Sementara penggiat budaya, seni dan sastera di Malaysia sibuk mengeluh kerana pihak itu dan pihak ini tidak melakukan apa-apa untuk mengangkat martabat lagu rakyat dan puisi tradisional Melayu, rakan-rakan di Indonesia sudah mengorak langkah mengantarabangsakan khazanah bangsa mereka.
Demikianlah kesan yang saya terima apabila mengikuti perbincangan beberapa tokoh dalam forum “Puisi dan Lagu Rakyat Nusantara ke Persada Dunia” di Pulau Pangkor pada 12 Disember 2014.
Walaupun Asrizal Nur selaku ketua Yayasan Panggung Melayu hanya dipanggil naik ke pentas pada saat akhir sebagai bidun terjun, saya kagum dengan pelbagai hujah bernas yang beliau kongsikan menepati tajuk forum.
Terdahulu, Datuk Dr Zurinah Hassan dari Universiti Malaya menjelaskan makna “lagu rakyat” serta peranannya sebagai media sosialisasi yang mengangkat unsur-unsur setempat dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman.
Pada masa kini, lagu rakyat atau lagu-lagu tradisional sudah dijadikan persembahan pentas, dirakam dalam bentuk cakera padat (CD) dan MP3 serta dimuat naik ke YouTube bagi menyebarkannya kepada orang ramai.
Sri Diah, novelis terkenal daripada Kumpulan Media Karangkraf memperkatakan betapa perlunya lagu rakyat dikekalkan dan didokumentasi sebagai khazanah serta pusaka bangsa.
“Jangan sampai khazanah kita orang Melayu hilang atau diambil serta diakui sebagai milik pihak lain,” katanya sambil merujuk kepada beberapa kes pertikaian melibatkan Malaysia dan Indonesia.
Sebagai usaha mendidik, mengajar dan membimbing generasi muda supaya mengenali lagu rakyat, beliau menyarankan penggunaan teknologi moden dan media sosial secara bijak dan berkesan.
Beberapa peserta juga berkongsi pandangan, pengalaman, keluhan, rintihan dan kritikan berhubung topik yang dibincangkan. Misalnya seorang peserta wanita kaum India menegaskan betapa keunikan khazanah orang Melayu perlu diantarabangsakan. Katanya, dia sedih melihat puisi tradisional Melayu terpinggir.
Kerajaan, duta gagal jalankan tugas
Beberapa peserta turut menyelar hakikat generasi muda kaum Melayu tidak lagi mengenali puisi-puisi tradisional seperti pantun, ratib, seloka, gurindam, mantera, syair, nazam dan lagu rakyat.
“Kini keadaan sudah kronik. Sudah tiba masa untuk bertindak,” kata Sri Diah yang ternyata prihatin dan amat risau serta sedih mengenangkan masa depan khazanah puisi tradisional Melayu yang pada pandangannya semakin terpinggir akibat populariti lagu dan muzik moden dari luar.
Antara saranan yang dikemukakan oleh panel menerusi forum ini adalah supaya puisi tradisional Melayu digunakan pada majlis-majlis rasmi di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Ramai peserta yang melahirkan kegusaran kerana kerajaan, kementerian dan jabatan kerajaan sendiri lebih banyak menampilkan muzik “luar” berbanding lagu-lagu rakyat dan puisi tradisional dalam majlis/acara yang dianjurkan.
Duta Malaysia di negara-negara luar pula dikatakan gagal menjalankan tugas memperkenalkan khazanah puisi tradisional Melayu kepada khalayak di sana, sedangkan perkara itu termasuk dalam bidang tugas rasmi mereka. Saya hanya mengetahui hal ini apabila disebutkan oleh Sri Diah.
Seorang peserta dan penulis sepenuh masa, Raja Yusof Ariffin, bertanya apakah golongan penyanyi jalanan (buskers) boleh dianggap sebagai golongan yang turut membantu mengangkat serta memasyarakatkan lagu rakyat dan lagu puisi.
Beberapa tokoh veteran yang mengulas pertanyaan itu membuat kesimpulan buskers hanya umpama peminta sedekah di tepi jalan. Maknanya, darjat dan kedudukan mereka tidak seperti “aktivis seni” yang berjuang memartabatkan dan memasyarakatkan puisi Melayu tradisional.
Sekiranya diperhatikan, ramai yang tampil “menuduh” generasi muda tidak prihatin dan tidak ambil tahu mengenai lagu rakyat dan puisi Melayu tradisional. Saya ternanti-nanti juga untuk mendengar apa yang mereka lakukan untuk mengatasi serta menangani masalah itu. Tiada.
Seorang panel dan seorang peserta veteran mengakui kini memang ada beberapa penulis yang menerbitkan buku gurindam. Akan tetapi, kata mereka, gurindam yang dihasilkan orang seperti Mohd Sidek Dollah (Mas Adiki) tidak mengekalkan falsafah, ciri-ciri dan keunikan puisi tradisional Melayu yang sedang mereka cuba pertahankan.
Sebagai penggiat sastera yang berada di luar bidang “puisi Melayu tradisional” tentulah saya tidak mahu masuk campur dalam urusan rumah tangga orang.
Sebaliknya saya sekadar mencatatkan pandangan dan komentar berdasarkan apa-apa yang berlaku semasa Pesta Puisi dan Lagu Rakyat (Pulara) di Pulau Pangkor.
Inovasi, improvisasi di Indonesia
Hampir sejam forum berlangsung dipenuhi keluh-kesah, rungutan dan menyalahkan “orang lain” kerana tidak melakukan apa-apa bagi mengangkat martabat khazanah puisi tradisional dan lagu rakyat.
Saya terus menanti-nanti untuk mendengar bahagian kedua tajuk forum iaitu mengenai usaha mengangkat segala khazanah itu “ke persada dunia”.
Pada waktu itulah – mujur – Asrizal diundang menyertai panel di pentas. Penyair dan aktivis ini lahir di Pekanbaru, Sumatra pada tahun 1969 dan kini tinggal di Depok, Jawa Barat.
“Orang lain bercakap; saya pula melakukan apa yang perlu untuk mengembangkan puisi tradisional dan lagu rakyat,” katanya dengan penuh yakin tanpa bermegah diri.
Mendengar kata-kata Asrizal, saya kembali bersemangat dan yakin bahawa masih ada harapan untuk mendapatkan ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh saya sendiri serta wajar saya kongsikan kepada orang ramai menerui makalah ini.
Dengan mengambil contoh pengalaman Yayasan Panggung Melayu yang diketuainya, Asrizal menghuraikan bagaimana puisi tradisional Melayu (Indonesia) berjaya diangkat dan dimasyarakatkan dengan memanipulasi serta memanfaatkan perkembangan teknologi.
Sekadar contoh, sebuah persembahan karya tradisional boleh menggunakan sepenuhnya alat bantu moden seperti penataan cahaya, audio-visual dan teknik pementasan serba canggih; tanpa sedikit pun mengurangkan nilai kandungan tradisional yang mahu ditonjolkan.
Pelbagai improvisasi dilakukan oleh penggiat sesi dan sastera di Indonesia dengan menarik masuk golongan muda bagi sama-sama mengangkat, memertabatkan dan memperkaya khazanah tradisional. Golongan muda itu datang daripada pelbagai latar belakang dan bidang kepakaran.
Malah kerja-kerja dakwah dan aktiviti keagamaan di Indonesia juga memanfaatkan perkembangan teknologi persembahan pentas. Misalnya seminar ESQ yang diasaskan di Indonesia dan turut mendapat sambutan hangat di Malaysia.
Saya berpeluang menghadirinya dua kali. Penggunaan teknologi audio-visual dan seni grafik memang hebat, tanpa menghilangkan motif asal.
Jangan hanya pandai menuding jari
Untuk berlaku adil, segala permasalahan, rungutan, keluhan, kritikan dan kekurangan yang diluahkan oleh panelis dari Malaysia dan peserta Pulara pada 12 Disember 2014 bukan setakat mewakili pandangan mereka.
Sebaliknya mewakili realiti dalam kalangan rata-rata penggiat seni dan sastera di negara bertuah ini.
Kita lebih banyak membazir masa mengutuk dan mengkritik generasi muda kerana tidak mencintai khazanah tradisi Melayu.
Kita terasa seronok apabila pengkaji dan peminat dari luar negara (Barat) meminati, menghayati dan mampu mempersembahkan puisi tradisional dan lagu rakyat.
Pada masa sama, kita bimbang orang luar akan “mencuri” khazanah milik nenek moyang kita.
Kita mengaku diri kita peminat, pejuang dan aktivis bahasa, sastera dan seni tradisional. Akan tetapi, kita hanya sibuk menyarankan dan menggesa kerajaan negeri dan kerajaan pusat menggubal akta dan peraturan mewajibkan jabatan, kementerian dan swasta mewajibkan pembacaan puisi rakyat pada setiap acara.
Kita mahu mengadakan seminar demi seminar, forum demi forum dan konvensyen demi konvensyen; lalu mengemukakan resolusi demi resolusi kepada politikus dan kuasawan yang nampak gayanya seolah-olah meminta pembantu di pejabat membuang sahaja segala kertas yang diterima.
“Orang lain bercakap; saya pula melakukan apa yang perlu untuk mengembangkan puisi tradisional dan lagu rakyat.” Kata-kata itu terus bergema dalam minda selepas sesi forum berakhir.
Nah! Berhentilah merengek, menuding jari dan menyalahkan orang itu dan orang ini kerana kononnya orang itu dan orang ini gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.
Sesungguhnya saya sendiri dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan acara bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya perlu bermuhasabah diri dan menghayati kata-kata Asrizal sambil mencermin diri dengan penuh keinsafan.
Semoga generasi akan datang sudi memaafkan kejahilan, kesilapan dan kekhilafan kita selama ini kerana hanya pandai menyalahkan orang lain sementara kita hanya berpeluk tubuh. – 15 Disember, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments