Opinion

Akur kontraktor Melayu

9 JAN — Akhirnya akur juga Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia dengan kejayaan sistem tender terbuka kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang mana terbukti kontraktor-kontraktor Melayu mampu berdaya saing tanpa kabel politik Umno.

Kecekapan, ketelusan dan keikhlasan urus tadbir kerajaan negeri telah diakui oleh Pengerusi PKMM cawangan Pulau Pinang Datuk Mohamed Fadzill Hassan yang telah memohon maaf kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu pertemuan di Komtar, Georgetown pada Jumaat lalu.

Beliau meminta maaf berikutan beberapa kenyataannya yang telah menghentam Guan Eng tanpa asas yang kukuh.

Sebelum ini, apabila Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan lebih 70 peratus kontraktor Melayu berjaya memenangi tender terbuka di negeri itu, Mohamed Fadzill mendakwa ia tidak menggambarkan agihan sebenar secara adil.

Beliau membuat dakwaan bahawa nilai tender yang dianugerahkan kepada kontraktor Melayu jauh lebih rendah berbanding dengan nilai kontrak yang diterima oleh kontraktor bukan Melayu.

Guan Eng kemudiannya mendedahkan fakta bahawa kontraktor Melayu mendapat 100 peratus tender projek Jabatan Pengairan dan Saliran, dan 98 peratus projek Jabatan Kerja Raya — kesemua 18 tender JPS bernilai RM40.94 juta manakala 16 daripada 17 tender JKR bernilai RM20.4 juta. 

Daripada jumlah nilai RM20.4 juta bagi tender JKR, satu-satunya kontraktor bukan Melayu yang berjaya hanya mendapat kontrak bernilai RM407,000, atau dua peratus sahaja.

Sama ada semua kontraktor Melayu yang berjaya itu adalah ahli Umno, PAS, PKR, DAP, Gerakan atau tidak berparti, ia bukan penentu untuk memenangi tender. Sistem tender terbuka Pulau Pinang hanya memilih mereka yang cekap, berpengalaman, berkemampuan, berdaya saing dan bertanggungjawab.

Selain Fadzill, beberapa pemimpin Umno juga telah menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang telah menganaktirikan kontraktor Melayu, walau pun tidak ada sebarang bukti dikemukakan untuk melapik dakwaan berkenaan.

Guan Eng sendiri telah pun membalas tuduhan itu: “Urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) dan sistem tender terbuka telah membuktikan bahawa kontraktor Melayu memang berdaya saing secara terbuka. Yang tak mampu saing hanya kontraktor Umno yang lembik dan dayus sehingga terpaksa bergantung kepada kabel politik Umno dan hidup sebagai kontraktor kroni”.

Kini sepi sudah tuduhan-tuduhan dari PKMMPP. Semoga golongan kontraktor Melayu ini tegas dengan pendirian mereka tanpa perlu takut dengan gertakan dari mana-mana kelompok tertentu.

Setelah meminta maaf kepada Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, Mohamed Fadzill menyampaikan hasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Difahamkan PKMMPP mahu kerajaan negeri menarik balik keputusan senarai hitam lebih 40 kontraktor Melayu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Umno tetapi ia dinafikan oleh Guan Eng yang menjelaskan bahawa ia hanya mahu memastikan semua kontraktor memang cukup kelayakan, dan bukan menjadi kroni kepada mana-mana pihak.

Hampir sebulan yang lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menjelaskan bahawa apabila projek-projek diserahkan kepada kontraktor-kontraktor Umno berdasarkan kabel politik dan kronisme sewaktu Barisan Nasional memerintah negeri, banyak masalah melanda projek-projek kerajaan.

“Demi mengelakkan projek kerajaan negeri bermasalah kerana terbabit dengan kontraktor kroni Umno, maka arahan telah dikeluarkan kepada semua jabatan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memantau dengan teliti dan rapi sekiranya kontraktor Umno ini membida projek,” katanya, sambil menjelaskan arahan itu bukan bermaksud menyenaraihitamkan mana-mana kontraktor.

Guan Eng turut menjelaskan bahawa beliau dengan hati terbuka menerima permohonan maaf daripada Mohamed Fadzill walau pun beberapa kenyataan dari pemimpin PKMMPP itu yang sebahagian besarnya disiarkan dalam akhbar-akhbar bahasa Melayu kerap menyerangnya dan kerajaan negeri pimpinannya.

Namun, sebagaimana yang dijangkakan, media berbahasa Melayu tidak menyiarkan sama sekali berita peristiwa bersejarah pada Jumaat lalu.

Apakah kerana ia melambangkan kejayaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat menyelesaikan masalah kontraktor Melayu atau lebih dari itu, adakah kerana ia petanda bahawa semua kaum boleh mendapat faedah bersama jika mereka bekerjasama?

Apa yang Guan Eng harapkan adalah usaha menyelesaikan masalah dengan memulakan lembaran baru bagi memastikan hanya kontraktor-kontraktor yang cekap, berpengalaman dan layak diberikan projek-projek pembangunan rakyat.

Strategi pentadbiran dan politik sedemikian bukan sahaja memberi habuan sah kepada kontraktor yang layak tetapi juga memastikan tidak ada sesiapa bakal menjadi mangsa kerja tidak sempurna yang boleh mengakibatkan kecelakaan atau maut.

Tetapi masih ada beberapa media dan pemimpin politik tertentu yang tidak mahu rakyat Malaysia hidup bersahabat tanpa mengira kaum dan agama kerana beranggapan ia akan membinasakan ideologi perkauman mereka.

Kelompok-kelompok ini percaya mereka akan hanya kekal relevan jika pengasingan kaum, ketuanan satu bangsa serta tuntutan perkauman yang melampau diteruskan demi survival politik mereka.

Oleh itu tidak mengejutkan jika mereka terus mencari kuman di seberang laut untuk menggagalkan sebarang usaha DAP dan Pakatan Rakyat merapatkan hubungan antara kaum dan agama berasaskan gagasan Ketuanan Rakyat.

Jika para pemimpin Umno dan BN boleh turut akur dengan kejayaan usaha yang dibawakan oleh Pakatan, tidak ada apa yang perlu dimalukan jika mereka juga memulakan langkah-langkah yang sama di peringkat Pusat dan negeri-negeri di bawah tadbiran BN.

Saranan yang sama juga perlu disampaikan kepada Pakatan untuk mengambil yang jernih dari BN tetapi sayangnya, walau pun ada, tidak banyak yang telus dan mulus dapat dipelajari dari BN.

Tidak ada sesiapa yang akan rugi, sebaliknya rakyat pelbagai kaum, malah dari pelbagai parti politik serta tanpa berparti, dapat meraih faedah jika Pusat menghentikan permusuhan dan sekatan-sekatan hak terhadap negeri-negeri Pakatan.

Akur kontraktor Melayu di Pulau Pinang yang kebanyakannya dari kalangan Umno dengan usaha Guan Eng dan kepimpinan negeri telah membuktikan sekurang-kurangnya apa yang Pakatan lakukan sudah membuahkan hasil.

Segala yang besar biasanya bermula dengan satu langkah yang kecil.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments