Opinion

Mengenali Muhammad

Dua buku yang sedang ditekuni untuk menambah ilmu.Dua buku yang sedang ditekuni untuk menambah ilmu.Satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad. Hakikat ini saya nyatakan dalam suatu kenyataan media bertarikh 24 Februari 2013.

Ia berikutan rasa kecewa dengan kenyataan yang dikemukakan oleh Ridhuan Tee Abdullah menerusi tulisan bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” (Sinar Harian, 18 Februari 2013).

Dalam tulisan berunsur perkauman dan etnosentrik itu, lelaki ultra kiasu berkenaan meneruskan agenda anti-dakwah dengan menghina agama Hindu dan penganut agama Hindu.

Sementara itu, kekaguman saya kepada Rasulullah bukanlah sesuatu yang baru. Saya menegaskan perkara sama dalam beberapa makalah sebelum dan selepas peristiwa itu.

Malah, berikutan pelbagai isu berbaur hasutan yang dilakukan Ridhuan Tee, Zulkifli Noordin, Ibrahim Ali, Hamidah Othman dan Ahmad Nawawi M Zin, saya menyarankan supaya mereka “ingat pesan Rasulullah” (The Malaysian Insider, 18 Julai 2013).

Seperti diriwayatkan Abu Daud, Nabi Muhammad pernah bersabda: “Berwaspada! Barang siapa yang menzalimi dan mengasari kelompok minoriti Bukan Islam, menyekat hak mereka, membebankan mereka dengan lebih daripada apa yang mampu mereka tanggung, atau merampas apa sahaja daripada mereka tanpa izin; maka aku akan mengadu terhadap orang itu pada Hari Pembalasan.”

Baginda bukan hanya pendakwah Islam. Sebaliknya juga ketua, pemimpin dan tokoh hebat yang wajar dikenali, diketahui dan dicontohi oleh semua orang tanpa mengira kaum dan agama.

Apatah lagi individu beragama Islam di negara ini yang menganggap diri mereka amat tahu, amat berkuasa dan amat berhak menentukan hala tuju serta masa depan orang ramai.

Gerakan anti-dakwah terancang

Nabi Muhammad yang juga dikenali dengan nama Ahmad, al-Mahi, al-Hasyir, al-Amin, al-Muqaffa’ dan al-Aqib amat sesuai – malah wajib – dijadikan contoh, panduan dan pedoman para pemimpin beragama Islam.

Saya secara peribadi suka membaca buku-buku berkaitan (antara lain) Nabi Muhammad, Mahatma Gandhi, Guru Nanak, Siddharta Gautama Buddha dan Jesus (Nabi Isa) untuk belajar menjadi insan yang lebih baik.

Anehnya, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) ternyata memiliki pemikiran yang terlalu sempit dan beranggapan hanya orang Islam berhak dan patut kagum pada kehebatan Rasulullah.

Satu-satunya perkara yang termampu difikirkan oleh otak kecil setiausaha biro politiknya, Hazizi Ab Rahman adalah: “Beliau (Uthaya) mengatakan satu-satunya pemimpin Islam yang paling dikagumi ialah Nabi Muhammad SAW, kenapa tidak sahaja memeluk Islam?” (IsmaWeb, 19 Julai 2013).

Mujurlah saya cukup waras dan berfikiran rasional untuk tetap terus-menerus mengagumi nabi berkenaan tanpa perlu berdepan dengan “trauma” dan “dilema” kononnya setiap orang yang kagum terhadap Baginda wajib meninggalkan agama asal dan terus memeluk agama Islam.

Dalam hal ini, saya teringat akan kata-kata Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi selaku pengarang buku “Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi & Pengurusan Kekasih Allah” (2013).

Menurut beliau, “hanya kesombongan serta kebodohan diri sahaja yang menghalang manusia daripada melihat Baginda sebagai idola piramid kehidupan, dari sekecil-kecil mengurus diri dan hati kepada perkara berkaitan harta juga negara”.Bakat pengurusan dan pentadbiran Rasulullah dihuraikan dalam buku ini.Bakat pengurusan dan pentadbiran Rasulullah dihuraikan dalam buku ini.

Buku berkenaan yang saya beli pada 31 Mei 2013 di Pesta Buku Selangor mengkhususkan kepada topik mengenai bakat pengurusan dan pentadbiran yang dimiliki Rasulullah.

Perlu diakui segala teknik pengurusan yang Baginda gunakan pada zaman dahulu masih sesuai dipraktikkan pada masa sekarang; bukan hanya oleh orang Islam tetapi oleh sesiapa sahaja.

Bukan sekadar lulus peperiksaan

Ketokohan dan kehebatan Nabi Muhammad turut diperkatakan dalam buku seperti “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History” (2001), “Life of Mohamet” (1889), “Mohamet and Islam” (1895) dan “Mohammad at Mecca” (1953).

Mungkin puak etnosentrik, fanatik, ultra kiasu, rasis dan pelampau tidak pernah berpeluang membaca buku-buku berkenaan, lalu menganggap hanya orang beragama Islam berhak untuk kagum pada kehebatan Nabi Muhammad.

Apabila pergi ke jualan buku The Big Bad Wolf di The Mines pada 5 Disember 2014, saya turut menemui dan terus membeli buku kecil berjudul “Siapa Muhammad Bin Abdullah” (2009).

Semasa berada di Tingkatan Enam (lama dahulu), saya memang banyak belajar mengenai Sejarah Islam dan Nabi Muhammad. Khabarnya pelajar masa kini wajib belajar (baca: hafaz) lebih banyak mengenai Islam.

Bagaimanapun, sistem pendidikan negara yang hanya berorientasikan peperiksaan dari Tadika hingga universiti tidak menyediakan ruang sepenuhnya kepada pelajar mendalami ilmu di luar batas tuntutan peperiksaan.

Semasa di alam persekolahan, saya tidak cukup berkemampuan membeli buku bacaan tambahan. Mujurlah saya masih berpeluang meminjam puluhan buku dari perpustakaan sekolah untuk menambah ilmu dan meningkatkan pengetahuan mengenai pelabagai tamadun, budaya dan agama.

Amalan itu masih saya teruskan sehingga kini dalam keadaan sudah mampu membeli buku untuk dijadikan koleksi peribadi dan rujukan dari semasa ke semasa.

Menerusi buku kecil yang baru dibeli, saya berpeluang mengimbas kembali latar belakang dan kisah hidup Nabi Muhammad dan keluarga Baginda yang memang menarik dan sesuai dijadikan panduan.

Kisah Nabi Muhammad di Mekah turut memuatkan peristiwa menerima wahyu pertama di Gua Hira ketika Baginda berusia 40 tahun; penderitaan di Lembah Abu Talib; peristiwa Israk Mikraj semasa berumur 51 tahun; perintah solat lima waktu; dan kisah melepaskan diri daripada kepungan musuh.

Muhammad untuk semua

Pelbagai peristiwa penting juga berlaku selepas Nabi Muhammad berpindah ke Madinah. Misalnya perintah Allah supaya kiblat diubah daripada menghadap Baitulmaqdis kepada Kaabah; bermulanya ibadat berpuasa pada bulan Ramadan; dan pengharaman arak.

Sepuluh tahun selepas berpindah ke Madinah, Nabi Muhammad bersama-sama 144 ribu orang Islam pergi ke Mekah (tempat kelahiran Baginda) untuk menunaikan ibadat haji.

Selama 25 tahun dan 5 hari Nabi Muhammad menyampaikan ajaran Islam, banyak yang boleh dipelajari; termasuk daripada percakapan dan amalan Baginda – hadis dan sunah.

Satu lagi buku yang saya senangi adalah “Selembut Hati Rasulullah” (2013) iaitu terjemahan karya Miftahul Asror Malik. Buku ini menghimpunkan 102 kisah keperibadian Rasulullah dan para sahabat untuk dijadikan panduan dan teladan pembaca.

Pada penelitian saya, kandungan kesemua buku ini bukan hanya bagi pembaca beragama Islam. Sebaliknya, amat sesuai bagi khalayak pelbagai kaum dan agama, seperti di negara kita.

Tambahan pula, agama Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan Malaysia, serta topik berkaitan Islam dan nilai-nilai Islam ada di mana-mana.

Kaum minoriti juga wajar memperkasakan diri dengan ilmu agama Islam supaya tidak mudah diperkotak-katikkan sesiapa.

Kita sedar bahawa memang terdapat pelbagai larangan dikenakan kepada orang Bukan Islam dengan alasan “memelihara kesucian Islam”. Misalnya, melarang penggunaan frasa/perkataan tertentu oleh orang Bukan Islam di negeri-negeri tertentu.

Kalaulah ditakdirkan tiba-tiba ada pula “fatwa” (pandangan) pihak tertentu melarang orang Bukan Islam membaca buku-buku berkaitan Islam dan Nabi Muhammad, maka saya terpaksa meneruskan minat saya secara “haram”. – 8 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments