JAN 10 — Hari ini sepatutnya lebih 100 Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin pusat serta negeri DAP berkumpul di Selangor untuk menghadiri retreat tahunan bagi membincangkan masa depan parti.
Majlis dua hari itu yang telah direncanakan sejak beberapa bulan lalu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan kerana ada satu perkara lain yang lebih penting buat DAP, parti politik yang majoriti anggotanya adalah dari kaum Cina.
Yang dianggap penting itu ialah DAP telah menetapkan bahawa ia akan berkempen habis-habisan untuk calon Pas bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 17 Januari depan.
Mengapa DAP — yang tidak sebulu dengan Pas dalam soal ideologi dan undang-undang hudud — sibuk-sibuk dengan PRK yang tidak ditandinginya di kawasan di mana hampir 90 peratus pengundi adalah orang Melayu?
Jawapannya adalah dari Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sendiri: "Walau apa pun anggapan orang, DAP menganggap PRK ini sebagai satu usaha yang amat penting untuk membuktikan iltizam kami kepada Pakatan Rakyat."
Pakatan Rakyat — gabungan longgar di antara Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP — telah mencatatkan kejutan besar apabila menawan lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional dalam pilihan raya umum Mac 8 tahun lalu.
Setelah hampir 10 bulan berlalu, suara-suara sumbang politik mula kedengaran di kalangan kepimpinan Pakatan; apa yang didakwa oleh sesetengah pemimpin BN sebagai retak dalam gabungan pembangkang.
Malah yang turut melibatkan DAP ialah suara Pas yang mengungkit kembali isu pelaksanaan undang-undang hudud, di mana Pengerusi DAP Karpal Singh telah menyergah kenyataan sedemikian yang dianggapnya tidak menghormati prinsip bersama Pakatan Rakyat.
Kalangan pemimpin BN juga mengambil kesempatan ini untuk menggambarkan keretakan hubungan antara parti-parti gabungan Pakatan, khususnya yang ditonjolkan berulang kali melalui media arus perdana yang jelas menyokong BN.
Namun, serangan media sebagaimana yang dilakukan dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos tahun lalu yang tidak banyak memberi kesan, tidak begitu dipedulikan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat. Malah, di kalangan mereka yang optimis, kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK itu dapat dikembalikan di bumi Terengganu.
Guan Eng sendiri akan bertandang ke Kuala Terengganu esok, bukan sekadar untuk memujuk kira-kira 8,000 pengundi Cina memilih calon Pas tetapi juga beramah mesra dengan pengundi-pengundi Melayu yang sudah mula mengenali Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai seorang pemimpin pelbagai kaum yang berprinsip dan tidak mengamalkan assabiyah.
Populariti Guan Eng di kalangan orang Melayu semakin terserlah apabila beliau menyuarakan iltizam amar makruf nahi mungkar yang menurutnya selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus atau CAT yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan DAP.
Baginya, tidak timbul lagi soal sama ada Pas berideologikan agama kerana menyedari sentimen di kalangan rakyat yang mahukan perubahan adalah mereka yang berpendirian "undilah siapa sahaja asalkan bukan Umno-BN".
"Saya yakin Pas bersama Pakatan Rakyat tetap komited kepada usaha memerangi rasuah dan korupsi. Ini adalah selaras dengan prinsip bersama kita yang mahukan kerajaan yang mesra rakyat, demokratik dan beretika berasaskan prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan sosial dan tunduk kepada kehendak moral," katanya.
Di sinilah letaknya pengaruh Guan Eng yang bukan sahaja diyakini oleh kepimpinan DAP untuk menarik undi kaum Cina yang telah menyokong BN pada 8 Mac lalu tetapi juga membawa pengundi Melayu memilih Pas dalam PRK kali ini.
Dengan kehadirannya bersama bapanya veteran DAP Lim Kit Siang yang sememangnya popular di kalangan pengundi Cina serta mengiringi Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkempen untuk calon Abdul Wahid Endut, BN sememangnya terpaksa menghadapi kempen hebat Pakatan Rakyat.
Anwar yang telah pun hadir lebih awal lagi dan akan muncul dari semasa ke semasa mengukuhkan lagi jentera pilihan raya Pas. Dan sememangnya telah wujud kemesraan di antara DAP dan Parti Keadilan, setidak-tidaknya di segi pentadbiran negeri-negeri Pakatan serta dalam banyak kempen pilihan raya.
Namun, apakah ini sudah cukup untuk menjamin satu lagi kejutan buat BN?
Beberapa hari awal selepas penamaan calon pada Selasa lalu, kebanyakan pemimpin luar Terengganu dari semua parti banyak membawakan isu-isu nasional; membiarkan calon mereka berbicara soal-soal tempatan.
Menurut sumber-sumber DAP, usaha menarik undi kini sudah dilampiri isu-isu tempatan, terutama apabila mendengar desakan pengundi yang mahukan calon yang ramah dan mudah berjumpa rakyat. Bagi kalangan Pakatan, Abdul Wahid adalah orangnya.
Mesej ini sudah sampai kepada pimpinan DAP yang telah pun menggerakkan jentera ke arah memenuhi cita rasa pengundi, khususnya di kalangan kaum Cina yang merupakan 11 peratus pengundi Kuala Terengganu.
Sama ada keputusan PRK ini akan dianggap sebagai referendum politik negara, ia bukan soal utama buat masa ini. Jika Pakatan menang sekali pun ia tidak membawa apa-apa perubahan besar dalam politik negara.
Namun kesan psikologi PRK ini amat mendalam. Kekalahan BN di negeri di mana ia menang dengan selesa — Terengganu adalah antara segelintir negeri di mana BN telah menambah undi dalam PRU tahun lalu — akan meninggalkan rasa pahit di hati akar umbi Umno dan BN.
Apa yang dibimbangi BN adalah sikap sesetengah pemimpin Umno yang turut menjadi calon untuk pemilihan parti pada bulan Mac depan yang mungkin lebih berminat untuk terus berkempen bagi kemenangan peribadi. Ia telah pun mereka lakukan sewaktu PRK Permatang Pauh.
Setakat ini, BN yang mana kempen PRK Kuala Terengganu diterajui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih merasai tekanan untuk mengekalkan kerusi Parlimen ini. Jika keadaan tidak berubah pada minggu depan, kedudukan BN akan semakin tergugat — walaupun wang ringgit mungkin melimpah.
Bagi DAP dan Pakatan Rakyat, ia mungkin menjadi satu bentuk referendum jika kememangan dicapai. Jika tidak, suara-suara pasca kempen akan berkisar soal "meneruskan perjuangan". PRK ini lebih penting buat Pakatan berbanding BN kerana gabungan pembangkang memerlukan satu lompatan untuk mengembalikan semula keyakinan pengundi tsunami politik 8 Mac lalu.
Walau apa pun, PRK Kuala Terengganu lebih menjurus kepada soal maruah dan prinsip. Bagi Guan Eng, perkara itu sudah pun diteliti, dan kerana itu, acara penting tahunan parti boleh ditangguhkan demi membuktikan iltizam dan keikhlasan untuk bersama sahabat dalam Pakatan Rakyat.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments