Opinion

Yang tersirat di Galas dan tersurat di Batu Sapi

5 NOV — Tengku Razaleigh Hamzah menang di Kelantan, Parti Bersatu Sabah berjaya di Sabah. Yang ghairah bersorak, Umno.

Keseronokan yang tak terhingga itu menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkannya sebagai keyakinan rakyat kepada program transformasi Barisan Nasional yang sedang beliau usahakan.

Benarkah pengundi di kampung dan pekan kecil di Galas dan Batu Sapi membuat pemilihan berdasarkan rasa kagum dan teruja mereka terhadap Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Model Ekonomi Baru serta bermacam-macam program kerajaan Barisan Nasional (BN)? 

Kemenangan BN melalui Umno dalam PRK Dewan Undangan Negeri Galas adalah atas ketokohan Tengku Razaleigh. Ia bukan jalan pintas untuk Umno menjaja kemenangan itu sebagai kembalinya keyakinan rakyat kepada parti berkenaan.

Sebaliknya kemenangan BN dalam PRK Parlimen Batu Sapi adalah petanda jelas kelemahan Pakatan Rakyat dan Parti Maju Sabah dalam menyusun strategi merampas pucuk pimpinan Sabah dalam pilihan raya umum akan datang.

DUN Galas dalam Parlimen Gua Musang memang sudah lama milik putera Kelantan Ku Li dan kemenangan tipis PAS dalam PRU 2008 boleh dianggap sebagai nasib sahaja kerana pengundi Cina melepaskan geram terhadap Umno dan BN pada masa itu.

Difahamkan, kemenangan calon BN Abdul Aziz Yusoff menewaskan lawannya dari PAS Dr Zulkefli Mohamad di Galas kali ini bukan sahaja disebabkan oleh pemulihan sedikit-sebanyak sokongan pengundi Cina tetapi juga undi dari golongan muda Melayu.

Sebagaimana yang dijangkakan, Galas dijadikan modal oleh Umno sebagai petanda pemulihan sokongan. Namun jika para pemimpin parti itu percaya kepada propaganda ciptaan mereka sendiri, itu masalah yang mereka perlu tanggung sendiri kemudian.

Apa yang berlaku di Galas hanya sekadar Ku Li merampas semula kerusi DUN yang hilang seketika akibat emosi semasa pada era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Buat masa ini, difahamkan, Umno masih terkial-kial mencari jalan untuk merampas semula empat negeri yang jatuh kepada Pakatan Rakyat (setelah Perak dirampas BN melalui politik lompat pada awal 2009).

Untuk itu, Galas bukan kayu pengukurnya. Malah PAS yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh dalam kempen PRU itu solah-olah memberi gambaran awal tentang kemampuannya untuk mengekalkan kerusi di kubu kuat Ku Li itu.

Lebih jelas lagi, Ku Li telah menyatakan hasratnya untuk terus mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan negeri pimpinan PAS di Kelantan. Corak kempen sederhana (walau pun sedikit-sebanyak dicacatkan oleh beberapa jurukempen dari luar Gua Musang) menonjolkan Ku Li sebagai pemimpin yang tenang dan bersifat “gentleman”.

Mungkin ada yang menganggap semua itu tidak memberi sebarang kelebihan kepada Ku Li kerana Umno dan BN yang dianggap sebagai pemenang. Namun, hakikatnya, Ku Li tetap dianggap wira Kelantan, PAS tetap memerintah negeri dan Umno masih melopong mencari jalan untuk merampas semula negeri yang hilang dari dakapannya sejak 20 tahun lalu.

Lagi pun, jika Ku Li masih diketepikan oleh pucuk pimpinan Umno, itu bukan masalah beliau yang sememangnya sudah pun dipinggirkan sekarang. Yang bermasalah adalah Umno. Ia perlu mencari formula untuk BN menang bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang; malah kemampuannya untuk mengekalkan Perak dalam PRU akan datang masih menjadi persoalan.  

Pakatan Rakyat tidak perlu risau dengan keputusan di Galas kerana ia tidak mengubah apa-apa landasan politik negara. Ia lebih mencerminkan kemenangan peribadi kepada Ku Li.

Tetapi pada masa yang sama Pakatan Rakyat patut bimbang dengan prestasinya di Batu Sapi. Ia perlu mengkaji semula strategi politiknya di Sabah dan Sarawak berikutan tamparan hebat yang diterimanya dalam PRK Batu Sapi.

Calon BN Datin Linda Tsen, balu kepada Datuk Edmund Chong yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya yang mencetuskan PRK itu, telah memperolehi majoriti yang lebih besar daripada mendiang suaminya dalam PRU 2008.

Malah jika digabungkan undi Parti Keadilan Rakyat dan SAPP dalam pertandingan tiga penjuru itu, ia masih tidak cukup untuk mencabar BN yang diwakili oleh PBS.

Apa yang jelas, strategi PKR yang meletakkan Ansari Abdullah sebagai calon di kawasan Parlimen itu yang mempunyai hampir 60 peratus pengundi Islam manakala SAPP yang diwakili presidennya Datuk Yong Teck Lee dengan kempen Sabah untuk orang Sabah, gagal memujuk hati pengundi yang setia dengan lambang dacing BN.

Memang suasana kempen pilihan raya Malaysia tidak begitu bebas dan demokratik kerana bukan sahaja media massa menyokong BN secara terang-terangan, malah jentera kerajaan dipergunakan oleh parti-parti gabungan pemerintah.

Sukar bagi mana-mana pihak yang bersaing dengan BN untuk menyampaikan maklumat melalui akhbar, TV dan radio yang memang menjadi satu-satunya alat komunikasi untuk majoriti pengundi di luar bandar. Namun, dalam keadaan yang tertekan ini pun, Pakatan Rakyat masih berjaya memenangi banyak PRK yang telah diadakan sejak 2008.

Dengan ini, Pakatan Rakyat perlu melihat kembali diri sendiri untuk menilai semula kelemahan-kelemahan mutakhir terutamanya perpecahan di kalangan pemimpin dalam parti yang sama serta kerapuhan kerjasama antara parti-parti komponen.

Bagi Umno dan BN pula, selagi tiada rancangan yang lebih terperinci serta tanpa usaha jujur merapatkan hubungan antara kaum, sukar untuk mereka memikat pengundi pelbagai kaum khususnya di Semenanjung.

Mungkin dalam waktu terdekat ini Sabah dan Sarawak akan terus kekal sebagai “simpanan tetap” undi untuk BN, walau pun beberapa kerusi tertentu mungkin jatuh kepada Pakatan Rakyat, tetapi politik di Semenanjung tidak menjanjikan penyelesaian mudah untuk Umno dan BN.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments