Opinion

Penceramah anti-Kristian di UiTM

Mais seolah-olah menjadi 'Majlis Anti-Kristian Selangor' (Maks). - Gambar oleh Uthaya.Mais seolah-olah menjadi 'Majlis Anti-Kristian Selangor' (Maks). - Gambar oleh Uthaya.“Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, saya meminta pihak berkuasa, khasnya polis, menyiasat penganjur dan penceramah seminar ini serta mengambil tindakan tegas bagi membendung unsur-unsur yang memecah-belahkan Bangsa Malaysia.”

Demikian saya mengakhiri laporan rasmi yang dibuat di Balai Polis Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Mei 2014 bersama-sama Perzeus James. Perzeus penganut Kristian Katolik manakala saya pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama).

Laporan polis itu berikutan penganjuran “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” yang secara terang-terangan mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan, serta secara jelas berciri anti-perpaduan, berniat jahat, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan mengancam ketenteraman awam.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) adalah penganjur seminar. Akhbar Utusan Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf, TV Al-Hijrah, Kumpulan Zikay dan Kumpulan Pantai Bharu adalah antara penyokong.

Selain itu, orang ramai tentu mahu tahu siapakah para penceramah yang layak diklasifikasikan sebagai “pencetus kebencian” berdasarkan kandungan ceramah mereka.

Dalam hal ini, Ridhuan Tee Abdullah mungkin sedikit kecewa kerana dia ternyata belum cukup kelayakan sebagai “pencetus kebencian” untuk diundang sebagai penceramah di seminar anti-Kristian yang turut dihadiri bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta sekitar 1,000 penonton, termasuk pelajar sekolah menengah.

Buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan Mais diedarkan secara percuma kepada peserta tanpa mengambil kira sensitiviti pelajar Bumiputera beragama Kristian yang turut hadir kerana “diwajibkan” hadir.

Tidak cukup dengan itu, para penceramah pula bagaikan “anjing yang terlepas daripada ikatan” dan mampu bercakap apa sahaja di pentas dengan “niat terancang” menimbulkan kemarahan dan rasa benci dalam kalangan orang Islam terhadap orang Kristian.

Seperti dilaporkan di The Malaysian Insider (6 Mei 2014), Insan LS Mokoginta memberitahu seminar itu bahawa penganut Kristian mengkhianati perintah Tuhan jika mereka tidak menganut agama Islam.

Siapakah Insan ini? Dia lahir di Sulawesi Utara pada 1949 dan mendapat pendidikan di sebuah gereja sejak kanak-kanak. Paderi Roman Katolik ini “murtad” (keluar) daripada agama Kristian pada tahun 1976 semasa berada di Jakarta.

Agak malang bagi dirinya kerana dia masih dianggap sebagai “mualaf” selepas 30 tahun memeluk Islam dan diberikan pula Anugerah Mualaf pada 2006. Dalam hal ini, golongan mualaf di Malaysia lebih bertuah kerana terus sahaja boleh mengiktiraf diri sebagai Melayu selepas masuk Islam.Seminar ini ternyata dirancang untuk menanam bibit kebencian dalam jiwa generasi muda.Seminar ini ternyata dirancang untuk menanam bibit kebencian dalam jiwa generasi muda.

Keimanan, kepercayaan orang Kristian dihina

UiTM dan Mais pasti tahu dan sedar bahawa kerja Insan termasuk “melatih” golongan muda Islam di Indonesia sebagai persiapan untuk “melagakan” mereka dengan golongan paderi Kristian atas nama sesi dialog.

Maka, rakyat Malaysia yang prihatin dan mencintai keharmonian mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa Insan diundang dengan sengaja untuk menghina orang Kristian dan agama Kristian dalam seminar sehari yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM pada 6 Mei 2014.

Bekas paderi itu dilaporkan berkata, Jesus tidak mati di atas salib dan dipertikaikan Jesus meninggal dunia untuk pengampunan dosa-dosa, seperti yang dipercayai oleh orang Kristian.

Sebaliknya, kata Insan, “Jesus mati kerana ketamakan dan iri hati para pemimpin agama pada masa itu” dan keimanan orang Kristian adalah sia-sia (The Malaysian Insider, 7 Mei 2014).

Menurut kenyataan pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, “seminar itu akan memberi penjelasan kepada umat Islam tentang isu penggunaan kalimah Allah serta mencari penyelesaian secara efektif dan menyeluruh untuk menangani masalah yang timbul” (Utusan Malaysia, 21 April 2014).

Dalam buku atur cara juga dinyatakan bahawa objektif program adalah “memberi penjelasan kepada warga UiTM dan masyarakat tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Islam” serta “satu medium pengisian kerohanian dan dakwah kepada warga UiTM dan masyarakat umum.”

Malangnya, para penceramah ternyata seolah-olah dipilih dengan penuh teliti supaya kesemua mereka adalah “pembenci totok” yang mampu lari daripada topik asal (isu kalimah Allah) dan menanam kebencian terhadap orang Kristian dalam jiwa orang Melayu-Islam.

Tidak setakat itu, penganut Kristian dilabel sebagai pendosa dan pengkhianat selagi mereka tidak meninggalkan agama asal dan memeluk agama Islam. Malah, para penceramah bagaikan diberikan lesen oleh UiTM, Mais dan para “penyokong” seminar itu untuk mengutuk agama-agama lain secara terbuka.

Seorang penceramah tempatan turut tidak melepaskan peluang tumpang sekaki untuk membuktikan bahawa bukan hanya penceramah undangan yang “murtad” daripada ajaran Kristian mampu mengutuk, menghina, memperlekeh dan memfitnah agama Kristian dan penganut Kristian sesuka hati.

Setiausaha agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Abd Karim Omar tampil sebagai “jaguh kampung” untuk membuktikan bahawa dia lebih hebat daripada Ridhuan Tee, Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan para ultra kiasu lain kerana dia mampu duduk sama taraf dengan “pembenci totok” dari Indonesia.

Seolah-olah tiada pakar Kristian di Malaysia

Tanpa mengemukakan sebarang bukti konkrit, Abd Karim dilaporkan memberi amaran bahawa terdapat paderi Kristian dihantar ke Malaysia dengan pelbagai penyamaran bagi menyesatkan dan memurtadkan umat Islam (The Malaysian Insider, 6 Mei 2014).

Dia mengaku “mengenali seorang paderi yang kini seorang jurulatih bola sepak di Subang Jaya” tetapi dia seolah-olah “tidak ada telur” untuk melaporkan kes seumpama itu kepada pihak berkuasa.

Atau mungkin Abd Karim tidak tahu bahawa sebarang usaha menyebarkan mana-mana agama/ajaran lain kepada penganut Islam di negara ini adalah bertentangan dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Siapakah Abd Karim ini? Dia yang memegang jawatan setiausaha agung Muafakat sejak 2004, juga setiausaha MuslimUPRo, bekas setiausaha Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), naib presiden Persatuan Pembangunan Ummah Cemerlang, dan pemegang amanah Khalifah Institue.

Dia khabarnya “pakar” dalam bidang kajian “pemurtadan dan gerakan Kristianisasi” serta suatu lagi bidang yang dilabelkannya sebagai “agenda dan ancaman musuh-musuh Islam”.

Maka, tidak hairanlah dia menjadi pilihan UiTM dan Mais berbanding Ridhuan Tee, Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan sebagainya yang mungkin dianggap masih “budak-budak hingusan” dalam menjuarai topik memfitnah orang Kristian dan agama Kristian.

Seorang lagi penceramah dari Indonesia adalah SM Masud yang digelar sebagai “pakar perbandingan agama Kristian-Islam”. Dia antara lain khabarnya pernah menterjemah sebuah buku berkaitan kehidupan seks. Menurut buku atur cara seminar, dia menyampaikan ceramah bertajuk “Sejarah Agama Kristian”.

Tentulah tidak masuk akal jika penganjur seminar mengatakan tidak ada individu beragama Kristian di Malaysia yang cukup layak untuk menyampaikan ceramah itu. Saya kenal ramai paderi yang arif soal agama Kristian serta lebih fasih bercakap Bahasa Malaysia berbanding rata-rata pemimpin Umno.

Saya yakin bahawa Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) dan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) boleh menghantar sejumlah pakar yang mampu memberikan maklumat, fakta, penerangan dan penjelasan terbaik mengenai topik “Sejarah Agama Kristian”.

Akan tetapi, tentulah UiTM dan Mais tidak akan berbuat demikian kerana langkah itu akan menggagalkan usaha anti-Kristian yang nampaknya memang sudah dirancang penuh rapi sejak awal.

Usaha terancang menghina ajaran Kristian

Apa yang diinginkan penganjur bukanlah pencerahan atau dialog, tetapi semata-mata menyebarkan maklumat palsu demi memfitnah ajaran Kristian. Para peserta seminar perlu pulang dengan rasa benci paling maksimum terhadap semua orang Kristian.

Demikianlah sebahagian daripada reaksi masyarakat pelbagai kaum dan agama yang sempat saya baca di laman rangkaian sosial Facebook sejak berita mengenai seminar itu tersebar di alam maya.

Kenyataan media CCM dan CFM yang disiarkan dalam berita di The Malaysian Insider (7 Mei 2014) turut membidas tindakan penganjur tidak mengundang wakil gereja atau wakil agama Kristian untuk menyampaikan ceramah mengenai agama itu pada seminar berkenaan.

UiTM dan Mais mungkin memberikan alasan “bodoh” dan “kurang cerdik” bahawa selain daripada Insan (bekas paderi Roman Katolik) yang menyampaikan ceramah bertajuk “Ancaman Kristianisasi”, mereka turut mengundang seorang bekas biarawati (nun) dari Indonesia.

Irena Handono lahir di Surabaya pada 1954 dan nama asalnya ialah Han Hoo Lie. Dia pada asalnya penganut Roman Katolik serta mendapat pendidikan di Institusi Falsafah Teologi Katolik dan Universiti Katolik Atmajaya.

Wanita Tionghua ini “murtad” daripada agama asal dan memeluk Islam pada 1983 sebelum mengasaskan Irena Center. Secara logik, apabila seorang individu yang meninggalkan agama Kristian diundang menyampaikan ceramah bertajuk “Budaya Kristian”, pastilah fitnah yang berniat jahat sahaja akan ditaburkan.

Melihat kepada senarai nama dan maklumat diri para penceramah, tidak hairanlah mengapa UiTM dan Mais secara penuh sedar mengundang mereka. Niat mereka nampaknya seolah-olah tidak lain dan tidak bukan adalah mahu menanam bibit-bibit anti-Kristian dalam jiwa anak-anak Melayu-Islam yang tidak berdosa.

Saya dan Perzeus dipanggil untuk memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Rohaini Baharom di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Mei 2014. Kami diiringi peguam kami, Annou Xavier dan Bernard Scott.

Semasa memberikan keterangan, saya dan Perzeus mengulangi pendirian bahawa polis perlu menyiasat penganjur dan penceramah mengikut Seksyen 298 dan 298A.

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas bagi membendung sebarang anasir jahat yang cuba menggugat perpaduan dan memecah-belah masyarakat. Saya percaya itulah juga keinginan orang ramai walaupun mereka tidak pergi membuat laporan polis.

Sama-sama kita nantikan apa yang akan berlaku selepas ini. Jangan pula UiTM dan Mais “belajar” daripada Datuk Seri Najib Razak dan segera menghantar notis saman kepada portal-portal berita yang menyiarkan reaksi orang ramai terhadap seminar anti-Kristian itu! – 19 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments