“My selfie with President Obama!” Demikian catatan pada foto yang dipaparkan dengan penuh bangga oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebook pada 27 April 2014 selepas berpeluang bertemu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Sebagai seorang pengamal media dan perunding media, saya hanya mampu menepuk dahi memikirkan kejahilan dan kebodohan Najib terhadap istilah sebenar perkataan tersebut.
Foto yang dipaparkan bukanlah “selfie” tetapi “usie”.
Mungkin Najib tidak berpeluang mendengar penerangan lengkap yang diberikan Arlene Tan, Gouri Krishnan dan Tan Kim menerusi slot “Asean Breakfast Call” (Durian Asean, 14 April 2014).
Mungkin tidak ada sesiapa yang membisikkan ke telinga Najib bahawa “selfie” (atau lebih popular sebagai #selfie) melibatkan satu orang sahaja.
Sekiranya foto yang dirakam itu menampilkan lebih daripada seorang – kecuali Najib dan Obama adalah satu orang – maka istilah yang betul adalah “usie” (atau #usie).
Beberapa fakta yang disajikan secara mudah menerusi makalah ini bertujuan berkongsi maklumat bersama-sama orang ramai supaya kita tidak terus jahil, khilaf dan mengulangi “kebodohan” yang dipamerkan oleh pemimpin.
Berkenaan usie Najib bersama Obama, timbul pula persoalan apakah tidak ada seorang pun manusia yang berada di tempat itu pada masa berkenaan untuk tolong ambilkan foto mesra mereka berdua.
Saya mengandaikan bahawa usie itu dirakam di tempat terbuka dan bukannya semasa Najib dan Obama berdua-duaan di tempat terselindung atau peribadi seperti bilik air dan tandas.
Mungkin juga Najib begitu ingin mengikut gaya semasa (trend) merakamkan selfie/usie sehingga tidak sanggup merelakan orang lain (termasuk isteri tercinta, wanita anggun Datin Seri Rosmah Mansor) mengambil foto menggunakan telefon pintarnya.
Untuk makluman bersama, sekiranya foto diambil orang lain – walaupun menggunakan telefon kita – maka ia tidak lagi memenuhi kriteria selfie atau usie.
Begitulah juga jika kita menggunakan kemudahan pemasa (timer) pada telefon pintar dan meletakkan alat itu di atas meja (atau apa-apa permukaan) untuk merakam foto. Ia menjadi foto biasa dan tidak lagi layak ditandakan (hashtag) sebagai #selfie dan #usie.
Amalan selfie bukan sesuatu yang baru muncul
Istilah usie mungkin masih baru dalam kalangan kita. Istilah selfie pula mula digunakan dalam kalangan orang yang berbual di ruangan forum dalam talian (online) di Australia pada tahun 2002.
Seperti kebanyakan istilah baru, istilah selfie juga diwujudkan secara tidak sedar oleh salah seorang individu yang berbual di ruangan forum itu.
Umum mengetahui bahawa istilah selfie menjadi amat popular pada tahun 2013 sehingga digelarkan sebagai “Tahun Selfie”.
Seperti dibincangkan menerusi Durian Asean (14 April 2014), kini seolah-olah semua orang – termasuk politikus, pelakon, penyanyi dan peminta sedekah – tidak mahu terlepas daripada merakamkan foto peribadi berupa selfie.
Namun begitu, eloklah diketahui bahawa selfie bukanlah sesuatu yang baru; walaupun istilah selfie hanya wujud sejak tahun 2002.
Pada tahun 1839, seorang individu bernama Robert Cornelius dilaporkan menggunakan sebuah kamera antik untuk merakamkan foto sendiri.
Dia meletakkan kamera di atas meja dan membuka bahagian depan yang membolehkan cahaya masuk bagi merakam imej (foto) pada filem.
Tentu sahaja Robert menggunakan kamera jenis lama yang mengambil masa pendedahan selama beberapa minit untuk merakam satu foto.
Lelaki itu segera bergerak dan duduk di hadapan kamera. Beberapa minit kemudian, foto dirinya sudah dirakam.
Bagaimanapun, secara teknikal, ia bukan selfie kerana Robert tidak memegang sendiri kamera itu; sebaliknya seolah-olah menggunakan pemasa.
Pada tahun 1914 pula, seorang remaja wanita berumur 13 tahun di Rusia berdiri sambil memegang sebuah kamera (jenis lama juga) di hadapan cermin.
Dia merakamkan foto diri seperti yang biasa dilakukan orang ramai di hadapan cermin tandas awam sekarang.
Maka, terhasillah selfie pertama yang diketahui – walaupun istilah selfie belum wujud. Dengan perkembangan teknologi kamera dan telefon pintar, rakaman selfie dan usie sudah menjadi sesuatu yang terlalu biasa pada masa kini.
Sekiranya diteliti, kegemaran remaja merakam selfie agak popular sekitar tahun 2005 dengan adanya laman rangkaian sosial MySpace yang membuka ruang dan peluang berkongsi foto peribadi.
Kebanyakan foto ini bersifat peribadi dan dirakam sendiri – selfie – untuk dimuat naik ke laman MySpace.
Bagaimanapun, apabila Facebook mula popular sekitar tahun 2007, ramai pengguna MySpace beralih ke laman rangkaian sosial itu.
Pengguna juga mula meninggalkan selfie kerana foto-foto itu bersifat kurang profesional.
Mereka mula memaparkan foto-foto diri yang lebih profesional; sama ada diambil di studio atau diambil oleh orang lain menggunakan kamera dan telefon pintar.
Kalau Najib atau pengikutnya sedang membaca makalah ini, mungkin mereka tertanya-tanya di mana saya mendapat segala maklumat ini. Jawapannya mudah sahaja: membaca.
Persamaan psikologi antara politikus dan remaja
Berbalik kepada Facebook, lama-kelamaan, pengguna laman rangkaian sosial itu mula kembali berminat merakam dan memuatkan foto diri yang kurang profesional.
Maknanya, merakamkan selfie untuk dipaparkan kepada dunia dan rakan-rakan.
Pakar psikologi dan peribadi remaja (di luar Malaysia, tentunya) sedang terus mengkaji amalan selfie dari sudut psikologi dan sains perubatan.
Apatah lagi apabila selfie sudah menjadi semacam kegilaan dalam kalangan remaja – dan politikus.
Mengapa politikus gemar akan selfie? Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa politikus – termasuk di Malaysia – sentiasa mahukan dirinya menjadi fokus utama.
Mungkin politikus akan menafikannya, tetapi pada setiap kali membaca akhbar – atau menonton televisyen – mereka akan mencari-cari apakah ada berita dan foto mereka.
Bagi golongan remaja pula, mereka juga seperti politikus. Mereka mahukan perhatian daripada dunia.
Mereka mahukan supaya mereka penjadi pusat tumpuan dunia – seolah-olah Bumi harus berputar dengan berpaksi kepada mereka.
Apabila saya menyebut “remaja” tadi tidak pula bermakna golongan dewasa tidak memiliki “penyakit” itu.
Cuba layari Facebook dan lihat sendiri berapa ramai orang dewasa yang turut menjadi mangsa kegilaan selfie.
Sedar atau tidak sedar – ataupun mahu dinafikan sekeras-kerasnya – mereka semua mahukan perhatian.
Makalah ini tidak bertujuan menidakkan hak merakam selfie atau mengatakan selfie itu salah. (Kita serahkan “tugas murni” itu kepada Jakim, ISMA, Perkasa dan Ridhuan Tee.) Tambahan pula, saya juga kadang-kadang merakam selfie.
Sebaliknya, sekadar untuk menasihatkan Najib supaya tahu membezakan antara #selfie dan #usie apabila memuat naik fotonya ke Facebook pada masa hadapan.
Juga untuk menasihatkan rakan-rakan (dan pembaca makalah ini) supaya tidak terus-menerus memperli dan mentertawakan Najib atas perbuatan merakam usie bersama-sama Obama.
Ketahuilah bahawa sesungguhnya Najib sekadar membuktikan kepada dunia (dan rakyat Malaysia) bahawa dia sudah memenuhi kriteria “penyakit selfie” seperti yang sudah dikaji dan dibuktikan pakar psikologi antarabangsa (bukan Malaysia). – 5 Mei, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments