Ketika rakyat Malaysia meraikan kepelbagaian dan berusaha memupuk perpaduan, masih wujud jurang yang memisahkan.
Hal ini turut berlaku dalam bidang sastera dan penulisan melibatkan pengarang pelbagai kaum dan bahasa.
Walaupun sastera dan karya Bahasa Malaysia diangkat dan diraikan sebagai sastera kebangsaan, kewujudan karya bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin, serta bahasa pelbagai etnik Sabah dan Sarawak harus diberikan pengiktirafan sewajarnya.
Namun, pada penelitian saya sejak 1990-an, masih timbul jurang antara penulis karya bahasa kebangsaan dan penulis karya bahasa lain di Malaysia.
Misalnya, hanya penulis Malaysia yang menghasilkan karya bahasa Malaysia layak dicalonkan sebagai penerima Sea Write Award.
Walaupun Thailand selaku penganjur tidak meletakkan syarat bahasa, dalam konteks di Malaysia, hanya penulis yang menghasilkan karya bahasa kebangsaan diangkat sebagai penerima anugerah berkenaan.
Hal ini berbeza, misalnya, dengan Singapura yang mengiktiraf penulis yang menghasilkan karya dalam pelbagai bahasa.
Pada masa sama, kelompok penulis Tamil selalu meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana hasil karya mereka masih dianggap sebagai “karya luar” sedangkan kisah yang dipaparkan dalam cerpen dan novel berlatarkan Malaysia.
Rasa kecewa ini pernah diluahkan bekas presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, P Rajendran apabila saya mewawancara beliau untuk sebuah rencana bagi majalah Dewan Sastera (Mac 2006).
“Kenapa sastera Tamil tidak boleh diiktiraf sebagai sastera kebangsaan? Untuk mengatakan hanya sastera bahasa Malaysia sebagai sastera kebangsaan adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Karya Tamil yang dihasilkan tetap mempunyai nadi dan jiwa Malaysia. Pandangan sastera Tamil hanya berkisar tentang kaum India adalah tidak benar sama sekali,” tegasnya.
Sewaktu ditemui bagi rencana yang sama, penulis terkenal, Saroja Theavy Balakrishnan berkata, hanya karya yang dihasilkan dalam bahasa kebangsaan wajar dan berhak diiktiraf sebagai sastera kebangsaan.
Kelompok penulis Malaysia masih terpisah
“Pada pandangan saya, sastera kebangsaan merujuk pada karya bermutu tinggi yang dihasilkan oleh penulis pelbagai kaum di Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan.
“Karya yang diiktiraf sebagai sastera kebangsaan juga perlu mampu mencerminkan pemikiran dan keperibadian masyarakat Malaysia yang mengamalkan pelbagai adat, budaya dan pemikiran,” kata Raja Rajeswari Seetha Raman.
Pada pemerhatian saya, kekurangan interaksi antara kelompok penulis bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin (serta bahasa lain) menjadi punca utama wujud kerenggangan dan salah faham.
Sering kali kita perhatikan sendiri acara sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menjurus kepada penyertaan penulis dan khalayak Melayu saja.
Penganjur memberikan alasan, kaum lain kurang menunjukkan minat. Kaum bukan Melayu memberikan alasan, acara DBP, Gapena dan Pena (sekadar contoh) terlalu berciri Melayu dan Islam.
Dengan kata lain, tidak berciri inklusif. Khalayak bukan Melayu dan bukan Islam yang hadir akan rasa canggung dan terasing, kecuali jika mereka boleh berasimilasi dengan budaya Melayu-Islam.
Di pihak penganjur acara sastera Tamil dan Mandarin pula, bahasa pengantar sering menjadi kekangan untuk menarik penyertaan khalayak pelbagai kaum.
Pada masa sama, acara sastera yang menggunakan bahasa Inggeris dilihat sebagai eksklusif untuk khalayak berpendidikan barat. Malah, sering pula dikaitkan dengan kekurangan moral (dari kaca mata pihak tertentu).
Baru-baru ini, seorang penulis kaum India diundang ke suatu acara puisi sempena Malaysian Writers Book Festival.
Penulis wanita itu dengan bangga memaparkan di facebook, dia meletakkan syarat akan memenuhi undangan hanya jika dia diberikan hak istimewa menyampaikan sajak bahasa Malaysia.
Anehnya, acara yang dianjurkan tidak meletakkan syarat bahasa. Malah, lebih 50% persembahan puisi dan lagu puisi pada acara itu adalah dalam bahasa Malaysia. Saya sendiri turut mendeklamasikan sajak Tamil.
Ruang pertemuan penulis pelbagai bahasa
Semua ini sebenarnya berlaku akibat prasangka dan prejudis berikutan tiada hubungan intim antara kelompok yang berbeza, hidup dalam dunia sendiri.
Saya secara peribadi amat bertuah kerana boleh menyertai acara sastera dalam pelbagai bahasa atau kaum.
Sebenarnya, kekurangan komunikasi juga wujud dalam kalangan penulis kaum India. Pengkarya bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris hidup dalam dunia yang berbeza.
Pada hemat saya, Malaysian Writers Book Festival yang diusahakan oleh Tina Issac dan Gina Yap berjaya membuka ruang pertemuan antara penulis pelbagai kaum dan bahasa.
Para penulis dan peminat yang menghadiri siri aktiviti sepanjang Oktober 2015 tidak menghadapi sebarang masalah untuk berinteraksi serta berkongsi kisah dan pengalaman.
Namun begitu, penyertaan kelompok penulis bahasa Melayu dan Tamil masih kurang. Hal ini mungkin berlaku kerana acara anjuran Malaysian Writers Group masih dianggap eksklusif untuk khalayak sastera Inggeris.
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 pula menganjurkan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya menggunakan bahasa Malaysia, tetapi terbuka kepada khalayak pelbagai kaum.
Pada 1 November 2015, dengan kerjasama Pusat Kebudayaan India (ICC) di bawah Suruhanjaya Tinggi India, Kavyan mengatur Pertemuan Penulis Kaum India Malaysia.
Walaupun hanya dihadiri 12 individu, pertemuan kami mencapai objektif membina interaksi, hubungan dan kerjasama dalam kalangan penulis kaum India yang menghasilkan karya pelbagai bahasa.
Seterusnya, para penulis yang bertemu berbincang, lalu memutuskan untuk menganjurkan “Baca Karya Penulis Malaysia” pada 20 Disember 2015 di ICC, Brickfields.
Undangan sudah dikirim kepada individu dan persatuan penulis pelbagai kaum dan pelbagai bahasa. Semoga acara yang dipromosikan di kavyan.blogspot.my mendapat sambutan para pengarang Malaysia.
Sama-samalah kita meraikan kepelbagaian dan memupuk perpaduan. – 10 November, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments