FEB 19 — Beberapa hari selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak, melalui rampasan kuasa pada 4 Februari lalu, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir telah menasihatkan rakyat supaya tidak mengadakan demonstrasi jalanan untuk meluahkan perasaan dan rasa marah.
Sebagai pemimpin negeri Umno dan Barisan Nasional yang tewas dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu, beliau mengajak rakyat Malaysia di Perak supaya menyelesaikan masalah melalui perbincangan atau saluran mahkamah.
"Jika ada ruang perundangan bagi menyelesaikan apa-apa ketidakpuasan hati, gunakanlah ruang perundangan itu untuk menyelesaikan apa-apa jua masalah," katanya kepada pemberita pada 7 Februari lalu.
Mungkin atas nasihatnya, Menteri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin telah mengemukakan permohonan di mahkamah untuk mengisytiharkan perlantikan Zambry sebagai tidak sah.
Dalam pada itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar yang dilantik oleh DUN yang dibentuk selepas kemenangan sah Pakatan Rakyat tahun lalu turut menggunakan peraturan yang sah untuk merujuk Zambry dan enam Exco kerajaan negeri baru kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN semalam.
Keputusan Sivakumar mengejutkan banyak pihak. Beliau telah menggantung Zambry dari menghadiri sidang DUN Perak selama 18 bulan manakala enam Exco selama 12 bulan atas alasan wujud kes prima facie terhadap mereka.
Menurut laporan media, Sivakumar menjelaskan: "Keputusan ini diambil selepas mendapati kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan (Rabu)."
Menurut sumber-sumber Pakatan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak mempunyai hak untuk bertindak terhadap mana-mana Adun yang diputuskan telah melanggar peraturan tetap dan undang-undang tubuh kerajaan negeri, sama ada di dalam atau di luar DUN.
Tergamam Zambry dibuatnya kerana hujung minggu lalu beliau telah pun dipetik sebagai berkata: "Ini sungguh melucukan dan saya pun tak tahu semuanya ini tentang apa," walau pun beliau bersama enam Exconya tetap menghadiri mesyuarat khas itu semalam bagi memberi keterangan di hadapan Speaker DUN.
Sehari sebelum itu, Zambry telah memberitahu pemberita di Ipoh bahawa DUN Perak di bawah pimpinannya akan memilih Speaker baru yang akan ditentukan mengikut peraturan negeri.
"Buat masa ini, dia (Sivakumar) masih lagi Speaker DUN Perak. Tujuan saya datang ke pejabat beliau ini juga adalah kerana saya menghormati beliau sebagai Speaker. Saya juga mahu menunjukkan bahawa saya menghormati institusi DUN Perak itu sendiri," katanya.
Semalam, perkataan "lucu" didengar sekali lagi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan tindakan Sivakumar sebagai dan kelakar seperti satu episod komedi yang tak masuk akal.
"Speaker bertindak sendiri menjadi hakim dan juri sedangkan beliau tidak langsung mempunyai bidang kuasa itu. Ini benar-benar kelakar dan satu persendaan dalam seluruh episod. Saya rasa untuk menghentikan ini semua, anggota-anggota DUN BN hendaklah ke mahkamah untuk menyelesaikan kebuntuan dan menjelaskan situasi."
Kini krisis di Perak dengan kisah satu kapal dua nakhoda semakin berlarutan.
Zambry sendiri mungkin tidak lupa dengan nasihatnya kepada Nizar minggu lalu apabila dia menyatakan: "Sudah berkali-kali saya nyatakan bahawa jangan kita berebut hendak jadi Menteri Besar hanya kerana mahu memiliki kediaman besar atau kereta besar. Saya pasti lama-kelamaan rakyat Perak akan faham dan tahu apa yang sebenarnya berlaku. Biarlah rakyat menilai."
Tambahnya, Nizar juga tidak patut berperangai seperti budak-budak dan harus tunduk kepada keputusan Sultan Perak yang telah melantik beliau (Zambry) sebagai Menteri Besar.
Masalahnya, siapa yang berebut hendak menjadi Menteri Besar dan siapa pula kebudak-budakan? Siapa pula yang merampas kuasa dan siapa pula yang menggulingkan kerajaan negeri yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia di Perak dalam PRU 8 Mac tahun lalu?
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula hari ini menyifatkan tindakan Speaker DUN Perak sebagai tidak menghormati keputusan Sultan serta satu usaha untuk mengguling kerajaan BN di negeri itu.
"Kita tahulah apa dia punya rancangan dan muslihat sebenarnya. Apabila Dewan bersidang dan jika Exco tidak boleh hadir, bermakna pihak BN tinggal 21 ahli, dan jika ada undi, mereka berharap kemenangan akan berpihak kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
"Ia satu muslihat. Tidak ada niat baik, cuma niatnya untuk menggulingkan kerajaan BN yang telah diwujudkan," katanya kepada pemberita di Putrajaya pagi ini.
Mungkin bagi Abdullah, cara Pakatan mahu menggulingkan BN di Perak dianggap lebih buruk daripada mengumpan wang dan kedudukan kepada Adun-Adun Pakatan untuk melompat bagi menyokong BN atau pun memohon perkenan Sultan membubarkan DUN bagi mendapatkan mandat baru dari rakyat.
Nampaknya jika krisis ini berlarutan, mungkin Zambry pula yang terpaksa mohon derhaka merayu Sultan membubarkan DUN.
Sudah pasti jika DUN Perak dibubarkan dalam masa terdekat ini, Umno sememangnya menyokong penuh keputusan Sultan kerana ia sudah pun menjunjung kasih taat setia tak berbelah bagi kepada Raja-Raja Melayu.
Pembubaran DUN adalah antara keadah terbaik yang bukan sahaja demokratik tetapi adil serta memenuhi kehendak umum dan keperluan undang-undang. Jika tidak, setakat bertikam lidah, bertegang urat dan bercakaran seperti anjing dengan kucing akan mengabaikan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.
Semoga Abdullah yang mempunyai kebijakan tersendiri tidak akan memilih jalan-jalan yang boleh menghitamkan legasi yang ingin ditinggalkannya sebagai perdana menteri untuk semua serta pemimpin yang berperibadi mulia.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments