saya jadikan rujukan adalah “Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim” (2009) tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir kerana kandungan serta kupasan yang dilakukan amat objektif, menyeluruh dan mudah diterima akal rasional.

Seperti diakui penulis, beberapa isu dikupas bukan hanya dari sudut mazhab Syafi’i tetapi juga dari sudut mazhab Maliki dan Hanafi dalam usaha “meluaskan kerangka syariah Islam yang memang luas”.

Saya mendapati buku ini sangat sesuai serta membantu masyarakat awam mendapatkan jawapan serta memahami pelbagai persoalan yang mungkin sahaja gagal diberikan penjelasan yang munasabah oleh rakan-rakan Islam dan puak etnosentrik.

Walaupun buku ini ditujukan kepada pembaca Islam (kerana ternyata ramai yang belum tahu jawapan bagi pelbagai persoalan asas berkaitan Islam), ia masih amat sesuai bagi orang bukan Islam.

Mari kita lihat beberapa perkara asas yang wajar diketahui supaya tidak akan tertipu atau terpedaya lagi dengan jawapan tidak tepat yang diberikan oleh mana-mana pihak yang sebenarnya kurang pengetahuan agama Islam, mungkin belum menerima hidayah atau sebenarnya munafik.

Bulu dan kulit babi haram digunakan mengikut mazhab Syafi’i tetapi dalam mazhab Maliki, kulit babi suci dan boleh digunakan selepas dicuci. Hukum mazhab Maliki adalah daging babi tidak boleh (haram) dimakan tapi kulitnya harus dimanfaatkan.

Untuk makluman, hukum “harus” merujuk kepada jaiz dalam Islam di mana sesuatu perkara boleh dilakukan dan boleh juga ditinggalkan, sama ada dibuat atau tidak tetap tidak berdosa.

Hukum “makruh” pula bermakna tidak berdosa jika melakukan sesuatu perkara, tetapi mendapat pahala jika ditinggalkan. Misalnya, makan bawang hukumnya makruh dalah Islam.

Satu lagi istilah yang lazim dalam kalangan orang Melayu adalah “sunat” di mana ia merujuk kepada perbuatan berkhatan, masuk jawi atau memotong kulup (kulit pada hujung kemaluan lelaki).

Antara buku yang sentiasa menjadi rujukan penulis. – Gambar The Malaysian Insider,  3 November, 2014.Antara buku yang sentiasa menjadi rujukan penulis. – Gambar The Malaysian Insider, 3 November, 2014.Penggunaan istilah di atas adalah dalam sudut pandang orang Melayu di Malaysia.

Dalam Islam, istilah yang betul dan paling tepat adalah “berkhatan”. Malangnya setiap kali “sunat” disebut, masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia ketara membayangkan “khatan”.

Dalam Islam, “sunat” merujuk kepada perbuatan yang mendatangkan pahala jika dilakukan tetapi tidak pula berdosa jika tidak dilakukan, misalnya puasa sunat dan sembahyang sunat.

Tentu akan ada pihak yang mencelah dengan hujah berkhatan hukumnya sunat, maka tidak salah jika disebut sebagai bersunat.

Realiti mazhab Syafi’i di Malaysia

Nah! Orang seperti itu sebenarnya tidak tahu hukum dalam mazhab Syafi’i yang menjadi “mazhab rasmi” di Malaysia.

Maka tentulah maklumat yang disampaikan oleh mereka amat bercelaru, separuh masak dan mungkin terkeluar daripada hukum sebenar.

Dalam kontroversi penganjuran acara “I want to touch a dog” baru-baru ini, ramai cerdik-pandai agama yang muncul “berfatwa” apa yang berlaku semasa acara itu bertentangan dengan mazhab Syafi’i, walaupun terbukti tidak menyalahi beberapa mazhab lain.

Seolah-olah Islam yang diamalkan dan ditonjolkan kepada orang ramai di Malaysia adalah “Islam pilih-pilih” sama seperti “Boikot pilih-pilih” yang dibuat terhadap produk Israel (khususnya McDonald’s) dari semasa ke semasa.

Maknanya, ada masanya kita di Malaysia memilih untuk 100% mengikut mazhab Syafi’i, tetapi ada kala memilih ajaran mazhab-mazhab lain mengikut kesesuaian, keselesaan dan keinginan pihak tertentu.

Sepertimana dihuraikan dalam buku “Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim”, pada pendapat Imam Syafi’i, berkhatan adalah wajib (mesti) bagi lelaki dan wanita.

Imam Malik dan Abu Hanifah pula berpandangan berkhatan bagi lelaki dan wanita hukumnya sunat (pahala jika dilakukan tetapi tidak berdosa jika ditinggalkan).

Secara logik mudah, memandangkan mazhab Syafi’i menjadi pegangan (termasuk dalam isu anjing), maka hukum berkhatan adalah “wajib” dan bukannya “sunat”.

Maka tidak wajar perbuatan itu dinamakan “bersunat” kerana sudah ada unsur mazhab-mazhab lain.

Benarkah ini ajaran Islam? Foto dari buku 'Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim'. – Gambar The Malaysian Insider,  3 November, 2014.Benarkah ini ajaran Islam? Foto dari buku 'Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim'. – Gambar The Malaysian Insider, 3 November, 2014.Dalam amalan di Malaysia, seperti kata Nidzam dalam bukunya: “Kalau sudah dewasa, tidaklah perlu dikhatankan lagi. Kalau hendak juga berkhatan, silakan.”

Amat jelas, dalam pada kita kononnya mahu berpegang teguh 100% pada mazhab Syafi’i berhubung soal memegang anjing, kita buat-buat lupa – “Melayu mudah lupa,” kata Tun Mahathir Mohamad – kita tidak berpandukan ajaran Imam Syafi’i dalam hukum berkhatan.

Bertanyalah kepada mana-mana orang Islam yang pernah pergi menunaikan fardu haji di Mekah. Mereka pasti “meninggalkan” mazhab Syafi’i sepanjang tempoh itu. Jika tidak, sampai kiamat mereka tidak akan mampu menyempurnakan ibadat haji.

Jangan terkhilaf dalam soal tukar nama mualaf

Satu lagi kebiasaan di Malaysia apabila seseorang masuk Islam maka dia akan menukar nama kepada sesuatu yang kedengaran Arab serta membuang terus nama bapa.

Sebenarnya tindakan itu bukan tuntutan Islam, kecuali jika nama asal individu terbabit membawa makna tidak elok atau tidak sesuai dengan Islam.

Ramai yang ternyata tidak tahu tidak wajib (mesti) menukar nama jika masuk Islam.

Dalam Surah al-Ahzab, Allah berfirman dan maksudnya: “Panggillah mereka bagi nama bapa-bapa mereka. Ia adalah lebih adil di sisi Allah.”

Maknanya, kalau sekalipun nama individu yang masuk Islam itu ditukar ke nama Arab (kerana nama asal tidak sesuai), nama bapanya perlu dikekalkan – walaupun jika nama si bapa yang tidak Islam itu kurang sesuai dalam konteks Islam.

Dalam buku “Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim” diberikan penjelasan yang ternyata tidak diketahui ramai orang Islam sendiri berhubung soal penukaran nama seorang mualaf.

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada Januari 1981 membuat keputusan, jika seorang mualaf mahu menggunakan nama Arab/Islam, maka perlulah diletakkan di depan dan diikuti nama asal. Contohnya, Ridhuan Tee Chuan Seng atau Ahmad Sinappan.

“Nama bapa yang non-Muslim hendaklah dikekalkan,” Nidzam yang berkelulusan dari Universiti al-Azhar menegaskan.

Contohnya, katakan nama asal seorang itu ialah Sinappan a/l Subramaniam. Nama “Subramaniam” adalah satu lagi nama Dewa Murugan dalam konteks Hindu, tetapi masih perlu dikekalkan apabila Sinappan masuk Islam.

Kalau mualaf tadi mahu juga menggunakan nama Arab/Islam dan lafaz “Abdullah” pada namanya, maka perlu ditambah pada hujung namanya sendiri, tanpa mengubah nama bapanya.

Contohnya, dalam ajaran sebenar Islam – termasuk mazhab Syafi’i yang menjadi pegangan utama di Malaysia – apabila Sinappan a/l Subramaniam masuk Islam, namanya bukan “Ahmad Sinappan bin Abdullah” tetapi “Ahmad Sinappan Abdullah a/l Subramaniam”.

Pelik, bukan? Bacalah buku-buku yang membuka minda seperti “Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim” supaya kita tidak terus terpedaya dengan dakyah kumpulan tertentu yang mengamalkan “Islam Pilih-Pilih” dan menyebarkan “Islam versi Melayu”.

Memandangkan Islam adalah “agama bagi Persekutuan Malaysia” (Perkara 3) maka tidak salah rakyat bukan Islam mengambil inisiatif mendapatkan maklumat sebenar dan tepat mengenai Islam; bukannya maklumat “separuh masak” yang disuapkan mana-mana pihak yang pengetahuan agamanya meragukan dan menghampiri munafik. – 3 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments