Tak kira di arena antarabangsa atau di dalam negeri, sering semua pihak yang bersengketa itu menuntut keadilan tetapi apa yang dimaksudkan sebagai keadilan saling berbeza-beza.
Bagaimana kita mencari kemuafakatan untuk menegakkan keadilan?
Tiga wacana untuk keadilan sosial di Malaysia
Sebagai contoh, bagaimanakah Malaysia harus mempertingkatkan keadilan sosial? Sekurang-kurangnya terdapat tiga wacana yang saling bercanggahan.
Wacana pertama berasaskan hak milik asal dan membahagikan rakyat kepada “tuan” dan “tetamu”, dan si “tetamu” itu terhutang budi kepada si “tuan” yang menerimanya, maka si “tuan” itu harus didahulukan tak kira apapun.
Keadilan itu berasaskan “keempunyaan” (entitlement).
Keistimewaan yang diterima itu harus dikekalkan tidak kira sama ada si “tuan” itu lebih atau berada daripada daripada si “tetamu”. Keistimewaan itu juga harus dikekalkan sampai selama-lamanya dan boleh diberikan kepada mana-mana saudara-mara si “tuan” itu.
Wacana kedua pula menegaskan kesamarataan dalam peluang dan usaha-daya individu. Keadilan itu bermakna setiap orang itu mendapat ganjaran yang setimpal dengan pencapaiannya, dan bukan kerana kategori keluarganya yang dilahirkan.
Dalam paradigma “meritokrasi” ini, setiap hayat itu bermula dan berakhir dengan usaha sendiri dan tidak bergantung kepada keluarga atau kelompok sosial di mana seseorang individu itu dilahirkan.
Baik buruk, seseorang itu tidak harus beruntung atau dirugikan kerana perbuatan orang lain dalam keluarga atau kelompok sosialnya.
Keadilan itu berasaskan “kebebasan” manusia untuk menakhodai nasib sendiri.
Wacana ketiga juga ingin mencapai kesamarataan di antara individu tetapi ia mengambilkira sekatan-sekatan lahiran dan persekitaran yang mungkin menghadkan pencapaian seseorang itu.
Sebagai contoh, kalau seseorang itu dilahirkan dalam kasta bawahan di India yang turun-temurun dinafikan peluang pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik, maka sudah tentu sukar untuk individu ini bersaing dengan seseorang yang dilahirkan dalam kasta atasan yang turun-temurun hidup selesa dan lebih berbudaya.
Untuk mengganti rugi (compensate) ketidaksaksamaan berstruktur sebegini, maka perlu adanya “tindakan afirmatif”.
Sama ada kerana dilahirkan di dalam komuniti, wilayah, kelas atau kategori sosial yang dianaktirikan, atau dilahirkan dengan kekurangan fizikal dan sebagainya, individu-individu yang kurang daya persaingan ini harus diberikan kelonggaran dalam persaingan supaya mereka berpeluang untuk berjaya.
Keadilan itu berasaskan “pemberdayaan” (empowerment).
Bagaimana memilih wacana?
Jadi bagaimana kita memilih antara wacana yang berlainan? Sememangnya kita boleh berdebat dan berbicara tentang wacana-wacana ini secara habis-habisan, tetapi apakah akhirnya kita pasti akan capai suatu kemuafakatan?
Jawapannya tidak. Sebagai contoh, jika pertikaian berlaku antara seorang sosialis dan seorang kapitalis pasal dasar ekonomi, tidak mungkin mana-mana pihak dapat menyakinkan pihak yang lain berdasarkan ideologinya. Begitu juga jika ia berlaku di antara seorang Muslim dan seorang Kristian pasal praktis agama yang bercanggah.
Sudah tentu, kita perlu mencari prinsip-prinsip yang tidak ekslusif dan tidak memihak kepada mana-mana pihak yang bertikai itu untuk membawa kepada cara penyelesaian.
Ini bukan sahaja wacana-wacana ini berdasarkan nilai dan andaian yang berlainan, tetapi yang lebih penting lagi, manusia tidak semestinya bertindak dengan berpandukan secara jujurnya kepada wacananya.
Lebih kerapnya, manusia memilih wacana yang berguna untuk mencapai kesudahan yang diingini. Dalam kata lain, manusia berkecenderungan untuk bersikap munafik.
Kita mengambil piawaian yang ketat untuk mengukur orang lain dan mengambil piawaian yang longgar untuk mengukur diri atau orang kesayangan kita.
Maka, prinsip-prinsip dan nilai-nilai sejagat itu ada perlu dalam interaksi manusia, sungguhpun mereka ini tidak dapat tidak diwarnai oleh arus fikiran yang lebih dominan dan tidak sempurna, seperti apa-apa ciptaan manusia.
Bagaimana nak bahagikan kek dibahagi dua dengan adil?
Sekarang bayangkan terdapat sebuah kek untuk dibahagikan kepada dua individu, Ahmad dan Ali. Bagaimana untuk dilakukan secara adil?
Daripada segi wacana, sekurang-kurangnya terdapat tiga hujah yang boleh diutarakan.
Pertama, kek itu harus dibahagikan kepada dua bahagian yang sama besar kerana kedua-dua orang individu itu mempunyai hak yang sama.
Kedua, kek itu harus dibahagikan berdasarkan berat individu dan orang yang lebih gemuk harus dapat bahagian lebih besar, kerana dia perlukan lebih banyak tenaga dalam kehidupan hariannya.
Ketiga, kek itu harus dibahagikan berdasarakan berat individu tetapi orang yang lebih kurus harus dapat bahagian lebih besar kerana dia boleh menjadi lebih gemuk pada masa depan. (Hujah alternatif, si kurus itu tidak dapat bahagiannya yang sewajarnya pada masa dahulu, maka sekarang dia harus digantirugikan dengan bahagian yang lebih besar)
Kalau kita berikan kuasa Ahmad untuk membuat keputusan, apakah wacana yang akan dipilih oleh Ahmad?
Ia mungkin bergantung kepada pengetahuan atau tekaan Ahmad terhadap berat relatif Ali. Kalau Ali lebih ringgan, Ahmad mungkin memilih wacana kedua. Kalau Ali lebih berat, Ahmad pula mungkin memilih wacana ketiga.
Kita mungkin mengharapkan Ahmad itu seorang yang begitu alim dan berhati adil sampai tidak mempedulikan kepentingan dirinya. Akan tetapi, bagaimana kita boleh mengukur kealiman seseorang itu? Kurangkan orang munafik yang bertopengkan kealiman?
Dan sekalipun kalau Ahmad itu alim dan membuat keputusannya dengan jujur berdasarkan kepercayaannya, apakah Ali boleh terima kalau keputusan itu menyebabkan dia dapat bahagian yang lebih kecil?
Sekarang andaikan Ahmad and Ali bersetuju untuk membahagikan kek itu mengikut wacana pertama, yakni, membahagikan kek itu 50-50 antara mereka.
Tetapi mereka cuma diberi sepucuk pisau tanpa sebarang alat pengukur, bagaimana boleh kek itu dibahagikan dengan secara adil?
Kalau kita ambil iktibar daripada pemilihan wacana itu, maka pengetahuan tentang kepentingan kita sendiri yang menyebabkan kita menyimpang daripada keadilan, maka kejahilanlah yang akan menjamin kita bertindak seadil-adilnya.
Maka, penyelesaiannya ialah biar Ahmad memotong dan Ali memilih bahagian mana yang dikehendakinya, atau sebaliknya Ali memotong dan Ahmad memilih.
Untuk memastikan dirinya tidak rugi, si pemotong itu terpaksa bersikap adil. Maka sungguhpun naluri manusia itu tidak berubah, tingkahlakunya terpaksa berubah
Selubung ketidaktahuan
Perbincangan di atas berakarkan konsep “Selubung ketidaktahuan” (veil of ignorance) yang dikemukakan oleh pemikir John Rawls dalam Teori Keadilannya.
Kalau kita ingin sebuah masyarakat yang adil, maka dalam merekacipta atau memilih dasar-dasar awam, kita harus lupakan kondisi-kondisi kita yang sedia ada.
Kita harus bayangkan kita sebagai individu-individu itu paling lemah dan terpinggir dalam masyarakat. Hanya kalau sesuatu dasar itu tidak merugikan individu-individu yang paling lemah dan terpinggir, dasar itu boleh dikatakan adil.
Kembali kepada perdebatan tentang keadilan sosial di Malaysia, wacana mana yang paling adil?
Mungkin kita harus bayangkan diri kita ini daripada kategori yang bertentangan (yang Melayu/Muslim/Bumiputera itu bayangkan diri sebagai bukan Melayu/bukan Muslim/bukan Bumiputera; dan juga sebaliknya), kemudian tepuk dada tanya selara: apakah wacana ini adil kalau saya di sebelah sana?
Mungkin dengan itu kita boleh mendekati satu muafakat. Dan kita mampu berbicara tentang perpaduan negara.
Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua yang menyambutnya. – 5 Oktober, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments