Takkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) hilang di Malaysia selagi Umno terus menguasai Putrajaya.
Demikian pandangan yang sudah beberapa kali saya nyatakan secara terbuka, dan sentiasa mendapat reaksi yang pelbagai daripada orang ramai.
Realiti kewujudan MIC sebagai parti politik yang menjadi “penyokong nombor satu” bagi Umno menguatkan lagi kedudukan Umno sebagai “penyelamat” SJKT.
Dong Zhong yang sentiasa berjuang mempertahankan sekolah aliran Cina (rendah dan menengah) sebenarnya turut memberikan “peluang percuma” kepada SJKT untuk terus kekal di bawah tiket sekolah vernakular.
Pada 9 Disember 2015, MinnalFM selaku stesen radio milik kerajaan (baca: Umno) akan mengadakan forum khas untuk menjelaskan mengapa ibu bapa kaum India wajib menghantar anak-anak ke SJKT.
Selaras perkembangan itu, saya menggunakan Facebook lalu meminta orang ramai mengemukakan ciri-ciri positif dan kelebihan SJKT untuk dimuatkan dalam makalah ini.
Malangnya, hanya seorang mengemukakan pandangan. Maka, makalah ini tidak dapatlah 100% memperkatakan hal-hal positif sahaja mengenai SJKT.
Namun, apa yang pasti, SJKT akan terus kekal di Malaysia selagi Umno terus berkuasa, dan MIC terus menjadi penyokong tegar parti politik itu.
Ayuh, kita cuba meneliti beberapa perkembangan positif sejak sekitar empat tahun lalu untuk memahami hakikat ini.
Jumlah SJKT yang disasarkan oleh kerajaan adalah 530 buah, termasuk 6 sekolah yang akan dibina “sebagai usaha meningkatkan lagi sistem pendidikan masyarakat India di negara ini” (Bernama, 4 November 2015).
Pada Jun 2012, semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, beliau mahu SJKT terus wujud serta meminta pemimpin masyarakat India berusaha meningkatkan kemasukan murid ke sekolah berkenaan.
Umno tidak akan mansuh sekolah vernakular
Seperti dilaporkan di Sinar Harian (28 Jun 2012), 265 buah SJKT mempunyai murid kurang daripada 150 orang, manakala 69 buah mempunyai kurang daripada 25 murid.
Memandangkan ada SJKT dengan jumlah murid tidak sampai 10 orang, kempen agresif oleh Umno, MIC dan MinnalFM adalah amat wajar. Apatah lagi, dalam usaha menambah jumlah sekolah aliran Tamil.
Kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta pada 2013 dan RM50 juta pada 2014 bagi meningkatkan taraf pendidikan di lebih 300 SJKT; termasuk “memindahkan sekolah sedia ada ke kawasan atau bangunan baru dan meningkatkan kemudahan termasuk penambahan bilik darjah” (Bernama, 2 Februari 2014).
Segala perhatian khas yang diberikan kerajaan (Umno) kepada SJKT mungkin membuatkan pihak tertentu kurang senang hati.
Tambahan pula, sekolah vernakular sering dituduh menyumbang kepada jurang perpaduan. Kononnya, lahir generasi muda kaum Cina dan India yang tidak tahu Bahasa Malaysia dan kurang semangat patriotik.
Akan tetapi, para pengkritik dan pengampu menerima tamparan hebat apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan kata putus pada 11 Oktober 2015: Kerajaan tidak berhasrat memansuhkan sekolah vernakular kerana tindakan itu bukan dasar Barisan Nasional (BN).
Sikap prihatin Najib dan Umno juga jelas apabila keputusan diambil untuk menyalurkan peruntukan terus kepada pengurusan sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Seperti dilaporkan Astro Avani (15 Februari 2015), Najib tidak gembira dengan kadar pelaksanaan sebelum ini sewaktu wang disalurkan menerusi MIC. Tidak mustahil beliau menyedari berlaku ketirisan.
Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor yang berkongsi pandangan di Facebook berkata, PIBG memainkan peranan penting dalam pembangunan SJKT.
“Peneraju PIBG biasanya terdiri daripada ahli politik yang berpengaruh pada peringkat kawasan. Dengan adanya campur tangan politik, SJKT dikatakan mendapat sumbangan. Tetapi SJKT kecil selalu dipinggirkan,” kata graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.
Ketirisan yang berlaku mungkin menyebabkan Najib mahu menyalurkan dana terus ke sekolah tanpa perlu melalui MIC. Memang elok kerana pelbagai penyelewengan dikhabarkan berlaku selama ini.
Najib pemangkin pembangunan SJKT
Najib memang mahu menjaga dan memelihara tradisi SJKT; sekali gus menjaga hati MIC yang mendabik dada sebagai parti politik tunggal mewakili kaum India dalam kerajaan.
Seperti dilaporkan MyTimes (24 September 2015), Najib diiktiraf MIC sebagai “pemangkin utama pembangunan infrastruktur SJKT”.
“Tempoh 6 tahun ini amat menguntungkan komuniti India, khususnya SJKT, di mana peruntukan infrastruktur pembangunan SJKT lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya. Perdana menteri mahu SJKT terus membangun setaraf sekolah kebangsaan,” kata Presiden MIC Datuk Seri Dr Subramaniam.
Untuk makluman, kerajaan menyalurkan RM7.84 juta kepada SJKT untuk menaik taraf infrastruktur, penyelenggaraan dan menambahbaikkan kemudahan.
Akhbar Utusan Malaysia (28 Oktober 2015) memetik Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata, 111 buah SJKT di Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang sudah menerima peruntukan itu.
Najib juga rajin melawat SJKT dengan iringan penyokong MIC. Misalnya, pada 29 Oktober 2015, beliau mengadakan “lawatan mengejut” ke SJKT Dengkil bagi “meninjau keadaan sekolah dan kebajikan murid”.
Kerajaan memperuntukkan RM710 juta sejak Belanjawan 2009, iaitu meliputi RM690 juta melalui geran dan selebihnya melalui peruntukan tambahan khusus bagi menaik taraf prasarana SJKT.
Pembinaan 6 SJKT baharu juga melibatkan peruntukan khas yang diluluskan Najib “bagi memenuhi aspirasi masyarakat India terus maju dan membangun bersama rakyat Malaysia yang lain” (Bernama, 4 November 2015).
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri turut tampil menyokong SJKT, sekali gus memberi tamparan kepada golongan pejuang sekolah satu aliran.
“Apa yang dipersetujui dalam kontrak sosial janganlah dipertikai,” katanya sambil mengingatkan, kesepakatan mengenai SJKC dan SJKT sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Sinar Harian, 10 Oktober 2015).
Jelaslah, usaha mana-mana pihak mahu memansuhkan SJKT hanyalah mimpi di siang hari; angan-angan Mat Jenin; dan bagai menanti bulan jatuh ke riba. – 8 Disember, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments