Opinion

Rasisme memang ‘budaya’ UiTM?

Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014 turut menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu-Islam.

Sewaktu saya berkongsi rasa kecewa menerusi laman rangkaian sosial Facebook, ramai yang tampil berkongsi pandangan dan perasaan yang sama.

Seminar yang menimbulkan kemarahan masyarakat pelbagai agama. – Gambar ihsan Uthaya Sankar, 12 Mei, 2014.Seminar yang menimbulkan kemarahan masyarakat pelbagai agama. – Gambar ihsan Uthaya Sankar, 12 Mei, 2014.Hal ini menunjukkan bahawa masih ramai masyarakat pelbagai kaum, etnik, agama, kepercayaan dan mazhab yang berfikiran rasional serta tidak sewenang-wenangnya menerima anasir-anasir jahat yang cuba menghancurkan keharmonian dan perpaduan bangsa Malaysia.

Seorang guru dari Bayan Baru, Pulau Pinang, Rosihan Amri Md Zakaria meluahkan rasa bimbang kerana polisi kerajaan dalam mentadbir UiTM seolah-olah menyebabkan generasi muda menjadi sangat rasis dan paranoid.

“Sangat membimbangkan apabila UiTM dikatakan melahirkan graduan berminda tertutup yang sering menyalahkan kaum lain serta mahu kerajaan hanya membantu kelompok Bumiputera Melayu-Islam,” katanya menerusi mesej peribadi kepada saya.

Rosihan turut mengimbas pengalaman sendiri yang terpaksa bersaing dengan mahasiswa daripada kaum-kaum lain secara adil dan saksama semasa beliau belajar di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Saya bergaul dengan baik dengan kaum-kaum lain kerana kami hidup bersama-sama; bukan hanya bergaul dengan kaum sendiri. Bagi saya, memanglah sesuatu yang membahayakan apabila UiTM didapati menyebarkan propaganda perkauman. Generasi akan datang yang terpaksa menanggung kesan negatif daripadanya nanti,” katanya.

Seminar anjuran UiTM dengan kerjasama Utusan Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf dan TV Al-Hijrah didapati secara terang-terangan bersifat anti-Kristian serta menanam bibit kebencian terhadap penganut Kristian.

Penceramah yang didatangkan dari Indonesia dilaporkan menuduh penganut Kristian sebagai mengkhianati Tuhan selagi mereka tidak meninggalkan agama asal dan memeluk agama Islam.

Hujah-hujah yang mempersenda, memperlekeh dan menghina Nabi Isa juga dijadikan “senjata” untuk memujuk orang memeluk Islam.

Lebih mendukacitakan apabila Majlis Agama Islam Selangor (Mais) didapati mengedarkan buku berjudul 'Pendedahan Agenda Kristian' kepada ribuan peserta yang hadir tanpa mengambil kira sensitiviti kaum, agama dan kepercayaan.

Segala perbuatan itu turut diselar rakan-rakan pelbagai kaum dan agama yang mengikuti perkembangan menerusi media cetak, media alternatif dan laman rangkaian sosial.

Pelajar jadi mangsa polisi yang “gila”

Perzeus James membuat laporan polis terhadap seminar anti-Kristian di UiTM. – Gambar ihsan Uthaya Sankar, 12 Mei, 2014.Perzeus James membuat laporan polis terhadap seminar anti-Kristian di UiTM. – Gambar ihsan Uthaya Sankar, 12 Mei, 2014.“Islam tidak pernah memaksa; apatah lagi mendesak seseorang meninggalkan ajaran Kristian dan memeluk Islam. Pada saya, bukanlah sesuatu yang harmoni apabila kenyataan seperti itu dikeluarkan pada seminar tersebut,” kata Ahmad Fakhrul Syazwan Mohd Yaacob, seorang pelajar dari Bestari Jaya, Selangor.

Memandangkan rakan-rakan saya di Facebook terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, agama, ideologi dan latar belakang, maka peluang memang terbuka untuk berdialog mengenai topik-topik yang saya kemukakan menerusi paparan status.

Seorang graduan UiTM Shah Alam (2008) yang kini bekerja di Lumut, Perak berkata bahawa apa-apa yang berlaku sepanjang seminar tersebut sedikit pun tidak menghairankan baginya.

“Saya pernah belajar di sana. Memang menjadi semacam polisi UiTM untuk 'brainwash' pelajar supaya bersikap etnosentrik dan rasis. Malah, mereka diajar supaya berbangga dengan sikap perkauman.

“Pelajar diajar supaya memandang rendah dan menghina kaum lain dan orang bukan Islam. Sepanjang belajar di sana, kempen ini dijalankan secara berterusan bagi memastikan semua graduan UiTM memiliki ketaatan kepada pemerintah dan membenci orang bukan Melayu,” kata Adam dalam mesejnya.

Menurut pemuda itu, kebanyakan pelajar yang masuk ke UiTM datang daripada MRSM, sekolah berasrama penuh, sekolah vokasional dan sebagainya di mana mereka hanya bergaul dengan kelompok Melayu-Islam.

Maka, kerja 'brainwash' yang sudah bermula sejak awal memang mudah untuk diteruskan di UiTM.

Masalah kelompok orang Melayu-Islam yang hampir tidak tahu apa-apa mengenai orang bukan Melayu dan bukan Islam turut disentuh oleh T Gopal, seorang guru yang berasal dari Serdang dan kini tinggal di Selayang.

“Saya pernah menghadiri kursus anjuran majikan saya di Jerantut, Pahang beberapa tahun lalu. Hampir 30% peserta adalah penganut Hindu. Malangnya kami disajikan masakan daging lembu oleh pihak pengurusan resort terbabit.

“Alasan yang diberikan adalah bahawa mereka tidak tahu-menahu orang India-Hindu tidak makan daging lembu! Apabila diselidik, ternyata individu terbabit tidak pernah bergaul dengan kaum lain sejak kanak-kanak,” kata Gopal.

Guru berkenaan mempunyai pandangan hampir sama dengan Adam; di mana kebanyakan orang Melayu-Islam lulusan UiTM sudah melalui proses 'brainwash' secara terancang sejak kanak-kanak.

Maka, katanya, individu terbabit juga sebenarnya “mangsa” yang tidak bersalah.

Peluang penganjur “menebus dosa”

Penduduk Sarawak turut membuat laporan polis. – Gambar ihsan Daniel, 12 Mei, 2014.Penduduk Sarawak turut membuat laporan polis. – Gambar ihsan Daniel, 12 Mei, 2014.Seorang lagi graduan UiTM (2005), Hafidz Baharom juga berkongsi pandangan menerusi Facebook.

Aktivis ini yang tinggal di Shah Alam sedikit pun tidak terkejut dengan isu seminar anti-Kristian yang berlangsung di institusi pengajian tinggi tersebut.

“Saya tidak akan terkejut jika pelajar yang menghadiri seminar itu diberitahu bahawa mereka wajib hadir jika mahu lulus subjek tertentu. Memandangkan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hadir sama, maka tidak hairanlah pelajar beberapa sekolah menengah dibawa masuk untuk meramaikan peserta,” kata Hafidz.

Pada pandangannya, penganjur seminar tersebut perlu disiasat dan diambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang.

Selain itu, Mais selaku penerbit buku Pendedahan Agenda Kristian perlu turut dipersalahkan kerana mengedarkan buku itu kepada para peserta seminar.

“Kalau ada orang Kristian atau Islam yang mahu membuat laporan polis berhubung penganjuran seminar itu dan pengedaran buku berkenaan, saya akan turut serta,” Hafidz menekankan.

Dua hari selepas seminar berlangsung, saya (pengamal multifaith) dan Perzeus James (penganut Kristian Katolik) sama-sama pergi membuat laporan rasmi di Balai Polis Taman Sri Muda, Shah Alam.

Khabarnya ramai juga orang Islam dan Kristian di Sabah dan Sarawak turut membuat laporan polis.

Seperti kata Hafidz, universiti memang wajar dijadikan tempat untuk berbahas, berdialog dan berhujah secara akademik berhubung pelbagai perkara, termasuk topik agama.

“Tetapi universiti bukan tempat untuk menyebarkan rasa kebencian dan perasaan takut, serta menyampaikan maklumat yang salah mengenai sesuatu agama yang tidak sepenuhnya difahami oleh penceramah terbabit,” tegas penulis itu.

Hafidz turut menekankan bahawa kini hanya ada satu cara untuk UiTM membetulkan keadaan serta “menebus dosa” berikutan penganjuran seminar yang terbukti berniat jahat dan mahu menghancurkan keharmonian masyarakat.

“Saya menggesa UiTM mengundang sekumpulan penceramah Kristian untuk datang bercakap mengenai isu kewujudan kelompok orang Islam yang sangat prejudis dan sering menghasut orang membenci masyarakat bukan Islam,” katanya dengan sinis.

Kita nantikan sama ada UiTM cukup “jantan” untuk menerima cabaran itu.

Bagaimanapun, memandangkan ia umpama menanti bulan jatuh ke riba, mungkin kita nantikan sahaja sama ada pihak berkuasa cukup “jantan” untuk mengambil tindakan yang adil terhadap penganjuran seminar berkenaan.

Malangnya, apakah itu juga umpama menanti bulan jatuh ke riba?

Sama-sama kita nantikan perkembangan kes ini (termasuk laporan dari Sarawak dan Sabah) yang khabarnya sedang disiasat Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam dan IPD Shah Alam. – 12 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments