Opinion

Mengapa Utusan-Umno berkempen untuk ulama PAS

3 JUN — Satu-satunya parti pembangkang yang mendapat liputan positif daripada Utusan Malaysia buat masa ini adalah PAS — kecuali seorang insan yang bernama Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta para pemimpin parti yang menyokong Mursyidul Am PAS itu.

Utusan sebagai organ parti Umno tidak segan-silu berkempen untuk kumpulan ulama dalam pemilihan parti pada Muktamar PAS ke-57 di Kuala Lumpur hari ini walau pun akhbar itu tidak pernah kering idea untuk membelasah PAS sejak zaman-berzaman.

Sebagaimana yang sering dipaparkan dalam lidah rasmi Umno itu, jelas bahawa Utusan menganggap hanya para ulama PAS mampu menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dalam usaha mengambil alih pentadbiran negara.

Perkiraan Utusan-Umno mudah sahaja. PAS yang bekerjasama dengan PKR dan DAP mampu memenangani pilihan raya umum akan datang atas gabungan kekuatan parti-parti pelbagai kaum dan agama.

Dalam keadaan Umno yang semakin tidak disenangi oleh orang Melayu, PAS menjadi alternatif penting untuk mengalih undi dalam PRU akan datang. Kekuatan PAS itu menjadi nadi utama untuk Pakatan Rakyat.

Oleh itu, jika PAS berjaya ditarik keluar dari Pakatan, maka pincang usaha pembangkang kerana PAS adalah parti yang mempunyai paling ramai ahli, memiliki jentera pilihan raya paling tersusun dan mampu menarik undi orang Melayu kepada Pakatan.

Dengan mengandaikan pimpinan ulama dalam PAS tidak selesa dengan PKR dan DAP yang dilihat sebagai sederhana dalam penerimaan hak dan peluang saksama tanpa mengira kaum dan agama, Umno mengharapkan kumpulan ulama untuk menguasai PAS supaya boleh menarik diri dari Pakatan.

Atas sebab itulah Utusan-Umno yang selama ini membenci golongan ulama dalam PAS, terutamanya sewaktu era Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, kini menjadi juara kepimpinan ulama dalam PAS.

Bermacam-macam pujian diberikan kepada kumpulan ulama PAS sekarang — tapi ada harga perlu dibayar — syaratnya, ulama PAS mesti berani bertindak terhadap pemimpin tertentu (baca: Nik Aziz dan rakan-rakan seperjuangannya) supaya tidak “menjadi mangsa percaturan politik PKR dan DAP”.

Bagi Utusan-Umno, fungsi paling utama bagi ulama PAS adalah “memperjuangkan Islam” dan bukannya membuang masa dengan “menumpu perhatian kepada usaha bagi merampas Putrajaya bersama PKR dan DAP”.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga yakin hanya kumpulan ulama PAS akan dapat menyelesaikan “masalah” Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah pun ditohmah oleh kepimpinan Umno sebagai orang yang bersalah serta perlu dihukum.

Lebih jelas lagi agenda mereka, DAP difitnah hampir setiap hari manakala Anwar dan PKR sentiasa dihujani umpatan dan pembohongan.

Dalam konteks ini, kempen Utusan-Umno dalam pemilihan PAS telah menganggap bahawa:

• Kumpulan ulama PAS benci kepada dasar-dasar bersama PAS, PKR dan DAP;

• Kumpulan ulama PAS menolak kepimpinan Anwar;

• Kumpulan ulama PAS sanggup bekerjasama dengan Umno atas nama Melayu dan Islam; dan

• Para perwakilan PAS juga berfikiran sama, iaitu menolak dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat di samping benci kepada Anwar serta sanggup menerima amalan dan kepimpinan Umno.

Walaupun Nik Aziz dianggap ulama dalam PAS, beliau tidak diiktiraf oleh Umno kerana keteguhan pendiriannya bersama PKR dan DAP serta enggan tunduk kepada Umno.

Mungkin ada segelintir pemimpin dan ahli PAS sudah lupa bagaimana parti dan ulama mereka diherdik,dimaki dan dihina sejak sekian lamanya.

Namun masih ada ramai pemimpin dan ahli PAS yang ingat akan “nasihat” Dr Mahathir tentang peranan ulama: “Ajaran ulama inilah yang menyebabkan umat Islam menghabiskan hayat mereka semata-mata membuat persedian untuk akhirat. Dan untuk ini, berbagai-bagai ibadat dicipta dan ditokok tambah untuk memenuhi masa hidup mereka” yang dilafazkan sewaktu Perhimpunan Agung Umno 1991.

Petikan berita pada 1994 pula mencatatkan bahawa bekas Presiden Umno itu sewaktu berucap di Pasir Mas, Kelantan telah berkata: “Kerja yang paling sesuai bagi tok guru (ulama) ialah mengajar, bukan mentadbir”.

Malah Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din — yang juga pengamal perubatan tradisional Islam — yang akhir-akhir ini mendapat pujian Utusan turut menjadi mangsa kritikan Dr Mahathir pada akhir 1990-an, dalam nada yang memperlekehkan kepimpinan ulama.

Memang itu hak Dr Mahathir untuk bersuara. Ulama sebagai manusia boleh ditegur dan dikritik. Mereka juga tidak terlepas daripada membuat kesilapan.

Yang menjadi tanda-tanya, khususnya di kalangan orang PAS, ialah Utusan dan Umno tiba-tiba sibuk memperjuangkan hak ulama dalam PAS yang selama ini ditentangnya habis-habisan.

Apakah para pemimpin Umno berhajat untuk mewujudkan kepimpinan ulama dalam parti mereka sendiri? Sanggupkah kepimpinan Umno sekarang mengundur diri untuk memberi jalan kepada para ulama menerajui parti?

Penentu hala tuju PAS adalah para perwakilannya yang berkumpul hari ini. Pemilihan mereka akan memastikan sama ada Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional akan kukuh dan mantap, atau hancur berkecai.

Mungkin para pemimpin dan ahli veteran PAS masih belum lupa bagaimana parti mereka telah “masuk dalam kain sarong Umno” atas nama perpaduan Melayu, dan kesan tipu daya itu hampir meranapkan PAS pada akhir 1970-an dahulu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments