Opinion

Keris makan tuan

JAN 29 — Isu wakil rakyat melompat parti agak melucukan bagi penonton politik, menggembirakan bagi parti yang menerima anggota baru itu dan amat memilukan bagi parti yang ditinggalkan wakil berkenaan.

Penonton politik sering melihat drama di mana jika yang melompat itu dari parti A, maka parti itu akan bising dengan soal maruah, kesetiaan dan pengkhianatan terhadap mandat rakyat. Malah mahu digubal undang-undang anti lompat. Sebaliknya, parti B yang menerima wakil rakyat melompat itu menganggapnya sebagai hak dan kebebasan dalam amalan demokrasi.

Suatu ketika dahulu, yang menentang undang-undang anti-lompat adalah Umno dan Barisan Nasional. Kini yang menjadi juara anti-lompat adalah Umno dan BN, khususnya selepas pilihan raya umum Mac 8 tahun lalu kerana ada ura-ura beberapa Ahli Parlimen BN mahu menyeberang ke sebelah Pakatan Rakyat.

Tetapi adakah mereka ini jujur mahu menjamin dan mempertahankan mandat rakyat?

Sedangkan 25 tahun lalu sudah ada usaha serius untuk melaksanakan undang-undang anti-lompat. Malah ada kerajaan negeri yang telah pun meluluskan rang undang-undang anti-lompat hampir suku abad yang lalu.

Parti Bersatu Sabah pimpinan Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan telah berjaya menewaskan Berjaya yang menerajui BN Sabah dalam pilihan raya negeri pada April 1985 dengan memenangi 25 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. Namun gangguan dan demonstrasi jalanan dari penyokong BN menyebabkan Pairin terpaksa mengadakan pilihan raya negeri sekali lagi pada Mei 1986.

Kali ini PBS menang besar di 34 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. PBS kemudian menyertai BN tetapi sepanjang tempoh penyertaannya, ramai pemimpin kanannya merasakan mereka dianaktirikan oleh pucuk pimpinan di Kuala Lumpur.

Dalam pilihan raya umum 1990, PBS membuat keputusan mengejut apabila ia keluar dari BN sewaktu kempen pilihan raya. Parti itu kekal memerintah Sabah tetapi keputusannya untuk meninggalkan BN membuka ruang bagi Umno untuk masuk ke Sabah.

Bermulalah politik tawar-menawar dan cubaan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri PBS dalam usaha menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Pairin. Menyedari keadaan itu, kerajaan negeri Sabah memperkenalkan undang-undang anti-lompat tetapi telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 1992.

Pada 19 Februari 1994, pilihan raya negeri Sabah diadakan lagi, dan walaupun BN berkempen dengan rasuah pembangunan dan taburan wang yang hebat, PBS terus diberi mandat oleh rakyat Malaysia di Sabah apabila ia memang tipis dengan 25 kerusi berbanding BN 23.

Apa yang berlaku selepas keputusan diumumkan adalah satu sejarah baru dalam politik negara pada masa itu. Pairin terpaksa menunggu di luar pagar Yang Dipertua Negeri selama tiga hari siang dan malam semata-mata untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Dua minggu selepas melantik kabinet negeri, beberapa Adun PBS mendakwa mereka ditawarkan berjuta-juta ringgit untuk melompat menyertai BN. Pada 12 Mac pemimpin PBS Datuk Lajim Ukin, Rubin Balang dan Datuk Zaini Isa, salah seorang dari Adun dilantik (selain 25 Adun yang menang pilihana raya, perlembagaan negeri membenarkan enam Adun dilantik oleh parti yang menang) mengumumkan keluar parti.

Sewaktu kekecohan itu, Kementerian Dalam Negeri mencatatkan rekod kepantasan tugas dengan meluluskan permohonan beberapa parti politik dalam masa beberapa hari sahaja untuk membolehkan mereka menjadi parti kepada Adun-Adun yang melompat dari PBS.

Pada 17 Mac 1994, Pairin secara gentleman telah menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Ketua Menteri kepada Yang Dipertua Negeri setelah hampir70 peratus barisan Adunnya melompat parti.

Dari 25 kerusi yang dimenangi serta enam Adun dilantik, iaitu 31 kesemuanya, PBS hanya tinggal lima Adun. Dengan itu, tidak sampai sebulan setelah memenangi pilihan raya negeri secara sah, PBS kehilangan kuasa apabila Umno dan BN berjaya membeli hampir kesemua Adun-Adun berkenaan.

Bekas Adun-Adun PBS itu pula telah berpecah kepada lima parti negeri di mana keadaan itu membolehkan Umno menguasai majoriti kerusi dalam DUN Sabah dengan memegang 22 kerusi.

Namun ia tidak mematahkan semangat PBS apabila mencuba nasib sekali lagi dalam pilihan raya negeri pada Mac 1999. Walaupun ia tewas kepada BN, kerusi yang diperolehinya meningkat semula kepada 17 manakala Umno juga menambah lagi kekuatan kepada 24 kerusi. Parti-parti komponen BN lain semakin mengecut kekuatan mereka.

Dalam pada itu berlaku lagi lompat parti dari PBS ke Umno. Ini menyebabkan PBS tiada pilihan lain kecuali memohon untuk menyertai semula BN pada 2002.

Apa yang ingin diperingatkan di sini adalah sewaktu episod lompat pada Mac 1994 dan kemudiannya berulang selepas Mac 1999 adalah pendirian pemimpin-pemimpin kanan Umno dan BN di Kuala Lumpur. Rata-ratanya mereka menghalalkan lompatan dari parti lain untuk menyertai mereka atas dasar kebebasan wakil rakyat membuat pilihan sendiri.

Kini fenomena lompat ini kembali menghantui Umno dan BN. Selepas kebimbangan Ahli-Ahli Parlimen BN melompat parti selepas Mac 8 tahun lalu dikendurkan berikutan tiada apa-apa yang berlaku pada tarikh 16 September sebagaimana yang diramalkan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini ketakutan sekali lagi melanda kepimpinan BN.

Keputusan Adun BN Datuk Nasarudin Hashim yang mewakili Umno di kawasan Bota, Perak telah menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung kemungkinan beberapa Adun lain yang akan mengikut jejak langkahnya.

Buat pada masa tumpuan diberikan di Perak. Namun ada juga khabar-khabar angin mengenai Adun-Adun di beberapa negeri lain yang mula berminat untuk berpindah parti.

Sama ada mereka mahu meninggalkan Umno dan BN kerana masalah dalaman parti sendiri atau kerana yakin dengan perjuangan Pakatan Rakyat, ia bukan lagi soal perundangan kerana Malaysia memang tidak mempunyai undang-undang anti-lompat.

Malah, wakil rakyat masih dicengkam undang-undang yang melarang mereka bertanding semula dalam tempoh lima tahun jika mengosongkan kerusi.

Keadaan ini memaksa mana-mana wakil rakyat yang ingin berpindah parti terus melompat sahaja kerana sebarang usaha untuk menguji kekuatan dalam pilihan raya kecil dilarang oleh undang-undang. Yang membawakan undang-undang itu adalah Umno dan BN juga.

Bagi Umno dan BN sekarang, mungkin ini agaknya maksud pepatah Melayu "keris makan tuan".

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments