Opinion

Sementara sungai masih mengalir…

Novel ini menampilkan unsur 'faksyen' iaitu gabungan fakta dan fiksyen.Novel ini menampilkan unsur 'faksyen' iaitu gabungan fakta dan fiksyen.Hampir sedekad selepas menghasilkan sebuah novel yang tebal – malah terlalu tebal dalam konteks sastera Melayu pada waktu itu – kenapa pula Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) menulis sebuah novel yang hampir satu per tiga ketebalannya?

Novel Salina (1961) – atau judul asalnya Gerhana – menang hadiah penghargaan peraduan menulis novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1957. Apabila diterbitkan dalam bentuk buku, tebalnya melebihi 450 halaman dan dianggap “novel Melayu yang paling tebal pada zamannya”.

Novel ketiga, Sungai Mengalir Lesu (1967) pula sekitar 150 halaman sahaja dan lebih sesuai dikategorikan sebagai sebuah novelet; sebagaimana The Old Man and the Sea (1952) karya Ernest Hemingway.

Pasti ada sebab mengapa Pak Samad secara penuh sedar memilih untuk menulis novel yang pendek/nipis. Tambahan pula, sekiranya diperhatikan, Salina memfokuskan kepada satu watak utama, manakala Sungai Mengalir Lesu menumpukan kepada sekelompok watak iaitu penduduk sebuah kampung.

Pembeli tidak melepaskan peluang mendapatkan tandatangan.Pembeli tidak melepaskan peluang mendapatkan tandatangan.Pak Samad ternyata seorang individu yang penuh misteri. Misalnya, rata-rata peminat sastera – serta masyarakat umum yang peduli – maklum bahawa beliau lahir pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Melaka.

Bagaimanapun, buat pertama kali, poster khas yang disediakan oleh Gemilang Publishing Sdn Bhd untuk Sudut Sasterawan Negara di perpustakaan SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur pada 17 Februari 2014 merakamkan maklumat sebenar mengenai tarikh dan tempat lahir Pak Samad; iaitu pada 8 Februari 1932 di Singapura.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Sungai Mengalir Lesu adalah karya (novel) yang paling disenangi oleh Pak Samad. Perkara ini dapat diperhatikan sekiranya novel berkenaan diteliti sebagai karya yang merakamkan jiwa dan pengalaman pengarang. Perkara ini turut saya nyatakan semasa menjadi pembicara novel berkenaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 1 April 2014.

Edisi terjemahan Inggeris kurang menyengat

Bab kedua yang bermula dengan kisah barisan tawanan perang semasa British menyerah kalah (Februari 1942) tidak syak lagi adalah berdasarkan apa yang dilihat sendiri oleh Pak Samad (pada usia kanak-kanak) di hadapan rumahnya di Victoria Street, Singapura.

Ternyata Sungai Mengalir Lesu adalah faksyen (faction) di mana fakta, sejarah, pengalaman dan kejadian sebenar difiksyenkan dengan bauran imaginasi. Sebagai seorang seniman dan sasterawan, tentulah pengkisahan “sejarah” itu dipengaruhi pula oleh emosi; apatah lagi Pak Samad melalui sendiri kebanyakan peristiwa cemas (1942-1945) yang disajikan menerusi karya ini.

Selepas diterbitkan oleh Pustaka Gunung Tahan, Kuala Lumpur pada 1967, novel ini diterbitkan kali kedua pada 1975 oleh Pustaka Nasional Singapura. DBP pula sudah banyak kali menerbitkan dan mengulang cetak novel ini sejak 1984.

Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menerbitkan terjemahan dengan judul Lazy River (2010) tetapi ternyata – pada pandangan saya – Harry Aveling gagal “menterjemah” gaya bahasa, jiwa, keindahan dan penderitaan yang disajikan oleh Pak Samad.

Masalah seperti ini bukanlah sesuatu yang baru dalam perkembangan sastera tanah air. Novel Salina turut diterjemahkan oleh Harry Aveling pada 1976 tetapi versi Bahasa Inggeris gagal merakamkan jiwa dan kisah yang berlaku di Kampung Kambing.

Versi Bahasa Inggeris yang diterjemahkan oleh Hawa Abdullah dan diterbitkan DBP pada 1991 pula disifatkan oleh Lalitha Sinha sebagai masih “canggung” (awkward). Akhirnya, Lalitha sendiri melakukan terjemahan “paling baik” dan novel terjemahan kali ketiga itu diterbitkan oleh ITBM pada 2013.

Novel Salina – versi asal – turut diterbitkan semula oleh Wira Bukit Sdn Bhd pada 13 Oktober 2012 dalam edisi terhad. Kebetulan, Konsert Bersih berlangsung pada tarikh sama di Kelana Jaya, Selangor. Malangnya, golongan politikus dan penyokong Pakatan Rakyat yang kononnya menyokong perjuangan Pak Samad memandang novel itu dengan sebelah mata.

Alasan yang diberikan adalah bahawa harga novel berkenaan terlalu mahal. Apabila disuakan dengan buku-buku lain karya Pak Samad yang dijual pada harga RM10 senaskhah, masih ada yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak membeli.

Exco berhutang belasan ribu ringgit

Menurut sumber, Kerajaan Negeri Selangor yang memberikan Anugerah Sasterawan Tamu Selangor kepada Pak Samad pada 26 September 2012 turut membeli beberapa lukisan karya asli seniman ini untuk dihadiahkan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selepas perkara ini saya dedahkan secara terbuka sewaktu membicarakan Sungai Mengalir Lesu (1 April 2014) serta dilaporkan di media dan tersebar menerusi laman rangkaian sosial keesokannya, barulah keluar berita bahawa “Exco Selangor akui tak bayar lukisan Pak Samad” (The Malaysian Insider, 2 April 2014) dan “Kerajaan Selangor akan bayar lukisan Pak Samad” (Malaysiakini, 2 April 2014).

Soalnya, apakah kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dua kali lima, lima kali dua? Masakan Exco terbabit terlupa atau terlepas pandang bahawa segala hasil seni – buku dan lukisan – adalah sumber pendapatan Pak Samad, dan tidak wajar diambil secara percuma.

Baru-baru ini, dalam kehangatan Kajang Move, Pak Samad – serta beberapa lagi penyair dan seniman – yang diundang menyampaikan sajak penuh semangat sebagai sebahagian kempen Pilihan Raya Kecil DUN Kajang hanya dibayar dengan secawan teh O.

Perbuatan yang amat memalukan ini turut saya nyatakan secara terbuka semasa pembentangan yang turut dihadiri Pak Samad. Lalu, dimaklumkan beberapa hadirin – penyair dan seniman terbabit – bahawa mereka sudah menerima bayaran; walaupun “agak lewat”.

Selepas terbitnya Salina (2012), buku-buku Pak Samad mula “hilang” dari rak kedai-kedai buku terpilih seluruh negara. Malah, pengedar memulangkan stok kepada penerbit (Wira Bukit Sdn Bhd). Penerbit tertentu pula menghentikan pengedaran semua judul buku Pak Samad walaupun masih ada stok. Saya yakin bahawa ada “wahyu” daripada kuasawan tertentu yang menyebabkan hal ini berlaku.

Untuk rekod, Pak Samad amat saya kagumi atas kelantangannya “bersuara” – secara langsung dan juga menerusi penulisan. Walaupun belakangan ini beliau dilihat sebagai individu yang bersuara lantang menentang pemerintah, apa yang sebenarnya dilakukan sejak dahulu adalah bersuara menentang sebarang bentuk penindasan, ketidak adilan dan kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

Walaupun “dipulaukan” pemerintah dan kuasawan – serta sesekali amat jelas “dipergunakan” Pakatan Rakyat – Pak Samad meneruskan perjuangan menerusi penulisan. Kumpulan puisi Di Atas Padang Sejarah (2013) dan novel Sungai Mengalir Lesu (2014) diedarkan terus oleh Wira Bukit Sdn Bhd yang diuruskan oleh anaknya, Helmy Samad.

Novel yang malar (evergreen) ini diterbitkan semula untuk tatapan generasi baru.Novel yang malar (evergreen) ini diterbitkan semula untuk tatapan generasi baru.Kelahiran semula Sungai Mengalir Lesu dalam edisi baru – dengan urusan penerbitan oleh Helmy, serta penyuntingan oleh Era Ramly dan Shahrul Rock – bukan sahaja mengajak kita mengimbas serta membayangkan suasana semasa Perang Dunia Kedua. Sebaliknya juga mengkagumi perjuangan satu-satunya Sasterawan Negara yang layak digelar sebagai Sasterawan Rakyat. (Bersambung) – 7 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments