Walaupun saya secara penuh sedar – dan penuh syukur – memilih untuk menulis menggunakan Bahasa Malaysia, saya tidak ketinggalan mengikuti perkembangan bidang penulisan Bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin di Malaysia.
Saya percaya bahawa saya amat bertuah kerana mampu hidup, bernafas serta mewarnai beberapa “dunia” sastera tempatan. Pergaulan saya juga merentas sempadan kaum, bahasa dan bidang penulisan.
Malah, pernah wartawan sebuah akhbar arus perdana datang mewawancara saya dengan andaian bahawa saya fasih membaca dan menulis Mandarin! (Akhirnya laporan wartawan itu disiarkan dengan judul “Uthaya Sankar SB Tidak Tahu Berbahasa Mandarin” pada 3 Julai 2007.)
Semasa membentangkan kertas kerja mengenai Sasterawan Kavyan (penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia) di World Tamil Writers Conference di Singapura pada Oktober 2011, saya menggunakan Bahasa Tamil.
Saya pernah diundang menulis rencana khas mengenai sejarah dan perkembangan cerpen Tamil di Malaysia untuk siaran akhbar New Straits Times. Selepas tulisan saya bertajuk “What Tamil Writers?” tersiar pada 11 Februari 2004, muncul reaksi yang pelbagai.
Walaupun saya bukan penulis Tamil – malah bukan juga individu keturunan Tamil – saya tetap mengikuti perkembangan sastera Tamil di Malaysia menerusi pelbagai sumber.
Bidang penulisan karya kreatif Bahasa Tamil di Malaysia bermula dengan novel Karunakaran Allathu Katalin Matchi (Karunakaran atau Kesucian Cinta) pada tahun 1917. Manakala antologi cerpen pertama muncul pada tahun 1930.
Genre cerpen Tamil terus berkembang pesat mulai tahun 1950-an. Pemangkin utama dalam perkembangan ini sejak dahulu adalah kelahiran akhbar dan majalah; antaranya Tamil Nesan, Tamil Celvan, Tamil Kodi dan Tamil Murasu.
Walaupun pada mulanya tema dan persoalan penulis Tamil di Malaysia/Malaya tertumpu pada hal-hal di Sri Lanka dan India, khususnya Tamil Nadu, mulai pertengahan tahun 1940-an, sudah nampak perubahan ke arah yang positif.
Karya-karya sastera Tamil sudah semakin bercirikan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Antara cerpen yang wajar disebutkan adalah “Onril Munru” (Tiga dalam Satu), “Pukkari Punita” (Punita Penjual Bunga), “Cinakkilavan” (Lelaki Tua Cina), “Kuranku Antu Palan” (Kebaikan Tahun Monyet) dan “Pavamuttai” (Bebanan Dosa).
Segala maklumat lanjut berhubung hal ini terkandung dalam buku Cerpen Tamil dan Melayu (1957-1970): Perbandingan Tema dan Struktur (1993) tulisan Dr Krishanan Maniam.
Cerpen terjemahan Tamil “ditolak” puak tertentu
Di samping menghasilkan cerpen Bahasa Tamil, beberapa penulis yang memiliki penguasaan bahasa yang baik turut terlibat dalam usaha menterjemahkan cerpen Bahasa Malaysia ke Bahasa Tamil.
Cerpen-cerpen terjemahan itu tersiar dalam akhbar dan majalah Tamil sejak tahun 1950-an lagi. Jadi, apa yang jelas adalah bahawa pembaca kaum India yang menguasai Bahasa Tamil berupaya menghayati karya penulis-penulis Melayu yang diterjemahkan ke Bahasa Tamil.
Beberapa cerpen saya juga sesekali diterjemahkan ke Bahasa Tamil dan disiarkan di media Tamil. Sebaliknya agak mengecewakan kerana cerpen Bahasa Tamil kurang diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.
Majalah Dewan Sastera misalnya menyiarkan terjemahan cerpen-cerpen luar negara. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri menerbitkan antologi cerpen dan novel terjemahan dari India.
Akan tetapi, agak mengecewakan kerana cerpen yang ditulis oleh penulis Tamil di Malaysia kurang diberikan perhatian. Usaha terjemahan seperti ini adalah penting bagi membolehkan kita menghayati hasil kesusasteraan, kebudayaan dan permasalahan hidup masyarakat pelbagai kaum yang mana kita sendiri menjadi sebahagian daripadanya.
Atas inisiatif dan usaha Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), sebuah cerpen Tamil berjaya diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dan disiarkan di majalah Dewan Sastera pada Julai 2012.
Bagaimanapun, amat mengecewakan kerana usaha itu tidak dapat diteruskan kerana terdapat kritikan hebat dan bantahan daripada pihak tertentu yang menyebarkan fitnah kononnya cerpen-cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil yang dihasilkan oleh pengarang kaum India di Malaysia mempunyai motif menyebarkan agama Hindu.
Kekurangan usaha terjemahan (selain tuduhan dan fitnah puak tertentu) menyebabkan masyarakat Malaysia khasnya dan masyarakat Nusantara amnya tidak mengenali penulis Tamil di Nusantara.
Sebaliknya kita lebih mengenali penulis India di Benua Kecil India, Amerika Syarikat serta Eropah. Hal ini kerana mereka menulis dalam Bahasa Inggeris atau karya mereka diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.
Pada masa ini, kehadiran beberapa penulis kaum India yang menghasilkan cerpen Bahasa Malaysia – Sasterawan Kavyan – sekurang-kurangnya dapat mengisi tuntutan yang disebutkan tadi.
Hanya sebuah antologi sehingga kini
Malangnya, pengarang seperti Saroja Theavy Balakrishnan dan M. Mahendran yang mampu menghasilkan karya Bahasa Malaysia bagi menampilkan permasalahan hidup masyarakat India di Malaysia dalam karya mereka sudah semakin jarang berkarya.
Untuk rekod, majalah Dewan Sastera keluaran Mei 1997 buat julung kali dalam sejarah sastera Malaysia telah membuat fokus tentang penulis kaum India di Malaysia; sama ada menghasilkan karya Bahasa Malaysia atau Tamil.
Usaha itu saya lihat sebagai langkah yang wajar dalam memperkenalkan kelompok penulis kaum India kepada khalayak. Malangnya, inisiatif seperti itu sudah semakin jarang. Apatah lagi ada puak yang amat prejudis terhadap karya penulis kaum India.
Di samping menggalakkan penghasilan karya Bahasa Malaysia, adalah wajar sekiranya karya sastera Bahasa Tamil diterjemahkan ke Bahasa Malaysia. Tambahan pula, tidak semua penulis Tamil yang boleh menghasilkan karya Bahasa Malaysia.
Walaupun Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia dilaporkan sebagai pernah “menjalinkan hubungan yang erat dengan persatuan penulis Melayu dan Cina serta dengan Dewan Bahasa dan Pustaka”, tetapi sehingga ke saat makalah ini ditulis, tidak ada usaha bersungguh-sungguh dan menyeluruh dalam menterjemahkan dan menerbitkan antologi cerpen penulis Tamil di Malaysia.
Dalam hal ini, tidak dapat tidak, usaha M. Balachandran menterjemahkan sebanyak 12 buah cerpen bagi antologi Seruling Di Persimpangan (1999) harus dipuji. Saya ada menyebut tentang perkara ini pada acara “Apresiasi Sastera Kaum India” anjuran Kavyan dan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor di Morib, Selangor pada 17 Januari 2004.
Cerpen-cerpen yang terkumpul dalam antologi Seruling Di Persimpangan mengemukakan persoalan yang pelbagai. Dari segi teknik penulisan, perlu diakui bahawa hampir kesemua cerpen dalam antologi itu memaparkan teknik penceritaan yang bersifat konvensional.
Penulis ketara campur tangan dalam “menceritakan” (telling) kepada pembaca apa yang berlaku. Begitu juga dalam beberapa cerpen, penulis ketara bercerita secara meleret-leret tentang hal-hal yang tidak membantu ke arah perkembangan cerita.
Penceritaan yang meleret-leret ini telah saya sunting semasa mengedit manuskrip versi Bahasa Malaysia semata-mata bagi menjadikan cerpen-cerpen berkenaan lebih padat dan lancar dari segi isi dan bentuk.
Saya berharap antologi kedua yang sedang diusahakan akan mampu menyajikan karya terjemahan yang lebih bermutu dan lebih membanggakan. - 30 September, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments