Opinion

PK mencari Tuhan di Malaysia

Kisah makhluk asing yang berusaha mencari Tuhan di bumi.Kisah makhluk asing yang berusaha mencari Tuhan di bumi.Bayangkan jika makhluk asing yang menyerupai manusia – atau lebih tepat lagi, menyerupai Aamir Khan – mendarat di Lembah Klang.

Bayangkan bahawa timbul juga keperluan untuk makhluk asing itu mendapatkan bantuan Tuhan. Harus difahami bahawa konsep “Tuhan” di alam kita (apatah lagi di Malaysia!) mungkin tidak sama dengan konsep Tuhan di planet asalnya.

Bayangkan segala kecelaruan yang bakal muncul apabila pelbagai pihak yang mewakili pelbagai agama ditemui oleh makhluk asing itu dalam usahanya mencari dan menemui Tuhan untuk mendapatkan bantuan.

Saya berpeluang menonton filem Hindi “PK” (2014) arahan Rajkumar Hirani pada 25 Disember 2014 sempena Hari Krismas. Rasa-rasanya “PK” adalah singkatan bagi “peekay” (mabuk) dalam bahasa Hindi.

Agak menarik kerana “PK” juga sesuai dan sepadan dengan makna “pikey” dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada “pengembara” (traveller). Watak makhluk asing lakonan Aamir dianggap mabuk lalu digelarkan sebagai “pikey” (PK) oleh orang ramai yang ditemuinya.

Filem “PK” lakonan Aamir, Anuskha Sharma, Sanjay Dutt dan Sushant Singh Rajput sebenarnya sebuah komedi. Ia mampu membuatkan penonton ketawa. Ia mampu membuatkan penonton menangis. Ia juga mampu membuatkan penonton berfikir.

Ya, sebuah filem komedi bukan sekadar diisi lawak bodoh dan adegan slapstik. Sebaliknya sebuah komedi yang sebenar harus mampu membuatkan penonton berfikir.

Filem ini memang menimbulkan pelbagai kontroversi di India. Ada pihak yang menganggap ia menyentuh sensitiviti agama dan memperlekeh anutan agama tertentu.

Pada 31 Julai 2014, apabila poster pertama dikeluarkan, ramai yang mengatakan ia tidak sesuai kerana menampilkan Aamir Khan dalam keadaan (seolah-olah) berbogel bulat. Filem “PK” dituduh cuba mempromosikan budaya negatif.

Menurut laporan Hindustan Times (11 Oktober 2013), laporan polis dibuat sekumpulan orang berikutan penggambaran suatu babak di sekitar Chandni Chowk, Delhi. Seorang pelakon lelaki berpakaian menyerupai Dewa Shiva berlakon menarik beca beroda dua yang membawa dua penumpang wanita berpurdah.

Babak berkenaan memang tidak muncul dalam filem. Saya percaya penerbit memutuskan untuk membatalkan terus babak berkenaan berikutan pelbagai masalah yang timbul.

Tuhan yang mencipta/dicipta manusia

Sekiranya mahu dijadikan isu, memang ada banyak perkara yang menyentuh sensitiviti agama Islam, Hindu dan Kristian dalam filem ini. Ada pihak yang mengatakan filem ini menghina Tuhan.

Bayangkan makhluk asing mendarat di Lembah Klang dan menghadapi masalah seperti dalam filem “PK”. Habislah kalau dia bertemu pelampau dan pentaksub agama yang memang ada di mana-mana di negara kita.

Satu pihak akan berkata Allah milik eksklusif mereka. Satu pihak akan berkata Tuhan berkepala gajah. Satu pihak akan berkata Tuhan mati disalib. Tetapi tentulah pihak-pihak ini hanya pentaksub dan bukan golongan yang benar-benar mengenali Pencipta.

Kekalutan seperti di atas juga ditampilkan dalam filem “PK” di mana watak makhluk asing pergi ke rumah ibadat pelbagai agama untuk mencari Tuhan kerana hanya Tuhan yang boleh membantunya.

Pelbagai persoalan dan isu yang dihadapi oleh makhluk asing itu membuatkan sebahagian penonton beranggapan filem “PK” menghina agama dan Tuhan.

Sebenarnya tidak. Filem ini tidak sesekali menghina Tuhan. Sebaliknya ia membuka ruang kepada penonton untuk memikirkan perbezaan antara “Tuhan yang mencipta manusia” dan “Tuhan yang dicipta oleh manusia”.

Tentu sahaja ada perbezaan maha besar antara kedua-duanya. Tambahan pula, memang dalam kehidupan kita, ramai yang “mencipta” Tuhan mengikut acuan sendiri dan bukannya mengikut ajaran sebenar dalam agama (agama dalam Sanskrit).

Filem “PK” tidak menafikan kewujudan Tuhan. Tidak sama sekali. Sebaliknya, watak makhluk asing dalam filem komedi romantik ini mencabar minda khalayak untuk berfikir apakah benar Tuhan hanya satu (esa, eka) atau ada banyak Tuhan berdasarkan agama, mazhab, kepercayaan dan etnik.

Atas dasar itulah juga makhluk asing akan benar-benar bingung sekiranya ditakdirkan mendarat di Lembah Klang dan terpaksa “mencari” Tuhan. Dia akan diberitahu bahawa Allah adalah Tuhan milik orang Islam.

“Jadi, ada Allah dan ada beberapa Tuhan lain?” Demikian dia mungkin bertanya dengan bingung.

Pentaksub agama pasti akan rasa terhina

Sebenarnya pertanyaan seperti itu juga sudah ditanya dalam filem “PK”. Mungkin itulah juga sebabnya filem berkenaan dituduh menyentuh sensitiviti agama.

Kalau diperhatikan, isu-isu yang disentuh menerusi skrip tulisan Abhijat Joshi dan Rajkumar Hirani tidak menghina atau memperlekeh penganut mana-mana agama.

Sebaliknya isu-isu dan pertanyaan logik yang dikemukakan menerusi filem sepanjang 153 minit ini mungkin menyentuh sensitiviti pentaksub agama yang saiz otaknya lebih kecil daripada sebiji kacang hijau.

Tentulah kita perlu membezakan antara “penganut” agama dan “pentaksub” agama. Ramai yang mengaku “penganut” tetapi sebenarnya hanya “pentaksub”.

Kita sering bercakap mengenai isu agama dalam konteks sempadan negara yang sempit. Dalam isu kalimah Allah, misalnya, kita melihat dalam konteks di Semenanjung Malaysia semata-mata.

Filem “PK” pula membicarakan mengenai Tuhan yang menguasai seluruh mayapada; keseluruhan galaksi yang wujud.

Peminat, pengkritik dan pengkaji filem pasti sedar bahawa Aamir, atau nama sebenarnya Mohammed Aamir Hussain Khan, bukan calang-calang pelakon. Dia lahir pada 1965 dan muncul sebagai pelakon kanak-kanak menerusi filem “Yaadon Ki Baaraat” (1973).

Pelakon berbakat ini antara lain menerima Anugerah Filem Kebangsaan pada 1989, 2001, 2004 dan 2008. Malah, filem “Lagaan” (2001) dicalonkan bagi Anugerah Akademi ke-74 (2002) dalam kategori filem bahasa asing.

Dia menerima anugerah Padma Shri (2003) dan Padma Bhushan (2010) daripada kerajaan India, serta tersenarai dalam majalah Time (April 2013) sebagai “100 Individu Paling Berpengaruh di Dunia”.

Aamir Khan yang memegang watak makhluk asing dalam filem “PK” menggunakan frasa “wrong number” (tersalah nombor) untuk menerangkan penipuan yang dilakukan pihak tertentu atas nama agama.

Pada mulanya, dia menyangka watak orang alim memang sedang cuba menghubungi Tuhan tetapi tersalah nombor. Dia mengandaikan “panggilan” itu dijawab oleh orang lain yang berpura-pura menjadi Tuhan.

Hanya kemudian barulah makhluk asing itu sedar bahawa orang alim berkenaan memang tidak tersalah nombor, sebaliknya berpura-pura menghubungi Tuhan untuk menipu orang ramai iaitu pengikut yang fanatik dan mudah dimanipulasi dengan sedikit pertunjukan silap mata.

Filem intelektual untuk dihayati dengan minda

Perlu diakui bahawa para pentaksub agama akan membenci dan menyelar filem “PK”. Persoalan dan pendedahan yang dibawakan menerusi filem ini akan dituduh menghina agama mereka.

Filem ini sepatutnya membuka mata dan minda orang ramai mengenai tindakan puak tertentu yang melacurkan agama untuk kepentingan diri. Sepatutnya menyedarkan kita tentang betapa kejahilan orang ramai dimanipulasi golongan tertentu atas nama agama dan Tuhan.

Bagaimanapun, hakikat yang amat nyata adalah bahawa filem komedi intelektual ini tidak akan mampu mengubah mentaliti para pengikut individu seperti Datuk Guluji yang pernah didedahkan menerusi makalah “Mari mengenal Datuk Guluji” (The Malaysian Insider, 27 Januari 2014).

Percayalah, mereka akan terus berasa selesa untuk berada dalam kesesatan dan kejahilan serta menganggap Guluji sebagai satu-satunya “dewa” yang mampu menyelamatkan mereka dalam setiap detik kehidupan; termasuk dalam soal membuang air kecil.

Sekelompok lagi pentaksub akan terus memperjuangkan kejahilan dengan berkata Tuhan adalah milik mereka dan penganut agama lain tidak berhak menyembah Tuhan mereka. Malah orang lain tidak berhak menyebut nama Tuhan mereka.

Sebagaimana karya seni dan sastera, sebuah filem bermutu seperti “PK” juga mengandungi unsur hiburan, imaginasi, emosi, teknik, didaktik dan intelek. Sebahagian besar penonton akan menikmatinya sebagai sebuah komedi romantik yang menghiburkan.

Sebahagian penonton (atau kelompok yang tidak menonton) akan menuduh filem ini sebagai menghina Tuhan mereka serta menyentuh sensitiviti agama mereka. (Ulang: Tuhan mereka; agama mereka.) Kelompok penonton seperti ini sama sahaja dengan watak-watak pentaksub yang muncul dalam filem itu sendiri.

Sebahagian kecil penonton akan memahami mesej intelektual yang disajikan secara bijak menerusi filem ini. Kelompok itu tidak akan merasakan Tuhan atau mana-mana agama dihina.

Sebaliknya, penonton bijak seperti ini akan pulang dari pawagam dengan kepuasan intelektual. Mereka menjadi insan yang lebih baik dan berilmu.

Sementara itu, Guluji dan sekutunya tidak perlu bimbang kerana sebahagian besar kaum India yang menonton atau tidak menonton filem “PK” akan terus menjadi pengikut setia yang taksub dengan “wrong number”. – 29 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments