Sejak awal Disember 2014, saya terdengar satu promosi khas berkaitan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di MinnalFM, iaitu stesen radio Tamil milik Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Promosi khas itu disiarkan sekurang-kurangnya sekali setiap jam bagi menggesa ibu bapa Tamil menghantar anak-anak ke SJKT kerana “sekolah Tamil adalah identiti kita”.
Pada 26 Disember 2014, saya menggunakan ruangan status Facebook untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada RTM dan menteri terbabit kerana memberikan ruang seluas-luasnya bagi penyiaran promosi itu.
Orang ramai yang berpeluang mendengar promosi itu pasti sedar betapa ia menyampaikan mesej tersirat, seolah-olah hanya SJKT identiti dan jati diri kaum India.
Untuk makluman, kaum India di Malaysia sebenarnya terdiri daripada pelbagai keturunan (contohnya Malayali, Telugu dan Tamil) yang berbangga dengan bahasa ibunda masing-masing (contohnya Malayalam, Telugu dan Tamil).
Bersama-sama rakaman penghargaan di Facebook, saya mencatatkan “untuk rekod, keluarga saya pergi ke sekolah kebangsaan (SK) dan kami masih mengekalkan identiti dan jati diri.”
Paparan tersebut segera mendapat reaksi daripada pensyarah Bahasa Tamil di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Mannar Mannan Maruthai.
“Apa maksud anda dengan ‘keluarga saya pergi ke SK dan kami masih mengekalkan identiti dan jati diri’? Nampaknya saudara memperlikan usaha MinnalFM,” katanya.
Memang menghairankan kerana tiada sebarang unsur memperli pada paparan berkenaan. Apa yang saya tulis adalah 100% fakta.
Masakan saya mahu menipu dengan mengatakan kami sekeluarga (sejak 1970-an hingga kini) pergi ke SJKT sedangkan kami sebenarnya ke SK.
Atau mana boleh saya menipu dengan berkata kononnya kami sekeluarga hilang identiti dan jati diri sebagai kaum India dan keturunan Malayali serta penutur Bahasa Tamil kerana tidak pergi belajar ke SJKT?
Ebenezer Jegatheesan yang berasal dari Muar, Johor menulis komen beliau menghormati pandangan Mannar Mannan.
“Asalkan Uthaya masih mengekalkan identiti kaum India, saya tidak melihat sebarang masalah. Malah saya sendiri belajar di SK. Penguasaan Bahasa Tamil saya amat sederhana tetapi sekurang-kurangnya saya mampu bertutur menggunakan bahasa itu,” kata pelajar diploma pengurusan perniagaan itu.
Pada pandangan Kalidas Muniandy dari Pulau Pinang, ada pihak yang merasakan tindakan menghantar anak-anak ke SJKT dapat menjamin kelangsungan hidup bahasa dan identiti kaum.
“Ada pula yang kurang bersetuju. Kalau anda fikir anda boleh menghantar anak-anak ke SK dan masih terus mampu mengekalkan identiti, teruskan. Pada saya, ada hubungan erat antara bahasa dan budaya,” kata graduan Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Seorang lagi rakan dari Pulau Pinang, Krishnan @ Krishna berpendirian tegas “dengan menghantar anak-anak ke SJKT, kita sedang mencipta lebih banyak peluang bagi masyarakat kita sendiri.”
Seorang peguam, Vehl Murali dari Kuala Lumpur menegaskan kedudukan Bahasa Tamil sebagai “asas identiti dan budaya Tamil”.
“Identiti amat penting, khususnya di negara ini kerana kita sering diingatkan tentang perkara itu dalam setiap hal. Hilang identiti kaum samalah seperti hilang identiti diri,” kata graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Beliau bagaimanapun mengakui ibu bapa berhak mementingkan aspek kualiti pendidikan berbanding aspek bahasa pengantar dalam membuat pilihan sekolah untuk anak-anak.
Seorang lepasan SK, Aslambigai dari Sentul, Kuala Lumpur meluahkan kekecewaan kerana tidak berpeluang belajar di SJKT; dan tentunya komen beliau mendapat ucapan tahniah (kudos) daripada Mannar Mannan.
“Saya boleh bercakap Tamil di rumah tetapi masalah saya adalah tidak boleh berfikir dalam Bahasa Tamil. Saya berfikir dalam bahasa asing, khususnya Inggeris. Saya sedih kerana saya tidak mampu membaca sastera dan puisi Tamil.
“SJKT adalah jambatan yang menghubungkan generasi akan datang dengan ibu bapa, keluarga, saudara-mara, budaya, sejarah, identiti dan agama. Bahasa Tamil adalah ‘bahasa agama’ yang mampu menjamin generasi akan datang terus mengekalkan kepercayaan dan pegangan agama Hindu,” katanya.
Semasa perkongsian pandangan sedang berlaku secara terbuka di dinding Facebook saya, beberapa orang menghubungi saya secara peribadi.
Hasil daripada belasan mesej peribadi yang saya terima, ternyata kata-kata “keluarga saya pergi ke SK dan kami masih mengekalkan identiti dan jati diri” dianggap menyentuh sensitiviti pihak tertentu.
Kononnya kenyataan atau fakta itu bertentangan dengan kempen besar-besaran yang sedang dijalankan para pejuang Bahasa Tamil untuk menggalakkan ibu bapa kaum India menghantar anak-anak ke SJKT.
Seorang guru sebuah SJKT di Selangor turut menghubungi saya dan meminta namanya tidak dipaparkan kerana takut dipulaukan pihak tertentu.
Katanya, apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada tahun 2003, ramai ibu bapa kaum India menghantar anak-anak ke SJKT. Bukan untuk belajar Bahasa Tamil, tetapi semata-mata kerana PPSMI.
Sejak PPSMI dimansuhkan pada 2012 dan kedua-dua mata pelajaran itu kembali diajar menggunakan Bahasa Tamil di SJKT, kelompok ibu bapa yang mementingkan kualiti pendidikan khabarnya semakin beralih kepada SK atau sekolah persendirian.
“Sebagai usaha menyelamatkan SJKT daripada ditutup, para pejuang Tamil dan politikus kaum India menggunakan sentimen bahasa Tamil, budaya Tamil dan agama Hindu untuk menarik minat masyarakat,” kata guru berkenaan.
Seorang guru dari sebuah sekolah menengah di Cameron Highlands, Nachammal Nachiamuthu turut mengingatkan ramai ibu bapa kaum India masa kini memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah persendirian walaupun mereka mencintai bahasa ibunda.
Tentulah makna “budaya Tamil” dan “identiti Tamil” dalam perbincangan yang berlaku sedikit mengelirukan dan agak samar maksudnya. Demikian juga dirasakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdul Rahman Shah menerusi komennya.
“Apakah identiti dan budaya Tamil ditetapkan secara genetik dan biologikal? Apakah hanya ditentukan menerusi penguasaan bahasa, iaitu kemampuan membaca dan bertutur Tamil?”
Abdul Rahman mengambil contoh individu yang secara biologikal adalah orang Tamil tetapi tidak tahu bercakap Bahasa Tamil. Beliau bertanya sama ada orang itu akan dianggap “Tamil murtad”.
Seperti yang dapat diduga, tidak ada mana-mana “pejuang Tamil” yang tampil memberikan penjelasan terhadap kekeliruan yang diketengahkan oleh Abdul Rahman.
Tiru Mohan dari Kuala Lumpur mengemukakan beberapa pertanyaan yang juga tidak pula dijawab para pejuang Tamil.
“SJKT selalu menjadi pusat aktiviti agama Hindu. Apakah kaitan antara Bahasa Tamil dan ajaran Hindu dalam konteks pendidikan? Orang selalu keliru dengan agama dan budaya. Ponggal adalah acara budaya, tetapi mengapa acara keagamaan seperti Navarathiri diraikan di sekolah?”
Demikian pandangan pemuda ini, di mana beliau dan isterinya memang bekas murid SJKT. Beliau bukan menolak SJKT, tetapi menegaskan hakikat usaha menyuburkan serta mengekalkan identiti dan bahasa ibunda perlu bermula di rumah, bukan hanya apabila masuk ke sekolah.
Seorang lagi rakan yang berkongsi pandangan ialah Novah Guruloo, graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.
“Kita perlu berbangga dengan adanya salah satu bahasa tertua di dunia, dengan begitu banyak peluang untuk melatih anak-anak berfikir dalam pelbagai bidang.
“Sebagai produk SJKT, saya berbangga dapat bertutur, menulis dan membaca Bahasa Tamil. Bahasa Tamil tidak hanya berpihak kepada satu agama, tetapi dapat menyatukan semua agama serta membuka ruang ke arah perpaduan,” katanya.
Hasil komen yang diterima (khususnya menerusi mesej peribadi), ternyata sentimen terhadap SJKT masih tinggi. Ramai yang melatah apabila saya berterus-terang mengatakan saya dan keluarga belajar di SK, serta kami masih mampu mengekalkan identiti dan jati diri.
Saya meminta rakan-rakan tampil berkongsi pandangan mengenai kehebatan dan kelebihan SJKT. Namun hanya Novah dan Aslambigai tampil merebut peluang itu.
Rata-rata “pejuang Tamil” memilih untuk berdiam diri, mungkin kerana keberatan mengemukakan komen menggunakan Bahasa Malaysia.
Aslambigai menceritakan beliau selalu mendengar daripada rakan-rakannya mengenai kekurangan bahan bacaan serta perkakas teknologi di SJKT.
“Mungkin kerana kekurangan wang, maka kebanyakan SJKT tidak dapat berfungsi setanding SK. Pada saya, kekurangan dan kelebihan SJKT bergantung pada komitmen guru besar dan guru-guru,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun Bahasa Tamil bukan bahasa ekonomi atau bahasa kebangsaan di negara ini, penguasaan bahasa itu dapat membantu percambahan akhlak berprinsipkan jati diri kaum India.
Apa-apa pun, beberapa hari selepas perbincangan berlangsung di Facebook, promosi di MinnalFM mengalami perubahan. Promosi yang disiarkan setiap jam sudah dipendekkan menjadi “SJKT pilihan kita” sahaja.
Apakah saya perlu menarik balik ucapan terima kasih kepada RTM dan menteri terbabit, atau membiarkan “pejuang Tamil” melakukannya? – 5 Januari, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments