Pengalaman membaca autobiografi, memoir dan catatan peribadi memang amat menyeronokkan kerana kita berpeluang menikmati kisah yang diceritakan itu bagaikan penulis bercerita secara langsung kepada kita.
Demikian juga pengalaman membaca buku berjudul 21 Days: A True Story of a Malaysian Hostage in Sierra Leone (2005) terbitan Silverfishbooks.
Buku berkenaan merakamkan secara terperinci pengalaman sebenar Mejar Ganase Jaganathan (kini Leftenan Kolonel) dijadikan tebusan oleh pemberontak Barisan Perjuangan Bersatu atau Revolutionary United Front (RUF).
Beliau memulakan cerita pada 21 Julai, 1999 iaitu tarikh menerima panggilan telefon daripada pegawai sel Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef).
Panggilan itu bagi memaklumkan Ganase dikehendaki bertugas di Republik Sierra Leone sebagai pegawai pemerhati tentera PBB (UNMO) dan pasukannya akan bertolak dalam masa 3 hari lagi.
Dalam bab pertama buku setebal 222 halaman ini diceritakan secara teliti apa yang berlaku, dialami dan dirasai Ganase (dan isterinya, Menaka Aryaduray) dari jam ke jam pada 21-24 Julai 1999.
Bab kedua menceritakan pengalaman tiba di Afrika dan bertugas selama 6 bulan sebelum ditukarkan ke Makeni.
Penceritaan amat terperinci dan pasti menarik perhatian pembaca yang mahukan maklumat lengkap mengenai suasana di Sierra Leone.
Ganase dan Menaka muncul sebagai pencerita
Pada 7 Februari, 2015, saya berpeluang bertemu Encik Raman, pemilik Silverfishbooks yang menerbitkan buku berkenaan.
Beliau mengimbas pengalaman duduk bersama-sama Ganase semasa menghasilkan manuskrip buku berkenaan.
Walaupun tidak berpeluang mendengar sendiri Ganase menceritakan pengalamannya, sekurang-kurangnya saya dapat membaca pengalaman beliau menerusi buku ini.
Dalam bab ketiga, penulis menceritakan pengalaman selepas tiba di Makeni pada 22 Februari 2000. Di sanalah beliau berpeluang bersemuka secara lebih dekat dengan anggota RUF.
Pengalaman penuh debaran dicatatkan pada bab kelima yang menceritakan secara terperinci apa berlaku di Kem Pelucutan Senjata, Makeni pada 1 Mei 2000.
Maka bermulalah pengalaman ngeri Ganase yang turut dijadikan tebusan oleh pemberontak RUF selama 21 hari.
Catatan yang dibuat membolehkan pembaca menghayati secara dekat apa yang berlaku sepanjang tempoh itu.
Sampai di bab ke-10, cerita disampaikan Menaka menggunakan sudut pencerita orang pertama.
Pada waktu ini, saya sudah mula tertanya-tanya siapa sebenarnya penulis buku ini: Ganase atau Menaka? Mungkin sepatutnya nama mereka berdua dinyatakan sebagai penulis pada kulit buku.
Ganase kembali sebagai pencerita pada bab 11 untuk menceritakan apa yang berlaku di kem tahanan pada 8-20 Mei, 2000.
Dalam bab seterusnya, para tebusan dibawa ke Kailahun bagi rundingan pembebasan.
Foto membantu pembaca lebih faham
Peta, kronologi peristiwa serta lampiran yang disertakan membuatkan pembaca tanpa latar ketenteraan juga mampu menghayati buku ini tanpa sebarang masalah.
Lampiran di halaman 206-215 menceritakan latar belakang konflik di Sierra Leone. Pada halaman 216-222, penulis mengimbas kembali peristiwa yang berlaku selepas tarikh berkenaan.
Kedua-dua bahagian ini sangat berguna kepada pembaca biasa seperti saya untuk memahami rentetan peristiwa yang membawa kepada insiden 1 Mei, 2000 dan apa yang berlaku selepas itu.
Buku ini turut memuatkan lebih 20 foto asal yang mampu membantu pembaca "melihat" suasana di Sierra Leone.
Antaranya, foto di Rumah Malaysia di Freetown, lombong berlian, markas RUF di Makeni, pemberontak RUF dan tentera kanak-kanak.
Secara ringkas, insiden tebusan di Kem Demobilisasi berlaku pada 3 petang, 1 Mei 2000. Tawanan dibawa ke Teko Berek.
Sekitar 12.30 tengah malam, 3 Mei 2000, sejumlah 11 tebusan dan 9 tebusan baru dipindahkan ke Matotoka menggunakan kenderaan PBB yang dirampas puak pemberontak.
Menjelang pukul 3.30 pagi hari yang sama, tebusan dibawa pula ke Masingbe, sebelum dibawa ke Small Sefadu pada sekitar 7 pagi.
Pembebasan tebusan dari kem tahanan di Small Sefadu, Sierra Leone bermula pada 12 Mei, 2000 apabila 15 orang dibebaskan. Pada 20 Mei, 2000 tebusan dibawa pula ke Kailahun.
Selepas 21 hari, sejumlah 54 orang yang dijadikan tebusan puak pemberontak RUF dibawa menaiki helikopter dan kapal terbang ke Monrovia dan seterusnya ke Sierra Leone. Drama ngeri itu akhirnya sampai ke penghujung.
Ganase menamatkan tugas sebagai pegawai UNMO dan pulang ke Malaysia pada 29 Julai, 2000. Catatan pengalamannya dalam buku ini berakhir di situ.
Pembaca seperti saya tentu saja ingin tahu apa yang berlaku dalam hidup beliau sehingga tarikh bersara pada Oktober 2013.
Saya mengandaikan Ganase sibuk membuat catatan bagi menghasilkan buku 21 Days; selain tugas-tugas rasmi selepas pulang ke tanah air sebagai seorang wira.
Buku Bahasa Inggeris ini terbit pada Januari 2005. Maka tentulah tidak adil untuk mengharapkan kisah terperinci tentang apa yang berlaku selepas 2004.
Misalnya, semasa buku versi Bahasa Inggeris terbit (2005), bekas presiden Liberia, Charles Taylor belum ditahan.
Hasil pencarian di Internet (CNN, 31 Mei 2012), saya dapati Charles sudah dijatuhi hukuman penjara 50 tahun oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Hague, Belanda.
Usaha menterjemah buku ke Bahasa Melayu
Orang ramai mungkin masih ingat bagaimana sebaik sahaja Ganase pulang pada 29 Julai, 2000 media tempatan membuat liputan meluas.
Tetapi, seperti biasa, tidak lama kemudian, beliau dilupai orang ramai.
Menurut laporan Challenges Forum (16 Mac 2001), Ganase diundang menyampaikan laporan kajian kes bertajuk "The Safety of United Nations and Associated Personnel Working in the Conflict Zone" di Tokyo, Jepun pada Mac 2001.
Pada Jun 2006, beliau dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Khas Sierra Leone dalam kes membabitkan kumpulan ketua pemberontak RUF.
Menurut laporan The Hague Justice Portal (26 Oktober 2009), semua tertuduh dijatuhi hukuman penjara pada April 2009.
Khabarnya, seorang pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah menterjemahkan buku ini ke Bahasa Melayu untuk diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Selepas membaca versi asal Bahasa Inggeris, saya berminat meneliti terjemahan Bahasa Melayu.
Kelahiran buku 21 Hari: Tebusan di Sierra Leone sudah pun dipromosikan oleh penerbit pada akhir Januari 2015. Grafik bagi kulit buku DBP ini khabarnya diusahakan anak perempuan Ganase sendiri.
Khabarnya anak itu juga memberikan sedikit sentuhan teknologi bagi memastikan sekitar 20 foto daripada buku asal kelihatan lebih jelas dalam buku terjemahan.
Berita kelahiran edisi Bahasa Malaysia tentulah sesuatu yang amat menggembirakan kerana pengalaman Ganase kini boleh dibaca lebih ramai rakyat Malaysia.
Kisah yang berlaku selepas Julai 2000
Harapan saya kisah yang berlaku selepas 29 Julai, 2000 turut ditambah dalam buku itu nanti.
Misalnya, pada halaman terakhir buku 21 Days, dinyatakan perbicaraan terhadap Angkatan Lembaga Perjuangan Bersenjata (AFRC) dijangka bermula pada Januari 2005; iaitu pada bulan sama buku itu diterbitkan.
Menaka bernazar untuk mengadakan upacara sembahyang khas di kuil serta menyampaikan sumbangan ke rumah anak yatim jika suaminya pulang dengan selamat (halaman 155).
Saya berminat untuk tahu sama ada nazar itu dipenuhi. Saya juga ingin melihat sama ada "God" diterjemahkan sebagai "Tuhan" (kata nama khas) atau dijadikan "tuhan" (kata nama am) saja dalam buku DBP.
Apa-apa pun, sekiranya buku terjemahan oleh DBP diterbitkan pada 2015, tentulah bagus jika ia dikemas kini supaya maklumat yang disajikan tidak lapuk atau ketinggalan.
Tambahan pula, buku ini suatu dokumen penting dalam bidang ketenteraan.
Khabarnya, selain editor DBP, tugas menyunting manuskrip versi Bahasa Melayu turut dipikul adik ipar penulis itu sendiri yang bertugas di Universiti Sains Malaysia (USM).
Semoga hal-hal kecil yang saya nyatakan diberikan perhatian sebelum buku diterbitkan.
Saya percaya sebaik urusan hak cipta, hak penerbitan dan hak penterjemahan antara DBP dan Silverfishbooks selesai, orang ramai akan berpeluang membaca kisah benar ini berserta beberapa maklumat tambahan dan terkini. – 10 Mac, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments