Mari mengenal Datuk Guluji mengundang reaksi daripada beberapa pihak. Saya memilih untuk mengabaikan maklum balas negatif yang tidak berasas daripada penyokong tegar seorang "guruji" yang marah-marah.
Makalah bertajukDalam pada itu, saya sempat membincangkan topik berkaitan guruji dengan seorang pemuda bernama Magaenthiran Periaswamy yang berasal dari Shah Alam dan kini bekerja di Pulau Pinang.
Pemuda berumur 31 tahun itu sedia berkongsi pengalamannya secara objektif dengan harapan dapat berlaku adil kepada golongan guruji dan pengikut mereka.
Uthaya: Ceritakan sedikit latar belakang bagaimana saudara terlibat dalam ajaran guruji, tanpa perlu mendedahkan identiti individu berkenaan.
Magaenthiran: Saya menyertai kumpulan yang dipimpin seorang guruji pada sekitar 2003. Saya memutuskan untuk menyertai kumpulan itu yang beribu pejabat di Petaling Jaya atas pilihan sendiri. Tidak ada sesiapa yang memaksa atau memujuk saya menyertainya. Bagaimanapun saya tidak lagi aktif dalam kumpulan itu sejak 2007.
Bayaran RM730 yang dikenakan untuk menyertai kursus anjuran guruji itu memang sedikit membebankan bagi saya sebagai seorang pelajar kolej pada waktu itu. Bagaimanapun, saya sedar bahawa kita perlu keluarkan belanja jika mahu mendapatkan sesuatu sebagai pulangan.
Walaupun bayaran RM730 memang mahal, saya mengumpul duit dengan bekerja sambilan untuk membolehkan saya menghadiri kursus sehari yang dianjurkan. Bagi saya secara peribadi, saya mempelajari sesuatu yang baru dengan menghadiri kursus itu. Misalnya yoga dan meditasi.
Sekarang ini kita mendengar kes orang bersusah-payah serta sanggup meminjam wang daripada along untuk menyertai kursus guruji. Mungkin juga pada sekitar 2003, hanya mereka yang benar-benar mampu akan menyertainya.
Ibu bapa saya sendiri tidak menyertai kumpulan meditasi ini. Bukan kerana soal wang tetapi kerana tidak berminat. Maka, semua orang ada hak dan pilihan. Setahu saya, orang yang menyertai kumpulan guruji melakukannya atas pilihan sendiri.
Mungkin ada juga yang mengatakan bahawa bayaran RM730 terlalu mahal dan di luar kemampuan orang biasa; atau golongan berpendapatan rendah. Pada pendapat saya, jika mereka benar-benar mahu dan berminat, perlulah berusaha bagi mencapai hasrat menyertai kursus anjuran guruji itu.
Pada masa sama, saya akui bahawa kalaulah bayaran atau pengeras yang dikenakan itu lebih murah - misalnya RM100 - tentu lebih ramai orang yang berpeluang menyertai kursus anjuran guruji dan memperoleh kebaikan serta ilmu yang disampaikan.
Selepas menyertai kursus pada 2003, saya memang berfikir mengapa bayaran begitu tinggi dikenakan. Sebagai perbandingan atau perumpamaan, apa yang diajar semasa kursus sehari itu adalah topik Sains peringkat Tingkatan Lima, tetapi peserta dikenakan bayaran seperti mempelajari ilmu sains roket pada peringkat sarjana.
Bagi saya sendiri, banyak perkara positif yang saya pelajari. Walaupun saya akui bayaran RM730 adalah terlalu tinggi, saya tetap tidak menyesal.
Mengapa agaknya kini ramai yang tampil meluahkan rasa tidak puas hati dengan golongan guruji?
Banyak kali juga saya nampak guruji, tetapi tidak pernah berpeluang menemuinya secara peribadi atau secara dekat.
Mengenai soal pengikut mempertikaikan kredibiliti guruji, saya rasa ia berbalik kepada sikap dan pandangan masyarakat sendiri. Nampaknya ramai yang menyertai kumpulan pimpinan guruji dengan harapan menggunung.
Bagi mereka, apabila sudah membayar pengeras RM730 dan menyertai kursus sehari anjuran guruji, maka kehidupan mereka akan berubah sepenuhnya dan segala masalah akan selesai segera.
Mereka mungkin lupa bahawa segala-galanya berbalik kepada usaha kita sendiri. Walaupun guruji memberikan ilmu, panduan dan pengajaran, kita masih perlu berusaha dan melakukan latihan meditasi yang diajarkan itu.
Sekadar contoh, apabila seorang pelajar membayar yuran tinggi untuk mengikuti kelas tuisyen, dia tidak semestinya lulus cemerlang dalam peperiksaan jika tidak berusaha. Maka, bagi saya, semuanya berbalik kepada sikap setiap individu itu.
Bagi kelompok pengikut yang dilaporkan lantang bersuara sekarang, saya tertanya-tanya soalan yang sama. Apakah mereka menyertai kumpulan itu dengan mengharapkan guruji menyelesaikan 100% masalah mereka? Ada tidak mereka berusaha berpandukan apa-apa yang diajar oleh guruji?
Saya juga mendengar bahawa teknik yang digunakan oleh kumpulan pengikut guruji kini sudah lebih berorientasikan perniagaan jualan langsung atau MLM. Maknanya, mereka lebih menumpukan kepada usaha menarik orang menyertai kursus; lebih ramai pengikut, lebih baik.
Satu lagi cerita yang saya dengar ada pengikut guruji sendiri yang menjadi along. Maknanya, jika ada individu yang tidak mampu membayar RM730 untuk menyertai kurus, maka mereka boleh meminjam wang daripadanya dengan bunga (interest) yang lumayan.
Apa yang berlaku - seperti yang saya dengar daripada kawan ialah ramai peminjam wang itu hilang minat terhadap ajaran guruji dalam masa beberapa bulan.
Mereka menghilangkan diri dan tidak meneruskan bayaran ansuran bulanan kepada pengikut guruji yang menjadi along tadi. Maka, along pula dikatakan menggunakan kekerasan dan paksaan bagi mendapatkan bayaran.
Uthaya: Ceritakan sedikit pengalaman semasa saudara bersama kumpulan itu.
Saya tidak mahu memikirkan sama ada apa yang sedang dilakukan oleh guruji dan orang kuatnya adalah betul atau salah. Saya menyertai kumpulan itu pada 2003-2007 dan saya melihat segala ilmu yang dipelajari secara positif.
Harus saya akui bahawa saya bukan bersetuju dengan semua perkara yang diajar oleh guruji. Saya hanya mengambil, mengamalkan dan memanfaatkan apa yang perlu dan sesuai untuk saya. Selebihnya saya tinggalkan.
Setiap individu perlu menggunakan kebijaksanaan untuk menilai apa yang baik dan perlu diamalkan, serta apa yang kurang sesuai dan wajar ditinggalkan. Malangnya, saya akui bahawa memang ramai pengikut guruji yang terlalu ekstrem dan mendewa-dewakannya.
Kita perlu faham konsep "guru" atau "guruji". Tugasnya adalah mendidik, berkongsi ilmu serta memberikan panduan kepada murid, pelajar atau pengikut.
Masalah timbul apabila ada pihak yang terlalu taksub dan beranggapan bahawa mereka akan diberikan kuasa (power) yang sama seperti dimiliki guruji. Samalah seperti seorang pelajar mengharapkan guru di kelas memberikannya ilmu sehingga pelajar itu boleh menjadi sama seperti gurunya.
Saya sedar bahawa ada pengikut tegar guruji tertentu yang terlalu mengagung-agungkan serta mendewa-dewakannya. Misalnya, semasa perayaan Thaipusam, terdapat laporan bahawa ada pengikut tegar yang membawa kavadi yang memaparkan foto seorang guruji.
Hal ini menunjukkan bahawa pengikut itu terlalu taksub sehingga lupa kedudukan dan peranan seorang guruji. Seorang "guru" sudah diangkat terlalu tinggi sehingga menyamai dewa-dewi dalam ajaran Hindu.
Pada pengalaman saya sendiri, guruji tidak pernah meminta dirinya didewa-dewakan dan dipuja. Tetapi, apa yang dapat kita perhatikan sekarang guruji sudah dijadikan dewa. Saya tidak pasti di mana silapnya.
Harapan saya, masyarakat menyedari peranan sebenar seorang guruji sebagai guru dan pendidik. Janganlah terlalu taksub sehingga terpesong daripada konsep sebenar. Usahlah mendewa-dewakan guruji sehingga disamakan dengan Tuhan.
Pengikut tegar pula jangan memaksa orang lain turut menjadi pengikut. Kisah seorang guru sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di sekitar Serdang baru-baru ini patut menjadi pengajaran kepada semua.
Guru itu perlu tahu bahawa dia tidak berhak menyebarkan ajaran guruji kepada murid, apatah lagi di dalam kelas. Mujurlah tindakan tegas golongan ibu bapa berjaya menyelesaikan masalah itu.
Sebagai kesimpulan, selagi sikap masyarakat dan pengikut guruji tidak berubah, selagi itu masalah seperti yang hangat diperkatakan sekarang akan berleluasa. – 10 Februari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments