Opinion

Saya, MPR dan DBP

Pengalaman menyertai MPR pada 1991 sentiasa menjadi kenangan. - 16 September, 2013.Pengalaman menyertai MPR pada 1991 sentiasa menjadi kenangan. - 16 September, 2013.Sedar tak sedar, sudah 22 tahun saya menulis secara profesional; walaupun hanya sekitar dua setengah tahun menjadi penulis sepenuh masa.

Sempena sambutan Hari Malaysia dan Onam (pesta menuai bagi masyarakat Malayali) yang jatuh pada tarikh yang sama (hari ini) serta Bulan Bahasa Kebangsaan (Oktober-November), saya memutuskan untuk mengimbas kenangan silam berdasarkan catatan-catatan lama.

Sekiranya direnung kembali, ternyata perjalanan awal saya ke arah menjadi seorang penulis profesional dan penulis sepenuh masa bermula dengan langkah menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) pada 19-23 Ogos 1991.

Terdahulu, semasa belajar di SRK Convent Aulong, Taiping, saya banyak membaca buku cerita yang dipinjam dari perpustakaan kecil di sekolah. Kemudian, semasa belajar di SM Darul Ridwan (SMDR), Taiping, minat membaca itu berkembang pula menjadi minat menulis karya kreatif.

Tentu sahaja saya amat terhutang budi kepada guru-guru dan kakitangan perpustakaan di kedua-dua sekolah berkenaan yang menjadi pemangkin dan pemberi semangat kepada saya untuk meneruskan minat dalam bidang sastera dan penulisan. Kisah ini ada saya abadikan menerusi cerpen berjudul “e-mel untuk anda” (Dewan Siswa, Mac 2007).

Pada 14 Jun 1991, semasa belajar di SM King Edward VII (SMKEVII), Taiping, saya berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Encik A. Rahim Abdullah sempena pesta buku di Dewan Majlis Perbandaran Taiping. Saya juga memberanikan diri untuk berbual-bual bersama beliau yang merupakan pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada waktu itu.

Sejak dahulu, manuskrip disemak berulang kali bagi memastikan tiada kesalahan.  - 16 September, 2013.Sejak dahulu, manuskrip disemak berulang kali bagi memastikan tiada kesalahan. - 16 September, 2013.Beberapa hari kemudian, saya mengirimkan manuskrip cerpen Mereka Tidak Mengerti dengan harapan akan disunting, dikomen dan dikembalikan. Sebaliknya, beliau rupa-rupanya menyalurkan manuskrip saya kepada editor Dewan Siswa dan pada 26 Julai 1991, saya menerima undangan menyertai MPR.

Sepanjang MPR, saya berpeluang berguru pada tiga Sasterawan Negara iaitu Pak Arenawati (Allahyarham), Pak Shahnon Ahmad dan Pak A. Samad Said. Tidak ketinggalan juga Pak Othman Puteh (Allahyarham), Pak Rahman Shaari dan Pak Ali Majod (Allahyarham).

Bayangkan! Seorang anak muda dari sebuah kampung terpencil di Aulong Lama, Taiping berpeluang menimba ilmu daripada tokoh-tokoh hebat dalam kesusasteraan negara. Demikian juga saya tegaskan dalam sebuah catatan yang disiarkan di majalah Tunas Cipta (Oktober 2012).

Othman Puteh menjadi penyuntik semangat

Selepas sekian lama “berguru” pada mereka menerusi karya, akhirnya saya berpeluang bersemuka dengan mereka. Saya ada berkongsi pengalaman ini semasa sesi perbincangan proses kreatif di Sudut Penulis DBP sempena MPR pada 26 Mei 1997.

MPR 1991 juga mempertemukan saya dengan Roslan Jomel, Saharil Hasrin Sanin dan Salina Ibrahim; antara individu yang kemudian mencipta nama dan semakin gah dalam bidang penulisan tanah air. Mereka antara bukti kejayaan MPR 1991.

Kalau semasa sekolah menengah saya menulis untuk kepuasan diri, selepas menyertai MPR, saya mengirimkan beberapa manuskrip kepada arwah Othman Puteh untuk diantologikan. Sejak itu, sehingga beliau meninggal dunia pada 19 Oktober 2003, Allahyarham sentiasa menghubungi saya apabila memerlukan cerpen atau cerita rakyat bagi antologi yang diselenggarakan.

Saya menghadiri MPR sebagai individu yang belum ada sebarang karya tersiar (kecuali dalam majalah sekolah). Selepas menyertai MPR, saya mula mengirim satu demi satu manuskrip cerpen ke pelbagai akhbar dan majalah arus perdana.

Ramai juga yang bertanya (dan tertanya-tanya) bagaimana karya saya sering mendapat tempat di hati editor akhbar dan majalah. Walaupun saya “orang baru”, ada dua perkara yang sering diakui oleh para editor sebagai “kelebihan” pada manuskrip-manuskrip yang saya kirim.

Pertama, cerita dan teknik penceritaan yang berbeza berbanding apa yang sering ditulis orang lain. Kedua, kesalahan bahasa yang sangat minimum. Saya akui bahawa saya sering berpegang pada pendirian ini: “Permudahkan kerja editor sebagaimana Tuhan permudahkan urusan kita.”

Walaupun sudah bergelar penulis, saya tidak berhenti daripada menghadiri bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkan pelbagai pihak. Saya percaya bahawa masih banyak ilmu dan pengalaman yang boleh ditimba daripada setiap tenaga pengajar.

Antara tahun 1991 dan 1994, saya menaip manuskrip cerpen menggunakan mesin taip terpakai jenama Olivetti Lettera 32 yang saya beli pada Oktober 1990 menggunakan wang mengajar kelas tambahan di Aulong Lama. Mulai 2 April 1994, saya menggunakan komputer riba AcerNote 530 yang saya beli menggunakan honorarium penulisan.

Urusan mengirim manuskrip cerpen menjadi lebih mudah selepas saya mempunyai akses internet dan e-mel. Namun begitu, saya tetap berpegang pada pendirian mahu mempermudahkan kerja editor sebagaimana Tuhan mempermudahkan urusan saya.

Memilih menjadi penulis sepenuh masa

Semasa saya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, saya bersama-sama beberapa rakan mula mengendalikan siri ceramah dan bengkel penulisan cerpen. Aktiviti ini dilakukan antara lain bagi mencungkil bakat Antara karya awal yang kini sudah tiada dalam pasaran.  - 16 September, 2013.Antara karya awal yang kini sudah tiada dalam pasaran. - 16 September, 2013.muda yang boleh dicalonkan untuk mengikuti MPR.

Pada 22 Ogos 1999, beberapa penulis kaum India yang berkarya dalam Bahasa Malaysia bergabung dan mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Organisasi kecil itu terus aktif mengendalikan pelbagai program bahasa, sastera, seni dan budaya dengan kerjasama pelbagai pihak di seluruh negara.

Semasa bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari 1996 hingga 2010, saya masih terus berkarya dan terlibat dalam pelbagai aktiviti sastera. Pengalaman menjadi pensyarah sambilan di beberapa kolej swasta (1999-2007) turut membekalkan bahan dan idea bagi penulisan.

Sesiapa yang membaca cerpen-cerpen saya akan sedar bahawa saya kurang memberi penekanan pada aspek latar tempat dan maklumat fizikal watak. Sebaliknya, saya lebih banyak memberi penekanan terhadap idea dan pemikiran yang mahu dikemukakan. Itu juga antara ilmu yang saya peroleh daripada Allahyarham Pak Othman Puteh sepanjang mengenali beliau.

Saya tidak suka bercerita bertele-tele tanpa ada sebarang maklumat, idea atau ilmu yang mahu dikongsikan menerusi karya yang disajikan kepada khalayak. Namun, saya juga sedar bahawa selera setiap individu (pembaca) adalah berbeza.

Saya tahu bahawa saya tidak boleh memenuhi selera setiap pembaca. Kalaulah ada sepuluh pembaca yang mampu memahami dan menghayati karya yang saya hasilkan, itu sudah memadai.

Sejak Mac 2011, saya memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa. Saya menulis secara berkala di beberapa portal berita dalam talian selain terus menyumbangkan bahan (fiksyen dan makalah) ke beberapa majalah bercetak. Maka cabaran adalah lebih besar jika saya cuba memenuhi selera setiap pembaca – yang kini boleh mengakses tulisan saya dari seluruh dunia.

Saya juga kerap mengangkat budaya kaum India dalam cerpen, novel dan makalah yang ditulis. Sejak awal perkenalan kami, Allahyarham Othman Puteh dan Pak Samad tertarik pada ciri berkenaan dalam karya-karya saya.

Kemampuan saya menyajikan citra budaya masyarakat India dilihat sebagai satu lagi kekuatan yang wajar dikekalkan dan terus dikembangkan demi memperkaya khazanah sastera kebangsaan.

Tohmahan, fitnah tidak patahkan semangat

Namun begitu, pada September 2012, buat pertama kali, sebuah cerpen saya ditolak seorang penolong editor sebuah majalah dengan alasan ada unsur penyebaran agama Hindu!

Walau bagaimanapun, cerpen itu kemudian tersiar di majalah Dewan Sastera (Februari 2013); walaupun kempen anti-Uthaya secara besar-besaran oleh puak tertentu masih hebat dan rancak dijalankan.

Turut mengikuti serta menyokong sastera Tamil, Mandarin dan Inggeris tempatan.  - 16 September, 2013.Turut mengikuti serta menyokong sastera Tamil, Mandarin dan Inggeris tempatan. - 16 September, 2013.Suatu aspek yang cukup ketara – serta menjadi pegangan utama saya – adalah penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan fiksyen, e-mel, blog mahupun kiriman mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Bagi saya, aspek penggunaan bahasa yang betul tidak boleh dipandang ringan dan diperlekehkan.

Aspek penguasaan dan penggunaan bahasa yang betul adalah lebih penting bagi golongan penulis kerana bahasa menjadi wahana utama dalam menyampaikan idea. Perkara ini sentiasa saya tekankan dalam setiap bengkel penulisan yang saya kendalikan bersama-sama Kavyan.

Setiap kali berhadapan dengan peserta bengkel dan ceramah sastera, saya sentiasa terkenang akan pengalaman saya di sekolah rendah dan sekolah menengah. Saya juga sering mengimbas pengalaman saya menghadiri MPR sebagai “budak mentah” berbanding para peserta lain yang sudah ada pengalaman berkarya.

Walaupun sudah 22 tahun sejak saya menghadiri program MPR, masih banyak ilmu yang saya timba pada waktu itu tetapi belum sempat saya curahkan kembali kepada generasi muda. Apa yang sempat dikongsikan menerusi aktiviti anjuran Kavyan dengan kerjasama pelbagai pihak sebenarnya masih belum memadai.

Mungkin sahaja pengalaman dan ilmu yang mampu saya dan Kavyan kongsikan menerusi bengkel dan ceramah sastera tidak seberapa berbanding tokoh-tokoh besar yang lebih hebat dan terpelajar. Namun, seperti kata Mahatma Gandhi: “Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.”

Dalam pada itu, ada masanya saya akan terfikir soalan “bagaimana kalau” (what if). Bagaimana kalau saya tidak pernah berpeluang menyertai MPR? Bagaimana kalau saya berhenti selepas sekadar menulis karya untuk bacaan sendiri dan rakan-rakan?

Mungkin saya telah meneruskan pengajian dalam bidang perundangan, misalnya, dan menjadi seorang peguam yang berjaya. Maka, bayangkan betapa bertuahnya saya kerana berpeluang menyertai MPR sebagai seorang “budak mentah”, 22 tahun dahulu. - 16 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments