Opinion

MLM dan skim piramid

Perniagaan langsung atau multi level marketing (MLM) berbentuk skim piramid nampaknya masih berleluasa dan masih ramai yang menjadi mangsa.

Syarikat-syarikat tertentu juga menggunakan pelbagai taktik untuk memanipulasi orang; sama ada pelanggan atau pekerja.

Baru-baru ini, saya dihubungi seorang mangsa yang mahu bertemu dan berkongsi pengalaman sebagai pengajaran dan panduan kepada orang ramai.

Steven (bukan nama sebenar) berasal dari Sarawak dan kini tinggal di Kuala Lumpur.

Pada pertengahan Mac 2015, Steven menerima panggilan telefon untuk mengundangnya menghadiri temuduga.

Memandangkan dia tidak diberitahu nama syarikat, Steven langsung tidak mampu membuat persiapan yang rapi.

Niat bertukar kerja untuk mendapatkan pengalaman yang baharu dan gaji yang lebih lumayan membuatkannya berminat untuk mencuba nasib.

“Pukul 10.00 pagi, saya sudah tercegat di depan pejabat tersebut di KL Sentral. Saya disapa dengan sungguh sopan dan kelihatan beberapa calon sudah mula menanti untuk ditemuduga.

“Sementara duduk menanti giliran, saya ternampak logo syarikat dan nama syarikat terpampang besar di dinding. Rata-rata staf yang terdiri daripada orang tempatan dan asing di situ sangat mesra dan sungguh segak menggayakan pakaian kot,” pemuda itu menceritakan.

Apabila sampai gilirannya, Steven dijemput oleh penemuduga sendiri masuk ke bilik temuduga. Steven agak kagum kerana biasanya kita yang akan masuk dan berhadapan dengan penemuduga.

Syarikat licik mencari mangsa

Steven ditanya beberapa soalan biasa dan akhir sekali dia ditanya adakah dia berminat bekerja dalam bidang pengurusan.

“Saya menghadiri temuduga untuk jawatan management trainee, maka saya mengatakan saya berminat dalam bidang tersebut. Sebab jawapan minat, saya dijemput untuk temuduga kedua pada hari yang sama, bersama-sama dengan seorang lagi gadis Kadazan yang berasal dari Sabah.

“Daripada begitu ramai calon yang datang, cuma kami berdua yang terpilih. Kami dibawa menonton video tentang kejayaan pekerja-pekerja di situ, dibawa melawat seluruh syarikat, sebelum dibawa ke restoran berdekatan untuk minum,” Steven mengimbas pengalamannya.

Akhirnya, Steven dan Dolly (bukan nama sebenar) diterima untuk bekerja setelah melengkapkan borang pernilaian terakhir.

Steven mengaku agak hairan kerana skop pekerjaan mereka berdua adalah menjual produk internet di tepi-tepi jalan atau di pasar raya terpilih.

“Kami khabarnya akan dilatih oleh seorang jurulatih yang akan menjaga kami. Kami juga tidak ditawarkan gaji pokok, tiada liputan insurans, tiada tuntutan perubatan, tiada KWSP, tiada Perkeso dan tiada slip gaji.

“Bayangkan jika pada satu hari kami tiada jualan, maka kami telah kerja percuma tanpa gaji. Bayangkan jika kami ditimpa kemalangan siapakah yang akan membayar kos perubatan? Saya mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena,” Steven menceritakan.

Apabila pulang ke rumah pada hari berkenaan, Steven segera mencari maklumat mengenai syarikat bertaraf antarabangsa itu di internet.

Hasilnya, dia mendapati syarikat berkenaan mempunyai reputasi yang menakutkan bukan hanya di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

“Patutllah saya tidak diberitahu nama syarikat semasa dijemput untuk temuduga. Mungkin mereka takut kita akan google dan baca semua reputasi buruk itu,” kata Steven dengan marah.

Reputasi buruk di seluruh dunia

Saya turut melakukan sedikit pencarian di internet menggunakan nama syarikat yang dinyatakan oleh Steven.

Ramai mangsa terdahulu yang tampil menceritakan pengalaman mereka menerusi catatan di blog. Beberapa mangsa turut menceritakan secara terperinci bagaimana syarikat itu beroperasi.

Amat jelas syarikat berkenaan (nama dirahsiakan) mengamalkan skim piramid dan mengambil peluang ke atas graduan muda dan orang yang terdesak untuk bekerja.

Menurut Steven, selepas membaca catatan beberapa mangsa di blog, dia  bertanyakan beberapa soalan kepada salah seorang jurulatih melalui mesej Facebook.

“Anehnya, jawapan yang diberikan tetap berkisar kepada standard operation prosedur (SOP). Mereka memberikan alasan, sememangnya jualan secara bersemuka tidak salah dan syarikat mereka juga berdaftar secara sah,” Steven mengulas.

Akan tetapi, cara perlaksanaan SOP tersebut agak licik dan segalanya dihuraikan dalam beberapa blog yang turut menjadi rujukan sebelum menulis makalah ini.

Didedahkan bagaimana syarikat itu mendapat untung, bagaimana mereka beroperasi, dan bagaimana mereka mempengaruhi pekerja mereka pada setiap pagi sebelum keluar menjual produk internet di tepi jalan.

Selain catatan di beberapa blog oleh mangsa-mangsa dari Malaysia, hasil carian internet juga menemukan pelbagai maklumat dan sumber dari luar negara.

Ternyata syarikat berkenaan mempunyai reputasi buruk di seluruh dunia. Anehnya, entah bagaimana ia dapat terus beroperasi dengan penuh licik tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Steven mengaku dia hampir terpengaruh untuk menjawat jawatan management trainee yang menjual barangan di tepi jalan disebabkan personaliti staf yang ramah dan berkot.

Bukan penipuan yang baru bermula

Pekerja turut dijanjikan peluang melancong serta bonus. Strategi pemasaran dan cara mereka menarik perhatian orang ramai (pekerja) memang amat hebat.

Maka, tidak hairanlah ramai yang terpedaya dan tertipu dengan gambaran maha hebat yang diberikan.

Bagaimanapun, sebagaimana diakui Steven dan Dolly, segala apa yang dijanjikan hanya indah khabar dari rupa.

Malah, hasil pencarian di internet menunjukkan banyak syarikat yang menjalankan perniagaan skim piramid mengiklankan jawatan “management trainee” dan “sales and marketing executive”, dan rata-rata menyatakan pemohon tidak perlu ada sebarang pengalaman kerja kerana latihan akan diberikan. Ganjaran yang dijanjikan pula amat lumayan dan pasti menggoda golongan muda-mudi dan graduan baharu.

Sebenarnya, iklan seperti ini bukan sesuatu yang baru. Pada tahun 1990-an, saya mengenali ramai graduan universiti tempatan yang turut menjadi mangsa iklan sedemikian di akhbar tempatan.

Ramai yang mudah menjadi mangsa kerana syarikat-syarikat MLM dan skim piramid turut mengiklankan jawatan berkenaan di laman mencari pekerjaan terkemuka selain akhbar arus perdana.

Steven dan Dolly bertindak bijak dan nekad supaya tidak terus kekal bersama syarikat berkenaan. Mereka sedar terdapat terlalu banyak penyelewengan, manipulasi, penipuan dan tipu-muslihat dalam pekerjaan yang ditawarkan.

“Saya tampil berkongsi pengalaman ini supaya menjadi pedoman kepada orang ramai, khususnya graduan muda,” kata Steven.

Akan tetapi, entah berapa ramai yang menjadi mangsa terbaru skim priramid dan MLM semasa anda meluangkan masa membaca makalah ini. – 25 Mac, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments