29 NOV — Ketika Parti Keadilan Rakyat dan DAP sedang dilambung kemelut dalaman, ia sepatutnya membuka jalan untuk Umno dan Barisan Nasional menarik semula sokongan rakyat yang mereka hilang dalam pilihan raya umum 2008.
Tanpa membazirkan wang rakyat berjuta-juta ringgit untuk mendapatkan khidmat perunding politik dari luar negara, Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya perlu menggunakan kebijaksanaan dan sifat rendah diri untuk memujuk hati pengundi yang meninggalkan mereka lebih dua tahun lalu.
Ini tidak sukar dilakukan kerana apa yang dikatakan sebagai krisis keyakinan PKR serta dakwaan perpecahan kumpulan-kumpulan bersaing dalam DAP boleh menjadi satu kelebihan kepada BN sekarang.
Ramai pengundi yang meluat dengan kebongkakan dan kesombongan kepimpinan Umno dan BN telah memilih PKR, DAP dan PAS sebagai jalan keluar pada 2008. Tetapi kini rasa gelisah menikam kalbu pengundi apabila melihat cara pengendalian parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang dikatakan tidak banyak beza dengan mana-mana parti lain dalam soal perebutan kuasa.
Pengundi melihat amalan matlamat menghalalkan cara dilakukan oleh semua pemimpin politik; kotor atau tidak, itu bukan soal mereka yang mahukan jawatan. Yang bertanding menuduh yang melawannya sebagai gila kuasa dan yang mencabar pula mendakwa yang mempertahankan jawatan menggunakan taktik kotor.
Sebagaimana yang biasa dilakukan oleh pucuk pimpinan Umno dan BN, parti-parti seperti PKR menggunakan alasan yang sama apabila dikritik – tidak ada bukti penyelewengan pengundian, orang yang menentang kepimpinan ejen BN, dan sebagainya.
Keadaan-keadaan ini sepatutnya ia menjadi bola tanggung buat Umno dan BN. Mungkin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno sudah tercium bau kemenangan dalam PRU akan datang. Mungkin ini juga akan mempercepatkan datangnya ilham kepada beliau untuk membubarkan Parlimen.
Tetapi benarkah keadaannya semudah itu?
Di sebalik cakar-cakar dalaman Pakatan, di pihak Umno dan BN mereka belum pulih dari imej sombong, bongkak dan kuku besi yang terpahat dalam benak pengundi pada 2008.
Sebagai contoh, dalam kongres PKR hujung minggu lalu, apabila Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyeru supaya konsep Ketuanan Melayu ditinggalkan kerana menyifatkannya sebagai slogan yang memperdayakan bangsa Melayu, ia disambut dengan laporan polis oleh pertubuhan Perkasa terhadap Presiden PKR itu yang dituduh biadap.
Sikap kuku besi yang berselindung di sebalik undang-undang keras serta tidak mahu duduk berbincang inilah yang membawa kepada jatuhnya empat negeri kepada Pakatan Rakyat, dengan Kelantan kekal di tangan PAS, pada 2008.
Selain sikap kumpulan-kumpulan ultra kaum ini, tindakan pegawai-pegawai kerajaan tertentu termasuk pengetua dan guru sekolah yang amat lancang mulut mereka menyuruh pelajar-pelajar bukan Melayu “balik Cina” dan “balik India” tidak banyak membantu Umno dan BN dalam pemulihan sokongan pengundi. Bukan sekadar kerana kata-kata nista yang dihamburkan itu tetapi tiada sebarang tindakan tegas dari kerajaan yang berdiri atas slogan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.
Ini menjadi beban kepada Umno dan BN untuk mencuri kemenangan dari kelemahan yang sedang tertonjol dari komponen-komponen Pakatan Rakyat.
Melihat kepada keadaan semasa, agak sukar bagi Pakatan Rakyat menumbangkan BN untuk membentuk kerajaan pusat yang baru dalam PRU ke-13 akan datang, terutamanya jika ia dilaksanakan dalam masa enam bulan dari sekarang.
Pada masa yang sama, BN juga akan mengalami laluan sukar untuk mengembalikan kemenangan dua pertiga yang biasa dinikmatinya sejak 1974 (sehinggalah 8 Mac 2008). Bukan semua orang Melayu mudah percaya dengan slogan kosong. Orang bukan Melayu pula bukannya kaum yang mudah digula-gulakan dengan janji ekonomi sahaja.
Jika pentadbiran Najib yakin dengan apa yang diusahakan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN, mereka sepatutnya sedar bahawa ramai kalangan rakyat yang setuju dengan slogan dan konsep 1 Malaysia. Yang membuatkan rakyat marah dan meluat ialah ia cuma cakap tak serupa bikin.
Terserlah sudah buat Najib, Umno dan BN bahawa satu-satunya jalan keluar untuk mencapai kemenangan ialah melaksanakan dan mengamalkan sepenuhnya apa yang dijanjikan dalam idealisme 1 Malaysia.
Tak perlu meraung, menjerit dan berteriak di tepi jalan dengan sepanduk perkauman. Tidak boleh berdiam diri apabila pegawai dan kakitangan awam bersikap kurang ajar terhadap rakyat Malaysia dengan kata-kata kesat. Tidak boleh lagi menutup pintu kebebasan bersuara melalui kekangan undang-undang terhadap media massa dalam apa bentuk sekali pun.
Dalam bahasa yang paling mudah, rakyat tidak perlu kepada Pakatan Rakyat jika Umno dan BN melaksanakan segala apa yang dijanjikan oleh Pakatan — kerana kebanyakan janji-janji Pakatan adalah cerminan harapan rakyat untuk Malaysia yang lebih baik buat anak cucu mereka. Sama ada Umno dan BN sedar atau tidak, prinsip-prinsip asas janji-janji Pakatan turut terkandung dalam konsep 1 Malaysia.
Jika BN, khususnya Umno, gagal mengambil kesempatan ini untuk mereformasikan diri, kalau pun tidak kalah dalam PRU ke-13, masa depan BN semakin kelam menjelang PRU ke-14 jika Umno masih tidak sedar diri dan merasakan rakyat tidak boleh hidup tanpa kepimpinan mereka.
Memang Pakatan Rakyat bermasalah hari ini. Namun belum terlambat untuk mereka kembali berpadu semangat menjelang PRU ke-13. Jika Pakatan berjaya sekurang-kurangnya mengekalkan jumlah kerusi Parlimen serta penguasaan negeri-negeri yang dimenangi pada PRU 2008, ia sudah cukup untuk memberi tamparan hebat kepada kepimpinan Umno dan BN.
Dalam keadaan sekarang, pengundi semakin cepat meluat dengan gelagat para pemimpin yang dilihat mempermainkan mandat mereka. Setelah berani membuat perubahan besar pada 2008, tidak mustahil pengundi akan melakukan sesuatu yang lebih mengejutkan lagi jika merasakan maruah dan harga diri mereka diperkotak-katikkan oleh para pemimpin, walau dari apa parti sekali pun.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments