FEB 8 – Walau apa pun yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional di Perak untuk memenangi hati rakyat, ia tetap menjadi sejarah hitam dalam politik Malaysia di mana satu rampasan kuasa telah berlaku.
Malah, apa-apa sahaja yang cuba dilakukan selepas ini untuk menghalalkan lompatan wakil rakyat yang menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih secara demokratik di Perak, ia tetap tidak akan memadamkan hakikat bahawa kerajaan negeri BN itu wujud tanpa mandat rakyat.
Pada masa yang sama, pimpinan Pakatan Rakyat kini bersiap sedia untuk mengemukakan tuntutan di mahkamah bagi mencabar kesahihan kerajaan negeri rampasan itu. Sama ada berjaya atau tidak, terpulang kepada proses perundangan dan kehakiman negara ini.
Namun dalam keadaan haru-biru ini, pimpinan Pakatan Rakyat sepatutnya bertenang seketika untuk muhasabah diri. Bukan sekadar untuk menghadapi taktik kotor politik atau penggunaan aparatus negara oleh BN tetapi juga melihat kelemahan yang ada di kalangan mereka.
Menghimbau kembali detik mula permasalahan di Perak, dua exco kerajaan negeri itu telah ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah pada Ogos tahun lalu - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan, dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Jamaludin Mohd Radzi.
Demi perpaduan Pakatan, Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dari Pas telah bertindak untuk mempertahankan kedua-dua exco dari Parti Keadilan Rakyat itu dari tuduhan rasuah.
Bercakap kepada pemberita pada Ogos tahun lalu, Nizar telah menjelaskan bahawa tangkapan kedua-dua exco itu adalah konspirasi politik BN dan kesemua 31 Adun Pakatan di Perak bertekad untuk membela yang tertuduh berkenaan.
Malah, pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang juga exco kerajaan negeri menganggap penahanan dua exco itu adalah rancangan BN untuk menggulingkan kerajaan negeri. Sudah pun mereka terbau rancangan buruk itu.
Namun berita panas itu kembali dingin apabila perhatian ditumpukan kepada usaha Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih pentadbiran Pusat menjelang 16 September tahun lalu.
Walaupun pimpinan Pakatan yang lain melihat tarikh itu sekadar strategi politik Anwar, ia telah bertukar menjadi harapan besar di kalangan penyokong-penyokong pembangkang persekutuan. Malah ia benar-benar membimbangkan Umno dan BN.
Di celah-celah tawaran Anwar kepada Ahli-Ahli Parlimen BN supaya menyertai Pakatan atas dasar mahu memulihkan demokrasi negara dan menghakis amalan rasuah serta penyelewengan, Umno menggerakkan jarum mencari lubuk-lubuk dalam Pakatan. Ia bermula sejak BN kehilangan lima negeri dan dinafikan majoriti dua pertiga dalam Parlimen.
Dalam pada itu juga suara tegas dari Pakatan turut kedengaran. Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pada November tahun lalu telah mencadangkan supaya wakil-wakil rakyat Pakatan yang terbabit dalam apa-apa skandal perlu meletak jawatan.
"Kita tidak mahu ada pemimpin khususnya daripada PKR terlibat dalam gejala rasuah atau seks, kita mahu pemimpin yang bersih," katanya kepada pemberita pada masa itu.
Sayangnya suara bernas Zuraida tidak begitu mendapat sambutan. Kemanjaan yang ditaburi pimpinan Pakatan mungkin telah memberi masa dan ruang kepada kedua-dua exco Perak itu mencari jalan keluar.
Tanpa mempedulikan semangat dan usaha gigih rakan-rakan Pakatan yang bermati-matian mempertahankan mereka serta mandat rakyat, kedua-duanya memilih jalan pintas dengan menyertai BN.
Mengapa ini berlaku? Apakah suara-suara perjuangan keadilan untuk semua yang dilaungkan oleh Anwar hanya sekadar mainan lidah tak bertulang untuk kedua-dua exco berkenaan?
Tuduhan yang lazim didengar di kalangan penyokong-penyokong Pakatan sendiri adalah kelemahan PKR yang mempunyai ramai bekas ahli-ahli Umno di dalamnya. Apa tidaknya Anwar sendiri adalah bekas timbalan presiden Umno. Mereka ini dikatakan mudah tergoda dengan pujuk rayu pangkat dan kekayaan kerana budaya sebelum ini telah meresapi jiwa politik mereka.
Tetapi dakwaan sedemikian tidak begitu tepat kerana masih ramai bekas-bekas Umno dalam PKR terutamanya yang muda yang bukan sahaja setia kepada perjuangan malah tidak mudah termakan pujuk rayu pihak lawan.
Begitu juga DAP yang dikatakan kental perjuangan demokrasi sosial pemimpin-pemimpinnya. Ia menerima tamparan berikutan tindakan timbalan speaker DUN Perak Hee Yit Foong yang setia dengan parti sejak lebih 20 tahun yang sanggup membantu menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat di negeri itu atas sebab-sebab peribadi.
Malah, ada kalangan pimpinan PAS sendiri yang cuba bermain mata dengan Umno dalam usaha yang dikatakan demi perpaduan Melayu pada tahun lalu. Walaupun cerita itu sudah dilupakan, belum ada jaminan ia berakhir begitu sahaja jika Umno terus berbisik di telinga-telinga manusia yang kemaruk kuasa dan pangkat.
Ini bermakna, sementara Pakatan Rakyat perlu meneruskan usaha mempertikai rampasan kuasa di Perak untuk mengembalikan semula hak rakyat di negeri itu, pimpinan gabungan mereka harus mencari jalan mengatasi masalah wakil rakyat yang mungkin kelabu mata apabila dijanjikan bulan dan bintang.
Jaminan yang diberikan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semalam bahawa tidak ada Adun Pakatan Rakyat di Selangor yang akan melompat masuk ke dalam gaung Umno memang patut dipuji; sekurang-kurangnya ia adalah langkah dalam proses membina keyakinan. Begitu juga rakan sejawatannya di Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menyuarakan keyakinan yang sama.
Namun, walau bagaimana kotornya umpan pihak lawan, jika pihak yang di sini menerima jemputan yang di sana, sukar untuk menyalahkan satu pihak sahaja. Tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi.
Jika Pakatan Rakyat serius untuk mengambil alih pentabdiran negara, tumpuan harus diberikan kepada usaha memenangi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang. Apa yang dijanjikan dalam manifesto PRU lalu harus diusahakan dan dilaksanakan sekarang.
Persediaan untuk PRU mungkin mampu memusatkan tenaga Pakatan kepada satu perencanaan yang tersusun. Jika masih terhoyong-hayang tanpa matlamat dan bertikam lidah dalam soal-soal remeh, mungkin ada lagi wakil rakyat Pakatan yang bosan serta bermasalah mencari jalan leluar apabila dijanjikan wang atau pangkat.
Memang ada ramai wakil rakyat yang jujur dan amanah tetapi lazimnya jaminan mulut ahli-ahli politik memang sukar untuk dipegang janji mereka. Malah kalau sudah ditandatangani surat aku janji pun masih boleh pecah amanah.
Kata orang Melayu zaman dahulu, lidah tak bertulang, salah petik jiwa hilang.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments