Opinion

916 v 513 – Negara mana yang kita ingin raikan?

Himpunan Maruah Melayu (HMM) pada Hari Malaysia mengingatkan kita Malaysia masih belum diterima oleh semua rakyat sebagai negara kita.

“Kita bukan nak halau orang yang tumpang rumah kita…Kita hanya nak ajar penumpang supaya kenal tuan rumah. Jom sertai Himpunan Melayu Bersatu 16 September 2016.” Begitu tersuratnya sebuah poster popular untuk perhimpunan baju merah itu.

Jelas sekali bagi pencipta poster itu, negara ini milik orang Melayu dan semua rakyat bukan Melayu adalah penumpang di negara ini.

Masa seolah-olah Uberpusing kembali kepada 1946 apabila Umno ditubuhkan untuk memperjuangkan Tanah Melayu yang semua rakyatnya orang Melayu, dan semua orang bukan Melayu itu orang asing.

Penghinaan kepada Sabah dan Sarawak

Pesanan poster ini bukan sahaja meminggirkan semua warga rakyat bukan Melayu di Semenanjung Malaysia, malah langsung sekali menghina Sabah (termasuk Labuan) dan Sarawak.

Kedua-dua negeri ini tidak pernah diperintah oleh kuasa Semenanjung sekalipun pada zaman kemuncak Kesultanan Melaka.

Kini, di bawah kaca mata kumpulan baju merah ini, Sabah dan Sarawak menjadi lanjutan Tanah Melayu, dan bukan wilayah yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Semenanjung Malaysia.

Orang Sabah dan Sarawak, tak kira Muslim dan bukan Muslim, selagi mereka tidak memelayukan diri mereka, maka merekalah penumpang di negara ini.

Kalaulah dahulu orang Sabah dan Sarawak merunggut  orang Semenanjung lupakan Hari Malaysia, maka kumpulan baju merah kini menunjukkan Hari Malaysia tidak dilupakan oleh mereka, tetapi mempunyai makna yang bertentangan sekali: Malaysia adalah sebuah negara yang orang Melayu menjadi tuan dan semua yang lain menjadi penumpang.

Ini nampaknya menjadi terus-terang pendirian parti pemerintah terbesar, Umno yang mencipta naratif “ketuanan Melayu” sejak 1986 dan kini membenarkan ahlinya menyertai himpunan ini.

Tepatlah sekali, gabungan NGO-NGO Malaysia yang menjadi penggerak utama HMM diketuai oleh Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos.

Bagaimana ahli-ahli politik BN daripada Sabah dan Sarawak boleh terus menyokong Umno yang melihat Malaysia sebagai Tanah Melayu dan pada masa yang sama beria-ia nak mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963?

Tidakkah mereka yang senyap tentang HMM itu rasa segan dengan kemunafikan diri mereka?

Ancaman merusuh dan kejayaan Bersih 4

Apa yang menarik perhatian saya ialah kaitan himpunan ini dengan maruah Melayu yang kononnya tercabar oleh Bersih 4.

HMM ini dirancang sebagai jawapan kepada perhimpunan aman raksasa Bersih 4 untuk 34 jam sebelum Hari Merdeka (Semenanjung dan Sabah).

“Persembahan silat” yang cukup berbau ugutan diadakan di depan Sogo untuk menakutkan penganjur dan peserta Bersih.

Gambar Kimberley William melalui rojakpot.com.Gambar Kimberley William melalui rojakpot.com.Pada masa itu pun muncul sebuah poster yang menunjukkan seorang Melayu dalam pakaian tradisional membunuh seorang Cina yang berkemeja kuning Bersih secara IS, dengan pesanan yang jelas: “Cina Turun Bersih,

Sedialah Bermandi Darah”.

Jelas sekali, HMM – yang pada asalnya dijadualkan serentak dengan Bersih 4 tetapi kemudian ditangguhkan atas nasihat polis – mengancam pengulangan rusuhan kaum terhadap Cina ala Mei 13.

Daripada segi itu, besar makna kejayaan Bersih 4 dalam menghikmatkan hantu Mei 13.

Rusuhan 1969 selalu disalahkan pada orang Cina dalam parti pembangkang (dan DAP yang sentiasa dijadikan sasaran, jarang disebut Gerakan) yang berarak meraikan kemenangan mereka.

Sejak itu, orang Cina dan demonstrasi menjadi kombinasi yang salah. Kalau orang Cina ingin berdemonstrasi dengan selamat, maka mereka harus pastikan penyertaan lebih ramai orang Melayu.

Ironiknya, Bersih 4 yang dengan jelasnya menarik lebih banyak orang Cina daripada orang Melayu menunjukkan hakikat yang songsang: Perhimpunan raksasa itu tetap boleh aman, selamat dan patriotik sekalipun komposisi pesertanya tidak mencerminkan komposisi rakyat Malaysia.

Kehangatan HMM yang naik semula selepas Bersih 4 boleh dilihat sebagai strategi pihak tertentu untuk menyambungkan riwayat hantu Mei 13.

Hari ulang tahun 916 seolah-olah diambilalih menjadi hari ulang tahun 513.

Maksud tersirat “Bersih mencabar kuasa politik Melayu”

Jamal menfitnah Bersih 4 sebagai plot orang Cina DAP untuk mencabar kuasa politik Melayu dan dengan berarak di Jalan Bukit Bintang, HMM akan memberi pengajaran kepada orang Cina DAP yang “kurang ajar” supaya menghormati bangsa Melayu.

Persoalannya, bagaimana 5 tuntutan Bersih iaitu “pilihan raya bersih”, “kerajaan bersih”, “hak membantah”, “kukuhkan demokrasi berparlimen”, “selamatkan ekonomi” itu mencabar kuasa politik Melayu?

Apakah ketua Bahagian Umno Sungai Besar itu mencadangkan  kuasa politik Melayu cuma boleh dibela dengan “pilihan raya kotor”, “kerajaan kotor”, “penekanan hak membantah”, “jejaskan demokrasi berparlimen” dan “biarkan ekonomi tenggelam”?

Kalau kita baca fitnah ini bersama dengan pesanan poster tentang “tuan rumah” dan “penumpang”, maka maknanya dan kemarahan ultra-nasionalis Melayu terhadap Bersih menjadi lebih jelas.

Apa yang mereka maksudkan ialah orang Cina khasnya dan orang bukan Melayu amnya tidak harus berlagak sebagai warga di negara sendiri.

Bagi mereka, kerana negara ini Tanah Melayu, maka cuma orang Melayu yang boleh menegur pemerintah Melayu dan menuntut perdana menteri Melayu yang korup untuk berundur.

Bagi orang bukan Melayu – termasuklah orang Sabah dan Sarawak – untuk menuntut akauntabiliti pemerintah dan reformasi institusi, itu kurang ajar kerana mereka sekadar penumpang negara.

916 atau 513? Malaysia atau Tanah Melayu?

Sudah tentu, dan Alhamdulillah, Jamal tidak mewakili kebanyakan orang Melayu hari ini.

Kalau orang Melayu memang rasa maruah mereka tercabar, tidak perlulah RM300 dibayar untuk mendapatkan peserta – ini cerita daripada rakan saya yang kaum-kerabatnya kuat penyokong Umno.

Banyak badan-badan dan individu-individu Melayu tampil ke depan untuk menolak HMM.

Malah, Otai Reformasi dan Pro-Rakyat mengumumkan rancangan untuk menghantar 2500 sukarelawan untuk menjaga keselamatan orang Cina di sekitar Jalan Bukit Bintang.

Muafakat pula akan menganjurkan solat hajat serentak dengan HMM. Pengerusinya, Ishak Surin menegaskan kumpulan baju merah itu tidak mewakili orang Melayu yang cintakan keamanan dan mahu melihat Malaysia selamat daripada sebarang malapetaka.

Mungkin kerana tekanan masyarakat, HMM yang asalnya seolah-olah ingin “memaksakan” hartal ke atas peniaga-peniaga di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Petaling kini bercadang ingin pindah tempat perhimpunan ke Padang Merbok yang lebih jauh daripada zon perniagaan.

Sudah tentu Najib faham akibat jika mancis api yang dimainkan oleh HMM itu merebak membakar padang.

Kalau berlaku Mei 13 lain, dialah yang jadi Tunku, siapa lagi? Siapa pula yang jadi Razak?

Namun, saya kira, ada hikmahnya kalau episod HMM ini dapat mengundang kita untuk merenung soalan besar ini:  Negara mana yang kita ingin raikan?

Malaysia yang dilahirkan pada 916 (tahun 1963) dan sebuah iktizam untuk membawa kebebasan, kemakmuran dan solidariti untuk semua anak watan?

Ataupun Tanah Melayu yang – bagi sesetengah pihak –  diangkat semula pada 513 (tahun 1969) dan menjanjikan ketuanan Melayu termasuklah kuasa dan perlindungan untuk pemimpin Melayu, sekalipun mereka rakus, zalim dan mungkar? – 13 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments