Opinion

Jangan mengalah, Zaid

26 APRIL — Zaid Ibrahim berhak untuk rasa marah, geram dan sedih dengan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor. Tetapi Zaid tidak harus mengalah atau berundur semata-mata kerana Barisan Nasional diisytiharkan sebagai pemenang.

Menurut laporan awal, kedua-dua Barisan dan Parti Keadilan Rakyat telah meningkatkan prestasi mereka berbanding keputusan pilihan raya umum 2008 — Barisan dikatakan menambah 2,000 undi manakala PKR yang mewakili Pakatan Rakyat 200 undi. Daripada undi Barisan itu, lebih 700 datangnya dari undi pos. Lagi pula, pemindahan 13,488 pengundi di Hulu Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dikatakan telah mengelirukan pengundi.

Dalam keadaan sedemikian, Zaid terpaksa berdepan dengan formula lama Barisan — tawaran wang dan projek yang bernilai lebih RM60 juta. Tidak cukup dengan itu, media arus perdana sekali lagi memainkan peranan untuk berkempen bagi pihak Barisan, termasuk mengecam dan mengutuk Zaid habis-habisan.

Mungkin bagi Barisan, terutamanya Umno, yang selama ini terkapai-kapai sejak pukulan hebat pilihan raya umum 2008, mereka telah menemui semula kekuatan untuk menghadapi Pakatan — kembali kepada cara mempergunakan media arus perdana, jentera kerajaan dan tawaran berjuta-juta ringgit (baca: wang rakyat).

Analisis awal daripada kumpulan-kumpulan yang berkampung dan memerhatikan perjalanan pilihan raya kecil itu menunjukkan pengundi Melayu, khususnya peneroka Felda, dengan senang hati menerima cara dan kaedah Barisan. Dengan janji-janji manis, lebih 60 peratus pengundi kawasan Felda telah memilih calon Barisan.

Lebih separuh pengundi kaum India membuat pilihan yang sama untuk Barisan tetapi pengundi Cina tetap memihak kepada Zaid dengan memberi lebih 70 peratus sokongan kepada Pakatan.

Dalam hal ini, mungkin tidak memeranjatkan melihat selera majoriti pengundi Melayu di Hulu Selangor. Selain janji-janji wang dan projek berpuluh juta ringgit, serangan peribadi serta fitnah terhadap Zaid turut mempengaruhi pemikiran orang Melayu.

Mungkin bagi pengundi Melayu yang memilih Barisan, soal sama ada Zaid seorang yang berprinsip dan tegas dalam menentang rasuah serta ketidakadilan tidak menjadi penentu utama. Mungkin mereka juga belum dapat memahami usaha Zaid dan aktivis-aktivis Felda yang mahu mengembalikan hak milik tanah kepada peneroka dan bukannya berterusan menjadi pekerja kepada korporat gergasi itu.

Lagi pula, melalui peranan media arus perdana, kebanyakan Melayu yang memilih Barisan mungkin merasa lega apabila melihat calon barisan P. Kamalanathan mencium tangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kenyataan wakil MIC itu yang menyokong perjuangan kumpulan ultra-Melayu Perkasa. Sehinggakan namanya dijual kepada pengundi Melayu sebagai “Kamal” dan bukannya Nathan sebagaimana nama singkat panggilan biasa.

Semua keadaan ini sepatutnya membakar semangat Zaid untuk terus berkhidmat dan berjuang. Apatah lagi beliau dengan bantuan aktivis Felda telah pun mengemukakan cadangan awal untuk mereformasikan sistem rancangan tanah itu supaya generasi kedua dan ketiga Felda dapat menjadi tuan di atas tanah sendiri. Isu ini perlu dibawa ke peringkat nasional, dan lebih baik lagi, dibincangkan bersama di peringkat pucuk pimpinan Pakatan Rakyat.

Begitu juga hasrat Zaid untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli yang selama ini terbiar di bawah Barisan. Ia bukan soal setempat kerana ia memerlukan reformasi nasional, sekurang-kurangnya orang asal ini yang lebih awal mendiami ibu pertiwi diberi taraf sama rata dengan Bumiputera.

Berdasarkan dua pengalaman pilihan raya, Zaid yang pernah menang di bawah lambang Umno di Kota Bharu dalam pilihan raya umum 2004 perlu menjadikan Hulu Selangor sebagai pengajaran dan persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, kekalahan di Hulu Selangor perlu dianggap sebagai satu langkah ke hadapan untuk mempersiapkan diri menghadapi saingan yang lebih hebat dalam pilihan raya umum nanti.

“Sama seperti Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor); beliau kalah dalam pilihan raya kecil Ijok pada 2007. Tetapi beliau kembali menang pada 2008. Kekalahannya di Ijok telah menjadi satu platform kepada kita untuk menawan kerajaan negeri Selangor. Biarlah Hulu Selangor menjadi Ijok yang kedua kepada kita,” katanya.

Tak kurang pentingnya ialah suasana pasca-Hulu Selangor akan memberi peluang kepada Zaid untuk mendekatkan diri dengan pengundi-pengundi Melayu, bukan sahaja di Selangor malah di seluruh negara.

Setelah dihamburkan dengan kata-kata fitnah dan kempen kotor dari mereka yang mengakui diri Melayu dan Islam, tidak banyak lagi yang boleh mereka contengkan peribadi Zaid yang jauh lebih berprinsip dan tegas dalam membela keadilan dan hak berbanding para pemimpin Umno.

Lapan hari untuk berkempen sememangnya tidak cukup. Tanpa perlu mengalah, Zaid kini mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama masyarakat, khususnya orang Melayu, bagi menjelas dan memperincikan apa yang diperjuangkannya bersama Pakatan Rakyat.

Tak kenal maka tak cinta. Bila dah kenal barulah mesra dan sayang.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments