21 JAN — Yang menyokong Datuk Zaid Ibrahim dan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) cukup yakin dengan masa depan parti baru itu. Yang benci dengan beliau tentu sahaja menanti masa berkuburnya satu lagi parti kecil.
Zaid dan Kita adalah satu daripada beberapa kesan besar hasil masalah dalaman Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat, yang melibatkan tuduh-menuduh antara para pemimpinnya.
Adakah Zaid benar-benar mahu membawa perubahan atau semata-mata marah kerana mendakwa menjadi “mangsa” politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan orang kanannya Azmin Ali?
Sewaktu melancarkan Kita di ibu kota pada 19 Januari lalu, Zaid mengutarakan pandangannya terhadap suasana politik negara:
“Barisan Nasional yang telah berusia, mulai goyah kerana ia tidak mampu membebaskan dirinya daripada belenggu masa lampau. Ia terlalu takut dan terlalu angkuh untuk berubah. Pakatan Rakyat yang lebih muda pula, mula goyah kerana mereka tidak mempunyai resipi perubahan yang tulen. Ia terperangkap dalam reformasi ciptaan sendiri sehingga lupa maksud perubahan sebenar”.
Apa yang dapat dilihat semasa pelancaran Kita adalah Zaid berani membawa isu-isu yang selama ini dianggap sensitif — kaum dan agama. Beberapa kali perkataan “sekular” — memisahkan agama daripada cengkaman kerajaan — disebutnya walau pun menyedari istilah itu telah lama sengaja disalahertikan oleh para pemimpin politik Melayu.
Beliau juga tidak segan untuk menegur orang Melayu walau pun menyedari kebanyakan mereka menganggap “kedudukan istimewa” dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai hak mutlak dari buaian bayi hingga ke kubur.
“Bagi orang Melayu, Kita tidak akan melalaikan anda dengan rasa selamat yang palsu, iaitu dengan cara membuatkan anda percaya bahawa anda mempunyai hak yang lebih berbanding kaum lain. Kita akan beritahu kepada anda bahawa anda telah mempunyai cukup hak dan keistimewaan untuk berjaya; yang anda perlukan ialah menambah kemahiran dan daya saing untuk menempuh abad ke-21 ini.
“Anda akan menjadi manusia berjaya dalam pengertian sebenar. Anda tidak akan perlu menghunus keris agar orang gerun dengan anda, atau menyebut-nyebut tentang asal-usul anda untuk tampil istimewa. Anda tidak lagi akan sekadar menjadi sebuah takrif dalam Perlembagaan Persekutuan. Anda akan jadi Melayu sejati dalam masyarakat Malaysia yang lebih besar,” katanya.
Dalam soal Islam, Zaid berpendapat bahawa intelektualisme dan kesarjanaan hanya dapat berkembang dalam suasana bebas.
“Para birokrat, orang-orang yang makan gaji, dan ahli-ahli politik, hanya mampu mencemarkan nama baik Islam dengan memperkenalkan aturan-aturan yang mengekang dan mengelirukan, selain aturan-aturan yang memudaratkan keharmonian dan toleransi keagamaan di negara ini. Negara ini diasaskan sebagai negara demokrasi berperlembagaan yang sekular, dengan Islam sebagai agama rasmi, maka ia harus kekal sebegitu,” tambahnya.
Jika rakyat menerima prinsip-prinsip sekular sebagai asas dasar awam serta kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, Zaid yakin, ia akan memudahkan usaha mencari penyelesaian bagi masalah-masalah yang melibatkan rumah ibadat, undang-undang peribadi, dan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah.
Pendiriannya dalam soal hak-hak kaum bukan Melayu serta bukan Islam dan hak-hak negeri Sabah serta Sarawak sudah beberapa dijelaskannya, sewaktu beliau bersama dengan BN dan PKR lagi — merapatkan jurang serta meluaskan peluang saksama.
Baginya, Kita melambangkan sifat sederhana, demokratik dan liberal; dan jalan keluarnya dari politik BN dan Pakatan adalah bukan untuk “memonopoli atau mengawal mana-mana kelompok. Jauh sekali untuk mengubah catatan sejarah yang tidak kita sukai”.
Namun, banyak pihak melihat kata-kata Zaid sebagai suara orang politik. Yang biasa difahami, orang politik memang kerjanya menawarkan janji, sama ada mampu ditunaikan atau tidak.
Jika Kita hanya menjadi alat untuk menghentam Anwar, ia tidak akan membawa Kita ke mana-mana. Jika Kita “cakap tak serupa bikin”, Kita pula yang dihentam rakyat.
Zaid juga akan menghadapi masalah di mana penyokong Pakatan sendiri melihatnya sebagai pengacau. Beliau sendiri mengakui masalah ini.
“Memang benar, parti baru ini dipandang dengan rasa curiga, malah dengan cemuhan... Mereka meluahkan rasa tidak senang, melihatnya tidak lebih sebagai pengacau dalam pilihan raya akan datang. Ia dianggap akan menjejaskan peluang pembangkang.
“Mereka inilah juga yang memuji-muji nilai demokrasi tetapi pada masa yang sama tidak mempedulikan prinsip yang paling asasi, iaitu bahawa setiap suara mempunyai hak untuk diperdengarkan. Tidak kira seberapa kecil sekali pun suara itu.”
Namun masalah yang lebih besar ialah risiko bercakap benar dalam politik.
Tulus dan terang kata-kata Zaid dalam hal-hal Melayu dan Islam dijangka menjadi penghalang untuk mendapat sokongan pengundi Melayu.
Politik tidak mengenal agama dan kaum sebagaimana peluru tidak mengenal mangsa. Sama ada mereka benci demokrasi dan kebebasan, suka rasuah, salah guna kuasa dan bersikap kuku besi, banyak orang politik yang tidak merasa malu atau bersalah untuk mempergunakan agama dan kaum bagi mencairkan hati pengundi.
Zaid terpaksa berdepan dengan kelompok-kelompok ini. Itu pun jika beliau sendiri tidak terjebak dalam perangkap yang akan memaksanya menggunakan agama dan kaum untuk menang.
Jika Zaid berjuang untuk mendapat kuasa, memang agak gelap masa depan Kita. Tetapi jika politik nilai yang cuba dibawakannya itu benar-benar ikhlas dalam pelaksanaan kata-kata, tidak mustahil rasa hormat dan takzim akan sentiasa mengiringinya.
Majlis pelancaran Kita juga hebat dengan penggunaan teknologi media baru yang menampilkan kesegaran dan mencerminkan suasana muda, selaras dengan irama dan semangat politik wajah baru.
Sayangnya, apabila para pemimpin Kita berdiri beramai-ramai di atas pentas apabila melancarkan logo Kita, yang dilihat adalah banyak muka lama dari kalangan lelaki dalam usia 50 tahun ke atas.
Mungkin mereka yang muda serta kalangan wanita belum berani tampil ke depan, atau sekadar mahu tunggu dan lihat apa akan berlaku kepada Kita dalam PRU ke-13 nanti, atau pun mereka sudah pun menjatuh hukum bahawa Kita hanyalah pengacau buat Pakatan Rakyat.
Sebagaimana yang diungkapkan oleh Zaid sendiri, hanya masa yang akan menentukan.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments