Opinion

Tentang anjing dan babi

Syed Azmi Alhabshi tiba-tiba memohon maaf atas penganjuran acara I Want To Touch A Dog. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Oktober, 2014. Syed Azmi Alhabshi tiba-tiba memohon maaf atas penganjuran acara I Want To Touch A Dog. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Oktober, 2014. Semasa pelbagai pihak sibuk berbahas mengenai acara "I Want to Touch a Dog" (19 Oktober 2014) serta tindakan Syed Azmi Alhabshi (penganjur) tiba-tiba memohon maaf, saya memilih untuk membaca buku Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim (2009) terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.

Buku ini tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir dan diberikan kepada para peserta Konvoi Rumah Ibadat di Seremban, Negeri Sembilan anjuran bersama Hidayah Centre Negeri Sembilan dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 17 Februari 2013.

Fiqah (bahasa Arab) atau fikah (Bahasa Malaysia) merujuk kepada pengetahuan tentang ibadat dan hukum-hakam syarak dalam ajaran Islam.

Maka buku setebal 186 ini amat sesuai untuk bacaan orang Islam dan bukan Islam memandangkan realiti bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, agama, kepercayaan dan budaya.

Misalnya, isu yang sering menjadi perbahasan dan polemik – serta sering dipolitikkan dalam usaha politikus mencari publisiti murahan – adalah berkaitan anjing dan babi.

Dalam konteks Malaysia, tentulah mustahil untuk menghapuskan terus kewujudan kedua-dua bintang itu serta mengharamkan sepenuhnya penjualan daging dan makanan berasaskan daging babi.

Malah, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa walaupun daging babi (ulang: dagingnya) diharamkan dalam Islam, daging itu masih boleh dimakan dalam keadaan darurat (Surah al-Baqarah: 173).

Agak menarik juga untuk diperhatikan perbezaan pandangan mazhab Syafi'i, Maliki, Hanbali dan Hanafi berkaitan kenajisan anjing dan babi.

Buku ini membantu menjawab pelbagai soalan sensitif. – Gambar oleh Uthaya Sankar SB, 26 Oktober, 2014. Buku ini membantu menjawab pelbagai soalan sensitif. – Gambar oleh Uthaya Sankar SB, 26 Oktober, 2014. Dalam mazhab Syafi'i, kedua-dua anjing dan babi termasuk kategori najis berat atau najis mughallazah.

Anjing dan kenajisan jilatannya

Buku Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim amat sesuai dijadikan rujukan untuk memahami topik ini serta pelbagai topik yang amat penting dalam mengelakkan prasangka antara agama.

Malah dalam keadaan sekarang, sesuai juga untuk membantu kita memahami isu berkaitan anjing agar tidak ada mana-mana pihak yang boleh memanipulasi fakta untuk mengelirukan orang ramai.

Tentu ramai orang – termasuk orang Islam sendiri – tidak tahu mazhab Maliki dan Hanafi meletakkan anjing sebagai binatang suci (dengan erti kata “tidak najis”).

Dalam mazhab Hanafi dinyatakan mulut dan air liur anjing sahaja yang najis, manakala mazhab Syafi'i menetapkan anjing adalah haram kerana kenajisan jilatannya.

“Imam Abu Hanifah berpendapat anjing adalah najis. Imam Syaukani menyatakan ini adalah pendapat jumhur (majoriti) ulama. Beliau juga membawa beberapa hadis yang menjadi dalil kepada ketidaknajisan anjing,” kata Mohammad Nidzam yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar.

Walaupun majoriti orang Islam di Malaysia adalah pengikut mazhab Syafi'i, elok juga kita ambil tahu apa pandangan dan hujah mazhab-mazhab lain.

Pengikut mazhab Maliki, misalnya, berpandangan anjing adalah suci kerana tidak ada nas (petikan Quran atau hadis yang dijadikan bukti atau alasan) menyebut anjing adalah najis.

Malah, kata mereka, amalan di mana jilatan anjing dibasuh dengan tujuh kali basuhan mengikut nas hadis lebih berupa ta’abbudi iaitu tuntutan ibadah sahaja, bukan kerana dianggap najis.

Tentu sahaja perkara-perkara yang dinyatakan di sini berupaya menimbulkan kemarahan dan rasa tidak selesa, serta pihak tertentu terasa panas punggung.

Pendirian mazhab Maliki diakui lebih praktikal

Harap maklum, apa-apa yang saya ulas di sini adalah berdasarkan buku Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim yang turut menghuraikan fikah berkaitan makanan, arak, perubatan, aurat, perkahwinan dan siasah.

Berbeza dengan mazhab Syafi'i, mazhab Hanafi dan Maliki melihat anjing sebagai suci (tidak najis) kerana penggunaan anjing dalam pemburuan hukumnya harus (jaiz; boleh dilakukan dan boleh juga ditinggalkan serta kedua-duanya tidak berdosa).

“Biasanya anjing menangkap dan menggigit dengan mulutnya. Namun haiwan tangkapan dikira sebagai halal,” Mohammad Nidzam menghuraikan.

Sekiranya orang Islam tersentuh, terpegang atau tergesel anjing, tetapi anjing tidak menjilat orang itu, maka mazhab Syafi'i mewajibkan samak sementara mazhab Maliki tidak mewajibkan samak iaitu basuhan tujuh kali qias berdasarkan hukum dalam Al-Quran dan hadis.

Penulis buku Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim menjelaskan, majoriti ulama masa kini menganggap pendirian mazhab Maliki lebih praktikal.

“Suasana hari ini menyaksikan hubungan masyarakat Muslim dengan non-Muslim makin luas. Masyarakat non-Muslim memelihara anjing. Jika berdasarkan fiqah mazhab Syafi’i sahaja, masyarakat akan menjadi jelik untuk bergaul dengan non-Muslim kerana takut dan khuatir dijilat atau bersentuhan dengan anjing,” ulasnya.

Bagaimana jika orang Islam berjabat tangan dengan orang bukan Islam yang memegang anjing? Bagaimana jika rumah yang dibeli orang Islam dahulu dihuni orang yang memelihara anjing?

Persoalan-persoalan kecil tetapi penting seperti ini dihuraikan dengan jelas menerusi buku ini yang amat sesuai dijadikan rujukan orang Islam dan bukan Islam.

Diceritakan dalam buku ini suatu kisah yang memang sudah diketahui umum dan sering pula digunakan sebagai alasan untuk mengharamkan pemeliharaan anjing oleh orang Islam.

Anjing dan babi di sisi Allah

Terdapat riwayat di mana malaikat Jibril membatalkan janji temu dengan Nabi Muhammad kerana terdapat anjing di dalam rumah baginda.

Malaikat rahmat juga diriwayatkan tidak akan masuk ke rumah orang Islam yang memelihara anjing atau menempatkan patung (berhala).

Namun begitu, sebagaimana dihujahkan pengikut mazhab Maliki, pada zaman Rasulullah, memang banyak anjing berkeliaran di kota Madinah serta masuk ke dalam masjid yang tidak berpintu dan tidak berpagar pada waktu itu.

Perkara yang mungkin kita lupa – atau buat-buat lupa – adalah tidak ada sebarang riwayat atau hadis di mana Nabi Muhammad meminta dinding rumah atau masjid dibasuh dan disamak.

“Ini berbeza dengan kes seorang lelaki yang kencing dalam masjid. Apabila selesai kencing, Nabi Muhammad meminta agar tempat kencing tersebut dibasuh dengan air,” kata Mohammad Nidzam dengan merujuk riwayat  Bukhari dan Muslim.

Segala maklumat yang dikongsikan di sini tidak bertujuan mengeruhkan keadaan berikutan kemarahan dan kenyataan beberapa pihak – khususnya penganut mazhab Syafi'i – selepas acara "I Want to Touch a Dog" mendapat sambutan hangat di luar dugaan.

Sebaliknya, saya sekadar mahu berkongsi fakta yang mungkin tidak diketahui orang, termasuk orang Islam yang tidak pernah didedahkan dengan perkara-perkara yang dianggap terlalu sensitif, mampu menggugat keimanan dan tidak perlu dibincangkan.

Usah kita lupa anjing dan babi juga ciptaan Allah. Usah kita terkeliru dengan hukum haram dan najis sehingga sanggup bertindak penuh emosi melepasi tuntutan agama.

Jangan lupa bahawa nas Al-Quran yang menetapkan daging babi sebagai haram dan najis berat tetap mengharuskan orang Islam makan daging babi dalam keadaan darurat.

Ayuh kita renung-renungkan hukum Allah menggunakan akal (Arab) dan budi (Sanskrit) agar tidak terkhilaf atau tersilap menjatuhkan hukum akibat kejahilan diri. – 26 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments