Opinion

8 tuntutan reformasi institusi untuk bakal perdana menteri

Pemusatan kuasalah yang menyebabkan penyelewangan 1MDB. Sudikah Tan Sri Muhyiddin Yassin  menghapuskan struktur pemusatan kuasa selepas menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Selepas klip video Muhyiddin menuntut lembaga pengarah 1MDB meletak jawatan muncul dan tersebar bagai api merebak di dunia maya, maka spekulasi Najib sudah dekat dengan penghujung jalannya melambung tinggi.

Muhyiddin kini nampaknya sedia mengambil-alih tempat Najib dan mengisi kekosongan terbesar dalam gabungan anti-Najib – 'figure head'.

Sesungguhpun Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa akan jadi ketua komander sebarang usaha untuk menjatuhkan mana-mana perdana menteri, malulah beliau kalau terpaksa berkuasa dengan menjadi perdana menteri untuk kali kedua kerana tiada “wakil” yang sesuai.

Seperti dalam plot menjatuhkan mantan perdana menteri Tan Sri Abdullah Ahmad Badawi 7 tahun lalu, Dr Mahathir tidak boleh menobatkan dirinya dan ketika itu beliau sangat suka dengan Najib sebagai wakilnya.

Sekarang nampaknya, Dr Mahathir sudah dapat mencari “wakil” baru. Mungkin – atau lebih tepat, bilakah – Muhyiddin akan menghampakan Dr Mahathir sekali lagi?

Namun negara ini bukan milik Dr Mahathir dan suka-duka rakyat mesti mendahului suka-duka Dr Mahathir.

Lebih penting daripada persoalan sama ada Dr Mahathir akan dihampakan lagi, kita harus tanya sama ada rakyat akan dihampakan lagi?

Punca kemarahan rakyat terhadap bani Najib ialah 1MDB dan GST

Negara menghadapi krisis kewangan besar dan beban ini ditanggung oleh rakyat kerana keluarga dan kuncu-kuncu perdana menteri hidup mewah dan salah gunakan kuasa.

Rakyat bukan saja membayar lebih cukai, tetapi juga mungkin tergadai simpanan mereka untuk tunaikan haji atau persaraan.

Apakah Muhyiddin akan menghapuskan kedua-dua punca-punca kemarahan rakyat ini?

Sememangnya isteri dan anak-anak Muhyiddin tidak hidup mewah, dan Muhyiddin juga tidak kenal Jho Low, tetapi apakah Muhyiddin sebagai perdana menteri berani dan sanggup mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah dalam skandal 1MDB?

Kerabat dan kroni bekas PM terlepas

Sejarah menunjukkan yang salah laku yang terlibat dengan bekas perdana menteri atau kerabat-keluarga tidak pernah dihukum.

Ingat skandal “correct, correct, correct” yang melibatkan seorang kroni Dr Mahathir (peguam VK Lingam) menetapkan pelantikan hakim? Apakah tindakan yang diambil Abdullah Ahmad Badawi terhadap peguam dan hakim yang terlibat?

Bukankah ini salah satu kegagalan Abdullah yang membawa kepada perarakan “Walk for Justice” oleh Majlis Peguam pada September 2007 yang membuka tirai untuk perarakan raksasa Bersih 1.0 dan Hindraf pada November, yang seterusnya menyumbang kepada tsunami politik?

Abdullah sebenarnya memulakan reformasinya pada 2004 dengan mendakwa seorang lagi kroni Dr Mahathir, Eric Chia kerana jenayah pecah amanah (CBT) sebanyak RM 76.4 million dalam Perwaja?

Akhirnya, Eric Chia dibebaskan dari mahkamah pada 2007. 

Ingat Kamaluddin Abdullah Badawi, anak mantan perdana menteri yang tambahkan kekayaan sebanyak RM430 juta dalam sehari dengan kejayaan syarikat Scominya?

Semua tuduhan terhadap anak dan anak menantu Abdullah yang disiarayakan dalam kempen menjatuhkan beliau tidak membawa kepada sebarang penyiasatan dan pendakwaan selepas Najib berkuasa.

Bukan saja Abdullah yang berhubungan baik dengan Najib mendapat perlindungan terhadap keluarganya, malah Dr Mahathir yang memusuhi Najib sampai sekarang masih dilindungi.

Tiada sesiapa pun didakwa atas jenayah mereka menghadiahkan hak kerakyatan kepada orang asing demi memberi undi, sekalipun Suruhanjaya Siasatan DiRaja sudahpun selesai penyiasatannya atas Projek M yang merupakan salah satu punca ketidakselamatan di Sabah.

Jangan lupa juga skandal PKFZ yang melibatkan dana kerajaan sebanyak RM 12.5 bilion (1/3 daripada saiz 1MDB) yang diluluskan oleh Dr Mahathir!

Maka, jangan harapkan (perdana menteri) Muhyiddin Yassin akan mengambil tindakan terhadap semua yang bersalah dalam 1MDB.

Rakyat akan terus tanggung penyelewengan 1MDB dan mereka yang mencuri kekayaan rakyat dan membebankan 28 juta rakyat dengan hutang RM 1,500 setiap orang akan terlepas, kalau perdana menteri saja yang diubah, dan bukan sistem politik dan undang-undang yang melihat penyelewengan raksasa berlaku di bawah setiap perdana menteri semenjak Dr Mahathir!

Tuntutan 8 reformasi institusi

Kalau kita ingin semua yang bertanggungjawab atas skandal 1MDB dihukum dan dana yang dicuri dikembalikan seberapa banyak yang boleh, dan lebih penting lagi, kalau kita tidak ingin 1MDB yang baru, maka kita mesti menuntut reformasi institusi.

Jika Muhyiddin cuba meletak dirinya sebagai bakal perdana menteri (prime minister in waiting), maka kita mesti menuntut beliau menghapuskan 2punca pokok skandal 1MDB: pertama, pemusatan kuasa sehingga mekanisma semak-dan-seimbang (check and balance) tidak berfungsi; kedua, sekatan kebebasan sivil dan politik rakyat.

Ini adalah satu senarai 8 tuntutan yang ringkas:

Pertama, perdana menteri tidak boleh lagi merangkap jawatan menteri kewangan. Praktis yang bermula dengan Dr Mahathir selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti dihentikan supaya kuasa perdana menteri sekurang-kurangnya tersekat dalam Kabinet.

Kedua, Parlimen mesti direformasi supaya berkuasa untuk semak dan seimbang kuasa eksekutif. Parlimen mesti mempunyai jawatan-jawatankuasa tetap dan khas (standing and select parliamentary committees) yang memantau kerja kementerian-kementerian dan mengkaji isu-isu tertentu, sesi soalan untuk PM, hari khas untuk urusan pembangkang dan rang-rang undang ahli persendirian (private member’s bill), dan bukan saja tandas yang mewah.

Ketiga, Pendakwaraya mesti dipisahkan daripada ketua peguam negara untuk mengurangkan pendakwaan bersifat memilih (selective persecution) yang menganiaya pengkritik kerajaan yang tidak bersalah dan melepaskan penyokong kerajaan yang bersalah.

Keempat, Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) mesti ditubuhkan untuk memastikan polis berfungsi sebagai institusi untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan bukan alat pelindung kerajaan sehingga malah ada yang sanggup membunuh atas arahan atas.

Kelima, Akta Rahsia Rasmi mesti bukan sahaja dimansuhkan tetapi diganti dengan Akta Kebebasan Maklumat supaya penyalahgunaan kuasa dan keputusan salah tidak boleh lagi disembunyikan di bawah nama keselamatan negara.

Keenam, Akta Hasutan yang baru-baru ini dipinda dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) yang baru-baru diluluskan – kedua-duanya dalam kegelapan larut malam – dimansuhkan oleh Parlimen. Kanun Keseksaan mempunyai peruntukan yang cukup untuk mencegah keganasan. Apabila rakyat boleh dengan senangnya dipenjarakan, yang diselamatkan ialah penjenayah yang menyalahgunakan kuasa kerajaan.

Ketujuh, perdana menteri, semua menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai tertinggi dalam jabatan dan agensi kerajaan mesti mengiystiharkan harta mereka dan anggota-anggota keluarga terdekat kepada orang awam. Dengan itu, isteri PM baru bebaslah beli cincin dan hartanah.

Kelapan, pilihan raya yang adil, bebas dan bersih. Ini akan memaksa Umno dan Barisan Nasional sentiasa takutkan kemarahan rakyat.

Beranikah anda menyerang punca pokok 1MDB, 'bakal PM' Muhyiddin? – 24 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments