Opinion

Umno, MIC, MCA untuk Melayu!

Sekiranya diperhatikan secara umum, para pemimpin dan perwakilan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini sibuk mempertahankan Akta Hasutan 1948, memperjuangkan konsep 1Melayu, menghina kaum Cina dan membidas sekolah vernakular (SJKC dan SJKT) selain berkongsi lawak lucah.

Akan tetapi, medan berkenaan tidak pula digunakan untuk memperkatakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang saya jangka akan menjadi salah satu faktor utama kejatuhan dan kemerosotan Umno menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak juga menggunakan perhimpunan “syok sendiri” itu untuk mengumumkan bahawa Akta Hasutan akan dikekalkan; malah “dipertahan, diperkuat dan diperkukuhkan”.

Apabila saya memaparkan pandangan dan kritikan mengenai Umno dalam isu Akta Hasutan menerusi Facebook, seorang individu mengirim mesej peribadi dan mengaku: “Tak berani share (kongsi) sebab takut saya kena Akta Hasutan.”

Pandangan dan luahan perasaan seperti itu tidak sedikit pun menghairankan. Ternyata kuasawan berjaya menanam “ketakutan” dan kini mereka boleh terus menzalimi para penakut yang memilih untuk terus membisu.

Sekiranya diperhatikan, agak menarik, melucukan dan menghairankan apabila isu penting seperti Akta Hasutan yang melibatkan orang ramai (rakyat) dibincangkan, dibahaskan, diputuskan dan diumumkan pada perhimpunan agung sebuah parti politik yang tidak pun mendapat sokongan daripada semua orang Melayu.

Mungkin ada juak-juak dan tukang ampu Umno yang mahu menegakkan benang yang basah dengan mengatakan keputusan mungkin sudah diputuskan bersama dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) atau dalam mesyuarat kabinet.

Dalam hal ini, timbalan presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam mengesahkan, topik berhubung cadangan mengekalkan Akta Hasutan langsung tidak dibincangkan dengan parti-parti komponen BN mahupun dalam mesyuarat kabinet.

Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel yang masih “panas punggung” berikutan tragedi tanah runtuh dan banjir lumpur di Cameron Highlands pada 5 November lalu tidak perlulah diharapkan untuk tampil membuat sebarang kenyataan dalam hal ini.

Walaupun langsung tidak dilibatkan dalam rundingan sebelum keputusan dibuat, presiden PPP, Tan Sri M Kayveas dengan penuh bangga, setia dan nada mengampu menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Najib mengekalkan Akta Hasutan.

“Rule number one, the boss is always right. If the boss is wrong, refer back to rule number one,” katanya.

Perancangan licik pemimpin Umno

Dalam pada itu, amat nyata Umno pandai main wayang.

Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri seolah-olah sudah berbincang dan membuat perancangan licik bersama-sama Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hal ini.

“Jangan menang sorak hari ini, kampung digadai pada esok hari. Nanti jika tangis air mata darah sekalipun, kampung tidak akan kembali lagi,” kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu Presiden Umno (ingat: bukan Perdana Menteri) mengekalkan Akta Hasutan.

Khairy Jamaluddin pula dalam ucapannya berkata, akta itu wajar dipinda dan ditambah baik sambil mengekalkan syarat-syarat melarang dan menghukum sebarang kenyataan atau kelakuan yang dianggap menghasut.

“Menghasut” di sini mungkin sahaja bermakna “mengkritik Umno”.

Shahrizat dalam ucapan berapi-api dengan mimik muka yang agak menggerunkan membuat kenyataan bahawa Wanita Umno sudah mengumpulkan sejuta tandatangan daripada orang ramai yang meminta BN tidak menghapuskan Akta Hasutan.

Kemudian, dalam sidang media, dia “membetulkan” fakta dengan menjelaskan, kempen itu baru mahu dimulakan dan belum ada sejuta tandatangan seperti dikatakan semasa berucap.

Bagaimanapun, tentulah kerja “bodoh” itu tidak perlu diteruskan kerana Adiwira Najib sudah memutuskan Akta Hasutan dikekalkan, dipertahan, diperkuat dan diperkukuhkan.

Suatu perancangan plot yang memang hebat dan menggembirakan bagi para perwakilan yang khabarnya menampakkan sikap etnosentrik, rasis, ultra kiasu, fanatik dan pelampau secara nyata sepanjang perhimpunan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tindakan Umno meminggirkan parti komponen BN dalam membuat sebarang keputusan penting melibatkan rakyat seluruh negara bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Sebagaimana MIC bermimpi kononnya ia satu-satunya parti politik yang mampu memperjuangkan nasib kaum India di Malaysia, begitulah juga tanggapan Umno ia satu-satunya parti yang berhak membuat keputusan berhubung nasib rakyat Malaysia.

Umno secara terang-terangan dilihat sebagai parti politik yang hanya mementingkan ahli kaum Melayu (bukan semua orang Melayu!), India-Muslim (yang sudah “menipu sistem” dan menjadi Melayu menggunakan “tiket” Islam) dan Cina-Muslim (seperti Ridhuan Tee Abdullah yang sudah “dibuang” oleh kaumnya sendiri kerana kewujudannya dilihat sebagai suatu penghinaan kepada orang Cina).

MIC, MCA, PPP, Gerakan di bawah telunjuk

Bukanlah suatu rahsia di mana Umno seolah-olah menganggap parti-parti komponen lain dalam BN sebagai sekadar juak-juak, macai, tukang angkut, tukang angkat, pak turut, tukang angguk, pembodek dan pemuas nafsu kepada politikus dalam Umno.

Sekiranya diperhatikan, sejak dahulu, parti-parti lain dikatakan tidak akan berani melawan atau membantah apa-apa keputusan Umno.

Mungkin ada “salakan” kecil dari semasa ke semasa, tetapi akan reda selepas dibaling “tulang tanpa daging” untuk dijilat dan digigit.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Perkasa, Isma, Datuk Ibrahim Ali, Datuk Zulkifli Noordin dan Ridhuan Tee mempunyai lebih banyak “kuasa” dalam BN berbanding MIC, MCA, Gerakan, PPP dan sebagainya.

Sikap sebenar Umno berhubung layanan dan tanggapannya terhadap parti-parti komponen lain menjadi lebih jelas apabila seorang perwakilan mengusulkan supaya para pemimpin parti-parti itu diundi dan dipilih secara langsung oleh ahli Umno.

Alasannya mahu memastikan hanya pemimpin Bukan Melayu yang menghormati hak kaum Melayu dan orang Islam berada dalam majlis tertinggi BN.

Bukan setakat itu. Menurut perwakilan dari Johor, Khairul Anwar Rahmat, tindakan itu bagi memastikan pemimpin terbabit (MIC, MCA dan PPP, misalnya) tidak menjadi “juara kampung” yang hanya memperjuangkan nasib kaum mereka (India dan Cina).

Maknanya, Umno (dan juak-juaknya seperti Perkasa, Isma dan Kimma) akan terus “berjuang” bagi kaum sendiri (Melayu) sambil mengabaikan kaum-kaum lain yang dianggap “pendatang”.

MIC, MCA dan PPP pula perlu turut “berjuang” bagi orang Melayu sambil terus (ulang: terus) mengabaikan kaum minoriti yang diwakili.

Tidak hairanlah Umno dilihat semakin rasis dan anti-Bukan Melayu. Ada rakan mengirim mesej dan mencadangkan namanya ditukar menjadi Pertubuhan Ultra Kiasu dan Etnosentrik Kebangsaan (Pukek) supaya lebih sesuai.

Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar pernah menyarankan supaya keahlian Umno dibuka kepada semua kaum.

Cadangannya ditolak sehingga menyebabkan beliau meninggalkan parti politik berasaskan kaum itu dan menubuhkan parti politik baru yang terbuka kepada semua kaum.

Kini, sambil meneruskan agenda “Umno untuk Melayu” (dan India-Muslim dan Cina-Muslim), Umno nampaknya mahu MIC, MCA, PPP, Gerakan dan parti-parti lain dalam BN turut memperjuangkan nasib kaum Melayu dalam Umno. Untuk itu, Akta Hasutan dijadikan senjata rahsia (secret weapon).

Bukankah segala perkembangan ini sebenarnya memberikan gambaran nyata seolah-olah Umno sudah uzur, sakit dan tidak mampu memperjuangkan nasib kaumnya? Atau lebih tepat lagi, nasib ahli dan juak-juaknya.

Renung-renungkan, buka minda. Tepuk dada, tanya selera. Tidak setuju, kemuka fakta, bukan akta. – 1 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments