Opinion

Wali, wahyu dan Hinduisme

Ajaran Hinduisme (Sanathana Dharma) sesungguhnya amat kompleks dan sukar difahami jika kita tidak berusaha mengenali agama tauhid tertua ini secara bersungguh-sungguh.

Memang ramai penganut Hindu di Malaysia menghadapi masalah ini. Apatah lagi apabila parti politik dan pertubuhan agama yang kononnya memartabatkan bahasa, budaya, kaum dan agama lebih berminat dengan perebutan kuasa dan politik dalaman.

Sering kali saya berpeluang untuk berbual, berdialog dan berhujah bersama-sama belia dan remaja Hindu mengenai asas ajaran Hinduisme.

Beberapa makalah juga ditulis untuk berkongsi pelbagai maklumat demi manfaat generasi muda penganut Hindu yang rata-rata memahami Bahasa Malaysia.

Daripada maklum balas yang diterima sejak beberapa tahun lalu, pembaca bukan Hindu dan bukan India juga mendapat manfaat daripada makalah-makalah berkenaan. Ia membantu meningkatkan persefahaman dan menangkis salah faham.

Cuma, Ahli Majlis Seberang Perai, Satees Muniandy, pada 14 Jun 2015 menuduh saya dengan menulis "He called the Hindus who don't practice Sanadhana Dharma as people  who practice 'ajaran pesong' - misguided religious practices!" dan "this smarty prefer to chide those practices to make his writing look good and to get the attention of the 'majority' (Malays)!"

(Beliau menyeru orang Hindu yang tidak mengamalkan Sanadhana Dharma kerana ia merupakan ‘ajaran sesat’ – amalan agama sesat dan pemikir ini lebih suka mencaci amalan mereka untuk menjadikan tulisan beliau kelihatan baik serta bagi mendapatkan perhatian kelompok 'majoriti' (Melayu)!)

Macai yang "bangang macam menteri" itu merujuk secara khusus dua makalah yang tersiar di The Malaysian Insider, iaitu "Berapa Tuhan orang Hindu?" (12 Ogos 2013) dan "Menjawab persoalan berhala Hindu" (5 Mac 2014).

Katanya lagi, "We will expose this guy's real intention in writing such articles!" (Kami akan mendedahkan niat sebenar lelaki itu dalam beberapa artikel!). Akan tetapi, Satees dan rakan-rakannya yang saya gelarkan "Macai Macam Satees" menghilangkan diri selepas beberapa cubaan fitnah mereka menerima kritikan hebat daripada warga Facebook.

Perbuatan puak seperti ini tidaklah menghairankan. Selain daripada motif politik, kejahilan mereka tentang ajaran sebenar Hinduisme menjadi asas kepada segala perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu.

Sejak fitnah dan berita palsu disebarkan puak berkenaan mulai 12 Jun 2015, saya sempat mengadakan pertemuan, perbincangan dan dialog dengan beberapa rakan beragama Hindu. Kami membincangkan ciri umum ajaran Hindu yang wajar diketahui para penganut.

Apabila seorang penganut sudah mendapat pencerahan minda terhadap persoalan asas "Berapa Tuhan orang Hindu?" dan "Mengapa orang Hindu menyembah berhala?" maka mereka akan menyedari hakikat keesaan Tuhan dan ketauhidan yang menjadi asas Hinduisme.

Dalam Hinduisme, Tuhan itu tunggal (esa), tiada sekutu, tiada yang menyamaiNya, tiada yang menyerupaiNya dan tiada yang menyaingiNya. Hanya puak yang mahu menyesatkan orang akan menyebarkan dakyah bagi mengelirukan orang Hindu.

Adakah kitab Hindu rekaan manusia? Dalam purana, filem dan epik, Tuhan, dewa-dewi dan malaikat sering digambarkan seperti bercakap dan berkata-kata. Akan tetapi, penganut Hindu sedar dan faham bahawa pencipta tidak bercakap seperti manusia. Tuhan juga tidak memerlukan perantaraan untuk berkomunikasi dengan penganut, pendeta dan wali.

Segala gambaran fizikal yang diberikan dalam buku, patung dan berhala berbalik kepada ilmu ikonografi. Orang yang tidak memiliki budhi (Sanskrit) dan aqal (Arab) pasti sukar memahami semua ini. Puak seperti inilah yang akan cuba mengelirukan orang menerusi dakyah terancang.

Misalnya, apabila digambarkan Tuhan bersemayam (duduk), atau digambarkan kaki, tangan, mata dan mulut Tuhan, semua itu tidak merujuk kepada perbuatan dan fizikal yang sama seperti dimiliki manusia. Orang Hindu faham, semua itu hanyalah simbolik kerana rupa (fizikal) Tuhan terletak di luar kemampuan bayangan minda manusia.

Secara amat mudah, kita tidak layak untuk memperkatakan ciri Tuhan dengan sekadar menggunakan akal kerana akal yang dimiliki manusia amat terhad untuk mampu memahami hakikat kewujudan Tuhan. Kajian mendalam terhadap kitab Veda boleh membantu menyedarkan kita tentang hakikat ini.

Penganut Hindu sejak awal dahulu "melihat" kebesaran Tuhan menerusi segala apa yang terdapat di depan mata. Kewujudan siang dan malam, angin dan ribut, langit dan awan, laut dan air, matahari dan bulan, tumbuhan dan haiwan, dan sebagainya, menjadi bukti kewujudan pencipta.

Kitab suci dalam ajaran Hindu membicarakan pelbagai topik yang pasti sahaja tidak hanya muncul daripada imaginasi, khayalan dan akal manusia.

Antara perkara yang diperkatakan termasuk mengenai syurga dan neraka, pembalasan, hukum-hakam, agama, sains, perubatan dan segala aspek kehidupan yang bersifat malar.

Kitab Hindu boleh dijadikan rujukan oleh penganut untuk mendapatkan jawaban bagi segala pertanyaan dan keraguan.

Ia turut memuatkan perkara yang "ghaib" iaitu ilmu yang mustahil diketahui manusia biasa; apatah lagi pada waktu kitab berkenaan dikarang.

Mungkin timbul persoalan, apakah kitab Hindu diwahyukan. Jawaban ringkas adalah "tidak". Timbul pula pertanyaan, apakah kitab itu hanya rekaan, khayalan dan tulisan manusia biasa. Jawaban ringkas adalah "tidak".

Terdapat empat kitab veda dalam Hinduisme iaitu Rigveda (mengandungi lebih 10,520 ayat), Yajurveda (sekitar 6,000 ayat), Samaveda (sekitar 1,875 ayat) dan Atharvaveda (sekitar 2,000 ayat). Terdapat beberapa ayat yang muncul secara berulang dalam kitab-kitab ini.

Secara paling mudah, "Veda" bermakna "ilmu" atau "pengetahuan". Maka, secara paling mudah, segala ajaran dalam kitab Veda menjadi panduan ke arah kehidupan yang sihat, progresif, kondusif, menyeluruh, teratur, gembira, aman, bermanfaat dan beretika secara zahir dan batin.

Tiada nabi dalam kalangan orang Hindu?

Walaupun Sanathana Dharma tidak dimasukkan dalam kategori "agama langit" (agama-agama yang diwahyukan kepada nabi dan rasul), penganut Hindu sedar, tahu dan mengakui hakikat kesemua Veda adalah bersumberkan Tuhan.

Ilmu yang terkandung dalam Veda berciri abadi dan tidak akan lapuk ditelan zaman. Sebagaimana Sanathana Dharma bermakna "kebenaran yang abadi" (eternal truth), begitulah juga kitab Veda mengandungi serta mengangkat "kebenaran yang abadi". Hinduisme turut dikenali sebagai Vaidika Dharma iaitu "agama menurut kitab-kitab veda."

Dalam Hinduisme, istilah "nabi" tidak digunakan; walaupun ada pandangan mengatakan Nabi Ilyasa mungkin sama dengan Vyasa yang menghasilkan Mahabharata serta menyelenggarakan kitab-kitab Veda.

Ajaran Sanathana Dharma bermula sekitar 5,000 tahun dahulu. Penduduk di India (sekitar Lembah Indus) tidak menunggu kedatangan nabi untuk menyedari kewujudan dan kebesaran Tuhan.

Namun begitu, mereka sedar, Tuhan berkuasa dan berupaya menghantar utusan kepada umat manusia. Ulama, pendeta, maharishi dan wali menjadi individu terpilih yang menerima ilmu berkaitan urusan agama, dunia dan akhirat.

Atas sebab itulah kita mendapati kitab-kitab veda mempunyai kandungan ajaran yang di luar kemampuan pemikiran manusia biasa. Penganut Hindu sedar serta akur pada hakikat segala ilmu yang terkandung dalam kitab agama Hindu adalah bersumberkan Tuhan.

Tiada catatan rasmi mengenai kelahiran nabi dalam kalangan orang Hindu. Akan tetapi, golongan wali atau pendeta memiliki sifat terpuji yang memungkinkan mereka telah dipilih oleh Tuhan untuk menyampaikan ajaran agama.

Antara sifat terpuji yang dimaksudkan adalah sentiasa bercakap benar (tidak memutarbelitkan ilmu yang diterima daripada Tuhan); memiliki kecerdasan fikiran (cerdik) untuk memahami dan menyampaikan ajaran itu; penuh amanah dan dipercayai; serta komited dalam menyampaikan ilmu (ajaran agama) kepada orang ramai.

Apabila membaca purana dan buku-buku berkaitan Hinduisme, kita biasa bertemu watak pendeta, maharishi, pesuruh dan wali yang dirahmati Tuhan. Jumlah mereka agak ramai dan masih terus menjadi tokoh penting yang diperkatakan dalam kalangan orang Hindu.

Selain kitab dan Veda, lagu-lagu pujaan yang dikarang oleh beberapa wali bersumberkan ilmu (wahyu?) daripada Tuhan masih dinyanyikan sebagai mengakui kebesaran Tuhan. Misalnya, Tevaram, Tirumurai, Periya Puranam dan Siva Puranam.

Sebagaimana dalam beberapa agama lain, perbezaan mazhab turut wujud dalam Hinduisme. Namun, orang Hindu yang berbeza mazhab (khususnya di Malaysia) mampu hidup secara harmoni kerana masing-masing sedar akan kuasa pencipta.

Demikianlah antara topik yang sempat dibincangkan bersama beberapa rakan beragama Hindu sejak seminggu lalu. Perkara asas ini wajar juga dikongsi dengan pembaca demi kebaikan dan manfaat generasi muda penganut Hindu yang rata-rata memahami Bahasa Malaysia. – 23 Jun, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments