Opinion

Resmi pembangkang

22 APRIL — Ada sesuatu yang tak kena dengan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Cara berkempen sudah terbalik dan songsang.

Sejlama ini, para pemimpin Barisan Nasional sering menuduh pembangkang sering menggunakan serangan peribadi dan tuduhan emosi dalam kempen pilihan raya.

Kini ia sudah terbalik cara. Sejak sebelum hari penamaan calon pada 17 April lalu hingga sekarang, Umno dan konco-konconya tak henti-henti menyerang peribadi calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat.

Bukan sahaja bekas tokoh Umno dan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dicaci-maki sebagai “kaki minum”, malah gambar-gambar palsu di mana tampalan (superimposed) wajah dan botol terhadap Zaid telah disebarkan oleh para propagandis Umno di Hulu Selangor.

Mesej mereka mudah sahaja — Zaid kaki botol dan orang Melayu tak patut mengundi beliau. Soal sama ada tuduhan dan sebaran gambar-gambar palsu itu bertentangan dengan adab sopan manusia, akal budi Melayu dan amalan Islam tidak menjadi keutamaan kepada penyokong-penyokong Umno berkenaan.

Suasana penaburan fitnah ini yang berleluasa di Hulu Selangor akan menentukan sama ada pengundi di kawasan itu, khususnya orang Melayu, terdiri daripada mereka yang mudah dijerat pembohongan atau mereka yang tahu menilai mana yang intan, mana yang kaca.

Sejak penarikan diri dua calon bebas, hanya Zaid dan P. Kamalanathan dari MIC yang mewakili Barisan akan menjadi pilihan 64,500 pengundi di Hulu Selangor pada 25 April ini — tiga hari sahaja lagi untuk mereka membuat penentuan.

Ironi yang berlaku sekarang ini mendedahkan ketandusan isu-isu yang biasa dibawakan dalam mana-mana kempen pilihan raya; pembangunan setempat, kemajuan infrastruktur, janji-janji perubahan serta pembawaan nilai-nilai keadilan, demokrasi, hak asasi dan peluang-peluang saksama.

Jika dinilai dari laporan, rencana dan tuduhan liar media alternatif di medan maya dan media arus perdana, pengundi-pengundi di Hulu Selangor dilihat oleh Umno dan Barisan seperti sekumpulan manusia yang hanya mahu mendengar maki-hamun dan fitnah.

Tidak banyak janji-janji pembangunan dan kemajuan yang biasa kedengaran dari Umno dan Barisan sebagaimana amalan biasa mereka dalam pilihan raya kecil.

Yang menjadikan keadaaan terbalik ialah apabila Pakatan Rakyat, termasuk Zaid sendiri, memilih untuk tidak melakukan serangan balas terhadap fitnah-fitnah peribadi itu. Walau pun Zaid kenal dengan ramai pemimpin Umno yang kaki botol, kaki perempuan dan kaki judi, beliau enggan menyerang peribadi mereka. Yang ditumpukannya ialah merayu untuk membawa suara pengundi Hulu Selangor ke Parlimen di samping menambah baik kemudahan dan pembangunan yang sedia ada di kawasan itu.

Beliau juga mengulangi hasratnya untuk mereformasikan sistem Felda yang selama ini dikatakan tidak memerdekakan generasi kedua rancangan tanah itu kerana masih terperap sebagai “pekerja” Felda walau pun sekian lama dijanjikan hak milik tanah.

Malah Zaid juga membawakan isu hak Orang Asli yang dicadangkannya supaya diangkat taraf sama dengan Bumiputera, dan bukannya dilayan seperti warga kelas tiga. Begitu juga usahanya untuk mencari jalan menawarkan peluang pekerjaan yang sesuai untuk generasi muda.

Isu-isu ini dijangka tidak mati selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor, sebaliknya akan dikumandangkan lagi dengan lebih meluas di peringkat kebangsaan untuk menjadi kempen nasional.

Di samping itu pula, tanpa mendapat banyak perhatian dan layanan media arus perdana, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah “mencontohi” kempen cara lama Barisan Nasional dengan memasuki ceruk rantau kampung untuk berkempen bagi calon Pakatan.

Tanpa maki-hamun atau caci-cerca, beliau banyak bertemu pengundi Hulu Selangor untuk menawarkan penambahbaikan kawasan serta peningkatan taraf hidup.

“Kita tetap teruskan pembangunan di kawasan ini dan seluruh Selangor kerana ini merupakan negeri kita. Tak kisah menang atau kalah kali ini, kita akan teruskannya,” katanya kepada pemberita dalam kempennya baru-baru ini.

Apa yang diusahakanya bukan sekadar janji-janji pilihan raya tetapi juga usaha menaikkan nama Hulu Selangor di mata dunia, khususnya dalam rangka kerja kerajaan negeri untuk menjadikan Kuala Kubu Baru warisan dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Sebagaimana yang sudah tersedia dalam pelan pembangunan negeri, kerajaan Selangor juga akan memastikan isu ketiadaan sijil layak menduduki bangunan (CF) di negeri itu termasuk kepada lebih 1,000 pemilik rumah di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.

Begitu juga usaha kerajaan negeri uintuk menambah elaun melalui bonus kepada Ketua Kampung serta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan itu di mana setiap seorang menerima lebih RM1,000. Pemberian itu berhasrat untuk menambah usaha program kesejahteraan kampung termasuk gotong- royong dan pembersihan persekitaran.

Kempen berhemah seperti ini memang tidak mengghariahkan, malah membosankan kepada mereka yang suka mendengar umpat-mengumpat dan menjaga tepi kain orang. Tetapi cara inilah yang pernah menjadi tunjang kekuatan Umno dalam usaha berkempen sejak lebih 50 tahun dahulu.

Tanpa berkubang dalam lumpur fitnah, Khalid dan para exco kerajaan negeri yang diwakili PKR, PAS dan DAP lebih bertungkus-lumus menemui penduduk-penduduk kampung dan pekan di Hulu Selangor secara langsung daripada menghamburkan kata-kata benci meluap terhadap calon lawan.

Zaid sendiri memilih cara yang sopan dan halus dengan menawarkan diri untuk menjadi jambatan di antara Ahli Parlimen kawasan dan kerajaan negeri.

“Dengan pengalaman sebagai Ahli Parlimen Kota Bahru (2004 – 2008), pernah jadi menteri dan mudah berurusan dengan pimpinan kerajaan negeri, saya yakin dengan kemampuan saya untuk membantu pengundi Hulu Selangor,” katanya.

Namun, jika difikirkan semula, keadaan kempen yang terbalik ini tidaklah seganjil yang disangkakan. Ada benarnya juga kata-kata pemimpin Umno dahulu; di mana pembangkang didakwa lebih gemar memilih serangan peribadi daripada kempen berhemah.

Di Selangor sekarang, yang menjadi kerajaan adalah Pakatan Rakyat dan yang menjadi pembangkang adalah Umno dan MIC serta sekutu-sekutu mereka dalam Barisan Nasional. Agaknya itulah resmi “pembangkang”.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments