Dari masa ke semasa, pasti ada politikus, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu ultra-kiasu, fanatik, rasis dan etnosentrik membuat kenyataan melampau kononnya orang bukan Melayu di Malaysia tidak mencintai, kurang menggunakan dan belum menguasai bahasa kebangsaan.
Ternyata segala tuduhan dan fitnah ini bertujuan mencari publisiti murahan serta mencetuskan pergeseran dalam kalangan penduduk pelbagai kaum, etnik dan latar belakang pendidikan yang hidup aman di negara bertuah ini.
Apabila bercakap mengenai orang “bukan Melayu” tentulah ia tidak hanya merujuk kepada orang Cina dan India yang selalu (dan masih) dipandang, dilayan dan diperlakukan seperti “pendatang”.
Kita perlu akur bahawa golongan yang dimaksudkan termasuk pelbagai etnik dan sub-etnik di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asal di Semenanjung Malaysia.
Ringkasnya, sesiapa yang tidak ada DNA Melayu-Islam, maka dikatakan tidak mencintai, kurang menggunakan dan belum menguasai bahasa kebangsaan.
Anehnya, sebaik sahaja seseorang meninggalkan agama asal dan “masuk Islam” maka dia secara automatik dianggap orang Melayu dan seolah-olah sudah menjadi pakar bahasa Melayu dan Arab.
Memanglah ramai individu kaum India dan Cina – khususnya politikus – yang belum menguasai Bahasa Malaysia; walaupun istilah berkenaan sudah diperkenalkan sejak 1970 bagi membuktikan bahasa kebangsaan adalah milik setiap rakyat Malaysia.
Namun janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Janganlah kerana wujud beberapa individu tidak berguna yang belum mampu berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul, maka semua orang bukan Melayu dicap (bukan “dicop”) sebagai “pendatang yang tidak tahu bahasa kebangsaan”.
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada Ogos 1999 mempunyai pengalaman mengendalikan pelbagai acara bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya di seluruh negara.
Kesemua aktiviti Kavyan menggunakan Bahasa Malaysia dan disertai pula oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Saya pula secara peribadi mempunyai hubungan rapat dengan kelompok penulis dan persatuan penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil, Mandarin dan Inggeris.
Fahami realiti sebelum buka mulut
Dalam hubungan seharian, saya mengenali ratusan individu bukan Melayu daripada pelbagai bidang, kerjaya, latar belakang dan pendidikan yang menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa – termasuk Bahasa Malaysia.
Kelompok politikus, NGO dan individu ultra-kiasu, fanatik, pelampau, rasis dan etnosentrik yang menuduh kaum bukan Melayu tidak menguasai bahasa Melayu sebenarnya adalah kumpulan katak di bawah tempurung yang hanya menggunakan imaginasi untuk mengeluarkan kenyataan.
Walaupun rata-rata penulis kaum India dan India-Muslim yang menghasilkan karya Bahasa Tamil banyak membaca karya dalam bahasa berkenaan, saya secara peribadi mengenali sejumlah penulis yang mempunyai penggunaan Bahasa Malaysia yang amat membanggakan.
Perkara sama juga saya perhatikan dalam kalangan sejumlah penulis kaum Cina yang menghasilkan karya Bahasa Mandarin. Mereka tetap mempunyai penguasaan Bahasa Malaysia yang hebat.
Tidak ketinggalan kelompok penulis Bukan Melayu yang menghasilkan karya Bahasa Inggeris. Jangan sangka mereka tidak fasih Bahasa Malaysia!
Daripada pengalaman saya pergi ke beberapa tempat di Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun lalu, saya berani mengatakan penduduk bukan Melayu di sana sudah lama menguasai Bahasa Malaysia; khususnya sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 dan sejak istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan pada 1970.
Kavyan ada pengalaman berterusan mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera di sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan Cina (SJKC) lebih sepuluh tahun.
Hasil pengalaman dan penelitian, ramai murid dan guru di SJKT dan SJKC mempunyai minat serta penguasaan Bahasa Malaysia yang sangat menakjubkan.
Saya menjadi penilai Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin anjuran Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu dan melihat sendiri karya (cerpen) yang dihasilkan pelajar sekolah Cina.
Memandangkan puak politikus, NGO dan individu ultra-kiasu, fanatik, pelampau, rasis dan etnosentrik hanya duduk di bawah tempurung, maka mereka pasti tidak menyedari segala perkembangan ini.
Bezakan loghat dan bahasa standard
Ramai juga orang awam “bukan Melayu” yang saya temui dalam urusan seharian mampu berkomunikasi (lisan dan bertulis) menggunakan Bahasa Malaysia.
Dalam kebanyakan situasi, penguasaan Bahasa Malaysia yang dimiliki oleh orang Bukan Melayu adalah lebih baik berbanding orang Melayu yang kita anggap sebagai “penutur asli bahasa Melayu”.
Saya sengaja menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” dan “bahasa Melayu” pada perenggan di atas untuk menunjukkan bahawa seseorang yang merupakan penutur asli bahasa Melayu tidak semestinya mampu menguasai Bahasa Malaysia, iaitu bahasa standard yang diterima sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini.
Kelompok ultra-kiasu, fanatik, pelampau, rasis dan etnosentrik mungkin beranggapan bahawa orang Bukan Melayu di Malaysia perlu mampu bercakap bahasa Melayu loghat utara atau Kelantan sebelum boleh diiktiraf sudah menguasai bahasa kebangsaan.
Mereka sendiri lupa bahawa bahasa/loghat yang mereka gunakan bukanlah Bahasa Malaysia (standard) tetapi bahasa basahan (loghat) yang hanya difahami kelompok masyarakat mereka sendiri.
Politikus, NGO dan individu ultra-kiasu, fanatik, pelampau, rasis dan etnosentrik terbabit sebenarnya mahu menutup kelemahan diri kerana mereka bukan sahaja hanya mampu berkomunikasi menggunakan satu bahasa (bahasa Melayu), malah penguasaan bahasa itu pula tidak sampai ke tahap yang memuaskan.
Maka, cara paling mudah adalah dengan menuduh orang lain – bukan Melayu – tidak menguasai bahasa Melayu. Kenyataan bodoh itu akan diberikan pula pelbagai suntikan berbaur perkauman untuk menonjolkan sikap ketuanan.
Dalam kalangan kelompok orang awam bukan Melayu yang saya sebutkan tadi, memang ramai menguasai Bahasa Malaysia jauh lebih baik berbanding kebanyakan orang Melayu.
Begitu juga sekian ramai penulis bukan Melayu yang menghasilkan karya Bahasa Mandarin, Inggeris dan Tamil.
Mungkin akan ada yang bertanya, kalaulah benar ramai orang bukan Melayu menguasai Bahasa Malaysia, mengapa masih belum ramai penulis Bukan Melayu (khususnya kaum India) menghasilkan karya Bahasa Malaysia.
Bukan Melayu lebih menguasai Bahasa Malaysia
Apa kata kita terbalikkan soalan itu: Kalaulah benar orang Melayu merupakan penutur asli bahasa Melayu dan sudah menguasai bahasa itu, mengapa masih ramai yang tidak menjadi penulis?
Jawapan yang mungkin diberikan: Tidak semestinya semua orang Melayu menjadi penulis.
Nah! Itulah juga jawapan yang boleh diberikan: Tidak semestinya semua orang bukan Melayu yang menguasai Bahasa Malaysia menjadi penulis. Kalau menjadi penulis pun, tidak semestinya mereka menulis karya Bahasa Malaysia sahaja.
Ramai orang awam bukan Melayu menguasai Bahasa Malaysia lebih baik daripada orang Melayu. Tetapi mereka tidak pula menunjuk-nunjuk di depan orang ramai. Mereka hanya menggunakannya apabila perlu.
Begitu juga ramai penulis bukan Melayu yang menghasilkan karya Bahasa Tamil, Inggeris dan Mandarin. Apabila mereka memilih untuk menulis menggunakan bahasa-bahasa selain Bahasa Malaysia, janganlah kita mengandaikan mereka tidak fasih Bahasa Malaysia.
Malah, saya berani katakan bahawa bagi setiap orang Melayu yang benar-benar menguasai Bahasa Malaysia (bukan sekadar loghat Melayu), maka ada tiga orang bukan Melayu yang benar-benar menguasai Bahasa Malaysia.
Namun begitu, tentulah puak ultra-kiasu, fanatik, pelampau, rasis dan etnosentrik akan menggunakan kuasa politik dan media arus perdana untuk menafikan hakikat dan fakta ini.
Laman rangkaian sosial dan blog peribadi juga akan digunakan untuk meneruskan agenda “halau India dan Cina balik ke India dan China”.
Cara paling mudah untuk menafikan hakikat orang bukan Melayu sudah menguasai Bahasa Malaysia adalah dengan menuduh saya bersikap anti-Melayu, serta cuba menghina orang Melayu menerusi makalah ini yang bersifat menghasut.
Atau politikus dan NGO terbabit akan cuba “menutup kemaluan” dengan berkata: “Kami bercakap mengenai penguasaan bahasa Melayu (loghat), bukannya Bahasa Malaysia (standard).” – 21 Oktober, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments