FEB 18 — Kempen menghentam dan memburukkan DAP oleh Umno dan konco-konconya kini semakin menjadi-jadi sehingga isu yang kecil dibesar-besarkan dan yang tiada diada-adakan. Motifnya — menanam rasa benci antara kaum dan agama.
Selama ini DAP yang dianggap parti untuk orang Cina jarang diberi perhatian oleh Umno dan tukang-tukang soraknya yang lebih bertumpu kepada usaha menyerang musuh-musuh politik Melayu seperti Pas dan Semangat 46 dahulu.
Sebelum pilihan raya umum 2008, Umno lebih banyak menyerahkan usaha membantai DAP kepada rakan komponen Barisan Nasional seperti MCA, Gerakan dan MIC. DAP sebelum ini hanya dianggap parti yang mewakili kaum minoriti.
Namun keputusan yang memberangsangkan buat DAP serta PAS dan Parti Keadilan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu telah menjadikan Umno kehilangan punca.
Yang lebih membimbangkan Umno ialah kesan pasca pilihan raya umum 2008 di mana tidak pernah terbayang oleh kepimpinan parti Melayu itu bahawa PAS dan PKR sanggup duduk bersama dengan DAP atas dasar perkongsian setara atau “equal partnership”.
Ini adalah kerana konsep itu tidak wujud dalam Barisan Nasional di mana MCA, Gerakan dan MIC serta parti-parti komponen lain sanggup duduk di bawah kepimpinan Umno yang menentukan semua dasar-dasar utama negara.
Jika perkongsian setara Pakatan Rakyat mula mendapat perhatian rakyat, ia akan mengancam “status quo” Umno dan Barisan Nasional. Paling bahaya bagi Umno, ia membuka pintu persahabatan antara kaum dan agama yang selama ini dipisahkan mengikut formula pecah dan perintah.
Jika politik perkauman mula ditolak oleh rakyat, Umno dan parti-parti kaum lain akan menjadi kurang relevan. Ini akan membuka ruang untuk Pakatan Rakyat bagi meraih sokongan rakyat.
Untuk mengatasi masalah ini, Umno tidak ada pilihan lain lagi. Taktik lama Umno yang hanya menyerang parti-parti lawan Melayu tidak lagi berkesan dan telah dibuktikan terpalit semula apabila orang Melayu melihat PAS dan PKR sebagai alternatif kepada Umno. Dengan itu, taktik baru yang digunakan ialah memecahbelahkan persefahaman antara parti-parti Pakatan Rakyat yang memang pun berbeza ideologi. Lebih dari itu, Umno sengaja memaparkan kesungguhan untuk berkawan dengan PAS dan unsur-unsur Melayu dalam PKR dengan menimbulkan kebimbangan bahawa Melayu akan hilang kuasa jika bersahabat dengan DAP.
Secara tiba-tiba DAP yang selama ini dipandang remeh oleh Umno telah dimartabatkannya sebagai satu pertubuhan bijak lagi cerdik yang mampu menghancurkan Melayu.
Kerana itulah DAP yang jarang menghiasai halaman akhbar-akhbar arus perdana milik Umno seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian kini telah menjadi momok utama yang terus menghantui sanubari Melayu.
Hanya dengan mengganyang DAP secara habis-habisan, kepimpinan Umno dan konco-konconya yakin dapat menakutkan orang Melayu supaya menjauhkan diri daripada DAP.
Oleh itu, tidak menghairankan apabila entiti perkauman Melayu ini telah menyebarkan isu kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mahu menghapuskan acara perarakan Maulidur Rasul tahun ini. Ternyata ini fitnah. Perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang tetap diteruskan sebagaimana tahun-tahun yang sebelumnya.
Malah apabila ada negeri-negeri di bawah pentadbiran Umno tidak menyambut hari kelahiran Rasulullah SAW dengan mengadakan perarakan, media nasional milik Umno diam membisu.
Apa yang jelas, mesej yang dibawakan bertujuan mengajak orang Melayu dan Islam membenci Guan Eng dan DAP, serta menimbulkan rasa gelisah di kalangan mereka kerana Pas dan PKR sanggup bersahabat dengan parti yang diwar-warkan oleh Umno sebagai anti-Melayu dan anti- Islam.
Sementara DAP terus diganyang oleh Umno dan aparatusnya, isu-isu salah guna kuasa, pembaziran wang rakyat dan kelemahan pentadbiran Barisan Nasional mutakhir ini tidak pula didedahkan secara meluas oleh media arus perdana. Sekadar menyebut beberapa masalah besar dalam keadaan ekonomi negara yang masih gawat:
Skandal kapal selam negara yang tidak boleh menyelam walau pun dibeli dengan harga lebih RM1 bilion;
Isu setiausaha politik menteri disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di mana didapati menyimpan wang tunai lebih RM2 juta dalam rumahnya di Pulau Pinang;
Enjin jet Malaysia yang hilang sampai ke Amerika Selatan dan berubah-ubah nilanya;
Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang yang dikatakan membabitkan kerugian lebih RM12 bilion; dan
Kenyataan perkauman dari bekas setiausaha politik Perdana Menteri serta dakwaan yang sama dikatakan dilakukan oleh setiausaha kerja Umno.
Sebaliknya yang terus menjadi berita dan rencana besar ialah apabila segelintir penyokong Umno yang kebanyakannya terdiri dari kaum India Muslim telah mengadakan tunjuk perasaan mengecam Guan Eng.
Mereka turut membakar patung Ketua Menteri Pulau Pinang itu atas tuduhan kononnya kerajaan negeri telah mendiskriminasi Melayu dalam isu perobohan gerai haram yang mengganggu kawasan awam. Isu ini juga telah dibuktikan tidak benar apabila fakta dan perangkaan menunjukkan tindakan undang-undang dikuatkuasakan atas dasar kesalahan, dan bukan mengikut kaum.
Begitu juga apabila segelintir ahli politik PKR membidas Guan Eng dengan tuduhan yang tidak banyak asasnya, media arus perdana telah membesarkan isu tanpa memberi banyak ruang untuk pihak yang dituduh untuk membuat jawapan balas.
Setakat ini, walau bagaimana hebat sekali pun kempen ganyang DAP, kebanyakan rakan-rakan seperjuangan Pakatan Rakyat masih berpegang kepada platform bersama mereka.
Dokumen Muafakat Baru Untuk Malaysia yang dipersetujui bersama pada Disember 2009 antara lain menegaskan usaha untuk mengatasi masalah berikutan “agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan demokrasi otoritarian (serta) ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tergelincir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.”
Malah, akhir-akhir ini, suara-suara dalaman dari Pakatan membayangkan kepimpinan mereka bersedia menerima mana-mana pemimpin atau ahli yang tidak lagi bersetuju dengan dasar bersama itu untuk keluar parti — lebih afdal lagi, mengosongkan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk mengembalikan mandat kepada pengundi.
Namun ini tidak pula bererti serangan terhadap DAP dan usaha Umno untuk membisikkan kebimbangan dalam minda Melayu akan surut. Lagi pula masih ada unsur-unsur dalam Pakatan Rakyat yang sudah termakan racun perkauman itu.
Yang membimbangkan ialah apabila fitnah diterima sebagai kebenaran. Umno dan konco-konconya mungkin mampu membuatkan kebanyakan orang Melayu benci DAP. Tetapi pada masa yang sama ia juga akan melahirkan rasa benci Melayu kepada kaum lain.
Jika ini terjadi, racun perkauman yang ditanam sekarang akan menghantui Umno dan Barisan Nasional pada masa depan apabila minda rakyat sudah terlalu tebal dengan rasa kebencian kaum. Pada masa itu, impian kestabilan, kemakmuran dan harmoni mungkin lupus kerana segala-galanya akan ditentukan oleh warna kulit semata-mata.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments