Kassim Ahmad seorang penulis, filosuf dan politikus di luar zamannya, sejak muda hingga kini. Kekuatannya ialah kejujurannya, sama ada ia soal ideologi, agama mahu pun tentang seni dan sastera.
Tentunya hati rasa bertuah apabila Hafiz Hamzah selaku editor edisi kedua Dialog Dengan Sasterawan meminta saya menulis kata pengantar untuk buku ini yang mengumpulkan hasil kritikan Kassim terhadap sastera Melayu.
Mohon maaf saya pinta kerana saya bukan sasterawan, jauh sekali cendekiawan kesusasteraan Melayu. Hanya sekadar seorang peminat, itu pun yang kurang aktif dalam menelaah karya-karya kreatif sejak sekian lamanya.
Apa yang menyebabkan hati ingin sekali mencatat sesuatu di sini adalah semata-mata nama Kassim yang sudah terpahat dalam sanubari saya sejak di bangku sekolah. Malah edisi pertama buku ini saya beli dengan wang poket sekolah, tidak pasti sama ada sewaktu di tingkatan dua atau tiga.
Apalah sangat yang dapat difahami seorang remaja dalam usia 15 tahun tentang kritikan sastera Kassim terhadap karya-karya besar dan kecil sepanjang dekad-dekad 1950-an hingga 1970-an. Malah saya akui hampir lupa tentang apa yang saya baca dalam Dialog Dengan Sasterawan. Jadi apabila saya menerima draf edisi kedua ini, ia merupakan satu saat yang manis. Ia memberi saya peluang untuk membaca semula apa yang mungkin saya tidak faham sewaktu menelitinya mula-mula dulu.
Terbukti tidak rugi, malah mengejutkan diri saya sendiri apabila tanpa disedari selama ini rupa-rupanya idea dan isi kritikan Kassim membakar di hati, malah sehingga saat ini rasanya prinsip dan pegangan politik saya banyak dicorakkan idea sang pemikir ini.
Oleh kerana saya tidak pernah menjumpai tulisan atau buku Kassim tentang sosialisme, maka apa disampaikan melalui kritikan sasteranya pasca-Merdeka hingga penahanannya tanpa bicara pada 1976 yang tercatat dalam buku ini, itulah dia wajah ideologi, perjuangan dan cita-cita Kassim selaku seorang insan yang amat prihatin dengan derita dan impian rakyat serta pekerja.
Nada kritikan Kassim keras tapi tak kejam, tegas tapi tak kurang ajar, jauh sekali menghina penulis atau penulisan. Beliau menumpukan sepenuhnya kepada karya tanpa menghakimi peribadi penulisnya. Tentunya apa yang saya pelajari dahulu adalah kesungguhan Kassim mempelopori "seni untuk masyarakat".
Berbekalkan kritikan Marxis itu beliau membedah satu demi satu karya yang dianggap besar dalam penulisan sastera Melayu seperti Salina tulisan A Samad Said, Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad), Musafir (Hassan Ali), Dari Mana Punai Melayang (Salmi Manja) dan beberapa novel lain. Kritikannya juga merangkumi puisi dan sajak yang banyak disentuhnya tentang persoalan "seni untuk masyarakat" melawan "seni untuk seni/seni untuk manusia".
Malah beliau sudi mengulangi kritikan orang lain terhadap kritikannya. Begitu juga kritikan dirinya sendiri terhadap koleksi kreatifnya Kemarau di Lembah - yang saya harap pihak penerbit dapat segera menyiapkan edisi keduanya demi membantu penulis muda di negara ini agar tidak terlalu "syok" sendiri, agar tidak menganggap diri hebat apabila pandai mengetuk papan kekunci untuk catatan blog atau facebook.
Kepada anak-anak muda yang membesar dengan hagiografi tokoh sastera Melayu tanpa diungkap bersama realismenya, maka Dialog Dengan Sasterawan adalah antidot terbaik buat mereka yang bercita-cita mahu menghasilkan karya besar.
Walau banyak tulisannya dalam koleksi ini dikongkong masa dan keadaan, saya tetap merasakan idea dan inspirasinya tiada batasan detik dan suasana. Ia bukan sempurna tapi dapat dirasai relevannya makna dan permasalahan yang ditimbulkan dalam kritikannya - keadaan masyarakat, kaum, agama, ekonomi, kapitalisme, sosialisme - yang masih menjadi kemelut pada masyarakat kita hari ini.
Bagi saya antara ungkapan yang dapat menggambarkan sanubari Kassim apabila beliau mengungkapkan tentang sastera adalah:"Masalah seni selalunya ialah masalah integrasi antara isi dengan bentuk, realiti dengan imaginasi dan politik dengan seni…Integrasi yang total tentu sukar dicapai kerana itu ideal, tetapi asalkan imbangan itu dipelihara dan tidak diceroboh, kejayaan akan tercapai." (halaman 66)
Bagi saya juga itulah optimisme Kassim yang pantang apabila melihat atau mendengar ratapan pesimisme (sebagaimana eseinya terhadap Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon yang menggunakan tajuk Pesimisme Sepanjang Jalan - walau jelas dalam buku ini Kassim dilihat mengkagumi Shahnon sebagai penulis).
Dengan menyingkap sedikit karya kritikan Kassim, saya masih dapat rasakan kekuatan tulisan beliau ini yang masih relevan bagi kita yang mahu mencari penyelesaian dalam konflik politik dan sosial yang semakin disempitkan dengan perkauman dan keagamaan tafsiran sempit.
Memang saya akui mengkagumi Kassim sejak di bangku sekolah - atas minat saya dengan politik nasionalisme kiri serta sosialisme - namun tidak berpeluang bertemu muka dengannya sehinggalah zaman dewasa.
Sebagai wartawan banyak kali juga saya berjumpa beliau, cuba mengungkit dan membongkar cerita-cerita lama tentang sosialisme zaman Partai Sosialis Rakyat Malaya. Namun Kassim yang saya temui untuk segelas teh tarik sepanjang dekad 1990-an serta awal 2000-an itu tidak berminat lagi bercakap tentang ideologi, beliau lebih ghairah bercerita tentang fikrah barunya, Al-Quran.
Memang sepanjang hidup beliau, kontroversi menjadi sahabatnya. Mungkin beliau sendiri tidak mahu semua itu, tapi apa yang mungkin dianggapnya sebagai idea revolusioner, itulah yang dia perjuangkan.
Apa yang dapat disimpulkan dalam buku ini adalah pandangan Kassim memang mirip Lekra walau tidak disebut langsung perkataan itu dalam tulisannya. Tapi ia tidak bererti Kassim mengajak dunia penulisan menghasilkan progapanda murahan dan jijik.
Lekra ialah Lembaga Kebudayaan Rakyat adalah gerakan sastera Indonesia yang ditubuhkan pada 1950 yang dikaitkan dengan Partai Komunis Indonesia bagi menggalakkan karya yang berasaskan realisme sosialis.
"(T)idak bermakna penulis-penulis kita harus menjadi propagandis sesuatu aliran politik atau sesuatu program politik yang sempit...(B)ukan karangan-karangan propaganda yang murah dan dangkal." (halaman 61)
Memang saya anggap Kassim sebagai seorang revolusioner dalam dunianya yang tersendiri serta lingkaran politiknya, setidak-tidaknya sebelum beliau menolak sosialisme sebagai falsafah hidupnya. Tapi mungkin juga beliau sendiri menolak gelaran ini. Apa pun itu pandangan saya semata-mata.
Malah kerana itu saya meminjam judul karya Pramoedya Ananta Toer - juga penulis yang dikagumi Kassim - yang diubahsuai sedikit sebagai tajuk catatan pendek ini. Kerana sifat revolusioner Kassim itulah yang meyakinkan dirinya untuk memperjuangkan "seni untuk masyarakat" walau terpaksa menanggung kritikan, kecaman dan kutukan.
Hari ini Kassim mungkin bukan lagi revolusioner. Tapi jiwa Dialog Dengan Sasterawan ketara menonjolkan sifatnya sebagai seorang revolusioner, setidak-tidaknya dari segi sanggahannya terhadap karya-karya yang dianggap terlalu borjuis, pesimistik, dan mungkin juga hedonistik.
Hari ini Kassim menganggap dirinya sebagai jurubicara Al-Quran. Baginya tentu ia satu lagi perjuangan pedih dan perit untuk menegakkan kebenaran. Sama ada kita setuju atau tidak dengan fikrah Kassim masakini, yang lebih penting dari itu adalah menilai semula karya kritikan sasteranya dalam buku ini.
Bagi saya, ia amat penting untuk sesiapa saja yang minat menulis atau membaca. Ia mungkin juga boleh menjadi satu kejutan bagi mereka yang menyangka penulisan atau sastera itu tidak ada kena-mengena dengan politik atau ideologi.
Sepandai-pandai kita merasa diri, Kassim lebih awal lagi menulis tentang "kepandaian" penulis-penulis yang sezaman dengannya. Tidak semestinya kita menerima semua kritikan atau pandangannya. Itu tidak penting. Yang utama adalah membuka minda, melihat sesuatu tanpa prejudis. Mungkin ini cara yang lebih baik untuk melihat kebenaran. – 4 Oktober, 2014.
* Tulisan ini adalah daripada Kata Pengantar kepada buku Dialog Dengan Sasterawan edisi kedua karya Kassim Ahmad terbitan Pustaka Obscura. Sila hubungi saudara Hafiz untuk keterangan lanjut di https://www.facebook.com/hafiz.jelir
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments