Opinion

Di antara Gerakan dan DAP

27 MEI — Ada sebuah parti politik yang hampir semua pemimpin dan anggotanya adalah dari kaum Cina walau pun ia menegaskan perjuangannya untuk semua kaum. Matlamatnya ialah mewujudkan Malaysia yang bersatu, mengamalkan keadilan sosial dan bersifat sekular.

Ia juga mahu mewujudkan masyarakat yang mempunyai hak dan peluang saksama untuk semua walau pun bersetuju bahawa bantuan harus diberikan kepada mereka yang memerlukan tetapi tidak boleh berasaskan kaum.

Parti itu juga memerintah Pulau Pinang — pada suatu ketika dahulu. Nama parti itu adalah Parti Gerakan Rakyat Malaysia atau lebih dikenali dengan nama Gerakan.

Tidak ada sesiapa, khususnya dari pemerintah pusat, yang menuduh Gerakan sebagai parti rasis, cauvinis, komunis, anti-Melayu dan anti-Islam.

Tidak ada media arus perdana atau mana-mana kumpulan pelampau kaum yang menuduh Gerakan mahu menghapuskan Bahasa Melayu, mengkhianati Perlembagaan Persekutuan atau pun mahu menubuhkan negara Kristian.

Mengapa begitu?

Pertamanya, kerana memang Gerakan bukan rasis, cauvinis, komunis, anti-Melayu dan anti-Islam, serta ia tidak ada konspirasi untuk menghapuskan Bahasa Melayu, mengkhianati Perlembagaan Persekutuan atau pun mahu menubuhkan negara Kristian.

Keduanya, kerana ia adalah rakan komponen Barisan Nasional yang didominasi oleh Umno. Ia tidak melawan Umno. Ia tunduk dan patuh kepada Umno. Ia mengikut telunjuk Umno. Dan ia jarang menimbulkan kemarahan para pemimpin Umno.

Walau pun kadang-kadang Gerakan bersuara tidak puas hati, ia cepat-cepat dipadamkan atas nama semangat setiakawan BN.

Berlainan pula nasib dengan sebuah parti yang banyak persamaan di segi majoriti etnik khusus, ideologi dan matlamat dengan Gerakan. Ia telah menjadi mangsa tohmahan BN, khususnya Umno dan konco-konconya, kerana ia tidak berada dalam BN dan ia enggan tunduk kepada ketuanan Umno.

Ia menjadi mangsa fitnah dan pembohongan yang dahsyat sehingga ramai pemimpinnya merengkok dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan sehingga kini terpaksa berdepan dengan tuduhan-tuduhan liar yang tidak berasas.

Sebarang jawapan balas dari parti ini untuk menjelaskan kedudukan sebenar tidak diberi ruang sama sekali dalam mana-mana media arus perdana, terutamanya dalam akhbar, TV dan radio berbahasa Melayu.

Parti ini yang bernama Parti Tindakan Demokratik atau DAP hanya menjadi sasaran tuduhan dan fitnah tanpa berpeluang memberi penjelasan, apatah lagi membela diri, sejak 45 tahun ditubuhkan.

Bagi tukang-tukang fitnah, tidak penting bagi mereka bahawa DAP, yang hampir sama seperti Gerakan, bukan rasis, cauvinis, komunis, anti-Melayu dan anti-Islam. Yang penting bagi mereka, DAP harus dibalun habis-habisan supaya sentiasa dibenci orang Melayu.

Kini DAP menjadi teraju Pakatan Rakyat mentadbir Pulau Pinang. Dengan tiba-tiba ia dituduh menindas orang Melayu di negeri itu. Ia didakwa menjadi punca orang Melayu terbiar dan hidup melarat.

Walau pun pihak yang menuduh tidak membuktikan dakwaan dengan perangkaan, fakta dan maklumat yang benar serta lengkap, tuduhan itu bertubi-tubi dibuat sehingga ramai orang Melayu di luar Pulau Pinang menelan bulat-bulat fitnah sedemikian.

Yang tidak diceritakan oleh tukang-tukang fitnah itu ialah, jika benar pun orang Melayu terbiar melarat, bukan DAP yang memerintah Pulau Pinang sejak Merdeka. DAP dan Pakatan Rakyat yang menguruskan pentadbiran negeri baru berusia setahun jagung.

Sejak pilihan raya umum pertama atas nama Malaya pada 1959, MCA telah memerintah Pulau Pinang dengan diterajui oleh Ketua Menteri Wong Pow Nee sehingga ditewaskan oleh Gerakan pada 1969 (dan Gerakan kemudian menyertai BN). Gerakan menguasai pemerintahan negeri hampir 40 tahun dengan dua ketua menteri Tun Dr Lim Chong Eu dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Jika benar lah orang Melayu Pulau Pinang papa kedana dan hidup daif, sama seperti golongan fakir dan miskin tegar di pedalaman Terengganu, Sabah dan Sarawak, sukar untuk dipercayai ia berpunca daripada pentadbiran Pakatan di bawah pimpinan Lim Guan Eng yang baru menerajui negeri sejak tiga tahun lalu.

Namun, pemerintah pusat BN serta media arus perdana yang mereka kuasai seperti malu-malu kucing untuk mendedahkan maklumat dan fakta sebenar tentang apa yang berlaku kepada orang Melayu di Pulau Pinang sejak 50 tahun sebelum 2008. Walau pun MCA dan Gerakan memerintah Pulau Pinang selama itu, banyak keputusan mereka tertakluk kepada Umno sebagai tonggak pemerintah pusat.

Fitnah berterusan terhadap DAP menyebabkan masyarakat Melayu hanya mendapat tahu tentang parti itu dari kaca mata musuh-musuh politiknya sahaja. Selama ini, sebelum bermula zaman Internet, kebanyakan orang Melayu disogokkan “berita” tentang DAP melalui media arus perdana milik Umno dan BN.

Tidak ada tanda-tanda keadaan ini akan berubah.

Bayangkan jika ditakdirkan Gerakan keluar atau dipecat dari BN, ia mungkin menerima nasib yang sama dengan DAP.

Tidak mustahil jika segala jasanya kepada Umno dan BN akan dicampakkan serta-merta, dan secara tiba-tiba ia akan dituduh parti rasis, cauvinis, komunis, anti-Melayu dan anti-Islam.

Namun, ini sekadar andaian. Gerakan tetap setia dengan BN. Ia tetap patuh dan tunduk kepada Umno serta sanggup menerima tohmahan dan kecaman apabila ia sesekali berani menegur sesetengah dasar dan amalan Umno.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments