Opinion

Adenan harus perjuangkan hak mengundi anak perantau Sarawak

Mengapakah puluhan ribu anak Sarawak yang bekerja atau belajar di luar negeri itu mesti balik ke kampung halaman masing-masing baru dapat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang?

Hak anak Sarawak yang merantau di luar untuk menjadi pengundi tidak hadir harus menjadi suatu matlamat perjuangan bagi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan pesaingnya dalam PRN akan datang ini.

Sememangnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab memudahkan pembuangan undi supaya semua pengundi yang layak dan berdaftar boleh mengundi dengan kos (wang, masa dan tenaga) paling rendah dan dengan itu menaikkan peratusan orang keluar mengundi.

Satu halangan besar ialah perlunya pengundi yang merantau di luar untuk kembali ke kawasan pilihan raya untuk mengundi.

Sememangnya, ada pihak yang percaya jika seseorang pengundi tinggalkan kampung halaman untuk tempoh yang lama, maka pengundi itu harus menukar kawasan pilihan rayanya.

Pandangan ini munasabah untuk zaman dulu kala apabila rakyat jarang merantau. Dalam dunia hari ini, pengaliran manusia semakin kerap dan jauh, terutamanya untuk wilayah yang kurang peluang pekerjaan dan pembelajaran.

Berhijrah ke negeri lain malah negara lain untuk mencari rezeki buat beberapa tahun menjadi sesuatu yang lazim.

Ini tidak bermakna mereka yang merantau ini ingin bermastautin di kota orang untuk selama-lamanya.

Mereka tetap sayangkan kampung halaman sendiri. Daripada mengundi di kota orang, mereka lebih rela menentukan nasib kampung sendiri yang mereka akhirnya akan kembali.

Selagi setiap orang itu mengundi di cuma satu kawasan sahaja, SPR seharusnya menghormati pilihan mereka manakah tempat yang paling utama dalam hati mereka.

Sememangnya, SPR tidak memaksa sesiapa untuk mengemas kini alamat di kad pengenalan mereka dan seterusnya menukar kawasan pilihan raya mereka ke tempat kediaman terkini mereka.

Akan tetapi, kekurangan kemudahan hak undi tak hadir menjadi halangan kepada mereka yang kekurangan wang dan masa untuk pulang kampung.

Pada masa ini, cuma warga Malaysia yang tinggal di luar negeri boleh membuang undi bagi kawasan pilihan raya asal mereka, meskipun mereka yang tinggal di Brunei, Singapura, Kalimantan dan Selatan Thailand dinafikan hak ini.

Sekalipun tentera dan polis “diberi” hak untuk membuat undi pos atau undi awal, undi-undi itu dibuat untuk kawasan pilihan raya yang berdekatan dengan markas atau balai mereka, dan bukan tempat asal mereka.

SPR seharusnya membolehkan semua rakyat yang perlukan kemudahan undi tak hadir berbuat demikian sejauh mana yang boleh.

Ini penting sekali terutamanya untuk negeri Sabah (termasuk Labuan) dan Sarawak. Ramai orang Borneo lebih rela tinggal di negeri sendiri kalau Sabah dan Sarawak dapat menikmati pembangunan.

Dalam kata lain, mereka adalah penghijrah yang kurang rela.

Berbanding dengan rakyat Semenanjung yang bekerja di bumi Borneo yang lebih kerap memegang jawatan berkemahiran tinggi (tetapi juga lebih kecil bilangannya), ramai rakyat Sabah dan Sarawak cuma mengisi pekerjaan kurang lumayan di Semenanjung.

Adakah mereka patut dipaksa menanggung kos minima beberapa ratus ringgit dan mengambil cuti beberapa hari untuk kembali ke kampung halaman mereka semata-mata bagi menunaikan tanggungjawab warga negeri?

Negara yang banyak menghantar pekerja ke luar negara seperti Filipina dan Indonesia amat mengutamakan hak mereka untuk mengundi semasa di luar negeri.

Sudah tiba masanya Sarawak dan Sabah yang banyak menghantar pekerja dan pelajar ke Semenanjung menuntut hak undi tidak hadir untuk anak negeri mereka.

Tuntutan Ini akan disokong oleh rakyat Malaysia yang lain kerana mereka juga akan turut dimanfaatkan jika hak undi tak hadir diperluaskan.

Dengan bersuara lantang tentang hak-hak negeri dan anak Sarawak, Ketua Menteri Sarawak Adenan menunjukkan gaya pentadbiran yang berlainan daripada Tun Abdul Taib Mahmud.

Dengan mencegah peminggiran anak Sarawak, beliau sebenarnya juga membantu membina sebuah Malaysia yang lebih inklusif, harmoni dan stabil.

Saya berharap Adenan bukan seorang lagi pemimpin Borneo yang hanya memperjuangkan hak orang Borneo di bumi Borneo sahaja.

Ramai pemimpin Borneo lupakan perantau Sabah dan Sarawak di Semenanjung dan di luar negeri. Mereka lupakan tanggungjawab kepada saudara mereka yang terpaksa meninggalkan kampung halaman dan kaum-kerabat kerana kekurangan peluang pekerjaan dan pendidikan di bumi sendiri.

Adenan harus mengingati hak anak Sarawak yang merantau di negeri lain – mengikut satu anggaran mungkin mencapai 150,000 yang berkelayakan untuk mengundi.

Mereka berhak untuk mengundi dan menentukan nasib negeri sendiri, di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga di Parlimen dan hanyalah apabila suara mereka dipandang berat, masa depan mereka akan menjadi lebih cerah.

Adenan boleh mengukir sejarah dengan menuntut SPR menjadikan PRN Sarawak akan datang pilihan raya pertama yang memberikan hak undi tak hadir untuk pengundi tak hadir dalam negeri. – 18 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments