Kemunculan semula watak Hang Tuah dan Hang Jebat dalam fiksyen moden Melayu bukan sesuatu yang pelik dan menghairankan.
Kedua watak daripada Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu itu sering dijadikan inspirasi oleh penulis, khususnya pengarang Melayu, untuk melonjakkan semula semangat perjuangan kaum Melayu.
Akan tetapi, agak menarik apabila watak Munsyi Abdullah turut dimunculkan bersama Hang Tuah dan Hang Jebat dalam novel satira Amuk Malam Merdeka (2015) oleh Ronasina.
Sebagaimana realiti penulisan Munsyi Abdullah menerusi Kisah Pelayaran Abdullah (1838) dan Hikayat Abdullah (1849), kehadiran watak fiksyen itu dalam novel Ronasina dengan nama timangan Dollah juga sebagai insan yang berani mengkritik orang Melayu.
Abdullah bin Abdul Kadir lahir di Melaka pada 1796. Semasa mengulang baca Hikayat Abdullah (2004), saya terkenang akan pengalaman membaca mengenai zaman kanak-kanak tokoh bahasa itu dalam buku teks Sejarah Tingkatan Satu pada tahun 1980-an.
Pada masa itu, Munsyi Abdullah masih diangkat dan diperakui sebagai bapa kesusasteraan Melayu moden. Akan tetapi, kemudian namanya dihilangkan; khabarnya apabila disedari dia bukan Melayu tulen.
Malah, ramai yang tidak tahu gelaran “Munsyi” yang membawa makna “guru bahasa” dalam bahasa Hindi (Hindustan) diberikan kepada Abdullah sewaktu beliau mengajar bahasa Melayu kepada golongan sipahi yang berasal dari India (Tanah Keling).
Moyangnya bernama Syeikh Abdul Kadir dan berasal daripada kaum Uthmani di Yaman. Beliau adalah guru bahasa dan agama, serta pergi mengajar orang di Nagore, India.
Hasil perkahwinan dengan wanita tempatan (India), lahirlah 4 anak lelaki berdarah Arab-India. Anak sulung bernama Muhamad Ibrahim dan merantau ke Melaka, lalu berkahwin dengan wanita tempatan bernama Periyaci.
Anak yang lahir dinamakan Syeikh Abdul Kadir, sempena nama datuk. Apabila dewasa, pemuda itu mengajar ilmu agama Islam, mengaji dan sembahyang kepada penduduk di Hulu Melaka, lalu berkahwin dengan wanita tempatan.
India-Muslim menguasai bahasa Melayu
Selain kepakaran dalam ilmu kira-kira dan penulisan bahasa Tamil (bahasa Hindu), Abdul Kadir juga pakar penulisan bahasa Melayu. Beliau menjadi guru bahasa Melayu kepada orang Inggeris di Melaka.
Isteri kedua Abdul Kadir bernama Salmah, seorang wanita beragama Hindu yang ibunya berasal dari Kedah. Empat anak yang dilahirkan Salmah meninggal dunia sebelum mencapai umur 3 tahun.
Semasa Salmah sedang berduka, datang seorang guru agama yang dihormati dari Arab. Namanya Habib Abdullah Hadad. Beliau memaklumkan pasangan itu akan mendapat anak lelaki dan perlu dinamakan sempena namanya.
Demikian sejarah kelahiran Abdullah Abdul Kadir. Keluarganya miskin dan hina. Malah, Munsyi Abdullah tanpa segan-silu mengakui hakikat itu dalam Hikayat Abdullah.
Pada zaman itu, tidak ramai orang di Melaka tahu menulis dan mengarang dalam bahasa Melayu. Munsyi Abdullah turut membidas sikap orang Melayu yang merasakan tidak perlu mempelajari bahasa Melayu kerana ia bahasa sendiri.
Ramai pakar bahasa Melayu di Melaka pada waktu itu adalah peranakan Keling (India-Muslim; Jawi Peranakan); termasuk Abdul Kadir. Daripada pakar-pakar inilah Abdullah mempelajari untuk menguasai bahasa sehingga akhirnya beliau diangkat sebagai seorang munsyi.
Penekanan terhadap pendidikan diberikan sejak beliau masih kecil dan tinggal bersama-sama “aci” iaitu nenek sebelah bapanya. Nenek adalah guru besar di sekolah yang terletak di Kampung Pali. (“Aci” bermakna “kakak” dan “pali” bermaksud “masjid” dalam bahasa Tamil).
Munsyi Abdullah belajar mengaji al-Quran serta ilmu menulis bahasa Melayu. Walaupun pada mulanya beliau membenci nenek dan bapa yang memaksanya belajar, apabila meningkat dewasa, Munsyi Abdullah menyedari kepentingan ilmu yang ditimba itu.
Semasa membaca Hikayat Abdullah, saya terkenang akan pelbagai alat hukuman yang pernah saya baca dalam buku teks sejarah di sekolah dahulu. Antaranya yang pernah digunakan neneknya adalah kayu palat, apit Cina, rantai bes dan singgang.
Kritikan masih sesuai pada masa kini
Tidak lama selepas Munsyi Abdullah bersunat, beliau dihantar kepada guru bahasa Keling untuk belajar bahasa Hindu (bahasa Tamil). Seperti diakui dalam Hikayat Abdullah, sejak dahulu, semua anak-anak orang kaya dan anak-anak daripada keturunan yang baik di Melaka tidak melepaskan peluang mempelajari bahas Tamil.
Turut digambarkan mengenai realiti masyarakat pelbagai kaum dan agama pada abad ke-19. Misalnya, sekiranya seorang anak Melayu melakukan kesalahan, anggota masyarakat tanpa mengira kaum berhak menghukum atau menegurnya seperti anak sendiri.
Pada pemerhatian Munsyi Abdullah, bahasa Melayu amat lengkap dan manis bunyinya. Malangnya, orang Melayu sendiri kurang menghargainya kerana terlalu menumpukan kepada usaha menguasai bahasa Arab yang dianggap sebagai bekalan akhirat.
Walaupun Munsyi Abdullah bukan orang Melayu tulen, beliau berani membuat kritikan pedas terhadap kaum Melayu dan golongan raja-raja Melayu. Penjajah Belanda dan British juga tidak terlepas daripada kritikan dan sindiran.
Beliau berusaha keras mempelajari dan menguasai bahasa Melayu, Tamil, Hindi, Arab, Cina dan Inggeris. Selain mengkritik orang Melayu, beliau turut menyeru mereka menimba ilmu dan mencapai mobiliti sosial dalam kehidupan.
Agak menarik apabila semangat Munsyi Abdullah dengan sosok tubuh yang memakai tarbus di kepala muncul di Kuala Lumpur pada abad ke-21 menerusi novel Amuk Malam Merdeka.
Kemunculan beliau bersama Hang Tuah dan Hang Jebat adalah untuk mengingatkan kembali kaum Melayu di Malaysia betapa mereka semakin kehilangan maruah, semangat dan jati diri.
Novel ini memang sebuah satira santai yang boleh dibaca dalam masa sekitar sejam. Akan tetapi, pelbagai falsafah dan kritikan pedas disampaikan untuk renungan pembaca, khususnya orang Melayu.
“Kamu dibesarkan oleh orang-orang tua yang menanam benih pembodohan. Sumpahan paling besar ke atas bangsa ini adalah mewarisi pembodohan yang ditanam sendiri oleh datuk nenek. Inilah sumpahan paling hina,” kata watak Dollah (Munsyi Abdullah) yang dilahirkan oleh Ronasina.– 27 Oktober, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments